K  a  e  d  a  h
Memahami Hadis-hadis 
M u s y k i l .

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman

Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4  || contoh 5 || contoh 6 || contoh 7 || contoh 8 || contoh 9 || contoh 10|| contoh 11 || contoh 12

 

D: Hadis-hadis musykil dari sudut logika dan norma-norma agama.

Contoh no: 12

Allah “turun” ke langit dunia.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Tuhan kami (Allah) Tabaraka wa Ta‘ala pada setiap malam turun ke langit dunia, yakni pada baki terakhir satu pertiga malam. Maka Allah berfirman: “Siapakah yang sedang berdoa kepada aku supaya dapat aku menjawabnya dan siapakah yang sedang meminta daripada aku supaya aku dapat mengabulkannya dan siapakah yang sedang meminta ampun daripada aku supaya dapat aku ampuni dia ?”[1]

Kemusykilan:

Sedia difahami bahawa hadis di atas menerangkan betapa tinggi dan besar keutamaan beribadah di malam hari (Qiamulail). Akan tetapi apakah yang dimaksudkan dengan Allah “turun” , adakah ianya seperti turunnya manusia dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah ?

Penjelasan:

Sifat “turun” dalam hadis di atas termasuk salah satu nas yang mengkhabarkan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kita tidak diwajibkan mahupun dituntut untuk membahas bagaimana dan seperti apa sifat-sifat tersebut kerana kita tidak memiliki ilmu dalam bidang ini walau sedikit sekalipun. Kewajipan kita hanyalah mensuci dan mengagungkan sifat-sifat Allah (tanzih) daripada menyerupai mana-mana makhluknya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.” [al-Ikhlas 112:4]

Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al-Syura 42:11]

Nas-nas al-Sifat termasuk al-Mutasyabihats yang dimaksudkan oleh Allah dalam firman-Nya:

Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur'an) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat itulah pokok-pokok isi Al Qur'an dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat.

Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari ta'wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta'wilnya melainkan Allah.

Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: “Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami.” Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal. [‘Ali Imran 3:07]

Justeru kaedah yang digunakan dalam memahami nas-nas al-Sifat adalah beriman kepadanya sebagaimana ada tanpa bertanya bagaimana dan seperti apa. Apabila dikatakan “Allah turun” maka ia hanyalah satu istilah di mana ciri-ciri dan bagaimana tata caranya tidak diketahui. Yang pasti ia tidak seumpama dengan mana-mana makhluk yang wujud di alam ini. Dalam ertikata lain beriman dengan istilah manakala maksudnya diserahkan kepada Allah.

Al-Ghazali, seorang tokoh dunia Islam yang masyhur dengan kitabnya Ihya Ulum al-Din telah menggariskan 7 kaedah untuk memahami nas-nas al-Sifat. Beliau berkata:[2]

Setiap orang yang menerima hadis-hadis tersebut (yang membicarakan al-sifat) dalam perspektif orang awam, harus melalui 7 kaedah: (1) Penyucian (tanzih), (2) membenarkan (tashdiq), (3) pengakuan akan kelemahan diri, (4) diam (tidak memberikan komentar), (5) menahan diri untuk tidak membahas, (6) mengendalikan diri, (7) kemudian menyerahkan masalahnya kepada orang yang ahli (ahl makrifat).

Seterusnya al-Ghazali menerangkan satu persatu daripada 7 kaedah yang disebutnya:

[1]       Maksud penyucian adalah menyucikan Allah Ta‘ala dari sifat-sifat berjisim dan segala yang seumpamanya.

[2]      Maksud tashdiq adalah beriman dengan apa yang disabdakan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa ia adalah benar kerana hal itu dikemukakan oleh orang yang jujur lagi benar. Maka apa yang dikemukakan dan dimaksudkan adalah benar.

[3]      Maksud pengakuan terhadap kelemahan diri adalah mengakui bahwa pengetahuan tentang apa yang dikehendaki (oleh Allah Ta‘ala dengan sifat-sifat tersebut) adalah di luar batas kemampuan dirinya dan kerana hal itu bukanlah merupakan urusan dan pekerjaannya.

[4]      Maksud berdiam diri adalah tidak perlu bertanya tentang maknanya dan tidak akan memperbincangkannya kerana dia tahu bahwa menanyakan masalah tersebut adalah tindakan bid‘ah dan memperbincangkan masalah tersebut akan membahayakan aqidahnya malah kemungkinan besar tanpa disedari menjadikan orang yang memperbincangkannya kufur.

[5]      Maksud menahan diri untuk tidak membahas adalah tidak mengubah kata-kata tersebut (tashrif), menggantikan dengan bahasa lain, menambah, mengurangi, memadukan dan memisah-misahkannya.  Bahkan tidak seharusnya berkata kecuali dengan kata-kata itu sahaja sesuai dengan apa yang dikehendaki dari bentuk dan I’rab-nya.

[6]      Maksud mengendalikan diri adalah mengawal hati dan sangkaan (imaginasi) daripada berfikir-fikir tentangnya (nas-nas al-Sifat tersebut).

[7]      Maksud menyerahkan masalahnya kepada orang yang ahli adalah tidak berkeyakinan bahwa ia (nas-nas al-Sifat) tidak mampu diketahui maksudnya oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, para Nabi, para siddiqin dan para wali.[3]

Kembali kepada hadis “Allah turun”, bagaimana dan seperti apa turunnya Allah tidak diketahui dan tidak perlu diketahui. Yang pasti ianya berbeza sama sekali dengan sifat turun para makhluk-Nya. Berkata Ibn Hazm: Dan sesungguhnya Allah Ta‘ala Dia turun pada setiap malam ke langit dunia dan ini adalah satu perbuatan yang dilakukan oleh (Allah) ‘Azza wa Jalla tanpa adanya arah mahupun perpindahan (dengan mengosongkan satu tempat kepada mengisi tempat yang lain)[4] … … … kerana arah dan perpindahan adalah dua sifat makhluk, Maha Suci Allah daripadanya (bersifat seperti makhluk).[5]

Yang penting dalam memahami ayat-ayat dan hadis-hadis yang mengkhabarkan sifat Allah adalah memahami tujuan sifat tersebut dikhabarkan dan bukannya tentang sifat itu sendiri. Maka dalam hadis “Allah turun” di atas, yang penting adalah memahami tujuan hadis itu disampaikan yakni untuk menerangkan betapa mulianya kedudukan beribadah di malam hari. Tidak dituntut untuk membahas bagaimana tata cara “turun” tersebut.


 

[1]              Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Malik, Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 758 (Kitab Solat, Bab Anjuran berdoa dan berzikir di akhir malam........).

[2]              Iljam al-Awam ‘an Ilmu al-Kalam (tahqiq: Muhammad Mu’tashim biLlah; Dar al-Kitab al-‘Arabi; Beirut 1985), ms 53-54.

[3]              Yakni serahkan masalah ini kepada orang yang ahli di mana mereka sendiri akan menasihatkan orang yang bertanya dengan kaedah 1 hingga 6 di atas. Dalam bukunya yang sama al-Ghazali menerangkan bahawa mereka yang ahli mungkin mengetahui maksudnya tetapi ia tetap merupakan dugaan dan sebaiknya ditinggalkan perbahasan tentangnya. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang paling mengetahui tentang hal ini tetapi baginda sendiri tidak membahasnya. Justeru jika baginda tidak membahasnya apakah perlu untuk umat baginda membahasnya ? Pastit tidak.

[4]              al-Muhalla bi al-Athar (tahqiq’’Abdul Ghaffar Sulaiman; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn.), jld 1, m.s. 51, masalah no: 57 (Kitab Tauhid).

[5]              al-Muhalla, jld 1, m.s. 52, masalah no: 57.

 

 
 

Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis