C: Berbuat Baik Kepada Ibubapa Pada Masa Hidup Mereka.

Memaafkan  : Meminta pertolongan Allah : Memahami  : Merendahkan diri  : Mengorbankan diri

 

Kelima: Mengorbankan diri untuk ibubapa.

 

Apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan kepada kita sebagai anak-anak untuk berbuat baik kepada ibubapa, Allah tidak sekadar memerintahkan “kebaikan”, tetapi memerintahkan ihsan yang bererti kebaikan yang melebihi neraca kebiasaan. Untuk berbuat ihsan kepada ibubapa, ia memerlukan satu pengorbanan yang besar. Akan tetapi bagaimanakah hendak berkorban untuk ibubapa jika kita sendiri sibuk dengan pembelajaran, kerjaya dan keluarga sendiri?

 

Caranya adalah mengimbangi antara urusan kita sendiri dan urusan ibubapa. Pengimbangan ini boleh dibahagikan kepada tiga tahap:

 

Pertama: Tahap Kebiasaan.

Ini adalah tahap yang pertama lagi kebiasaan. Kita boleh meneruskan urusan harian sama ada belajar, kerja atau bersama keluarga. Pada waktu yang sama kita boleh berbuat ihsan kepada ibubapa dengan menjalinkan hubungan pada kekerapan yang tetap bersama mereka. Perhubungan ini boleh dilakukan melalui talifon, pesanan ringkas (SMS), surat, e-mel dan sebagainya.

 

Di sini kita hanya perlu mengorbankan sedikit wang, usaha dan masa untuk berhubung dengan ibubapanya. Lebih penting, jadikanlah perhubungan tersebut sesuatu yang tetap pada kadar yang sesuai. Antara yang dicadangkan ialah menalifon setiap seminggu sekali. Jika berjauhan, maka dicadangkan menulis surat setiap sebulan sekali.

 

Apabila berhubung, tanyakan khabar ibubapa dan bersembanglah perkara-perkara yang menggembirakan mereka. Boleh juga menceritakan kepada mereka apa yang sedang berlaku di tempat sendiri. Dalam suasana serba canggih masa kini, surat atau e-mel yang disertakan gambar terkini, sama ada berseorang atau bersama rakan dan keluarga, pasti menggembirakan mereka.

 

Saya sendiri (penulis), ketika membuat latihan juruterbang (cadet pilot’s training) di Melaka, melazimkan diri untuk menalifon rumah sekali seminggu. Pada setiap hari Isnin malam Selasa, saya sudah bersiap sedia dengan beberapa kepingan wang syiling menuju ke talifon awam. Adakalanya terpaksa menunggu beberapa ketika kerana ada pengguna lain yang sedang “bergayut dengan kekasihnya”.

 

Pada awalnya mereka (ibubapa saya) agak hairan kenapa saya menalifon, adakah saya menghadapi apa-apa masalah atau memerlukan wang poket tambahan? Saya berkata tidak, hanya sekadar menalifon dan bertanya khabar. Setelah diteruskan selama beberapa minggu, didapati mereka juga agak gembira untuk menerima panggilan saya. Jika pada awalnya talifon diangkat selepas beberapa deringan yang lama, kini ia terus diangkat setelah deringan yang pertama.

 

Perkara ini saya lakukan sehingga tamat latihan, iaitu selama kira-kira dua tahun. Sehingga kini saya masih berhubung dengan mereka pada kadar sekali seminggu. Hanya saja saya memandu untuk menziarahi mereka dan tidak sekadar menalifon.

 

Kedua: Tahap Yang Melebihi Kebiasaan.

Berbuat ihsan kepada ibubapa tidak memadai dengan panggilan talifon atau surat-menyurat sahaja. Hendaklah ia ditingkatkan kepada sesuatu yang lebih tinggi nilainya, iaitu dengan menziarahi mereka.

 

Apabila dikatakan menziarahi ibubapa, ia tidaklah sekadar balik kampung sempena hari perayaan atau hari cuti awam. Ini kerana dalam ketika tersebut, anak-anak lazimnya balik kampung bukan kerana ibubapa tetapi lebih kerana musim perayaan atau melepaskan tekanan (stress) kehidupan harian. Berapa ramai di antara kita yang balik kampung hanya memberikan tumpuan yang minimum kepada ibubapa manakala selebihnya ditumpukan untuk tidur sehingga siang hari, memancing di lombong, mandi di sungai dan berjumpa “kekasih lama” zaman persekolahan?

 

Justeru menziarahi ibubapa yang dimaksudkan hendaklah dilakukan tanpa apa-apa sebab lain kecuali untuk menziarahi mereka. Ketika menziarah, seluruh perhatian kita ditumpukan kepada mereka dengan memerhatikan apa-apa keperluan mereka. Ingat, disebabkan kasih sayang dan kegembiraan ibubapa yang menerima kunjungan kita, mereka lazimnya akan menyembunyikan apa-apa keperluan demi enggan memberatkan kita.

 

Keperluan tersebut mungkin adalah tangan sengal-sengal yang perlu diurut, ubat Panadol yang sudah habis, barangan runcit harian yang perlu ditambah, bilik air yang perlu dibasuh, laman rumah yang perlu disapu daun-daunnya, basikal yang perlu diminyakkan, bumbung rumah yang perlu ditampal atau membawa mereka berjalan, sama ada bersiar-siar “makan angin” dalam kereta sendiri atau mengunjungi sahabat handai yang lama.

 

Adakalanya keperluan tersebut adalah sesuatu yang tidak kita jangkakan. Contoh paling lazim adalah bersembang-sembang bersama ibubapa. Disebabkan kehidupan yang agak sunyi, antara perkara yang amat disukai dan dinanti-nantikan oleh ibubapa ialah seseorang untuk mereka bersembang-sembang. Maka luangkanlah masa untuk mendengar apa yang ingin mereka cerita, perasaan yang ingin mereka kongsikan dan pandangan yang ingin mereka sampaikan.

 

Menziarahi ibubapa sebagaimana yang dimaksudkan di atas hendaklah dilakukan pada kekerapan yang tertentu. Kadar yang dicadangkan adalah sekali setiap bulan, seperti pada hari Sabtu dan Ahad yang pertama setiap bulan. Jika mampu dilakukan pada kadar yang lebih kerap, sudah tentu ia adalah lebih baik.

Semua ini tentu sahaja memerlukan pengorbanan yang lebih besar daripada kita. Ia memerlukan pengorbanan kewangan seperti membayar tiket bas atau keretapi, membayar duit minyak kereta, tol dan sebagainya. Ia juga memerlukan pengorbanan masa dan tenaga dalam rangka memerhati dan memenuhi keperluan-keperluan ibubapa. Sekalipun semua pengorbanan ini nampaknya besar dan berat, ketahuilah bahawa ia masih tidak dapat menandingi pengorbanan yang pernah dilakukan oleh ibubapa kepada kita sebelum ini. Maka apa yang saya sebutkan di atas masih belum mencapai nilai ihsan yang sebenarnya, ia hanya mendekatinya.

 

Ketiga: Tahap Genting.

Menjadi ciri-ciri manusia apabila umur mereka semakin meningkat melepasi batas tertentu, kesihatan mereka semakin berkurang sehingga akhirnya meninggal dunia. Hanya batas, kadar dan jenis pengurangan tersebut yang berbeza-beza antara manusia. Ada manusia yang sentiasa sihat hingga ke umur 70, kemudian barulah kesihatannya berkurangan manakala ada manusia lain yang waktu sihatnya hanya hingga ke umur 40, kemudian mula mengalami gangguan kesihatan. Penyakit yang mengurangi kesihatan manusia juga saling berbeza-beza  seperti sakit jantung, sakit kencing manis, sakit kanser, sakit tulang, sakit lupa atau semata-mata sakit tua.

 

Semua ini adalah ciri-ciri manusia sebagaimana yang ditetapkan oleh Penciptanya, iaitu Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk

(hidup semula pada Hari Kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia)

kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih,

kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya

dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya;

 

Kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. [al-Hajj 22:05]

 

 

Ibubapa kita tidak terlepas daripada ketentuan ini. Apabila mereka melepasi umur tertentu, kesihatan mereka pasti semakin berkurang sehingga mungkin mencapai tahap kegentingan. Pada ketika inilah pengorbanan anak-anak sangat diperlukan.

 

Pengorbanan mungkin diperlukan dalam bentuk mengambil cuti kecemasan untuk membawa mereka menemui doktor, menemani mereka di wad hospital atau membawa mereka dari kampung ke rumah sendiri untuk diberi jagaan rapi 24 jam. Selain itu pengorbanan juga wujud dalam bentuk mengeluarkan belanja untuk menampung kos perubatan, “mengotorkan” tangan untuk menjaga kebersihan mereka dan bersabar dalam menghadapi apa-apa kerenah tambahan yang mungkin muncul daripada mereka.[1]

 

Semua pengorbanan di atas sudah tentu memberatkan. Oleh kerana itulah ia dinamakan “pengorbanan”. Akan tetapi cuba fikirkan, bukankah semasa kita masih kecil, ibubapa juga telah melakukan pengorbanan yang sama apabila kita sakit? Bukankah mereka juga telah mengambil cuti daripada tempat kerja untuk membawa kita berjumpa doktor, mengeluarkan belanja untuk membeli ubat dan bersikap penuh kasih sayang terhadap pelbagai kerenah kita?

 

Maka kini adalah giliran kita untuk berkorban kepada mereka. Janganlah diserahkan pengorbanan ini kepada ahli keluarga yang lain. Saling serah menyerah lazimnya menyebabkan ibubapa terbiar begitu sahaja. Sebaliknya teruslah membuka diri untuk berkorban menjaga mereka. Seandainya ahli keluarga yang lain datang membantu, anggaplah ia sebagai kemudahan tambahan.

 

Di samping itu ingin dibetulkan salah faham bahawa kononnya apabila seorang anak perempuan telah menikah, tanggungjawabnya untuk berbuat baik berpindah daripada ibubapanya kepada suaminya. Sebenarnya seorang anak perempuan tetap memiliki tanggungjawab terhadap ibubapanya sama ada dia belum atau sudah menikah. Hanya sahaja setelah bernikah, dia perlu membahagikan perhatiannya dengan adil antara ibubapanya dan suami serta anak-anaknya. Demikian juga bagi seorang anak lelaki yang sudah bernikah, dia juga perlu membahagikan perhatiannya dengan adil antara ibubapanya dan isteri serta anak-anaknya. Pada waktu yang sama masing-masing pasangan suami-isteri hendaklah saling bertimbang rasa dan berkorban seandainya salah seorang daripada mereka perlu meluangkan tumpuan yang lebih  kepada ibubapa yang memerlukannya.

 

Demikian tiga tahap bagi kita sebagai anak mengimbangi antara berkorban untuk berbuat ihsan kepada ibubapa dan meneruskan urusan kehidupan sehari-harian. Perlu diingatkan bahawa tiga tahapan yang saya sebutkan di atas hanyalah untuk mencapai berbuat ihsan kepada ibubapa pada kadar yang paling minima. Perkataan ihsan tidak memiliki batas maksima, oleh itu perbuatan ihsan kita kepada ibubapa juga tidak sepatutnya memiliki batas maksima. Justeru kita hendaklah mencari ruang tambahan yang lain untuk berbuat ihsan yang setinggi-tingginya kepada ibubapa.

 

 

[1] “Cegah Sebelum Parah”, demikian slogan yang biasa dilaungkan. Maka merupakan satu tindakan yang baik jika kita mengambil inisiatif sendiri membawa ibubapa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan (medical check up) setiap setahun sekali. Pemeriksaan yang terperinci seperti ultrasound, x-ray dan sebagainya akan dapat mengesan apa-apa penyakit pada tahap yang awal sehingga memudahkan proses perawatannya.

 

Kandungan : Top