Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 7

Hadis A:

Berkata Abu Sa‘id al-Khudri radiallahu ‘anhu: Kami bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tentang al-‘Azal. Beliau menjawab:

Lakukanlah apa yang bersesuaian dengan kamu. Apa yang Allah telah tetapkan tetap akan berlaku dan tiadalah dari seluruh air (mani) itu akan terjadi seorang anak.[112]

Hadis B:

Berkata Judama binti Wahb radiallahu ‘anha: Bertanya seseorang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tentang ‘azal. Beliau menjawab:

Yang demikian itu adalah menanam kehidupan secara tersembunyi.[113]

Nampaknya Hadis A dan B di atas saling bercanggah, Hadis A membenarkan ‘azal manakala

Hadis B melarangnya. al-‘azal ialah perbuatan mengeluarkan kemaluan lelaki dari vagina wanita ketika sedang berjimak agar air mani tidak masuk ke dalam vagina tetapi tertumpah keluar. Dalam erti kata lain ia adalah satu bentuk “perancangan keluarga” di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.

Antara Hadis A dan B di atas, kedua-duanya adalah hadis sunnah Qauliyah. Maka bagaimanakah dihilangkan percanggahan di atas ?

Antara kaedah al-Jam‘u terhadap dua hadis yang bertentangan adalah mentakwilkan salah satu dari hadis tersebut. Pengertian takwil di sisi syari‘at ialah: Memalingkan erti zahir lafaz kepada pengertian lain, selagi pemalingan erti tersebut dipandang sesuai dengan al-Qur’an dan al-Sunnah.[114]  Ia juga diertikan sebagai: Iaitu membawa erti lafaz kepada erti lain, selain dari pengertian zahir yang ditunjukkannya, sejauh hal tersebut memungkinkan baginya.[115]

Untuk mentakwil sesuatu lafaz, terdapat 2 syarat umum yang perlu dipenuhi terlebih dahulu:

[1] Hendaklah lafaz yang ditakwil tersebut memiliki dua makna, makna lazim dan makna tidak lazim.

[2] Terdapat dalil yang kukuh yang mendukung pemalingan makna dari yang lazim kepada tidak lazim. Dalil tersebut boleh terdiri daripada nas, ijma’, qiyas atau hikmah.[116]

Antara Hadis A dan B, nampaknya Hadis B mencukupi syarat-syarat untuk ditakwilkan maknanya. Ini adalah kerana lafaz ……menanam kehidupan secara tersembunyi…… memiliki dua makna, makna yang lazimnya adalah pembunuhan yang tersembunyi daripada pandangan mata kasar manakala makna yang tidak lazim adalah ia merupakan penghalang kepada permulaan satu kehidupan baru.[117]

Dalil-dalil yang menyokong pemalingan makna ini adalah:

[1] Hadis A yang menyelisihinya, di mana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam jelas membenarkan ‘azal. Selain Hadis A terdapat beberapa hadis lain, antaranya ialah daripada Jabir bin ‘Abd Allah radiallahu ‘anhu:

Adalah kami mempraktikkan ‘azal semasa zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Perkara ini sampai ke pengetahuan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan beliau tidak melarang kami.[118]

[2] Dalam al-Qur’an, telah diterangkan bahawa air mani akan melalui beberapa peringkat sebelum ia disempurnakan sebagai satu makhluk atau kehidupan. Firman Allah Azza wa Jalla:

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku, lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah (sebagai) sebaik-baik Pencipta. [al-Mu’minun 23: 12-14]

Maka jika air mani tersebut belum mencapai peringkat-peringkat di atas, malah tidak sempat memasuki rahim wanita untuk disenyawakan, maka bagaimana mungkin ia dapat dikatakan sebagai pembunuhan satu nyawa ? Sudah tentu tidak. Melainkan “pembunuhan” yang dimaksudkan dalam Hadis B adalah penghalang kehidupan. Hukumnya tidak sama seperti membunuh sesuatu yang bernyawa.

Mujahid [119] menerangkan bahawa mereka pernah bertanya kepada ‘Abd Allah ibn Abbas radiallahu ‘anhu tentang ‘azal. Lalu Ibn ‘Abbas menyuruh mereka bertanya kepada orang lain dan kemudian kembali kepadanya. Orang-orang tersebut kembali dan nampaknya mereka mendapat jawapan bahawa ‘azal adalah satu bentuk pembunuhan. Mendengar jawapan itu Ibn ‘Abbas membaca firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku, lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah (sebagai) sebaik-baik Pencipta. [al-Mu’minun 23: 12-14]

Lalu berkata Ibn ‘Abbas: Bagaimana ia (‘azal) dikatakan sebagai satu penanaman hidup-hidup sehinggalah (sebelum)ia mencapai bentuk / peringkat ini ?[120]

Maka dengan dua petunjuk di atas, terpalinglah makna pembunuhan yang tersembunyi daripada makna yang lazim kepada makna yang tidak lazim, iaitu suatu penghalang kepada kehidupan. Dan dengan ini juga Hadis A tidaklah bercanggah dengan Hadis B, kedua-duanya membawa erti bahawa ‘azal hukumnya adalah makruh, ianya dibolehkan tetapi tidak digalakkan.[121]

 

 

===========================

[112]         Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam semakannya ke atas Musnad Ahmad – no: 11376 (Musnad Abu Sa‘id al-Khudri, haddathana Waki‘i dari Yunus bin ‘Amru.......). Hadis ini juga memiliki kebenaran ilmiah, di mana apabila baginda Nabi menyebut: Dan tiadalah dari seluruh air (mani) itu akan terjadi seorang anak – ia terbukti dengan penemuan sains masa kini bahawa dalam setitik air mani terkandung berjuta-juta sperma dan hanya satu darinya sahaja yang akan membentuk seorang anak. Mustahil seorang yang hidup 1400 tahun yang lalu dapat mengetahui hal ini semata-mata berdasarkan ijtihadnya melainkan ia sebenarnya adalah salah satu bentuk ilmu yang diwahyukan Allah kepada Rasul-Nya Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.


[113]        
Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim dan al-Dailami, lihat Sahih Muslim – no: 1442-1 (Kitab Nikah, Bab Kebolehan bersenggama dengan ibu yang menyusu dan ketidaksukaan kepada ‘azal).

[114]         Muhammad al-Jurjani – Kitab al-Ta’rifat, ms 50, dinukil daripada Muqaranah Mazahib fil Ushul, ms 195-196 oleh Romli SA.

[115]          Abd al-Karim Zaidan – al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, ms 343.

[116]        Sila rujuk mana-mana kitab usul fiqh dalam bab ini, di atas adalah ringkasan daripada beberapa perincian yang ada dalam bab ini.

[117]         Lihat keterangan Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, jld 10, ms 381 dan seterusnya (Kitab Nikah, Bab al-‘Azal).

[118]         Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, Abi Uwanah dan al-Baihaqi, lihat Sahih Muslim – no: 1440-2 (Kitab Nikah, Bab Hukum al-‘Azal).

[119]           Beliau ialah Mujahid bin Jabr, Abu al-Hajjaj al-Makki, seorang anak murid kepada salah seorang sahabat yang pakar dalam bidang tafsir al-Qur‘an, iaitu ‘Abd Allah ibn Abbas radiallahu ‘anhu. Beliau sendiri kemudiannya menjadi ahli tafsir yang terkemuka di zamannya. Meninggal dunia pada tahun 104H.   

[120]       _ _ _ _: Dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq dalam Musannaf – no: 12570 daripada (Sufyan) al-Thauri, daripada (Sulaiman) al-‘Amasyh, daripada Abd al-Malik bin Maisarah, daripada Mujahid, dia berkata, kami bertanya....... . Saya berkata, para perawinya adalah thiqah, al-Thauri dan al-Amasyh adalah perawi mudallis daripada kitab sahih. Hanya sahaja setakat ini saya tidak temui bukti bahawa al-‘Amasyh pernah mendengar daripada Abd al-Malik. Oleh itu saya menangguhkan sebarang ketentuan terhadap status riwayat ini. Ia juga dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra – no: 14099 dengan jalan yang sama, dan beliau mendiamkannya. Ibn Rejab al-Hanbali dalam Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, ms 61 (syarah hadis no: 4) telah mengemukakan riwayat yang seumpama daripada ‘Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu, tetapi Ibn Rejab tidak mengemukakan sanadnya secara lengkap. Oleh itu saya tidak dapat menyemak riwayat ini dan tidak juga dapat menjadikan ia syawahid bagi menguatkan riwayat Ibn ‘Abbas di atas.

[121]          Antara yang menghukumnya makruh atau tidak disukai adalah al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Deen (edisi terj: Jiwa Agama), jld 2, ms 431-436 dan al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, jld 5, ms 356. Lihat juga Zaad al-Ma‘ad , jld 8, ms 140 oleh Ibn al-Qayyim dan Nail al-Authar, jld 4, ms 282-286 oleh al-Syaukani. Ada sebuah buku khas yang ditulis oleh Abdel Rahim Omran dalam bab ini: Family Planning in the Legacy of Islam, silalah mendapatkannya.

 

 
:: laman utama