Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah

(Buku 3)

 

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah

 

Indeks

 

Maklumat Buku

 

Kata Pengantar

 

Tajuk 1

 

Tajuk 2

 

Tajuk 3

 

Tajuk 4

 

Tajuk 5

 

Tajuk 6

 

Tajuk 7

 

Tajuk 8

 

Tajuk 9

 

Tajuk 10

 

 

 

Penyelesaian Rabbani Bagi Masalah Ekonomi

oleh: Shabnam Mokhtar & Siti Manisah Ngalim

 

1.Ekonomi dan Permasalahannya

Ekonomi secara amnya bermaksud kajian tentang bagaimana sumber yang terhad sepatutnya dibahagi dan diuruskan.[1] Ia juga berkaitan dengan kajian tentang pilihan yang dilakukan oleh manusia untuk hidup dalam sumber yang kekurangan/terhad.[2] Daripada kedua-dua definisi ini, dapat disimpulkan bahawa ekonomi itu berkaitan dengan dua perkara iaitu sumber yang terhad dan kehendak manusia terhadap sumber tersebut.

Teori ekonomi pula ditakrifkan sebagai analisis tabiat/perlakuan manusia yang bersangkutan dengan peruntukkan/pembahagian sumber yang ada kepada pelbagai kegunaan yang berpotensi. Inilah yang menjadi punca kepada masalah ekonomi iaitu bagaimana harus manusia memenuhi kehendak yang tidak terbatas mengikut pilihan mereka sedangkan sumber yang ada adalah terhad.

Setiap jalan penyelesaian kepada permasalahan asas ekonomi ini akan membentuk satu sistem yang dipanggil sistem ekonomi. Solusi yang diberikan dari negara barat umumnya dapat dirangkumkan kepada dua sistem ekonomi yang utama: Sistem Kapitalis dan Sistem Sosialis. Tidak dapat dinafikan pelbagai usaha telah diambil untuk menyelesaikan masalah ini namun sehingga hari ini, tidak ada penyelesaian yang dapat mengatasi masalah ini secara keseluruhan.[3]

Sebagai satu sistem hidup yang syumul, apa pula pandangan Islam terhadap masalah sumber dan kehidupan manusia ini? Apakah saranan yang terdapat dalam intipati ajaran Islam itu sendiri membolehkan manusia menyelesaikan masalah ini? Untuk menjawab persoalan–persoalan tersebut, penulis akan bermula dengan sejarah kelahiran sistem ekonomi konvensional serta solusi yang dicadangkan. Kemudian penulis akan membincangkan secara ringkas prinsip asas Islam dan kesannya keatas ekonomi. Akhir sekali penulis akan menyampaikan penyelesaian yang disarankan dalam Islam dan prasyarat yang perlu dipenuhi oleh umat bagi merealisasikan penyelesaian ini insha’Allah.

 

2.Sejarah Kelahiran Sistem Ekonomi Konvensional

Memahami sejarah kelahiran sistem ekonomi konvensional akan membantu pembaca memahami motif dan solusi setiap sistem ekonomi tersebut insha’Allah. Kejatuhan Bandar Constantinapole (Istanbul) ke tangan Kerajaan Turki Utmaniyyah pada kurun ke-15 merupakan detik penting dalam sejarah Eropah kerana ia menandakan kejatuhan Kerajaan Rom yang beragama Kristian.

Sewaktu peperangan ini, sebahagian rakyat Rom telah melarikan diri ke Itali dan membawa bersama mereka penulisan lama (ancient text) zaman Yunani (Greek). Penulisan Greek ini pula seterusnya mencetuskan “Rennaisance dan Reformation” di Eropah[4] akibat ketidakpuashatian rakyat dengan salahguna kuasa gereja seperti penjualan surat pengampunan (indulgence).

Kesannya pemikir Eropah menghidupkan semula falsafah Greek seperti Falsafah Kemanusiaan (humanism) manusia adalah makhluk yang berkuasa dan bebas dari tanggungjawab kepada tuhan (live for human/self interest - sekularism). Mereka juga sangat berminat pada Falsafah Materialisme – semua benda hidup berasal dari zarah (only matter exist).[5]

Pada tempoh ini berlaku pergolakan keras antara falsafah dan agama. Semasa Revolusi Perancis misalnya kebencian terhadap agama Kristian semakin menular. Ikon Kristian pada Gereja Notre Dame dihapuskan dan digantikan dengan patung “Goddes of Reason” (salah satu tuhan Greek).[6]

 

Implikasi utama dari zaman yang dikenali dengan nama “The Age of Enlightment” ini:

  • Penolakan pemerintahan monarki (Penguasaan Istana dan Gereja)

  • Mengutamakan kebebasan individu dan pemikiran rasional dalam menyelesaikan masalah.

  • Pergolakan keras antara Falsafah dan Agama

Adam Smith, bapa ekonomi moden:1723-1790, merupakan antara tokoh yang menyerlah dalam bidang ekonomi semasa tempoh ini. Buku beliau “The Wealth of Nation” yang diterbitkan pada 1776 memainkan peranan besar dalam pembentukan Sistem Ekonomi Kapitalis.[7]

Selain itu, Thomas Malthus (1766-1834) seorang lagi ahli ekonomi pada zaman itu telah menulis “An Essay on Principle of Population” (1798) yang meramalkan populasi dunia akan meningkat lebih cepat berbanding peningkatan dalam pengeluaran makanan dan menyebabkan kebuluran. Beliau mencadangkan kesengsaraan seperti perang dan bencana alam, juga kekangan moral seperti berkahwin lambat dan pengguguran, akan mengawal peningkatan populasi manusia.  Penulisan ini mendapat sambutan yang sangat tinggi di kalangan pemikir dan pemerintah Eropah terutamanya pada kurun ke-19.[8]

 

Falsafah Materialisme mendapat perhatian penting dari pelbagai pihak setelah Charles Darwin menerbitkan buku beliau “The Origin of Species” pada tahun 1859. Darwin mengaplikasikan materialisme kepada dunia sains fizikal, yang juga dikenali dengan sebagai Theory of Evolution). Teori ini menekankan bahawa:[9]

  • Semua spesis berasal dari spesis yang lebih rendah yang mengalami perubahan, maksudnya manusia bukan dicipta oleh Tuhan, tetapi mengalami perubahan dari spesis yang lebih rendah.

  • Konflik antara spesis (natural selection) merupakan faktor yang akan menggalakkan perkembangan seterusnya. Di sini penulisan Malthus mempengaruhi Darwin dan Darwin mengandaikan sumber alam tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan semua benda hidup, maka setiap spesis akan sentiasa bersaing antara satu sama lain bagi meneruskan kehidupan - Survival of the fittest![10]

Teori ini mendapat sambutan dari pemikir pelbagai ideologi kerana ia membenarkan mereka membebaskan diri dari kekangan agama dan meneruskan kehidupan dengan “kreativiti” mereka. Bak kata pepatah; Pucuk dicita ulam mendatang!

Implikasi ketara adalah pengunjuran teori evolusi kepada bidang sosial dimana masyarakat dipandang terbahagi kepada beberapa kumpulan dan kumpulan ini akan sentiasa bersaing antara satu sama lain bagi meneruskan kehidupan (class struggle). Antara kesannya lahirlah dua Sistem Ekonomi yang mengambil jalan penyelesaian cukup berbeza dalam membahagikan sumber alam bagi menjalani kehidupan:[11]

  1. Kapitalis: kemunculan golongan yang memiliki sumber pengeluaran (pemodal) adalah sebagai menjatuhkan golongan feudal (monarki) yang semakin lemah. Mereka juga boleh mengekploitasi golongan pekerja yang lemah untuk kepentingan mereka sehingga mengakibatkan kebajikan pekerja tidak terjaga. Perkembangan pesat kapitalis berlaku pada kurun ke-19 di Great Britain dan Amerika.

  2. Sosialis: idea yang dicetuskan oleh Karl Marx, menyatakan golongan pekerja (proletariat) yang tertindas dalam sistem kapitalis akan bangun membela nasibnya. Perkembangan pesat sosialis berlaku pada kurun ke-20 di Soviet Union dan seterusnya ke China, Korea Utara, Cambodia dan lain-lain.

Satu perkara penting yang perlu difikirkan; sebelum adanya teori evolusi bukannya tidak berlaku peperangan atau penindasan. Ia masih berlaku, namun sentiasa diingatkan oleh ajaran agama bahawa keganasan dan kezaliman bukan penyelesaian bagi masalah manusia. Namun dengan tertolaknya agama akibat penerimaan teori ini, manusia bebas melakukan apa sahaja yang dikehendaki atas nama hukum alam (law of nature) atau dengan kata lain atas nama perkembangan sains.[12]

 

 

2.1 Sistem Ekonomi Kapitalis

Semasa sistem monarki (istana dan gereja) masih berkuasa, ekonomi bergerak berdasarkan sistem feudal dimana pemerintah akan memberikan tanah kepada golongan tertentu yang akan, sebagai balasan, membayar cukai atau memberikan khidmat ketenteraan. Sistem ini hanya membenarkan usaha setempat.[13]

Dengan tercetusnya Revolusi Perindustrian pada akhir kurun ke-18, modal yang besar diperlukan bagi menyokong aktiviti perindustrian. Saranan Adam Smith memainkan peranan yang besar dalam kelahiran sistem ekonomi kapitalis semasa revolusi ini. Smith mencadangkan hak pemilikan harta diserahkan kepada individu (bukan lagi bawah kuasa monarki- kebangkitan golongan kapitalis menentang golongan feudal) dan keputusan ekonomi dibuat berdasarkan kuasa pasaran tanpa campurtangan kerajaan.

Maka individu (pemilik modal – kapitalis) diberikan kebebasan sepenuhnya untuk memiliki, membeli dan menjual hartanya mengikut kehendak peribadinya.

Apabila individu diberikan kuasa mutlak, mereka akan bertindak memilih aktiviti yang terbaik bagi kepentingan diri mereka. Melalui kuasa pasaran dan persaingan harga (invisible hand), kepentingan masyarakat juga terpelihara.[14] Harga akan berubah berdasarkan kekurangan dalam penawaran (shortage of supply) dan lebihan dalam penawaran (surpluses).[15] Kekurangan akan menyebabkan harga barangan naik manakala lebihan akan menyebabkan harga barangan turun.

Contohnya, menjelang hari perayaan permintaan untuk ayam akan meningkat, sedangkan bekalan tidak mencukupi. Ini akan menyebabkan harga ayam meningkat. Apabila harga meningkat, pembekal akan cuba menambah bekalan manakala pembeli pula selalunya mengurangkan permintaan. Maka harga memainkan peranan yang amat penting dalam mencapai keseimbangan (equilibrium) antara penawaran dan permintaan.

Mekanisma harga inilah yang digelar “invisible hand” oleh Adam Smith. Dengan mekanisma inilah dikatakan walaupun individu mengutamakan kepentingan peribadi namun akhirnya kepentingan masyarakat secara umum akan terpelihara.

Contohnya, A memulakan perniagaan menjual ayam pada harga RM8.50 sekilo. Dia bebas menetapkan harga yang dikehendakinya. B pula menjual pada harga RM6.00 sekilo. Apabila berlaku persaingan berdasarkan harga, maka A terpaksa menurunkan harga mendekati harga B atau dia akan kehilangan pelanggannya dan mengalami kerugian.  Untuk mendapatkan keuntungan maksimum, peniaga perlu melaksanakan operasi dengan cekap dan efisyen agar kos yang ditanggungnya adalah minimum.

Apabila harga hampir sama antara pesaing dalam pasaran, kualiti pula akan memainkan peranan dalam menambat pengguna. Pengguna mungkin sanggup membayar RM6.50 kepada A kerana ayam yang dijualnya disembelih segar berbanding dengan B yang menjual ayam beku misalnya. Maka peranan kualiti dan harga ini akan memastikan masyarakat mendapat nilai yang terbaik bagi wang mereka.

Dengan inilah Adam Smith mencadangkan ekonomi perlu mengamalkan polisi “Laissez-faire” (hands-off). Ini bermakna kerajaan tidak boleh campurtangan menetapkan harga ataupun mengenakan tarif import[16] dalam semua aktiviti ekonomi yang bertujuan mencari keuntungan selagi aktiviti tersebut mematuhi peraturan negara tersebut.

Kebaikan yang diperolehi dari sistem ini tidak dapat dinafikan yakni motivasi keuntungan dan kecekapan pasaran yang memberi nilai terbaik bagi pengguna. Namun begitu beberapa masalah timbul dalam sistem ini:

  1. Kekayaan terkumpul pada satu pihak (kapitalis)

  2. Berlaku penindasan terhadap pekerja atau masalah pengangguran

  3. Kegagalan kuasa pasaran (monopoli, kegawatan ekonomi)

Antara masalah utama dalam sistem ini adalah kekayaan terkumpul pada satu pihak sahaja yakni kapitalis – golongan minoriti. Kebiasaannya antara 0.5% hingga 1% dari populasi akan menguasai hampir separuh kekayaan.[17] Menurut The Economist, pada tahun 1994, 5% daripada rakyat United Kingdom memiliki lebih dari 50% kekayaan negara. Manakala 20% rakyat yang termiskin hanya memiliki kurang dari 5% dari kekayaan negara.[18] Inilah maksud “Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin”.

Apabila kekayaan terkumpul pada kapitalis sahaja, orang kebanyakan tidak mempunyai banyak pilihan selain makan gaji dengan kapitalis. Mereka sukar untuk memulakan perniagaan sendiri atau bercucuk tanam kerana tidak memiliki sumber tersebut. Peluang pekerjaan akan bergantung pada keperluan kapitalis. Maka dalam sistem ini, adalah normal jika berlaku pengangguran antara 3% hingga 5%.[19]

Masalah ini akan bertambah runcing dengan kemajuan teknologi dimana mesin boleh menggantikan tenaga buruh. Peluang pekerjaan akan semakin kurang. Persaingan yang tinggi akan berlaku di kalangan buruh. Maka kapitalis akan menggaji pekerja yang sanggup menerima gaji yang paling murah kerana ini akan meminimumkan kos operasi dan memaksimumkan keuntungannya.

Selain itu kuasa pasaran akan terganggu jika berlaku monopoli dimana satu firma menguasai pasaran dan menyingkirkan pesaing (survival of the fittest). Apabila ini berlaku, firma tersebut bebas meningkatkan harga dan pengguna terpaksa membeli pada harga yang tinggi.

 

2.2 Sistem Ekonomi Sosialis

Karl Marx (1818-1883)[20] merupakan ahli falsafah, ekonomi dan politik German yang muncul pada kurun ke-19. Marx mengkaji sejarah sosial Eropah dan menyatakan golongan kapitalis dan golongan pekerja akan sentiasa bersaing. Ini disebut sebagai konflik antara kelas sosial-evolusi kelas sosial. Akibat penindasan dalam sistem kapitalis, golongan pekerja ini akan bangkit menentang kapitalis dan setelah kejayaan ini akan tidak ada lagi kelas sosial di kalangan masyarakat.

Namun Marx tidak mengetuai mana-mana parti politik bagi merealisasikan teorinya. Berabad setelah kematian Marx, evolusi kelas sosial ini masih tidak berlaku. Maka Vladimir Illich Lenin di Soviet Union pada awal kurun ke-20 menyatakan revolusi ini tidak dapat berlaku secara semulajadi kerana golongan pekerja di Eropah telah dipengaruhi oleh golongan kapitalis. Lenin menambah, pengganti kepada golongan pekerja diperlukan bagi merealisasikan evolusi tersebut iaitu Parti Komunis yang akan menjalankan revolusi tersebut dengan menggunakan kekerasan dan kuasa tentera.[21]

Pada tahun 1917 telah berlaku Revolusi Rusia (Bolshevik Revolution) dan Lenin telah menggulingkan kerajaan Tsar dan mengambil alih pemerintahan Soviet Union. Dari sini bemulalah implementasi Sistem Ekonomi Sosialis.[22] Penyelesaian yang diambil dalam sistem ini bertentangan sama sekali dengan penyelesaian dalam sistem kapitalis.

Sistem ini menghapuskan sama sekali hak pemilikan harta oleh individu dan kerajaan (sebagai wakil masyarakat) akan membuat semua keputusan ekonomi seperti apa, berapa, bila, bagaimana, untuk siapa dikeluarkan bagi memelihara kepentingan masyarakat.

Individu dalam sistem ini akan menjadi “hamba” kepada masyarakat. Disebabkan individu tidak boleh memiliki harta maka tiada firma peribadi/swasta yang boleh dibentuk. Semua firma atau perniagaan adalah milik negara (state owned firms) atau milik bersama (collective firms).

Kerajaan akan menyediakan keperluan hidup kepada rakyatnya. Rakyat, yakni individu, akan bekerja dalam firma milik negara atau milik bersama. Bagi firma milik negara, pekerja akan dibayar gaji manakala bagi firma milik bersama pendapatan akan dikongsi bersama. Namun bagi kedua-dua firma, sasaran pengeluaran akan diberikan oleh kerajaan dan kerajaan akan membayar harga yang telah ditetapkannya.[23]

Kebaikan dalam sistem ini, ia dapat mengurangkan jurang perbezaan pendapatan dalam masyarakat. Tiada lagi masalah kekayaan terkumpul pada satu pihak. Kini semua orang mempunyai kedudukan ekonomi yang sama. Selain itu, kepentingan keseluruhan masyarakat diambilkira, termasuk implikasi ke atas persekitaran, dalam merencana perjalanan ekonomi negara. Perkembangan ekonomi negara yang tinggi dapat dicapai dengan perancangan penggunaan sumber oleh negara bagi memastikan sumber digunakan dengan optimum.

Namun realitinya seperti yang berlaku di Soviet Union dan China; walaupun pengeluaran meningkat pada mulanya tetapi akhirnya membawa kepada kebantutan ekonomi negara tersebut. Kerajaan dalam sistem ini menggunakan “kuku besi” untuk mencapai matlamatnya. Rakyat dipaksa, ditindas dan dibunuh jika enggan menurut perancangan kerajaan.

Pada 1918, setelah Lenin mengambil alih pemerintahan, beliau menghapuskan pemilikan peribadi. Tentera Bolshevik merampas semua hasil pengeluaran yang ada dan petani diberikan kuota yang perlu dicapai. Rakyat kekurangan makanan akibat kuota yang tinggi. Pada tahun 1920, kerana rakyat gagal mencapai kuota yang ditetapkan, bukan hanya pengeluaran mereka dirampas sepenuhnya, malahan benih juga dirampas. Akibatnya antara tahun 1921 dan 1922, lima juta rakyat Soviet mati kebuluran.[24] 

Apabila Stalin mengambil alih pemerintahan Soviet Union pada 1928, dia memperkenalkan ladang milik bersama (collective farm). Semua petani dikehendaki menyerahkan pengeluaran mereka kepada kerajaan. Sesiapa yang enggan, terutamanya pemilik tanah yang kaya (diberi nama Kulak) akan dibunuh. Rakyat yang tidak mencapai kuota akan dibiar kebuluran dan dibuang negara. Sejarah Lenin berulang kembali, dan kali ini enam juta rakyat Soviet mati kebuluran pada tahun 1933.[25]

Di China pula, semasa pemerintahan Mao Tse-tung (1949-1979) beliau telah membentuk polisi yang dikenali sebagai “Great Leap Forward”. Polisi ini menekankan moto “Menggandakan Pengeluaran China”. Masa bekerja ditingkatkan dan mesin berjalan tanpa henti. Selain itu petani individu dipaksa menyerahkan ladang untuk membentuk ladang bersama (collective farms) seperti di Soviet. Pengeluaran meningkat pada mulanya namun akhirnya menurun kerana ketidakcekapan dalam mengurus (inefficiency). Contohnya tidak menggunakan baja kimia, petani yang enggan menyerahkan ladang dibunuh, burung layang-layang dibunuh kerana memakan hasil pertanian namun akhirnya menimbulkan masalah serangga.

Selain itu berlaku konflik budaya di kalangan rakyatnya. Rakyat yang terlalu taksub dengan polisi Mao telah melakukan revolusi besar-besaran. Mereka ini terdiri daripada remaja berpangkat rendah dalam Parti Komunis dan dikenali sebagai “Red Guard”. Red Guard ini menutup sekolah dan universiti dan semua orang dikerah menjadi petani. Sesiapa yang enggan akan diseksa dan dibunuh.[26] Pada tahun 1991, Soviet Union berpecah kepada 16 negara republik dan menandakan titik akhir sistem ekonomi yang penuh dengan peristiwa berdarah ini.

 

3. Islam dan permasalahan ekonomi

Daripada rentetan atau sejarah evolusi sistem ekonomi konvensional dapat kita saksikan bahawa penyelesaian kepada permasalahan ekonomi yang dicadangkan adalah berasaskan kepada satu teori kehidupan yang memisahkan agama dari kehidupan manusia. Seolah–olah manusia dan segala kehidupan di dunia ini berdiri dengan sendiri dan tercipta dari sesuatu yang tiada kepada ada tanpa memerlukan Yang Mencipta. Sayangnya jalan penyelesaian yang mereka tawarkan bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah asal kepada isu ekonomi, malah membawa kepada tercetusnya sistem kehidupan yang menindas dan menzalimi sesama manusia.

Di sinilah perbezaan utama yang sebenarnya menjadi titik penyelesaian kepada permasalahan asas ekonomi. Di dalam Islam, tiada permisahan antara agama dan kehidupan manusia kerana dunia dan segala isinya adalah ciptaan Tuhan dan Islam itu diturunkan sebagai ad-deen atau ‘cara hidup’ dimana ia memberi petunjuk dan panduan kepada manusia untuk hidup di atas muka bumi ini.

Seterusnya penulis akan membincangkan secara ringkas bagaimana asas Islam itu sendiri, sebagai tatacara kehidupan manusia, menjadi penyelesaian kepada masalah ekonomi yang boleh dikatakan ‘ciptaan’ manusia.

 

3.1 Asas Islam dan Ekonomi

Sebelum cuba memahami pentadbiran sumber oleh Islam, adalah wajar jika penulis menerangkan terlebih dahulu tentang prinsip asas dalam Islam yang menjadi titik tolak kepada sistem kehidupan seterusnya. Islam secara asasnya terdiri daripada 3 prinsip iaitu tawhid[27], khilafah dan ‘adalah.

 

3.1.1   Tawhid:

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki Yang Mempunyai Kekuatan yang sangat kukuh.[28]

 

Di dalam ayat ini Allah memberitahu kepada manusia seluruhnya bahawa Dialah yang menciptakan jin dan manusia dan hikmah di sebalik ciptaan itu adalah supaya mereka menyembah hanya Allah. Allah juga tidak menciptakan mereka untuk kebaikan-Nya malah Dialah yang memberikan semua keperluan hidup mereka sedang Allah Maha Pemberi dan Berkuasa.

Kekuasaan Allah tidak terhenti dengan hanya mencipta dunia dan isinya malah menentukan tatacara kehidupan setiap yang diciptakan sepertimana firman-Nya:

 

Allah mentadbirkan makhluk-makhluk-Nya; (bagi melaksanakan tadbir-Nya itu Dia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi, kemudian diangkat naik kepada pengetahuan-Nya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbir-Nya itu untuk dihakimi-Nya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.[29]

 

Prinsip tawhid ini memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan muslim. Implikasinya ke atas ekonomi Islam; muamalat juga tunduk pada garis panduan yang ditetapkan Allah atau dengan kata lain, konsep materialisme/sekularisme tidak terpakai dalam ekonomi dari kaca mata Islam.

 

3.1.2   Khilafah:

Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas sesetengah yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab siksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [30]

 

Konsep khilafah ini mempunyai beberapa implikasi yang penting kepada tatacara kehidupan manusia. Implikasi yang pertama adalah persaudaraan antara seluruh umat manusia. Dengan misi yang sama dan tujuan hidup yang sama, maka seluruh umat manusia seharusnya bersaudara dan tiada yang lebih baik dari yang lainnya. Hanyalah keimanan kepada Allah menjadi kayu ukur perbezaan manusia di hadapan Allah kelak. Berbanding “survival of the fittest” dalam ekonomi konvensional, Islam menganjurkan “survival of all mankind”.

 

Implikasi kedua melihat kepada sumber yang diberikan oleh Allah kepada makhluk ciptaan-Nya sebagai amanah Allah kepada manusia dalam membantu mereka menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah Allah sepertimana firman-Nya:  

Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah meminjamkan kepadamu.[31]

 

Implikasi seterusnya adalah kehidupan yang bersederhana. Memandangkan segala sumber keperluan hidup ini adalah amanah dari Allah, maka sewajarnya manusia itu tidak melampau–lampau dalam mempergunakan sumber yang dikurniakan Allah kepadanya sesuai dengan firman-Nya:  

 

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.[32]

 

Implikasi prinsip khalifah yang terakhir adalah kebebasan manusia daripada menjadi hamba kepada sesama manusia. Telah dijelaskan bahawa hanya Allah-lah Tuhan bagi seluruh manusia bergantung dan menyembah. Maka manusia seharusnya bebas daripada kehambaan sesama manusia kerana manusia itu adalah khalifah kepada Allah dan bukan kepada manusia. Maka selayaknya manusia itu tidak menjadi hamba selain kepada Allah jua.

 

3.1.3   ‘Adalah:

Prinsip Islam yang terakhir ialah `adalah iaitu keadilan dimana Islam menitikberatkan keadilan dan melarang keras penindasan terhadap sesama manusia. Dalam setiap keputusan atau perbuatan yang diperlakukan oleh manusia, haruslah ianya bersikap adil kepada mereka yang terlibat dan tidak menindas sesiapa.

Implikasinya ke atas ekonomi – setiap keputusan dalam menguruskan sumber bagi memenuhi keperluan manusia hendaklah tidak menzalimi mana-mana pihak. Hak individu, masyarakat dan negara perlu diuruskan dengan sebaiknya bagi menjamin kesejahteraan keseluruhannya.

Berikut diringkaskan beberapa ciri ekonomi Islam bertitik tolak dari asas Islam:[33]

  • Dasar sistem Islam bukan diletakkan oleh tangan manusia atau sekelompok orang bahkan ia adalah karya ciptaan Allah. [Tawhid]

  • Islam menjadikan ekonomi sebagai sarana (jalan) untuk mencapai tujuan besar; agar manusia tidak disibukkan dengan urusan hidup dan melalaikan kehidupan. Manusia apabila telah terpenuh keperluan hidup dan keselamatannya, nescaya akan tenteram dan akhirnya mengadap Tuhannya dengan penuh konsentrasi. [Khilafah]

  • Ekonomi Islam tidak dapat dipisahkan daripada nilai rabbani (hukum syari’at) dan peranan akhlak yang tinggi agar kesejahteraan semua pihak terjamin. [‘Adalah]

 

 4. Penyelesaian Rabbani bagi masalah ekonomi

Setelah memahami sejarah kelahiran ekonomi di negara barat, dapat disimpulkan masalah ekonomi berkisar kepada tiga permasalahan berikut; Sumber yang terhad, Pemilikan harta dan Pembuatan keputusan ekonomi (harga, persaingan dan campurtangan kerajaan). Bagi setiap masalah ini, penulis akan cuba menyampaikan penyelesaian yang disarankan dalam Islam insha’Allah.

 

4.1      Sumber yang terhad

Konsep sumber yang terhad (sekadar kajian penulis setakat ini) mendapat perhatian tinggi setelah Malthus meramalkan bekalan makanan tidak akan dapat menampung perkembangan populasi manusia. Beliau menyatakan hanya kesengsaraan dan kekangan moral boleh mengawal masalah ini. Darwin pula mengunjurkan konsep ini pada teori evolusinya dengan mengatakan, konflik akan sentiasa berlaku di antara spesis disebabkan sumber alam yang tidak mencukupi.

Pandangan Islam jelas berbeza mengenai konsep ini. Allah berfirman dalam Al-Qur’an bahawa sumber alam ini adalah mencukupi[34] bagi memenuhi kehidupan manusia:  

 

Dan Dia (Allah) menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetap (tersergam tinggi) di atasnya, serta Dia melimpahkan berkat padanya dan Dia menentukan ada padanya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; dalam empat masa.[35]

 

Menurut Ibn Kathir bahawa Ibn Zayd menjelaskan ayat “sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka” bermaksud, berdasarkan kehendak seorang insan, Allah mengukur apa yang diperlukan dan dikurniakan kepadanya.[36]

Mengenai cadangan Malthus mengekang perkembangan manusia kerana meramalkan kekurangan bekalan, ia jelas bertentangan dengan firman Allah:

 

Janganlah kamu bunuh anak-anakmu kerana takut akan kemiskinan. Kami memberi mereka rezeki dan juga rezekimu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa besar.[37]

 

Allah berjanji akan memberi rezeki dengan syarat kita berusaha mencarinya. Tidak sekali-kali Islam menyarankan mengharapkan rezeki tanpa usaha:

 

Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian rezeki-Nya dan hanya kepada-Nyalah kamu dibangkitkan kembali.[38]

 

Mengenai teori Darwin bahawa setiap spesis sentiasa dalam konflik, ia jelas bertentangan dengan firman Allah:

 

Wahai umat manusia! Sesungguhnnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan[39]

 

Sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam jelas membuktikan konsep persaudaraan dan kerjasama dalam Islam. Ketika pertama kali tiba di Madinah, Nabi mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Kemudian Nabi meningkatkan produksi dan peluang pekerjaan dengan menyarankan muzara’a dan musaqat di kalangan mereka. Pada mulanya kaum Ansar ingin membahagikan harta dengan kaum Muhajirin, namun Nabi menyuruh kaum Muhajirin mengerjakan tanah tersebut (tanpa memilikinya) dan berkongsi keuntungan dari hasil jualan.[40]

Maka ekonomi Islam mengkaji sumber alam dari sudut “mencukupi” berbanding “terhad”. Allah menjanjikan sumber yang mencukupi bagi kehidupan makhluk-Nya, maka kekurangan sumber yang dialami hari ini berpunca dari salahguna sumber tersebut atau ketidakseimbangan dalam pembahagiannya. Bagi mengatasi masalah ini, manusia perlu:[41]

  1. Meluaskan asas pengeluaran, yakni mencari alternatif bagi kegunaan sesuatu barangan atau meneroka sumber baru untuk digunakan.

  2. Menggunakan kemajuan teknologi untuk mencari teknik pengeluaran yang lebih baik.

  3. Mengkaji semula kaedah pembahagian kini dan memikirkan alternatifnya.

  4. Mengkaji bagaimana dapat memotivasikan manusia agar bersederhana dalam penggunaan sumber, yakni berbelanja mengikut keperluan (need) bukannya kehendak (wants). 

Fikirkan sejenak, kekayaan di bumi ini masih banyak yang belum diterokai, namun kita lebih mudah mengatakan “sumber alam terhad” daripada memikirkan bagaimana mencari alternatif kepada sistem yang ada kini.

 

4.2      Pemilikan Harta

Sistem kapitalis memberi hak tanpa batasan kepada individu untuk memiliki harta manakala sistem sosialis melarang sama sekali pemilikan harta individu. Masalah yang timbul dalam soal pemilikan harta adalah:

 

A.        Harta berlegar di kalangan orang yang kaya sahaja dalam sistem kapitalis. Allah melarang pemupukan harta pada satu golongan sahaja dalam firman-Nya:

 

Apa sahaja harta rampasan yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya yang berasal (dari penduduk kota) maka adalah untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang yang kaya sahaja di antara kamu.[42]

 

B.        Harta dirampas secara paksa dalam sistem sosialis. Allah melarang perbuatan ini dalam firman-Nya:

 

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling makan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu.[43]

 

Bertitik tolak dari konsep harta sebagai amanah, Islam tidak menafikan hak individu untuk memiliki harta namun memberi batasan kepada pemilikan tersebut. Ibn Taimiyyah (1263-1328) menjelaskan tiga bentuk pemilikan dalam ekonomi Islam:[44]

 

4.2.1   Pemilikan Peribadi:

 

Dan bagi masing-masing mereka darjat menurut apa yang telah mereka kerjakan dan agar Allah mencukupkan bagi mereka (balasan) pekerjaan-pekerjaan mereka, sedang mereka tiada dirugikan.[45]

 

Dari sinilah Islam mengakui pemilikan peribadi meskipun dapat menyebabkan pemiliknya menjadi sangat kaya dan melimpah ruah hartanya (manusia berhak memiliki apa yang diusahakannya). Namun Islam meletakkan beberapa batasan dalam pemilikan harta ini, iaitu:

  1. Harta harus diperolehi dengan cara yang halal,

  2. Pemilikan peribadi tidak bertentangan dengan kepentingan umum,

  3. Pemilikan peribadi tidak merugikan/membahayakan orang lain.[46]

 

 

4.2.2   Pemilikan bersama (masyarakat)

Individu tidak dibenarkan memiliki harta yang diperlukan masyarakat secara kolektif. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberikan contoh barang-barang yang diperlukan bersama dan menguasai hajat hidup orang ramai, sebagaimana dalam hadithnya yang bermaksud:

“Kaum Muslimin berserikat dalam tiga hal: rumput, air dan api”[47]

 

Yusuf al-Qaradhawi menerangkan pengkhususan tiga barang dalam hadith ini merupakan contoh keperluan masyarakat pada zaman itu, maka barangan ini dapat dianalogikan kepada barang keperluan masyarakat yang mirip hari ini. Oleh kerana itu ahli fiqh telah mengqiyaskannya kepada sumber alam yang menjadikan keperluan orang ramai dan mudah didapati.[48]

 

4.2.3   Pemilikan negara

Negara memerlukan dan mempunyai hak untuk membeli harta dan melupuskannya dalam rangka memenuhi tanggungjawabnya. Sumber utama harta negara adalah zakat dan harta rampasan perang. Namun negara berhak mengenakan cukai lain jika timbul keperluan. Selain itu, harta tanpa pemilik, harta wakaf, hadiah dan denda termasuk dalam harta negara. Harta negara ini merupakan harta milik awam yang dijaga oleh negara sebagai pemegang amanah. [49]

Selain soal pemilikan, Allah menjelaskan bahawa ketidaksamaan dalam kekayaan antara manusia adalah kehendak-Nya:

 

Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (sesetengahnya Kami jadikan kaya dan sesetengahnya miskin) dan juga Kami telah menjadikan darjat sesetengah mereka lebih tinggi dari darjat sesetengah yang lain, supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) sesetengah yang lain.[50]

 

Namun ketidaksamaan ini tidak bermakna yang miskin harus terus miskin. Dalam harta orang kaya terdapat hak orang miskin, sebagaimana firman Allah:

 

Bila mereka ditimpa kesusahan, mereka berkeluh kesah, tetapi bila mengalami kesenangan, mereka kikir bukan kepalang. Tidaklah demikian orang-orang yang setia menjalankan solat dan orang-orang yang dalam kekayaannya tersedia hak yang sudah ditentukan bagi orang miskin yang meminta dan yang menahan diri (dari meminta).[51]

 

Di sinilah peranan zakat amat penting dalam ekonomi Islam sebagai mekanisma pengagihan kekayaan. Selain itu, hukum harta warisan juga memastikan kekayaan diagihkan dan tidak terkumpul pada satu pihak sahaja.

 

4.3      Keputusan Ekonomi

Sistem ekonomi Islam menggunakan kombinasi kuasa pasaran dan campurtangan kerajaan apabila perlu. Kerajaan memainkan peranan yang aktif dalam melancarkan perjalanan aktiviti ekonomi termasuk:

  1. Menetapkan harga apabila pasaran tidak dapat berfungsi dengan cekap.

  2. Memberi jaminan sosial kepada rakyat yang memerlukan.

  3. Merencana perjalanan keseluruhan ekonomi berdasarkan konsep maslahah.

 

4.3.1   Kuasa Pasaran dan campurtangan kerajaan

Ibn Taimiyyah telah menerangkan peranan harga dalam pasaran. Beliau menerangkan bahawa kekurangan bekalan tidak sentiasa disebabkan kezaliman (ketidakadilan) dari pihak penjual. Kadangkala kekurangan bekalan boleh disebabkan penurunan dalam pengeluaran ataupun penurunan dalam import barangan. Maka jika permintaan bertambah sedangkan bekalannya kurang, harga akan meningkat. Sebaliknya jika permintaan berkurangan sedangkan bekalan meningkat, maka harga akan menurun.[52]

Pada dasarnya ekonomi Islam akan berfungsi berdasarkan kuasa pasaran, yakni harga ditentukan berdasarkan interaksi penjual dan pembeli. Namun pada keadaan tertentu kerajaan mempunyai kuasa untuk menetapkan harga.

Oleh itu jika harga meningkat disebabkan keadaan semulajadi, seperti bekalan berkurangan atau permintaan bertambah, kerajaan tidak berhak menetapkan harga di pasaran kerana ini akan menzalimi peniaga.

Namun dalam beberapa keadaan kerajaan dibenarkan campurtangan dan menetapkan harga:

  1. Sewaktu kecemasan (keperluan kritikal). Misalnya apabila negara dilanda kemarau teruk dan orang ramai mengalami kebuluran, maka negara boleh menetapkan harga, terutama bagi barangan makanan asasi, untuk manfaat umum.

  2. Apabila berlaku ketidakadilan dalam pasaran. Contohnya jika berlaku monopoli, kerajaan perlu menetapkan harga agar sebarang kezaliman yang bakal berlaku dapat dicegah.

Walaubagaimanapun kerajaaan tidak patut menetapkan harga secara rambang tetapi hendaklah dilaksanakan selepas perundingan dengan pihak penjual dan pembeli agar kepentingan kedua-dua pihak terpelihara sesuai dengan konsep ‘adalah dalam Islam.[53]

 

 

4.3.2   Jaminan Sosial kepada rakyat yang memerlukan

Jaminan sosial yang dimaksudkan adalah menyediakan keperluan hidup kepada rakyat yang tidak mampu. Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, orang miskin yang berjumpa baginda akan diberikan makanan dan minuman.[54] Namun ini tidak bermakna semua rakyat akan diperuntukkan bantuan sewenang-wenangnya kerana ini akan menjadikan manusia malas bekerja. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda, maksudnya:

 

Barangsiapa meminta harta kepada orang lain, kerana ingin memperbanyak, maka sesungguhnya dia telah meminta bara api. Oleh itu hendaklah ia mandiri atau berusaha memperbanyak sendiri.[55]

 

Tidak halal sedeqah bagi orang kaya dan orang yang sihat lagi kuat.[56]

 

Pada zaman ‘Umar radhiallahu 'anh, semua orang sakit, lanjut usia, kekurangan atau cacat dan tidak mampu bekerja akan diberikan jaminan keperluan hidup tidak kira muslim atau bukan muslim.[57]

 

4.3.3   Merencana Perjalanan Ekonomi

Produksi dalam ekonomi Islam hendaklah berdasarkan konsep maslahah:

  • Mendahulukan perkara daruriyat (amat penting) daripada perkara hajiyat (yang diperlukan)

  • Mendahulukan perkara hajiyat daripada perkara tahsiniyat (pelengkap)

Implikasinya ke atas ekonomi seperti mana yang diterangkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi adalah seperti berkut:[58]

 

Untuk itu masyarakat tidak diperbolehkan menanam buah-buahan yang mahal dan hanya terjangkau oleh kalangan tertentu sahaja (hajiyat), sementara mereka tidak mahu menanam gandum, jagung dan padi yang merupakan makanan pokok sehari-hari dan diperlukan masyarakat umumnya (daruriyat). Masyarakat juga tidak boleh hanya memperhatikan produksi minyak wangi dan alat-alat kecantikan lainnya (tahsiniyat), sementara mereka tidak mahu memproduksi alat-alat pertanian, pengairan, pengangkutan dan persenjataan penting untuk pertahanan (hajiyat).

 

5. Penutup: Pra-syarat yang perlu dipatuhi bagi merealisasi Ekonomi Islam

Pengeluaran Negara Islam tidak dapat memenuhi keperluan mereka. Keperluan asas kehidupan (makanan asas, pakaian, tenaga) yang dihasilkan tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat. Negara Islam yang kaya dengan sumber minyak, tidak melabur semula keuntungan untuk pembangunan negara tetapi melabur di pasaran kewangan asing bagi mendapatkan pulangan yang tinggi.[59]

Inilah realiti Negara Islam hari ini. Kita tidak dapat lari dari realiti bahawa umat Islam hari ini ketinggalan jauh serba serbi. Ekonomi barat yang berdiri atas dasar “penolakan agama” nampak maju ke hadapan. Adakah Islam penyebab kemunduran rakyat? Tidak sama sekali! Negara barat maju kerana mereka menolak agama mereka yang tidak sempurna. Sikap mereka yang sentiasa berusaha membaiki diri membuahkan hasil.

Berbeza dengan umat Islam, kita  mundur kerana meninggalkan agama yang sempurna. Islam telah menyediakan “Blue Print” untuk kemajuan ummah, namun ia menuntut perlaksanaan dari umatnya. Harapan penulis, janganlah kita hanya menjadi “Mat Jenin Alaf Baru” selepas membaca artikel ini dengan mengatakan “Oh…Islam dah ada jawapannya 1400 tahun dahulu.”[60]

Apa yang penulis sampaikan dalam artikel ini, ia hanyalah permulaan bagi perjalanan yang masih jauh. Masih banyak persoalan yang perlu diselesaikan, masih banyak rintangan perlu dihadapi dalam melaksanakan penyelesaian. Garis panduan untuk menyelesaikannya telah diberikan Allah dan Rasul-Nya, namun umat Islam perlu terus mengkaji cara penerapannya sesuai dengan peredaran zaman dan berusaha melaksanakannya.

 

Jadual 1: Sejarah Ringkas Perkembangan Ekonomi di Barat

 

Tempoh

Perkembangan Penting

Kurun ke 15

Kejatuhan Constantinapole

Kurun ke 17-18

Age of Reason & The Enlightment:

  • Menghidupkan konsep kemanusiaan (humanism)

  • Mempertahankan konsep materialisme

Kurun ke 19

Materialisme mengatasi Agama:

  • Teori Evolusi oleh Charles Darwin menghidupkan semula konsep materialisme dan digunakan sebagai sumber untuk menolak agama

  • Perkembangan pesat sistem kapitalis dengan selari dengan Revolusi Perindustrian di Eropah dan masih berterusan hingga hari ini dengan sedikit sebanyak perubahan

Kurun ke 20 dan seterusnya

Perkembangan Sistem Ekonomi Sosialis:

  • Revolusi Rusia (1917)– Lenin menganjurkan Parti Komunis memulakan evolusi sosial dengan menggunakan kuasa tentera (komunis)

  • Setelah Perang Dunia Kedua, sistem ini berkembang ke Negara China, Korea, China, Kambodia dll

  • Berakhir dengan kejatuhan Kerajaan Soviet pada 1991

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jadual 2: Ringkasan permasalahan ekonomi dan saranan Islam dalam menyelesaikannya 

 

Masalah dalam Sistem Ekonomi

Saranan Islam sebagai penyelesaian

1. Sumber yang terhad

  • Sumber mencukupi, jadi manusia perlu memikirkan alternatif dari sudut produksi (sumber yang belum diteroka, teknik pengeluaran baru) mahupun konsumsi (mendidik manusia bersederhana dan mengikut maslahah dalam berbelanja)

 

2. Pemilikan Harta

  • Harta individu, bersama dan negara

  • Tidak boleh terkumpul pada orang kaya sahaja, ataupun diambil dengan cara batil

  • Zakat, hukum warisan, sedeqah, infaq, waqaf dll mengagihkan kekayaan dikalangan masyarakat

 

3. Peranan pasaran dan kerajaan

  • Pasaran adalah penetap harga yang utama

  • Peranan kerajaan:

  1. Campurtangan bila perlu, dengan tidak menzalimi

  2. Jaminan sosial pada yang memerlukan

  3. Merencana perjalanan ekonomi

 

 TOP

 


 

[1] John Black, Oxford Dictionary of Economics, Oxford University Press, 2003, ms. 135

[2]  Parkin, Micheal, Microeconomics 3rd Ed, Addison Wesley, 1996, ms. 8

[3] Afzalur Rahman, Doktrin Ekonomi Islam, Jilid 1, P.T. Dana Bhakti Wakaf, 1995, ms. 1

[5] Falsafah berasal dari Tamadun Sumeria dan Greek, untuk maklumat lanjut rujuk Harun Yahya, Fascism: The Bloody Ideology Of Darwinism, Saba Islamic Media, 2003, ms. 34-35. Buku-buku Harun Yahya juga boleh didapati online di:

http://www.harunyahya.com/html/m_book_index.htm

[6]  Harun Yahya, Fascism: The Bloody Ideology Of Darwinism, ms. 33

[10] Harun Yahya, The Disasters Darwinism Brought to Humanity, ms. 13-14 yang menerangkan sejarah teori evolusi yang berakar umbi dari Tamadun Mesopotamia dan Greek dan dikaji semula oleh seorang ahli biologi Perancis pada kurun ke-18 (semasa Age of Enlightment) dan dihidupkan oleh Darwin pada kurun ke-19

[11] Harun Yahya, The Disasters Darwinism Brought to Humanity, ms. 10. Bagi maklumat lanjut mengenai implikasi teori evolusi rujuk ms. 13-25

[12]  Harun Yahya, The Disasters Darwinism Brought to Humanity, ms. 23

[14]  Sloman, John, Economics 3rd Ed, Prentice Hall, 1997, ms. 19

[15]  Sloman, John, Economics 3rd Ed, ms. 15

[17]  http://en.wikipedia.org/wiki/Capitalism (rujuk Distribution of wealth)

[18]  Dinukil dari Tareq el-Diwany, The Problem with Interest, Ta-Ha Publishers, 1997, ms. 138

[19] http://en.wikipedia.org/wiki/Capitalism (rujuk Employment/Unemployment)

[21] Harun Yahya, Communism in Ambush, Global Publishing, 2003, ms. 26

[23] Sloman, John, Economics 3rd Ed, ms. 16

[24] Harun Yahya, Communism in Ambush, ms. 42

[25] Harun Yahya, Communism in Ambush, ms. 62

[26] Parkin, Micheal, Microeconomics 3rd Ed, Addison Wesley, 1996, ms. 564

[27]  Kitab At-Tawheed Explained, Imam Muhammad Ibn Abdul Wahhab as compiled and translated by Sameh Strauch, International Islamic Publishing House, 2000.

[28] Al-Quran: Az-Zariyaat 51:56-58

[29] Al-Quran: As-Sajdah 32:05

[30] Al-Quran: Al-An`am 6:165

[31] Al-Qur’an: Al-Hadid 57:07

[32] Al-Quran: Al-Furqan 25:67

[33] Yusuf al-Qaradhawi, Masyaratkat Berbasis Syariat Islam, Jilid 2, Era Intermedia 2003, ms. 141-142

[34] Muhammad Akram Khan, An Introduction To Islamic Economics, IIIT, 1994, ms. 45

[35] Al-Qur’an: Fussilat 41:10

[37] Al-Qur’an: Al-Israa’ 17:31

[38] Al-Quran: Al-Mulk 67:15

[39] Al-Quran: Al-Hujuraat 49:13

[40] Adiwarman Azwar Karim, Sejarah Pemikiran Ekonomi Islam, IIIT Indonesia, 2002, ms.72

[41] Muhammad Akram Khan, An Introduction To Islamic Economics, ms. 45

[42] Al-Qur’an: Al-Hasyr 59:07

[43] Al-Quran: An-Nisa 4:29

[44] Abdul Azim Islahi, Economic Concepts of Ibn Taimiyyah, The Islamic Foundation, 1996, ms. 113-117

[45] Al-Qur’an: Al-Ahqaf 46:19

[46] Yusuf al-Qaradhawi, Masyaratkat Berbasis Syariat Islam, Jilid 2, ms. 85

[47] Riwayat Abu Daud dalam bab jual beli dan sewa menyewa, dengan lafaz “Orang muslim berserikat…”, hadis no: 3477 dinukil dari Yusuf al-Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, Robbani Press, 1995, ms. 125

[48] Untuk penerangan lanjut sila rujuk Yusuf al-Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, ms. 127-130

[49] Abdul Azim Islahi, Economic Concepts of Ibn Taimiyyah, ms. 117

[50] Al-Quran: Az-Zukhruf 43:32

[51] Al-Quran: al-Ma‘arij 70:19-25

[52] Abdul Azim Islahi, Economic Concepts of Ibn Taimiyyah, ms. 88

[53] Abdul Azim Islahi, Economic Concepts of Ibn Taimiyyah, ms. 100. Ibn Taimiyyah telah menerangkan mekanisme pasaran ini jauh lebih awal dari perkembangan di barat. Bandingkan dengan saranan Adam Smith pada tahun 1776.

[54] Adiwarman Azwar Karim, M.A., Sejarah Pemikiran Ekonomi Islam, IIIT Indonesia, 2002, ms. 29

[55] Diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah, hadis no: 1041, dinukil dari Yusuf al-Qaradhawi, Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, ms. 191

[56] Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmidzi dan al-Hakim dari Ibnu ‘Umar. Juga riwayat Ahmad, al-Nasa’i dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah. Shahih al-Jami’ ash-shaghir, hadis no: 7251, dinukil dari Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, ms. 192

[57] Afzalur Rahman, Doktrin Ekonomi Islam, Jilid 1, ms. 169

[58] Yusuf al-Qaradhawi, Masyaratkat Berbasis Syariat Islam, Jilid 2, ms. 107

[59] IIIT, Islamization of Knowledge (General Principles and Work Plan), 3rd Ed, 1997, ms.3