Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 8

            Hadis A:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Tidak akan masuk para malaikat dalam rumah yang ada anjing, dan tidak juga yang ada patung.[126]

Hadis B:

Berkata A‘isyah radiallahu ‘anha:

            Sesungguhnya aku biasa bermain dengan anak-anak patung aku di sisi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Apabila rakan-rakan aku datang (untuk bermain sama) mereka beralih pulang kerana takut kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memanggil mereka kembali (untuk bermain-main) dengan aku.[127]

Hadis A menerangkan bahawa para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada patung di dalamnya. Ia menunjukkan bahawa menyimpan patung dan anjing di dalam rumah adalah suatu perbuatan yang tidak diredhai oleh Islam. Akan tetapi Hadis B pula menerangkan bahawa A‘isyah radiallahu ‘anha, salah seorang isteri Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, biasa bermain-main dengan anak-anak patung di dalam rumahnya. Rasulullah hadir bersama dan tidak pula menghalang, malah menjemput rakan-rakan A‘isyah untuk datang bermain sama. Nampaknya berlaku percanggahan antara Hadis A dan Hadis B.

Jika diperhatikan benar-benar Hadis A, akan didapati bahawa yang dilarang adalah al-Tamathil iaitu patung (statue) yang diukir dari batu, kayu atau apa-apa objek keras lainnya. Ini sudah tentu berbeza dari anak patung (playing doll) yang dijadikan mainan oleh kanak-kanak yang di zaman itu diperbuat daripada jahitan kain dan sebagainya.

             Islam tidak meredhai umatnya menyimpan patung di dalam rumah kerana ia mirip kepada sembahan-sembahan yang biasa dipertuhankan oleh orang-orang kafir. Sekalipun seseorang itu tidak menganggap patung tersebut sebagai tuhan dan tidak menyembahnya, ia tetap ditegah kerana Islam bukan sekadar melarang seseorang dari melakukan syirik tetapi ia juga menghalang dan menutup segala jalan-jalan yang mengarah, menyerupai dan memiliki unsur syirik. Lebih dari itu malaikat juga enggan memasuki rumah yang mempunyai patung di dalamnya dan ketiadaan para malaikat menjauhkan rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

               Akan tetapi Islam sedia memberi kelonggaran dan kemudahan hukum kepada anak-anak kecil yang memiliki patung sebagai alat mainan kerana bagi anak-anak, patung-patung tersebut tidaklah memiliki sebarang nilai sembahan kecuali sekadar alat mainan sahaja.[128]

              Di zaman kini agak sukar dibezakan antara patung (al-Tamathil) yang dibenarkan atau dilarang kerana ia kini diperbuat dari pelbagai bahan-bahan yang berbeza dengan zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Ada patung dari aloi logam, bahan gentian plastik, kaca dan sebagainya. Maka langkah terbaik lagi selamat ialah tidak menyimpan patung-patung tersebut sama ada dalam rumah, pejabat, kereta atau di mana-mana sekalipun.

Dalam contoh kesembilan ini, percanggahan antara dua hadis telah dapat kita atasi dengan memerhatikan benar-benar objek yang dilarang. Sememangnya kadang-kala dua hadis nampak bercanggah tetapi jika dikaji benar-benar, percanggahan tersebut dapat dihilangkan tanpa sebarang bentuk pentakwilan, tetapi adalah dengan memisahkan maksud atau tujuan sebenar antara kedua hadis tersebut.

 

===========================

[126]         Sahih: Hadis daripada Abu Talha al-Ansari, dikeluarkan oleh Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2106-5. (Kitab Pakaian dan Perhiasan, Bab Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada anjing, gambar.......).

[127]        Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim dan al-Thabarani (al-Mu’jam al-Kabir), lihat Sahih Muslim – no: 2440. (Kitab Keutamaan Para Sahabat, Bab Keutamaan ‘A‘isyah radiallahu ‘anha).

[128]        Lihat Halal dan Haram dalam Islam, ms 109-116 oleh Yusuf al-Qaradhawi.

 
:: al-Firdaus.com ::