Saya ditanya tentang buku
Rihlah
Ibn Batutah.
Khasnya berkaitan tohmahan buku ini terhadap Ibn Taimiyyah.
Lalu kisah yang berbentuk tohmahan itu dijadikan alasan oleh
sesetengah pihak untuk mencerca Ibn Taimiyyah. Ramai pula
yang menjadi keliru. Apatah lagi buku ini sedang laris di
pasaran dan dibeli oleh mereka yang meminati agama.
Saya katakan, pada asasnya membaca berbagai bahan adalah
suatu tabiat yang baik. Orang yang luas pembacaannya, luas
juga pandangannya. Namun bagi setiap buku ada penilaian
terhadapnya, terutamanya di sudut ketepatan dan kebenaran.
Tulisan ini saya tulis secara ‘segera’ dan ringkas mengulas
mengenai buku tersebut, khasnya mengenai tohmahan Ibn
Batutah
rahimahullah
terhadap Ibn Taimiyyah
rahimahullah
(w.728H).
Ibn Batutah menjadi terkenal kerana karya mengenai
kembaranya yang dikenali dengan nama
Rihlah Ibn Batutah.
Dalam tulisan tersebut dicatatkan sejarah atau kisah
pengembaraan dan pelayaran beliau ke berbagai negera.
Tulisan itulah membawa beliau dikenali
ramai.
Di samping menghargai karya tersebut, kita juga perlu akur
bahawa terbukti dalam beberapa hal karya tersebut kurang
teliti dan amanah. Apatah lagi Ibn Batutah - semoga
Allah
merahmatinya dan mengampuninya - bukan terdiri di kalangan
ahli periwayatan yang dipegang riwayatnya. Banyak perkara
yang disebutkan dalam karya tersebut mendedahkan adanya
unsur ketidak telusan dalam menghidangkan sesuatu kisah.
Justeru itu kita dapati, catatan tersebut tidak dianggap
sebagai rujukan muktabar dalam bidang sejarah. Ramai
pengkaji dan
muhaqqiq
(peneliti)
mengkritik dan membongkarkan penyelewengan fakta yang
terkandung dalamnya. Antara
muhaqqiq
tersebut ialah
Hasan al-Saih,
di mana
ketika memberi aluan kepada kitab
Taj al-Mafriq fi Tahliyyah ‘Ulama` al-Masyriq
menyatakan bahawa Ibn Batutah kemungkinan hanya mendengar
nama tokoh-tokoh ulama tertentu di negeri-negeri yang
dilawati, lalu dia menyebut nama mereka seakan-akan dia
benar-benar berjumpa sekalipun dia tidak bertemu sendiri
dengan mereka. Sebaliknya sekadar mengambil cerita daripada
orang lain.
Kisah kembara Ibn Batutah yang ditulis itu,
mempunyai banyak cerita yang bersifat dongeng yang
digambarkan seakan Ibn Batutah melihatnya sendiri. Antaranya
cerita dia melawat beberapa pulau dan negeri yang
wanita-wanitanya hanya mempunyai satu
buah dada.
Dalam buku Hayat Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah,
penulisnya, iaitu seorang tokoh ulama Syam terbilang
bernama Muhammad Bahjah al-Baitar, menyatakan bahawa buku
kembara Ibn Batutah penuh dengan cerita pelik lagi tidak
masuk akal dan palsu. Cerita ini diambil daripada orang
ramai yang dia dengar di negeri-negeri yang dia kunjungi
tanpa sebarang penilaian. Umpamanya beliau menyatakan di
tengah Masjid Umawi di Damsyik ada kubur Nabi Zakaria
‘alahissalam, sedangkan yang diketahui ianya adalah
kubur Yahya ‘alahissalam.
Juga dakwaan kononnya dia membaca di dalam Fadail
al-Dimasyq daripada Sufyan al-Thauri bahawa solat di
Masjid Damsyik sama dengan pahala tiga puluh ribu solat.
Kita tahu bahawa perkara seperti ini tidak boleh dibuat
dengan andaian akal. Orang yang seperti Sufyan al-Thauri
rahimahullah, seorang tokoh ilmuan yang masyhur pada
generasi awal, tidak akan membuat dakwaan seperti ini
yang tidak mempunyai sebarang dalil. Dakwaan ini telah
melebihkan Masjid Damsyik ke atas Masjid Nabi dan Masjid
al-Aqsa. Kedua-dua masjid tersebut pun tidak sampai ke
darjat yang seperti ini. Mustahil tokoh hadith yang warak
seperti Sufyan al-Thauri membuat dakwaan ini, melainkan satu
pembohongan terhadapnya. Apatah lagi Masjid Damasyq belum
wujud pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.
Bahkan Ibn Batutah mengakui fadilat bernazar untuk
kubur-kubur utama jika seseorang dalam kesusahan dipukul
angin kencang di tengah lautan. Sedangkan dalam keadaan
tersebut golongan musyrikin pun akan terus berdo`a kepada
Allah tanpa sebarang syirik. Firman Allah:
Dalam pada itu, apabila mereka (orang musyrikin) naik
bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka
memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus
ikhlas kepada-Nya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan
mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya.
[al-Ankabut 29:65]
Ada kemungkinan ketidak telusan itu bukan berpunca
dari Ibn Batutah rahimahullah (semoga Allah
merahmatinya) sendiri. Barangkali telah berlaku
penyelewengan terhadap tulisan beliau. Ini mungkin datang
dari penyalin semula tulisan tersebut. Jika diteliti,
sebenarnya orang yang menulis buku Rihlah Ibn Batutah
yang ada di tangan kita sekarang bukanlah Ibn Batutah
sendiri. Orang yang menulis buku tersebut ialah Ibn Juzzi
al-Kalbi, seorang penulis dari Maghribi yang memberikan
pendahuluan yang panjang untuk buku tersebut. Justeru itu
pada awal tulisannya, setelah memuji Allah, beliau telah
memuji sultannya iaitu Abu ‘Inan, pemerintah Fas, Maghribi.
Beliau menyifatkan sultannya sebagai “bayangan Allah yang
memanjang untuk manusia, tali Allah yang mesti dipegang,
mentaatinya adalah digabungkan diri..” sehinggalah beliau
menceritakan bagaimana Ibn Batutah bertemu dengan sultan
tersebut.
Pada akhir buku tersebut beliau menyebut perkara yang
benar-benar menimbulkan keraguan, iaitu “inilah apa yang aku
ringkaskan dari coretan al-Syeikh Abi ‘Abd Allah Muhammad
bin Batutah”. Kenyataan ini menunjukkan bahawa buku asal
memang ditulis oleh Ibn Batutah. Cuma yang ada di tangan
kita ialah ringkasan dan suntingan. Lebih dari itu, ia juga
menunjukkan bukan Ibn Batutah yang menceritakan secara
langsung kepada Ibn Juzzi, sebaliknya beliau mengambil dari
nashkah Ibn Batutah dan meringkas atau menyuntingkannya.
Justeru itu tokoh pengkaji manuskrip Dr. Yusuf Zaidan
menyatakan: “Bukan sesuatu yang tepat untuk menyatakan
bahawa Ibn Batutah sebagai penulis (buku tersebut).”
(lihat:
Dr Yusuf Zaidan, Al-Janib al-Dablumasi fi Rihlatai: Ibn
Batutah wa Khair al-Din al-Tunusi,
www.zeidan.com).
Sama ada Ibn Juzzi al-Kalbi atau Ibn Batutah sendiri, yang
pasti buku tersebut banyak
memiliki
unsur ketidak telusan faktanya. Antara ketidak telusan buku
tersebut, dakwaannya
terhadap Ibn Taimiyyah rahimahullah kononnya:
Ketika aku berada di Damsyik, aku menghadiri Ibn Taimiyyah
pada hari Jumaat. Ketika itu dia sedang menasihati dan
mengingatkan orang ramai di atas mimbar Masjid Damsyiq.
Antara ucapannya: “Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia
seperti aku turun ini”, dan dia pun turun satu tangga demi
satu tangga mimbar.
Banyak pihak yang kurang cermat telah terpengaruh dengan
cerita bohong ini. Mereka menjadikannya alasan untuk
memfitnah Ibn Taimiyyah kononnya beliau menyamakan Allah
dengan dirinya. Sebahagian mereka mewarisi perkara ini tanpa
sebarang kajian. Mereka menuduh Ibn Taimiyyah
rahimahullah
sedangkan mereka tidak pernah pun meneliti
tulisan-tulisannya yang menjadi khazanah ilmu Islam yang
dipakai hampir di seluruh pusat pengajian Islam di dunia
sekarang. Mereka menerima tohmahan terhadap seorang tokoh
agung hanya semata-mata
disebabkan catatan seorang pengembara tanpa sebarang
kepastian.
Para ulama yang ikhlas telah bangun menjawab fitnah Ibn
Batutah ini. Antaranya apa yang ditulis
Muhammad
Bahjah al-Baitar dalam bukunya Hayat Syaikh al-Islam Ibn
Taimiyyah. Antara jawaban beliau yang panjang lebar itu:
Ibn Batutah sebenarnya tidak mendengar
perkara tersebut daripada Ibn Taimiyyah sama sekali. Ia
hanyalah satu pembohongan. Buktinya, dalam catatannya,
beliau sampai ke Damsyik pada hari Khamis, 19 Ramadhan tahun
726H, sedangkan Ibn Taimiyyah telah dipenjarakan pada awal
bulan Sya’ban tahun tersebut, dan terus berada dalam penjara
sehingga meninggal pada malam Isnin 20 Zul Qaedah tahun
728H. Bagaimana mungkin Ibn Batutah melihatnya?
Ibn Taimiyyah tidak pernah menjadi khatib Masjid Damsyik,
seperti yang didakwa oleh Ibn Batutah. Beliau tidak pernah
memberi nasihat atau kuliahnya kepada orang ramai di atas
mimbar masjid tersebut. Beliau hanyalah memberikan kuliah
pengajiannya di atas kerusi sahaja. Ini seperti yang disebut
oleh anak-anak muridnya yang menulis sejarahnya, antara
mereka al-Imam al-Zahabi.
Tulisan-tulisan Ibn Taimiyyah juga menafikan hal ini.
Antaranya pegangan akidah Ibn Taimiyyah yang dipetik oleh
Ibn Nasir al-Din al-Syafi’i dalam al-Radd al-Wafir:
“Mazhab Salaf, para imam yang empat dan selain mereka ialah
menitsbatkan (menetapkan sifat Allah) tanpa
tasybih (menyerupakan dengan sesuatu), mensucikan-Nya
tanpa ta’til (menghilangkan fungsi sifat). Tidak
boleh bagi seseorang meletakkan sesuatu pegangan atau
`ibarah (huraian atau rangkaian ucapan) daripada dirinya
sendirinya. Bahkan dia hendaklah mengikut dalil, bukan
membuat bid`ah”.
Di sana ada lagi jawapan-jawapan yang dinyatakan
oleh al-Syeikh Muhammad Bahjah al-Baitar, sesiapa yang
inginkannya
boleh merujuk kepada kitab tersebut.
Demikian juga muhaqqiq Rihlah Ibn
Batutah sendiri, Dr. ‘Ali al-Muntasir.
Beliau
mengulas kisah tersebut:
Ini semata-mata pembohongan terhadap
al-Syeikh Ibn Taimiyyah. Beliau ditangkap di Penjara Damsyik
sebulan sebelum ketibaan Ibn Batutah. Sejarawan telah
sepakat bahawa dia dikurung di Penjara Damsyik kali yang
akhir pada 6 Sya’ban tahun 726H dan tidak keluar melainkan
setelah meninggal. Sedang Ibn Batutah menyebut dalam
kitabnya dia sampai ke Damsyik pada 9 Ramadhan.
Setelah
kita mengetahui hal ini, apakah wajar kita menerima sesuatu
cerita yang mentohmah seorang muslim, apatah lagi seorang
sarjana muslim hanya semata-mata disebabkan berita yang
dipertikaikan. Lupakah kita kepada firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seseorang
fasik membawa berita, maka selidikilah, agar kamu tidak
menimpakan (hukuman) kepada sesuatu kaum dengan secara
jahil, lalu kamu akan menyesal.
[al-Hujurat 49:6]
Al-Imam
Ibn al-Salah rahimahullah (w.643H) dalam kitabnya
`Ulum al-Hadith berkata:
Entah berapa ramai di kalangan ulama yang telah melangkah
kaki mereka ke dalam syurga sejak seratus atau dua ratus
tahun yang lalu, sedangkan kamu menyebut dan mengumpat
mereka.
Apakah
boleh kita terima cerita seorang pengembara dengan melupai
apa yang disebut oleh tokoh-tokoh agung umat mengenai Ibn
Taimiyyah. Mereka memuji dan menyebut keagungan ilmunya.
Antaranya:
-
Al-Hafizd al-Zahabi
rahimahullah (w.748H), seorang tokoh agung dalam
Ilmu Hadith -yang juga merupakan murid Ibn Taimiyyah -
menyenaraikan gurunya itu di dalam kitabnya Tazkirah
al-Huffaz yang dikhaskan untuk para hafiz dalam
hadith. Beliau memuji Ibn Taimiyyah dengan pujian yang
sangat hebat juga menggelarnya dengan gelaran Syeikh
al-Islam, antara lain katanya:
Ibn Taimiyyah: seorang syeikh, imam, al-`allamah (sangat
alim), al-hafiz (dalam hadith), seorang yang kritis,
mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau adalah
Syeikh al-Islam….dari lautan ilmu, dari para cendikiawan
yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar dicari, dari
tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh
penyokong dan penentang.
Ibn Taimiyyah terus dipenjara sehingga kembali ke rahmat
Allah. Kepada Allah juga kembali segala urusan. Dia
memerhatikan mereka yang khianat dan apa yang disembunyikan
di dalam dada. Hari kematian Ibn Taimiyyah itu menjadi
bukti, manusia memenuhi jalan menyambut jenazahnya, orang
Islam datang dari serata pelusuk. Mereka mengambil
keberkatan dengan menghadiri jenazahnya, pada hari yang
ditegakkan bukti, mereka semua ingin memegang kerandanya
sehingga patah kayunya …… Ibn Taimiyyah imam kepada semua
para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan
ulama, pewaris para anbiya.
Sehinggalah beliau juga menggelarnya sebagai “Syeikh
al-Islam”.
Ibn Taimiyyah, seorang syeikh, imam, al-`allamah (sangat
alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang
penafsir al-Quran yang mahir, Syeikh al-Islam, lambang
golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini ……
salah seorang tokoh terbilang …… memberi perhatian dalam
bidang hadith, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu
rijal (para perawi), `illal hadith (kecacatan
tersembunyi hadith) juga fiqh hadith, ilmu-ilmu Islam, ilmu
kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada
cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh
yang tiada tandingan.
Banyak
lagi pujian untuk Ibn Taimiyyah oleh tokoh-tokoh ilmuan
Islam jika ingin dipetik. Apakah patut mereka memujinya jika
dia benar-benar mengucapkan seperti apa yang disebutkan oleh
Ibn Batutah? Apakah mereka yang merupakan sejarahwan besar
tidak sampai kepada mereka kisah yang disebut oleh Ibn
Batutah, sedangkan kisah itu berlaku di khalayak ramai? Ini
hanyalah senarai dongengan dan khayalan kembara Ibn Batutah
semata.
Lihat apa
kata para pengkaji Ibn Taimiyyah zaman kini, antaranya
Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi dalam bukunya yang
ditulis khas mengenai sejarah perjuangan Ibn Taimiyyah
sebagai tokoh pemikir dan dakwah yang terbilang, bertajuk “Al-Hafiz
Ahmad bin Taimiyyah:
Sesungguhnya al-Imam Ibn Taimiyyah telah bangkit menjawab
Syi`ah dalam banyak tempat dalam buku-bukunya. Dia telah
benar-benar menunaikan tanggungjawab dengan kuatnya
mempertahankan sunnah, aqidah ahli sunnah, al-khulafa
al-rasyidin dan para sahabah yang mulia radhiallahu
'anhum.
Demikian
juga, terdapat banyak tokoh yang mengambil manfaat dari
karya Ibn Taimiyyah. Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut dalam
bukunya Kaifa Nata`amul ma`a al-Sunnah:
Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat
yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling
hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada
pemikiranku.
Saya
pernah menyebut dan saya ulangi di sini, bahawa sebenarnya
golongan yang ingin supaya orang ramai menghukum Ibn
Taimiyah sesat, kufur dan seumpamanya itu sedar, bahawa jika
langkah ini berjaya maka sebahagian besar tokoh-tokoh umat
dapat dileburkan, dan khazanah umat dapat dihancurkan.
Antara murid terbesar Ibn Taimiyyah ialah al-Imam Ibn Kathir
rahimahullah (w.774H), yang terkenal dengan kitabnya
Tafsir al-Quran al-`Azim atau dikenali dengan
Tafsir Ibn Kathir. Bacalah buku al-Tafsir wa
al-Mufassirun, karangan al-Syeikh Husain al-Zahabi,
dalamnya diceritakan bagaimana Ibn Kathir begitu mencintai
gurunya, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan banyak berpegang
dengan fatwanya. Kemunculan al-Imam Ibn Kathir, al-Imam
al-Zahabi, al-Imam Ibn al-Qayyim (w.757H) dan lain-lain
adalah antara sumbangan besar Ibn Taimiyyah dalam bidang
kesarjanaan Islam. Musuh-musuh ahli sunnah mengetahui hal
ini, lalu mereka berusaha merobohkan khazanah ini.
Al-Nadwi juga menyebut perkara
ini dengan katanya:
Ahli bid`ah dan
hawa nafsu yang dahulu cuba untuk menonjolkan diri sebagai
bermazhab ahli sunnah, untuk menipu para pemerintah dan
hakim (agar menangkap Ibn Taimiyah). Sebaik sahaja berjaya
penipuan mereka, maka nampaklah kejahatan mereka pada orang
ramai dan mulalah mereka menonjol dan tidak bersembunyi
lagi.
Sekali saya katakan Syeikh
al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah telahpun pergi
menemui Allah sejak tujuh ratus tahun lalu. Hidupnya dahulu
dibaluti dengan perjuangan yang penuh ikhlas. Para ulama
hadith dan mereka yang mengenalinya memuji dan
menghormatinya, seperti yang telah saya nyatakan dalam
tulisan ini, bahkan lebih dari itu. Sesiapa yang menghina
dan mencerca Ibn Taimiyyah pada zaman ini, akan berdiri
bertanggungjawab di hadapan mahkamah Allah Yang Maha Adil di
akhirat. Mereka mesti bertanggungjawab di atas segala
perkataaan yang dilempar kepada tokoh ulama yang mulia ini,
yang menyampaikan ilmu, menulis, berjihad dengan pedang
menentang tentera kuffar Monggol dan berbagai jasanya
yang tidak mampu disukat. Semoga Allah memelihara kita semua
dari kegelinciran. Adapun Ibn Batutah, itu adalah urusan dia
dengan Allah.
TOP
|