Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 13

Khutbah A:

Berkata Jabir bin ‘Abd Allah radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah berkhutbah:

             Demi sesungguhnya aku telah tinggalkan kalian sesuatu yang jika kamu berpegang kepadanya, kamu tidak akan sesat – iaitu Kitab Allah (al-Qur’an).[150]

            Khutbah  B:

            Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya Kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya.[151]

            Khutbah C:

            Berkata Zaid bin Arqam radiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam telah berkhutbah:

           "Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kalian dua perkara yang besar, yang pertama adalah Kitab Allah (al-Qur'an) di mana di dalamnya terdapat hidayah dan (cahaya) nur, maka berpeganglah kepada Kitab Allah."

           Berkata Zaid: "Beliau (Nabi) sangat memberi penekanan dan kepentingan Kitab Allah." Kemudian Rasulullah menyambung: "Dan Ahli Bait aku. Aku peringatkan kalian dengan (nama) Allah tentang Ahli Bait aku.[152]

         Jika sebelum ini telah dibahas hadis yang bercanggah kerana ditujukan kepada individu yang berbeza (contoh ke 10) dan suasana yang berbeza (contoh ke 11), maka kini akan bahas pula percanggahan yang wujud antara hadis yang ditujukan kepada individu dan suasana yang berbeza dalam satu kes yang sama.

           Di atas adalah salinan 3 khutbah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang hampir sama nadanya tetapi bercanggah pengajarannya. Dalam khutbah-khutbah tersebut, Rasulullah telah berpesan kepada umatnya untuk

[1] (Khutbah A) Berpegang kepada al-Qur'an sahaja. 
[2] (Khutbah B) Berpegang kepada al-Qur'an dan Sunnahnya.
[3] (Khutbah C) Berpegang kepada al-Qur'an dan Ahli Bait nya.

         Percanggahan antara khutbah-khutbah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di atas mudah kita atasi dengan merujuk kepada siapa dan bila Rasulullah menyampaikannya. Ketahuilah bahawa seluruh ibadah Haji Wida' Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengambil tempoh hampir 30 hari, [153] dan sepanjang tempoh tersebut baginda telah menyampaikan berbelas buah khutbah, mengajar orang ramai akan aturcara-aturcara ibadah haji, rukun-rukunnya, syarat-syaratnya dan pantang-larangnya. Selain itu beliau juga seringkali berkhutbah berupa pelbagai anjuran, pesanan, nasihat dan peringatan kepada umat.[154]

          Perlu juga diterangkan bahawa apabila dikatakan khutbah, ia tidak terbatas kepada satu suasana di mana Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam memberi ucapan di atas mimbar kepada orang ramai sebelum atau selepas solat berjemaah sahaja, tetapi khutbah ialah satu suasana di mana baginda memberi ucapan, ajaran, nasihat dan peringatan kepada sejumlah orang ramai yang bilangannya melebihi kebiasaan, pada bila-bila masa. Khutbah seperti ini di sampaikan beliau dengan berdiri, dan adakalanya di atas unta, kuda, batu atau bukit kecil supaya ia dapat didengar oleh orang ramai.

 

 

===========================

[150]         Sahih: Sebahagian dari hadis yang dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah, Muslim, Abu Daud dan lain-lain, lihat Sahih Muslim - no: 1218 (Kitab Hajj, Bab Hajj Nabi sallallahu 'alaihi wasallam).

[151]       Sahih: Dikeluarkan oleh Malik bin Anas dalam al-Muwattha' - no: 1619 (Kitab al-Jami', Bab Larangan memastikan Takdir). Berkata Malik apabila mengemukakan riwayat ini: Balghni………bererti "disampaikan kepada aku" (atau dari sudut catitan anak murid beliau sendiri: Dari Malik, disampaikan kepadanya………). Perkataan seperti ini memang khas di zaman awal Islam (sebelum 200H) menandakan bahawa seseorang itu telah menerima sesebuah hadis daripada sejumlah tabi'in, dari sejumlah sahabat dari jalan-jalan yang banyak sehingga tidak perlu disertakan sanadnya. Lebih lanjut lihat Qadi 'Iyadh Tartib al-Madarik, jld 1, ms 136; Ibn 'Abd al-Barr - al-Tamhid, jld 1, ms 34; al-Zarqani - Syarh al-Muwattha', jld 4, ms 307 dan Hassath binti 'Abd al-'Aziz Sagheir - Hadis Mursal baina Maqbul wa Mardud, jld 2, ms 456-470.

                  Hasan 'Ali al-Saqqaf dalam bukunya Shalat Bersama Nabi s.a.w. (edisi terj. dari Sahih Sifat Solat Nabi), ms 269-275 berkata bahawa hadis ini sebenarnya adalah maudhu'. Isnadnya memiliki perawi yang dituduh pendusta manakala maksudnya tidak disokongi oleh mana-mana dalil lain. Beliau menulis: Sebenarnya hadis yang thabit dan sahih adalah hadis yang berakhir dengan "wa ahli baiti" (sepertimana Khutbah C - penulis). Sedangkan yang berakhir dengan kata-kata "wa sunnati" (sepertimana Khutbah B) adalah batil dari sisi matan dan sanadnya.

               Nampaknya al-Saqqaf telah terburu-buru dalam penilaian ini kerana beliau hanya menyemak beberapa jalan periwayatan dan meninggalkan yang selainnya, terutamanya apa yang terkandung dalam kitab-kitab Musannaf, Mu'jam dan Tarikh (Sejarah). Yang lebih berat adalah beliau telah mengenepikan begitu sahaja riwayat yang dibawa oleh Malik di dalam kitab al-Muwattha'nya atas alasan ianya adalah tanpa sanad padahal yang benar al-Saqqaf tidak mengenali kaedah-kaedah periwayatan hadis yang khas di sisi Malik bin Anas dan tokoh-tokoh hadis di zamannya.

                Ketergelinciran kedua yang sangat fatal bagi al-Saqqaf adalah apabila beliau berkata maksud hadis tersebut juga batil padahal jika seseorang itu mengkaji pelbagai ayat al-Qur'an dan hadis-hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam, akan didapati sangat banyak yang memerintahkan umat untuk mentaati, mengikuti dan memegang al-Qur'an dan al-Sunnah. Bagi para pembaca yang tertanya-tanya apakah ayat dan hadis yang dimaksudkan, silalah merujuk ke mana-mana buku di pasaran tempatan yang membincangan bab Sunnah dan Bid'ah. Akan didapati dalam setiap buku tersebut terhimpun sejumlah ayat dan hadis yang penulis maksudkan. Memadai di sini penulis salinkan sepotong ayat al-Qur'anul Karim, dan perhatikanlah perintah untuk mengikuti al-Qur'an dan Sunnah dan ancaman kesesatan bagi sesiapa yang mengingkarinya:

               Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33:36]

              Dari penilaian al-Saqqaf ini kita memperoleh satu hakikat penting, iaitu terkeluarnya Hasan 'Ali al-Saqqaf dari sifat taqiyyah (berpura-pura) yang sebegitu lama beliau pertahankan. Terbuktilah bahawa beliau memang seorang Syi'ah yang berpura-pura sebagai seorang Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Apatah lagi dalam pendahuluan bukunya yang sama di atas, beliau dengan bangganya telah menghubungkan nasabnya dengan Ahli Bait Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam melalui Ja'far al-Sadiq (148H) bin Muhammad al-Baqir (114H) bin 'Ali Zainal Abidin (95H) bin Hussain (61H) bin 'Ali (40H) bin Abi Talib, radiallahu 'anhum.

               Kita Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak memiliki apa-apa prasangka terhadap Ahli Bait Rasulullah, malah kita menghormati dan memuliakan mereka. Akan tetapi kita tidak memiliki pandangan yang sama terhadap orang-orang yang menyandarkan diri mereka kepada Ahli Bait Rasulullah padahal akhlak, moral dan sikap mereka sangat-sangat negatif lagi tercela di sisi al-Qur'an dan Hadis yang sahih. Malah orang-orang seperti inilah yang banyak menabur fitnah ke atas Ahli Bait Rasulullah sallallahu 'alaihi wassalam dan kita semua berlindung kepada Allah Azza waJalla daripada tergolong sama.

                Harap para pembaca sekalian sentiasa berhati-hati dengan orang-orang seperti ini. Yang dianjurkan ialah sikap berhati-hati, bukan berburuk sangka kerana tidak semua orang Syi'ah adalah sama. Ketahuilah bahawa sifat taqiyyah adalah merupakan sesuatu yang halal lagi lazim bagi orang-orang Syi'ah, malah ianya menghampiri hukum wajib di sisi mereka dalam semua suasana. Lihat buku Gen Syi'ah: Tinjauan Sejarah, Penyimpangan Aqidah dan Konspirasi Yahudi, ms 151-160 oleh Mamduh Farhan al-Buhairi di mana konsep taqiyyah telah dibincangkan berdasarkan sumber-sumber Syi'ah sendiri

[152]      Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim - no: 2408. (Kitab Keutamaan Para Shabat, Bab Keutamaan 'Ali bin Abi Talib radiallahu 'anhu). Juga dikeluarkan oleh al-Tirmizi, al-Thabarani dan lain-lainnya sebagaimana terang dan nilai Nasr al-Din al-Albani dalam Silsilah Hadis Sahih, jld 4, ms 355-361, no: 1761. Hadis di atas masyhur dengan beberapa lafaz lain, tetapi ada sebuah yang bermaksud: Wahai manusia, aku tinggalkan bagi kalian, (apa yang) apabila kalian berpegang kepadanya, kalian tidak akan tersesat: Kitab Allah dan keturunan keluargaku (Ahli Bait). Lafaz ini khas dengan tambahan kalian tidak akan tersesat dikeluarkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, al-Thabarani dan lain-lain, dalam sanadnya terdapat kelemahan yang berpunca dari perawi yang berasal dari Kufah, Iraq. Hadis dengan tambahan lafaz ini telah dibahas secara mendalam oleh 'Ali Ahmad al-Salus dalam Ensiklopedi Sunnah Syiah, jld 1, ms 113-131. Dakwaan sesetengah bahawa ia telah diriwayatkan oleh lebih 20 orang sahabat adalah keliru, berpunca dari kegagalan untuk membezakan antara beberapa lafaz yang sedia ada.

[153]       Iaitu Nabi bertolak dari Kota Madinah pada 25 Zulkaedah (al-Bidayah wa al-Nihayah, jld 5, ms 111) dan tiba ke Kota Mekah pada 4 Zulhijjah (Sahih al-Bukhari no: 1080) dan tinggal di sana selama 10 hari penuh tanpa mengira hari tiba dan bertolak balik (Sahih al-Bukhari - no: 1081). Dalam masa 10 hari tersebut Nabi telah melengkapkan manasik-manasik hajinya. Kembali dari Mina pada 13 Zulhijjah, Nabi duduk di Kota Mekah selama 3 hari (Sahih Muslim - no: 1352-B) sebelum berangkat kembali ke Kota Madinah. Beliau dianggarkan tiba kira-kira 10 hari selepas itu, berdasarkan tempoh yang sama beliau ambil untuk bergerak dari Madinah ke Mekah pada awalnya.

[154]     Bagi rujukan lanjut lihat kitab-kitab hadis, bab Haji seperti Jami' al-Usul, jld 3, ms 1-400 oleh Ibn Athir.

 

 

 
:: al-Firdaus.com ::