Setiap Ibubapa Adalah Istimewa

 

Dengan segala rendah diri diakui, bahawa saya (penulis) bukanlah seorang anak yang mencapai kesempurnaan dalam berbuat baik kepada ibubapa saya. Malah mungkin lebih tepat jika dikatakan saya masih jauh daripada kesempurnaan tersebut. Saya sendiri memiliki cabaran-cabaran tersendiri yang sebahagiannya ringan dan sebahagian lagi berat. Tujuan utama penulisan buku ini adalah sebagai peringatan dan daya penggerak kepada diri saya sendiri agar lebih gigih dan sabar dalam mengharungi cabaran-cabaran tersebut.

 

Di samping itu saya juga ingin memberi peringatan dan daya penggerak kepada para pembaca sekalian untuk berbuat baik kepada ibubapa masing-masing. Ini tidaklah bererti saya menganggap para pembaca sekalian adalah anak-anak yang meremehkan ibubapa. Hanya sahaja saya menyakini bahawa para pembaca juga memiliki cabaran-cabaran tersendiri dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa. Maka mudah-mudahan buku ini juga dapat menjadi sumber peringatan dan daya penggerak kepada para pembaca sekalian agar lebih gigih dan sabar dalam mengharungi cabaran-cabaran tersebut.

 

Setiap ibubapa adalah istimewa dan tidak ada dua ibubapa yang memiliki keistimewaan yang sama. Justeru jadikanlah ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang dikemukakan dalam buku ini sebagai dasar untuk berbuat baik kepada ibubapa manakala cara mempraktikkannya dibina dan disesuaikan bentuknya mengikut keistimewaan ibubapa masing-masing. Semoga Allah Subhanahu wa Ta‘ala memudahkan usaha kita, menerima amalan kita dan mengampunkan apa-apa kesilapan dan kekurangan kita.

 

Sebelum berakhir, ingin saya ucapkan terima kasih kepada ibubapa saya, Khatijah bt. Pawanche dan Abdullah b. Elam Din, serta makcik saya Maimoonah bt. Elam Din, yang dengan segala keistimewaan mereka telah memberikan saya pengalaman dan cabaran yang amat menarik. Semoga Allah mengampuni mereka, merahmati mereka dan mengurniakan mereka ganjaran yang terbaik di dunia dan akhirat atas segala pengorbanan mereka kepada saya.

 

Tidak ketinggalan, diucapkan terima kasih kepada isteri, Maryati Mat Nasir dan rakan-rakan yang telah membantu saya dalam penulisan ini, sama ada dengan berkongsi pengalaman atau memberi cadangan pembaikan. Jazakumullah Khairan Jazilan.

 

 

Hafiz Firdaus Abdullah
Ramadhan 1426H
Oktober 2005M

 

 

Kandungan