C: Berbuat Baik Kepada Ibubapa Pada Masa Hidup Mereka.

Memaafkan  : Meminta pertolongan Allah : Memahami  : Merendahkan diri  : Mengorbankan diri

 

Keempat: Merendahkan diri kepada ibubapa.

 

Merendahkan diri kepada ibubapa termasuk salah satu cara berbuat baik yang ditunjuki oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah berfirman:

 

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu,

dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

[al-Isra’ 17:24]

 

 

Tindakan “merendahkan diri” wujud dalam beberapa bentuk:

 

Pertama: Merendahkan Diri Dalam Perbuatan.

Seorang anak yang merendahkan diri kepada ibubapanya tidak akan mendahului mereka dalam perkara-perkara yang harus, seperti tidak akan berbicara dengan nada yang lebih tinggi daripada ibubapanya, tidak akan memotong ketika ibubapanya sedang bercakap, tidak akan bersembang di talifon bimbitnya di hadapan ibubapa, tidak akan membalas SMS ketika sedang berbual dengan ibubapa, tidak akan duduk sebelum ibubapanya duduk, tidak akan makan sebelum ibubapanya makan, tidak berjalan atau melangkah di hadapan ibubapanya dan sebagainya.

 

Berbeza dalam perkara-perkara yang dituntut oleh agama, merendahkan diri kepada ibubapa bererti mendahului mereka seperti terlebih dahulu mengucapkan salam, terlebih dahulu menghulurkan tangan untuk bersalaman, terlebih dahulu meminta maaf jika terlanjur, terlebih dahulu memaafkan ibubapa jika mereka tersilap, terlebih dahulu mengajak ayah ke masjid solat berjamaah, terlebih dahulu mengajak ibu membaca al-Qur’an bersama-sama, terlebih dahulu bangun menyediakan makanan untuk bersahur lalu kemudian mengejutkan ibubapa[1] dan sebagainya. Demikian juga dengan perkara-perkara yang dilarang oleh agama seperti terlebih dahulu menasihati ayah daripada merokok, terlebih dahulu menasihati ibu daripada memakai solekan apabila keluar rumah dan sebagainya.

 

 

Kedua: Merendahkan Diri Dalam Membuat Keputusan.

Seorang anak yang merendahkan diri kepada ibubapanya tidak akan membuat apa-apa keputusan dalam kehidupan mereka melainkan setelah mendapat izin dan keredhaan ibubapa. Ini termasuklah dalam hal-hal yang penting lagi besar seperti keputusan untuk melanjutkan pengajian, keputusan untuk belajar dalam jurusan tertentu, keputusan untuk mengambil kerjaya tertentu, keputusan untuk menetap di bandar lain sehinggalah kepada keputusan untuk memilih pasangan hidup.

 

Dalam Bahagian B sebelum ini telah dikemukakan hadis-hadis yang menerangkan bahawa sekalipun seorang anak ingin melakukan sesuatu perkara yang selari dengan tuntutan syari‘at, dia tetap perlu mendapat keizinan dan redha ibubapanya. Tidak bijak untuk mengejar satu tuntutan agama jika ia menyebabkan perlecehan terhadap tuntutan agama yang lebih besar, iaitu izin dan redha ibubapa.

 

Tidak dinafikan bahawa akan muncul perbezaan antara keputusan yang ingin dibuat oleh seorang anak dengan apa yang dikehendaki oleh ibubapa. Untuk mengelakkan perbezaan ini, hendaklah:

  1. Bertanya kepada ibubapa sebelum membuat keputusan. Perbezaan sekali gus pergeseran lazimnya berlaku kerana kita (anak-anak) sering kali membuat keputusan tanpa bertanya pendapat ibubapa. Kita hanya mengkhabarkan apa yang telah diputuskan kepada ibubapa secara mengejut.

  2. Berbincang dengan ibubapa seandainya keputusan yang ingin kita ambil berbeza dengan apa yang mereka kehendaki. Hargailah pandangan ibubapa kerana mereka lebih matang dan lebih mengenali cabaran-cabaran kehidupan berbanding kita.

Ambillah iktibar daripada kisah perjalanan Nabi Musa ‘alahissalam berikut ini:[2]

 

Dan setelah dia (Nabi Musa, meninggalkan Mesir dalam perjalanan) menuju ke negeri Madyan, berdoalah dia dengan berkata: “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku.”

 

Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing) dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya.

 

Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?”

 

Mereka menjawab: “Kami tidak dapat memberi minum (kambing-kambing kami) sehinggalah pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.”

 

Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.”

 

Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: “Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami.”

 

Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: “Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu.”

 

Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.” [Maksud surah al-Qasas 28:22-26]

 

 

Perhatian kita ditumpukan kepada ayat yang terakhir. Perhatikan bahawa anak perempuan tersebut tidak membuat keputusan, melainkan terlebih dahulu memberi cadangan kepada ayahnya.

 

Beliau berkata: …ambilah dia menjadi orang upahan…

 

Cadangan itu pula disertai sebab di sebaliknya: …sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.

 

Semua ini dilakukan dengan penuh kesopanan dan rendah diri: Wahai ayah…

 

Allah Subhanahu wa Ta'ala mengkhabarkan kisah di atas bukanlah untuk dijadikan bacaan sebelum tidur (bed time stories). Akan tetapi dikhabarkan-Nya agar kita dapat mencontohi dan mempraktikkannya ketika ingin membuat sesuatu keputusan.

 

 

Ketiga: Merendahkan Diri Dalam Menegur Kesalahan

Ibubapa adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesalahan. Kesalahan tersebut ada yang melibatkan urusan dunia dan ada juga yang melibatkan urusan agama. Apabila kita sebagai anak menyedari bahawa ibubapa melakukan sesuatu kesalahan, janganlah kita merasa ujub, kononnya lebih hebat, lebih baik, lebih betul dan lebih bijak daripada ibubapanya. Sebaliknya hendaklah kita merendahkan diri dengan bersyukur di atas kelebihan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala kurniakan kepada kita. Rasa syukur tersebut kemudiannya diterjemahkan kepada menegur dan membetulkan kesalahan ibubapa tersebut.

 

Sikap rendah diri adalah penting untuk menjamin teguran yang penuh sopan, hikmah dan bertahap-tahap kepada ibubapa. Tanpa sikap ini, teguran akan menjadi kasar, sinis dan mengharapkan perubahan serta merta. Semua ini hanya akan menjauhkan kita daripada ibubapa manakala kesalahan yang dilakukan mereka tetap berulang.

 

Ambillah iktibar melalui sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam menegur kesalahan para sahabat pada zaman baginda. Sunnah ini dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam ayat yang telah kita rujuk sebelum ini, yang bermaksud:

 

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

 

Oleh itu maafkanlah mereka dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat)

maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal

kepada-Nya. [Ali Imran 3:159]

 

 

Perhatikan bahawa sunnah Rasulullah dalam menegur para sahabatnya adalah secara …lemah-lembut kepada mereka… Seandainya baginda bersikap kasar lagi keras, nescaya …mereka lari dari kelilingmu. Di atas sikap lemah lembut kepada mereka, Rasulullah memulakan dengan memaafkan mereka, mendoakan keampunan bagi mereka, lalu diikuti dengan …bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Setelah bermesyuarat, atau dalam erti kata lain berbincang, baginda …bertawakkallah kepada Allah.

 

Demikianlah juga sikap kita sebagai seorang anak dalam menegur kesalahan ibubapa. Hendaklah kita bersikap lemah lembut kepada mereka kerana sikap kasar dan keras hanya akan menjauhkan mereka daripada kita. Mulakan dengan memaafkan mereka, mendoakan keampunan kepada mereka, diikuti dengan perbincangan bersama mereka secara sopan dan hikmah, dilengkapi dengan penjelasan yang ilmiah dan bijak. Kemudian bertawakkallah kepada Allah agar mereka berubah daripada kesalahan tersebut.

 

Perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim ‘alahissalam menegur ayahnya yang bukan sahaja musyrik tetapi berperanan sebagai pembuat berhala. Sekalipun ayahnya membuat kesalahan yang amat besar, beliau tetap menegurnya secara sopan dan hikmah, dilengkapi dengan penjelasan yang ilmiah dan bijak. Allah Subhanahu wa Ta'ala mengkhabarkan kisah ini dalam al-Qur’an:

 

Dan bacakanlah di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah dia

seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi. Ketika dia berkata kepada bapanya:

 

“Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat

serta tidak dapat menolongmu sedikitpun?

Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu, oleh itu ikutlah daku, aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.

Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan,

sesungguhnya Syaitan itu menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah Rahmat-Nya.

Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman

disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah

rakan bagi syaitan di dalam neraka.” [Maksud surah Maryam 19:41-45]

 

 

 

Setelah ditegur, janganlah mengharapkan perubahan serta merta kerana manusia lazimnya sukar untuk berubah secara serta merta. Berilah mereka ruang untuk memikirkan apa yang telah dibincangkan. Perhatikan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam),

maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar ayat-ayat Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang dia beroleh aman.

Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).

[al-Taubah 9:06]

 

 

Apabila orang-orang musyrik meminta perlindungan di kalangan umat Islam, Allah tidak memerintahkan kita untuk memastikan mereka terus memeluk Islam. Sekalipun mereka melakukan kesalahan yang amat besar terhadap Allah, Allah hanya memerintahkan kita untuk menjelaskan kepada mereka tentang Islam dan kemudian membiarkan mereka di tempat yang aman, untuk memikirkan tentangnya.

 

Maka sudah tentu ibubapa kita yang lebih kecil kesalahannya berbanding ayah Nabi Ibrahim dan kaum musyrik, berhak menerima teguran yang lebih sopan, berhikmah dan bertahap-tahap.[3] Perdengarkan kepada mereka penjelasan yang ilmiah dan bijak. Jika kesalahan mereka melibatkan urusan agama, perdengarkan kepada mereka ayat-ayat al-Qur’an, hadis-hadis Rasulullah dan penjelasan para ilmuan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

Oleh itu berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran Al-Quran),

kalau-kalau peringatan itu berguna. [al-A’la 87:09]

 

 

Kemudian beri mereka ruang untuk mereka berfikir dan mengambil iktibar daripadanya. Teguran boleh diulangi pada masa-masa kemudian, namun hendaklah dikawal kadarnya agar tidak terlalu kerap sehingga membosankan.

 

Peranan anak tidak sahaja terhad kepada menegur kesalahan ibubapa, tetapi juga menasihati ibubapa dalam perselisihan yang adakalanya wujud di antara mereka. Sedangkan lidah juga tergigit, apatah lagi hubungan suami-isteri. Sebagai manusia yang biasa, hubungan antara ibu dan ayah adakalanya memiliki cabaran yang tersendiri seperti perselisihan dan pertengkaran. Maka apabila berhadapan dengan suasana seperti ini, janganlah menyisihkan diri atau menyebelahi satu pihak. Sebaliknya berusahalah sekadar mampu untuk menasihati kedua-duanya dan mententeramkan mereka berdua. Nescaya usaha murni ini akan diredhai Allah Subhanahu wa Ta'ala dan dihargai oleh kedua-dua ibu dan ayah.

 

 

Keempat: Merendahkan Diri Dengan Mendoakan Ibubapa

Sikap merendahkan diri kepada ibubapa juga diterjemahkan dalam perbuatan mendoakan mereka. Di samping doa-doa daripada al-Qur’an yang telah dikemukakan sebelum ini, kita  (anak-anak) dianjurkan berdoa berdasarkan ayat berikut:

 

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [al-Isra’ 17:24]

 

 

Membiasakan diri untuk mendoakan ibubapa akan melatih kita untuk bersikap rendah diri kepada ibubapa sehingga akhirnya memudahkan kita mempraktikkan sikap tidak mendahului mereka, bertanya dan berbincang dengan mereka dalam mengambil keputusan dan bersikap sopan lagi berhikmah dalam menegur kesalahan mereka.


 

[1] Waktu bersahur adalah beberapa minit sebelum azan Subuh dan bukan pada malam sebelumnya. Lebih lanjut tentang keutamaan bersahur dan beberapa salah faham tentangnya, rujuk buku saya berkenaan amalan-amalan di bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan yang berjudul Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2005.

[2] Perjalanan ini berlaku sebelum beliau diangkat menjadi Rasul.

[3] Seandainya di kalangan pembaca ada yang memiliki ibubapa yang masih belum memeluk Islam, berilah mereka teguran yang sama sepertimana yang saya sebutkan di atas. Pengecualian adalah anda tidak boleh mendoakan keampunan Allah kepada mereka berdasarkan firman-Nya: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka. [al-Taubah 9:113]

Akan tetapi berdoalah agar Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi hidayah kepada mereka dan memberi kekuatan serta ilmu kepada anda untuk berdakwah kepada mereka.

 

Kandungan : Top