C: Berbuat Baik Kepada Ibubapa Pada Masa Hidup Mereka.

Memaafkan  : Meminta pertolongan Allah : Memahami  : Merendahkan diri  : Mengorbankan diri

 

Pertama: Memaafkan ibubapa.

 

Memaafkan” adalah sikap pertama yang perlu dilakukan oleh setiap individu yang ingin melakukan apa jua kebaikan kepada orang lain. Jika kita ingin berdakwah kepada seseorang, hendaklah kita mulakan dengan memaafkannya disebabkan kejahilan atau salah fahamnya terhadap Islam. Apabila kita ingin membetulkan amalan seseorang, hendaklah kita mulakan dengan memaafkannya disebabkan kekeliruannya dalam mengikuti ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah yang tepat. Jika kita ingin berbuat baik kepada seseorang, hendaklah kita mulakan dengan memaafkannya seandainya sebelum itu dia pernah berbuat salah. Demikianlah seterusnya.

 

Memulakan kebaikan dengan sikap memaafkan akan merendahkan diri kita kepada sifat kesyukuran kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang telah mengurniakan kelebihan nikmat kepada kita. Ini seterusnya akan membuka diri kita ke arah bersikap neutral terhadap apa-apa kekurangan yang mungkin wujud pada diri orang tersebut. Kemudian ia akan melahirkan sikap ingin berbuat baik kepadanya secara ikhlas, lemah lembut dan berhikmah.

 

Jika keinginan untuk melakukan kebaikan tidak dimulakan dengan sikap memaafkan, kemungkinan besar kebaikan tersebut tidak akan terlaksana disebabkan wujudnya sesuatu kekurangan pada diri orang tersebut yang memberatkan kita untuk berbuat baik kepadanya. Seandainya kita tetap menganjak diri kita untuk melaksanakan kebaikan yang dirancang, ia hanya akan dilaksanakan secara separuh hati dengan hasil yang tidak menyeluruh. Malah ia mungkin dilaksanakan dengan nafas, nada dan raut muka yang mengeluh lagi menampakkan kebencian.

 

Sikap memaafkan akan mencapai kesempurnaan jika kita menggandingkannya dengan doa agar Allah Subhanahu wa Ta'ala mengampunkannya. Mendoakan keampunan bukanlah bererti kita melabelnya sebagai orang yang berdosa, akan tetapi sebagai bukti bahawa kita benar-benar tulus dalam memaafkannya.

 

Memaafkan dan mendoakan keampunan adalah dua sikap mulia yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, sekali gus menjadi sunnah baginda dalam berinteraksi dengan umatnya. Allah berfirman:

 

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad),

engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu),

dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

 

Oleh itu maafkanlah mereka dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. [Ali Imran 3:159]

 

Oleh itu dalam rangka kita berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah ia dimulakan dengan sikap “memaafkan” mereka berdua. Ibubapa adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kekurangan sehingga dalam tindak tanduk mereka, mungkin terdapat beberapa kekurangan yang memberi kesan kepada kita. Antaranya:

  1. Mungkin sejak awal ibubapa tidak memberikan perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya kepada kita. Maka maafkanlah mereka kerana hal di atas lazimnya berlaku disebabkan suasana kehidupan masa lalu yang amat sukar sehingga ia memaksa mereka untuk bekerja keras dari kegelapan pagi hingga kegelapan malam semata-mata untuk menyediakan bumbung, makanan, pakaian dan pendidikan untuk diri kita sendiri. Ini menyebabkan mereka tidak mampu untuk meluangkan perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya kepada kita. Selain itu wujud juga kemungkinan bahawa mereka sememangnya sayang dan ingin memberikan perhatian akan tetapi tidak tahu atau sukar untuk menterjemahkannya dalam bentuk perbuatan dan hubungan dengan kita. Maka maafkanlah atas apa yang mereka tidak tahu atau tidak mampu lakukan.

  2. Mungkin sejak awal ibubapa asyik bertengkar sehingga menyebabkan kita mengambil sikap menyisihkan diri daripada mereka. Maka maafkanlah mereka kerana pertengkaran tersebut bukanlah sesuatu yang diingini oleh mereka akan tetapi berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor yang sukar mereka elakkan, khasnya tekanan hidup yang dirasai oleh masing-masing ibu dan ayah.

  3. Mungkin sejak awal ibubapa asyik menengking dan memukul kita sehingga menyebabkan kita membenci mereka. Sekalipun berat, hendaklah kita tetap memaafkan mereka. Menengking dan memukul bukanlah pilihan mereka akan tetapi lebih disebabkan oleh tekanan kehidupan yang menyebabkan mereka “melepaskannya” kepada anak-anak. Sudah tentu ini bukanlah satu tindakan yang baik. Akan tetapi ibubapa kita tetap merupakan manusia yang adakalanya membuat kesilapan dalam tindak tanduk mereka.

Barangkali terlintas di fikiran sebahagian ibubapa “muda” masa kini[1], bahawa tekanan-tekanan di atas yang dihadapi oleh ibubapa pada masa lalu juga wujud pada masa kini. Hal ini adalah benar akan tetapi kadarnya berbeza antara masa lalu dan masa kini. Tekanan kehidupan yang dihadapi oleh ibubapa “muda” masa kini adalah jauh lebih ringan daripada apa yang dihadapi oleh ibubapa masa lalu.

 

Lebih dari itu sebab yang melatarbelakangi tekanan kehidupan juga jauh berbeza. Ibubapa masa lalu tertekan kerana mereka menghadapi kesukaran untuk menyediakan keperluan asas kehidupan manakala ibubapa “muda” masa kini tertekan kerana mereka sibuk mengejar nilai kebendaan yang tiada kaitan dengan asas kehidupan. Justeru tekanan kehidupan yang dihadapi oleh ibubapa masa lalu adalah sesuatu yang dipaksa oleh suasana kehidupan manakala tekanan kehidupan yang dihadapi oleh ibubapa “muda” masa kini adalah sesuatu yang disengajakan oleh diri mereka sendiri.

 

Tidak juga dilupakan bahawa ibubapa masa lalu terpaksa menghadapi semua tekanan kehidupan secara bersendirian sekadar kemampuan mereka. Sedarilah bahawa pada zaman mereka tidak terdapat ilmu-ilmu kemanusian seperti kepimpinan, komunikasi, kekeluargaan, pendidikan anak, pengendalian tekanan (stress management) dan sebagainya yang dapat membantu mereka mengharungi liku-liku kehidupan.

 

Di atas hanyalah sebahagian daripada “beberapa kekurangan” ibubapa yang mungkin memberi kesan kepada kita sebagai anak-anak. Tidak dinafikan bahawa terdapat kekurangan-kekurangan lain yang tidak dapat saya senaraikan di sini semuanya. Apa pun, insafilah bahawa ibubapa adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kekurangan dan kesilapan. Ringkasnya, There are no perfect parents. Justeru dalam rangka kita hendak berbuat baik kepada ibubapa, mulailah dengan memaafkan mereka, terhadap apa jua kekurangan mereka.

 

Kemudian gandingilah dengan mendoakan keampunan kepada mereka. Terdapat sebuah doa yang diajar oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui lisan Nabi Nuh ‘alahissalam yang merangkumi semua orang beriman termasuk ibubapa kita:

 

“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk

ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman,

lelaki dan perempuan; dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”

[Nuh 71:28]


 

[1] Yang saya maksudkan dengan ibubapa “muda” adalah anak-anak yang telah meningkat dewasa dan mendirikan rumahtangga sendiri.

 

Kandungan : Top