Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH NO 2

Hadis A:

Berkata A‘isyah radiallahu ‘anha:     

Dan tiadalah aku melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa tepat sebulan penuh kecuali Ramadhan. Dan tiadalah aku lihat dia dalam satu bulan banyak berpuasa (kecuali dalam bulan) Sya’ban.[55].

Hadis B:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Apabila tiba pertengahan Sya’ban, maka janganlah kalian berpuasa.[56]

Hadis A dan B jelas bercanggah, di mana dalam Hadis A diterangkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam banyak berpuasa dalam bulan Sya’ban manakala dalam Hadis B, Rasulullah melarang seseorang dari berpuasa setelah melepasi pertengahan bulan Sya’ban.

Walaubagaimanapun Hadis A bertaraf sahih manakala Hadis B bertaraf daif. Maka diambil Hadis A dan diketepikan Hadis B.

  Terdapat banyak lagi hadis-hadis yang menerangkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa di bulan Sya’ban, malah beliau menyambung terus puasanya sehingga ke bulan Ramadhan. Maka sangat dianjurkan juga bagi kita untuk mengikuti sunnah yang mulia ini. Hadis B di atas tidaklah melarang seseorang itu untuk berpuasa penuh di bulan Sya’ban. Berkata al-Syaukan.[57]

Berkata jumhur ulama’, dibolehkan berpuasa sunat selepas Nisfu (pertengahan) Sya’ban kerana hadis yang melarang dari berbuat sedemikian adalah daif.[58]

Penjelasan Tambahan:

           Ingin penulis ingatkan di sini bahawa puasa di bulan Sya’ban adalah sunat manakala puasa di bulan Ramadhan adalah wajib. Maka hendaklah seseorang yang ingin berpuasa di bulan Sya’ban memerhatikan kesihatan dirinya agar tidak menjejaskan kesempurnaan puasa Ramadhannya.

Lebih dari itu, keafdalan bulan Ramadhan adalah jauh lebih mulia dari keafdalan bulan Sya’ban, maka hendaklah seseorang itu beristiqamah dalam beramal dengan mengutamakan amalan di bulan Ramadhan. Janganlah terlalu tinggi bersemangat untuk beramal di bulan Sya’ban sehingga apabila tiba bulan Ramadhan, semangat tersebut jatuh ke tahap yang minimum, yang akhirnya diterjemahkan kepada amalan tidur sepanjang hari.

Perlu diingatkan bahawa kadar kesungguhan untuk beramal adalah sesuatu yang berubah-ubah dari masa ke masa bagi setiap individu. Adakalanya ia tinggi dan adakalanya ia rendah. Ia akan naik ke satu tahap yang tinggi dan kemudian turun ke satu tahap rendah, kemudian akan naik semula dan turun semula. Makin tinggi ia diangkat maka makin rendah ia akan jatuh apabila berada di kadar rendahnya. Maka hendaklah seseorang itu memerhatikan kadar kesungguhan masing-masing. Kadar yang paling optimum ialah yang sederhana tetapi berkekalan, iaitu istiqamah.

Ingin juga ditambah, bahawa tidak terdapat sebarang hadis yang sahih yang menerangkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa atau menganjurkan puasa di bulan Rejab. Memang diketahui bahawa terdapat banyak hadis-hadis yang menganjurkan puasa di bulan Rejab bersama keutamaannya, namun semua hadis-hadis tersebut adalah sangat daif dan palsu. Maka tinggalkanlah ia.[59]

Jika hendak beramal, beramallah berdasarkan apa yang ditetapkan oleh hadis-hadis yang sahih lagi benar. Hadis yang daif boleh digunakan untuk menerangkan keutamaan beramal hanya apabila amalan tersebut telah ditetapkan oleh hadis yang sahih. Hadis yang daif tidak boleh digunakan untuk menetapkan atau mewujudkan sesuatu amalan.

             Jika seseorang itu hendak beramal dan dia dapati sudah tiada lagi amalan yang hendak dilakukan, maka ingin penulis cadangkan agar dia berubah kepada beramal untuk manfaat umat Islam pula. Rata-rata kita dapati umat Islam hanya suka beramal untuk kepentingan diri mereka sendiri, sedikit sekali yang mahu beramal untuk kepentingan umat Islam seluruhnya. Ramai umat Islam yang rajin bersolat sunat, berpuasa sunat, berumrah berulang kali dan sebagainya, sehingga ada yang mencipta dan menambah-nambah sesuatu amal ibadah yang tidak wujud pada asalnya. Akan tetapi sedikit sekali umat Islam yang mahu menegakkan amar ma‘aruf nahi mungkar, berdakwah, menyertai badan-badan kebajikan, menjadi  sukarelawan dalam mana-mana projek kemasyarakatan dan berbagai lagi yang melibatkan kepentingan ramai. Sedih sekali, inilah yang dikatakan sebagai Islam syok sendiri, pedulikan orang lain.

Marilah kita mengubah manhaj dan sikap kita dalam beramal. Beramallah untuk kepentingan umat Islam di samping kepentingan diri sendiri. Bukankah sesuatu amalan yang manfaatnya adalah untuk orang ramai adalah jauh lebih besar dan berpanjangan ganjarannya ?

 

 

===========================

[55]             Sahih: Sebahagian hadis daripada ‘A‘isyah radiallahu ‘anha, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim dan al-Firyabi (al-Siyam), juga al-Nasa’i (al-Sunan al-Kubra) dengan lafaz yang sedikit berbeza, lihat Sahih Muslim – no: 1156-4 (Kitab Puasa, Bab Puasa Nabi SAW selain Ramadhan.........).               

[56]             Daif: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq (7325), Ibn Abi Syaibah (9026), Ahmad (9668), al-Darimi (1781), Abu Daud (2237), al-Tirmizi (735), Ibn Majah (1651), al-Nasa’i (al-Sunan al-Kubra – no: 2911), al-Tohawi (Syarh Ma‘ani al-Athar – no: 3243), Ibn Hibban (3589), al-Baihaqi (7961) dan al-Khatib al-Baghdadi (Tarikh al-Baghdad, jld 8, ms 47), di atas adalah dengan lafaz Abu Daud, semuanya melalui jalan al-‘Alaa’, dari ayahnya, dari Abu Hurairah.

Status hadis ini diperselisihkan, dengan sebahagian menguatkannya manakala sebahagian lain melemahkannya. Penulis cenderung kepada penilaian kedua kerana sebab-sebab berikut:

[1]           al-‘Alaa’, nama penuhnya ialah al-‘Alaa’ bin ‘Abd al-Rahman bin Ya’kub al-Madani, seorang yang diterima di sisi kebanyakan ahli hadis, malah merupakan salah seorang perawi Sahih Muslim. Kecuali di sisi Yahya bin Ma’in, di mana beliau berkata: Hadisnya tidak dapat dijadikan hujah. (al-Mizzi – Tahzib al-Kamal – perawi no: 4577) manakala dalam satu riwayat lain beliau berkata: Hadisnya bercampur aduk (al-‘Uqaili – al-Dhu‘afa’ al-Kabir – perawi no: 1369).

[2]         Maksud hadis yang tidak selari dengan lain-lain hadis yang sahih dalam bab ini, yang menerangkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa secara berterusan sehingga ke bulan Ramadhan. Justeru berkata Ahmad bin Hanbal sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud: Hadis ini mungkar (al-Baihaqi – al-Sunan al-Kubra, jld 4, ms 353). Beliau juga berkata sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Nasai: al-‘Alaa’ bin ‘Abd al-Rahman thiqah, tidak diingkari hadis-hadisnya kecuali yang ini. (dinukil oleh al-Nawawi dalam Majmu Syarh al-Muhazzab, jld 6, ms 292). Berkata al-Dzahabi: Tidaklah turun hadis (yang diriwayatkannya) dari darjat hasan, akan tetapi disisihkan apa yang bertentangan darinya (Siyar A’lam al-Nubala, jld 6, ms 187).

             Penulis berkata, sifat thiqah al-‘Alaa’ bin ‘Abd al-Rahman hanya dapat digunakan apabila beliau meriwayatkan sebuah hadis yang selari dengan hadis-hadis lain yang sahih. Dalam Hadis B di atas, ia nampaknya berasingan (tafarrud) dari pelbagai hadis-hadis lain yang sahih. Hal ini sepertimana yang dimaksudkan oleh Ahmad apabila beliau berkata Hadis ini mungkar, di mana definisi mungkar yang dimaksudkan beliau ialah hadis yang berasingan dari lain-lain hadis yang sahih. Kedudukan al-‘Alaa’ sebagai salah seorang perawi Sahih Muslim tidaklah secara automatik menjadikan semua hadis-hadis yang diriwayatkan olehnya menjadi sahih. Perlu dibezakan antara perawi Sahih Muslim dan hadis Sahih Muslim di mana yang pertama hanya merujuk kepada kedudukan beliau sebagai seorang perawi manakala yang kedua merujuk kepada hadis-hadis yang dibawanya. Kerana itu kita dapati Imam Muslim tidak menyenaraikan hadis ini di dalam kitab Sahihnya. Berkata al-Suyuti dalam Syarh Tadrib al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, ms 86: Hadis ini ditinggalkan oleh Muslim kerana bersendiriannya al-‘Alaa’ padanya, dan ia seolah-olah membatalkan banyak hadis-hadis yang lain.

     Oleh itu hadis ini adalah daif, atau yang tepat ia adalah Hadis syadz, iaitu suatu hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang terpercaya (thiqah) tetapi matan atau sanadnya menyalahi riwayat daripada perawi lain yang lebih kuat daripadanya.

         Perbandingkan dengan keterangan Syu‘aib al-Arna’uth dalam notakaki Siyar A’lam al-Nubala, jld 6, ms 187 dan Abu ‘Ashim Nabil bin Hashim al-Ghumari – Fath ul-Manan: Syarh wa Tahqiq al-Musnad al-Jamii’ al-Darimi, jld 7, ms 363-364.

[57]            Beliau ialah Muhammad bin ‘Ali bin Muhammad al-Syaukani, seorang mujtahid Islam di kurun ke 13 Hijrah. Berasal dari Yaman, beliau dari awal telah mempelajari pelbagai ilmu-ilmu Islam sehingga akhirnya mendudukkan dirinya sebagai seorang mujtahid. Telah mengarang banyak risalah dan kitab dalam pelbagai jurusan Islam seperti aqidah, tafsir, fiqh, hadis,adab dan lain-lain. Meninggal dunia pada tahun 1250H, manakala ada juga riwayat yang menyebut 1252H dan 1255H.

[58]             Nail al-Authar, jld 3, ms 243. Perbandingkan dengan keterangan al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld 6, ms 292-293.

[59]              Disyorkan mengkaji buku ‘Abd al- Ghani Azmi bin Hj. Idris (2000M) yang berjudul Amalan Bid‘ah pada bulan Muharram, Rejab, Sya’ban dan Ramadhan (al-Hidayah, Kuala Lumpur 1995).

 
:: laman utama