C: Berbuat Baik Kepada Ibubapa Pada Masa Hidup Mereka.

Memaafkan  : Meminta pertolongan Allah : Memahami  : Merendahkan diri  : Mengorbankan diri

 

Ketiga: Memahami ibubapa.

 

Di antara cabaran yang dihadapi dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa adalah perbezaan yang wujud di antara anak dan ibubapa. Perbezaan ini wujud dalam pelbagai bentuk seperti pemikiran, gaya hidup dan prioriti kehidupan.

 

Kerangka (frame) kehidupan anak-anak lazimnya memiliki ciri-ciri pemikiran yang luas, gaya hidup yang dinamik dan prioriti kehidupan yang lebih ditujukan kepada kejayaan peribadi. Ini jauh berbeza dengan kerangka kehidupan ibubapa yang, setelah bekerja keras sejak dari umur kecil, kebanyakannya memiliki ciri-ciri pemikiran yang sederhana, gaya hidup yang tenang dan prioriti kehidupan yang lebih ditujukan kepada melihat kejayaan anak-anak.

 

Adakalanya perbezaan juga wujud dalam bentuk amalan agama. Ibubapa di kampung mungkin cenderung kepada praktik agama yang telah bercampur aduk dengan amalan setempat dan adat tradisional manakala anak-anak yang telah mendapat pendedahan yang luas mungkin hanya akan mempraktikkan agama dalam bentuknya yang tulen.

 

Perbezaan-perbezaan ini adakalanya boleh menimbulkan pergeseran antara anak dan ibubapanya sehingga akhirnya menjejaskan interaksi antara dua pihak. Maka hendaklah kita sebagai anak-anak yang shalih dan shalihah berusaha untuk mengenali perbezaan-perbezaan yang wujud antara kita dan ibubapa sendiri. Kemudian dalam berinteraksi dengan ibubapa, berusahalah untuk mengendali perbezaan tersebut (manage the differences) dengan cara memahami kerangka kehidupan mereka dan menyesuaikan diri ke dalamnya (understand and try to fit in). Janganlah pula mengharapkan ibubapa untuk memahami dan menyesuaikan diri ke dalam kerangka kehidupan kita.

 

Ingat, bahawa jika wujud perbezaan dalam perkara-perkara yang harus, hendaklah anak-anak yang mengalah kepada ibubapa dan bukan sebaliknya. Seandainya wujud perbezaan dalam perkara yang jelas-jelas menyelisihi syari‘at, maka tegurlah mereka secara bertahap-tahap dengan sopan dan berhikmah.

 

Kandungan : Top