Menganalisa dan Menjawab Lima Alasan Mereka yang Menolak Penurunan ‘Isa Pada Akhir Zaman. 

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Pengenalan

Alasan Pertama

Alasan Kedua

Alasan Ketiga

Alasan Keempat

Alasan Kelima

 

 

Kandungan

 

 

 

Alasan Pertama:

 

Hadis-hadis yang menerangkan penurunan Nabi ‘Isa ‘alaihissalam bersifat hadis ahad. Tidak boleh berpegang kepada hadis ahad dalam persoalan yang melibatkan aqidah.

 

Analisa dan Jawapan:

Alasan di atas dapat kita jawab dari dua sudut. Pertama, pendapat yang mendakwa hadis ahad tidak boleh dijadikan pegangan dalam persoalan aqidah adalah pendapat orang-orang mutakhir yang tidak memiliki penguasaan sepenuhnya dalam bidang hadis. Sila rujuk artikel Kedudukan Hadis Ahad: Dari zaman awal Islam sehingga kini dalam buku ini.

 

Kedua, mendakwa hadis-hadis yang wujud dalam sesuatu persoalan sama ada bersifat hadis ahad atau mutawatir adalah tugas para ahli hadis sahaja. Seseorang yang bukan ahli hadis, apatah lagi jika hanya sekadar seorang pemikir dan modernis, tidak boleh dengan sewenang-wenangnya mendakwa sesuatu persoalan itu hanya didasari oleh hadis ahad. Dakwaan bahawa persoalan penurunan Nabi ‘Isa ‘alaihissalam hanya didasari oleh hadis ahad adalah bukti terbaik bagi membenarkan poin kedua ini.

 

Ketahuilah bahawa hadis-hadis yang menerangkan penurunan Nabi ‘Isa ‘alaihissalam pada akhir zaman adalah hadis mutawatir. Berkata al-Imam al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (774H) ketika menafsirkan ayat 61 surah al-Zukhruf:

Dan sungguh telah mutawatir hadis-hadis daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam berkenaan khabar penurunan ‘Isa ‘alaihissalam sebelum Hari Kiamat sebagai seorang imam yang adil lagi menghukum secara saksama. [Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1999), jld. 4, ms. 120]

 

Perkataan Ibn Katsir ini dibenarkan oleh sekian ramai ahli hadis dahulu dan kini. Terdapat beberapa rujukan khusus yang menerangkan sifat mutawatir hadis-hadis penurunan Nabi ‘Isa ‘alaihissalam. Antaranya:

  1. al-Taudhih fi Tawaturi ma Ja’a fi al-Muntazhar wa  al-Dajjal wa al-Masih oleh al-Imam al-Syaukani (1252H).

  2. Iqamah al-Burhan ‘ala Nuzul ‘Isa fi Akhir al-Zaman oleh Syaikh Ahmad Shiddiq al-Ghumari.

  3. al-Tashrih bi ma Tawatur fi Nuzul al-Masih oleh Syaikh Muhammad Anwar al-Kasymiri.

  4. Qishah al-Masih al-Dajjal ila Nuzuli ‘Isa ‘alahi salam Waqatlihi Iyyahu oleh Syaikh Nasr al-Din al-Albani.

 

Para ahli hadis di atas telah membuktikan bahawa hadis-hadis penurunan Nabi ‘Isa ‘alaihissalam pada akhir zaman bersifat mutawatir. Ia diriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam oleh lebih 12 orang sahabat. Sengaja penulis tidak menyalin hadis-hadis tersebut dalam artikel ini kerana ia akan mengambil ruang yang banyak.

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah