K  a  e  d  a  h
Memahami Hadis-hadis 
M u s y k i l .

Hafiz Firdaus Abdullah

 
 

Sains :: Perubatan :: Wanita :: Logika & Agama :: Akhir Zaman

Pengenalan || Contoh 1 || Contoh 2 || Contoh 3 || contoh 4  || contoh 5 || contoh 6 || contoh 7 || contoh 8 || contoh 9 || contoh 10|| contoh 11 || contoh 12

 

D: Hadis-hadis musykil dari sudut logika dan norma-norma agama.

Contoh no: 6

Sesiapa menghafal 99 nama Allah akan masuk syurga.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama, seratus kurang satu, sesiapa yang menghitungnya (menghafalnya) akan masuk syurga.[1]

Kemusykilan:

Benarkah hanya dengan menghafal nama-nama Allah sahaja, seseorang itu akan masuk syurga ?

Penjelasan:

Hadis di atas termasuk dalam kumpulan hadis-hadis Fadhilat, iaitu yang menerangkan keutamaan mengamalkan sesuatu perkara yang baik atau meninggalkan sesuatu perkara yang buruk. Sesiapa yang mengamalkan hadis-hadis fadhilat akan memperoleh ganjaran yang dijanjikannya dengan syarat:

Pertama:

Seseorang itu terlebih dahulu melengkapkan dirinya dengan asas-asas yang membentuk dasar Islam seperti berpegang teguh kepada Rukun Iman yang enam dan Rukun Islam yang lima, tidak menyekutukan Allah dengan apa jua, tidak menderhakai ibubapa, tidak menyakiti sesama umat, tidak memecahkan kesatuan (jamaah) umat Islam, keluar berjihad apabila suasana mewajibkannya dan pelbagai lagi.

Seseorang yang melengkapkan dirinya dengan dasar-dasar agama maka dia akan memperolehi syurga. Sesiapa yang mengamalkan hadis-hadis fadhilat tetapi tidak melengkapkan dirinya dengan dasar-dasar agama maka dia tidak akan memperolehi syurga. Sesiapa yang melengkapkan dirinya dengan dasar-dasar agama dan pada waktu yang sama mengamalkan hadis-hadis fadhilat maka dia akan memperoleh syurga dengan lebih mudah dan pantas dan akan dianugerahkan beberapa ganjaran tambahan yang lain. Dalam ertikata lain, mengamalkan hadis-hadis fadhilat adalah suatu bonus di atas modal yang sedia ada.

Kedua:

Mengamalkan hadis-hadis fadhilat bukanlah seperti apa yang zahir dari hadis-hadis tersebut tetapi adalah berdasarkan sebab, maksud dan tujuannya. Sebagai contoh, sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesiapa yang membaca: “Qul huwalLahu Ahad” (surah al-Ikhlas) sepuluh kali maka Allah membina untuknya sebuah rumah di syurga.[2]

Membaca di sini bukanlah membaca sepertimana kita membaca akhbar tetapi adalah bacaan yang dengannya dapat meneguhkan akidah, memantapkan tauhid, menguatkan iman dan menafikan sebarang anggapan buruk terhadap Allah ‘Azza wa Jalla. Hanya melalui bacaan seperti ini seseorang itu akan memperoleh ganjaran yang dijanjikan.

Kita sama-sama tahu bahawa syurga itu bukanlah sesuatu yang mudah semudah membaca sesuatu, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

 Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu ? [al-Baqarah 2:214].

Demikianlah dua syarat penting yang perlu diketahui seseorang apabila dia berinteraksi dengan hadis-hadis fadhilat.

Kembali kepada hadis yang dipersoalkan, adalah benar kata-kata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa seseorang yang menghafal 99 nama Allah ‘Azza wa Jalla, dia akan masuk syurga. Namun maksud hadis di atas bukanlah menghafal dan mengetahui nama-nama itu semata-mata tetapi yang dimaksudkan ialah berusaha untuk berakhlak dan melaksanakan nama-nama tersebut dalam kehidupan seharian.

Contohnya, hendaklah kita bersifat penyayang sesama makhluk sebagaimana sifat Maha Penyayang Allah (al-Rahman), bersifat adil sesama makhluk sebagaimana sifat Maha Adil Allah (al-‘Adil), menjadi seseorang yang berilmu dan memanfaatkannya kepada orang ramai sebagaimana sifat Allah yang Maha Tahu (al-‘Alim), bersifat penyabar sebagaimana sifat Allah yang Maha Penyabar (al-Sobur) dan bersifat memberi maaf atas kesilapan orang lain sebagaimana sifat Allah yang Maha Pemaaf (al-Ghaffar). Demikianlah dengan nama-nama Allah ‘Azza wa Jalla yang seterusnya.[3]


 

[1]              Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 7392 (Kitab Tauhid, Bab Sesungguhnya Allah memiliki 100 nama kurang satu). Dalam kurungan adalah salah satu daripada lafaz Muslim, lihat Sahih Muslim – no: 2677.

[2]              Sahih: Hadis daripada Mu‘adz bin Anas radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad dan dinukil serta dinilai dha‘if oleh al-Suyuti dalam al-Jamii’ al-Sagheir – no: 8946. Namun Nasr al-Din al-Albani menilainya sahih berdasarkan beberapa hadis lain yang semakna yang menguatkannya, lihat Silsilah Hadits Shahih – no: 589.

[3]              Untuk mengetahui maksud dan cara melaksanakan nama-nama Allah tersebut, disyorkan mengkaji buku berikut:

[1]           Ibn Qayyim al-Jauziyah: Asma-ul Husna – Nama-nama Indah Allah (terj: Samson Rahman; Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2001).

[2]           Muhammad Quraish Shihab: Meyingkap Tabir Illahi: Asma al-Husna dalam Perspektif al-Qur’an  (Lentera Hati, Jakarta 1998).

Diwaktu yang sama boleh ditinggalkan buku-buku yang memberi sekian-sekian fadilat palsu kepada sesiapa yang berzikir nama-nama Allah dengan kaedah dan jumlah yang tertentu. Adapun menyebut nama-nama Allah dalam bentuk lagu atau nasyid, bagi penulis adalah tidak mengapa jika ia dilakukan atas tujuan memudahkan ingatan dan perlaksanaan nama-nama tersebut dalam kehidupan harian.

 

 
 

Kata Pengantar :: Isi Kandungan :: Kata Penutup :: Indek Hadis