Mencari Rahmat Allah Di Sebalik Perbezaan Pendapat

 

Oleh Hafiz Firdaus Abdullah (www.al-firdaus.com)

Kandungan  Kepelbagian Pendapat Yang Dibenarkan  Sebab-sebab berlakunya Kepelbagaian Pendapat 1 Cara mendapat Rahmat Allah 1  Kepelbagaian Pendapat Yang Dilarang Sebab Berlakunya Kepelbagaian Pendapat 2  Cara mendapat Rahmat Allah 2  Antara Persatuan Umat dan Kepelbagaian Pendapat Ini Adalah Ujian Allah

 

 

 

Kategori Kedua

 

Sebab-Sebab Berlakunya Kepelbagaian Pendapat Kategori Kedua.

Kepelbagaian pendapat dalam kategori kedua ini terhasil disebabkan oleh kesalahan dalam menentukan apakah yang menjadi pokok (ushul) dalam agama ini. Di antara kesalahan-kesalahan pokok tersebut adalah:

1.      Menjadikan para tokoh agamawan seperti syaikh, imam dan ustaz sebagai sumber pokok agama sehingga menerima apa sahaja pendapat dan hukum yang mereka keluarkan.

Ini adalah satu kesalahan kerana peranan para syaikh, imam dan ustaz adalah menyampaikan al-Qur’an dan al-Sunnah berdasarkan pemahaman sahabat dan kaedah-kaedah ilmu, bukannya menggantikan al-Qur’an dan al-Sunnah dengan teori atau kaedah tersendiri. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

 

يا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا (٥٩)

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [1]

 

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٢١)

Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyari‘atkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan oleh Allah? [2]

Oleh itu umat Islam perlu membetulkan mind set mereka terhadap para tokoh agamawan. Pembetulan yang saya maksudkan bukanlah “membuang” mereka secara total, akan tetapi membetulkan peranan mereka menjadi “penyampai” al-Qur’an dan al-Sunnah dan bukannya “pengganti” al-Qur’an dan al-Sunnah.

Demikian juga, para agamawan hendaklah menyampaikan ilmu agama secara ilmiah dan amanah. Sesiapa yang menyampaikan ajaran agama dengan hadis yang tidak diketahui sumbernya, hukum yang tidak diketahui sumber asalnya dan pendapat yang tidak diterangkan kaedahnya, tidak boleh dimasukkan ke dalam kategori “para agamawan”.

2.      Menjadikan amalan masyarakat dan adat tradisi sebagai hujah agama sehingga apa yang dilakukan oleh majoriti dijadikan dalil yang  yang mengatasi al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini juga adalah satu kesalahan kerana amalan masyarakat dan adat tradisi bukanlah hujah agama. Sikap seperti ini pernah dikritik dalam al-Qur’an:

 

َإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلا يَهْتَدُونَ (١٧٠)

     Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah”, mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya.” Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)? [3]

 

3.     Menjadikan jamaah masing-masing sebagai tujuan beragama. Ini berleretan sehingga menganggap jamaah tersendiri adalah yang paling benar dan paling baik berbanding mana-mana jamaah yang lain. Hasilnya, setiap jamaah akan ada ciri-ciri tersendiri yang dijadikan dalil agama sehingga membelakangkan al-Qur’an dan al-Sunnah.

     Sikap seperti ini merupakan satu kesalahan yang amat berat sebagaimana amaran daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

 

وَلا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (٣١)مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (٣٢)

    Dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik, Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan masing-masing). [4]

4.      Menjadikan kedudukan, kemasyhuran dan kepentingan sendiri sebagai agenda beragama, sehingga ke tahap sanggup menyampaikan pendapat atau hukum yang menyelisihi kefahaman yang benar terhadap al-Qur’an dan al-Sunnah.

     Orang yang memiliki kedudukan, kemasyhuran dan kepentingan hendaklah menyedari bahawa semua itu adalah ujian daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Maka hendaklah dia lulus ujian tersebut dengan menjadikan semua kelebihan yang Allah kurniakan untuk menegakkan kebenaran. Firman Allah:

 

فَإِذَا مَسَّ الإنْسَانَ ضُرٌّ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلْنَاهُ نِعْمَةً مِنَّا قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ بَلْ هِيَ فِتْنَةٌ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لا يَعْلَمُونَ (٤٩)

Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah dia (dengan sombongnya):

“Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.”

(Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah dia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu). [5]

Orang yang gagal dalam ujian ini adalah mereka yang menyalahgunakan kelebihan yang Allah kurniakan. Kegagalan tersebut pula berpunca daripada pelbagai penyakit hati yang dialaminya. Ketahuilah bahawa antara penyakit hati tersebut adalah hasad dengki dan inilah punca utama yang menyebabkan perpecahan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan hakikat ini:

 

َانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ

Pada mulanya manusia ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah itu mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan.

Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. [6]

 

Cara mendapat Rahmat Allah Disebalik Kepelbagian Pendapat Kategori Kedua


[1] al-Nisa’ 4:59

[2] al-Syura 42:21

[3] al-Baqarah 2:170

[4] al-Rum 30:31-32.

[5] al-Zumar 39:49.

[6] al-Baqarah 2:213. 

 

 

Kandungan  Kepelbagian Pendapat Yang Dibenarkan  Sebab-sebab berlakunya Kepelbagaian Pendapat 1 Cara mendapat Rahmat Allah 1  Kepelbagaian Pendapat Yang Dilarang Sebab Berlakunya Kepelbagaian Pendapat 2  Cara mendapat Rahmat Allah 2  Antara Persatuan Umat dan Kepelbagaian Pendapat Ini Adalah Ujian Allah