Aurat dan Pakaian Wanita: Satu Analisa Ke Atas Artikel

“Memahami Aurat Wanita” karangan Zainudin Idris. 

Hafiz Firdaus Abdullah


 

 

Pengenalan

Memahami Aurat Wanita

Analisa Artikel

Hasil Analisa

 

Kandungan

 

 

 

Analisa Ke Atas Artikel

“Memahami Aurat Wanita” karangan Zainudin Idris.

 

 

Disebut dalam perenggan pertama:

Pertikaian mengenai hukum aurat dan pakaian wanita sebenarnya telah lama berlaku di kalangan umat Islam. Setiap golongan bermati-matian dengan pegangan masing-masing tanpa menganalisis secara teliti sumber asal al-Quran, sunah dan ijmak para ulama. Selain itu mereka tidak merenungi tentang apakah hikmat yang terkandung dalam risalah Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wassalam yang begitu umum dengan kitab suci al-Quran yang amat berhikmat lagi maha agung. Al-Quran diturunkan bukan untuk orang Arab sahaja malah untuk manusia sejagat.

 

Analisa:

Sejauh kajian penulis, yang wujud bukanlah pertikaian sehingga ke tahap bermati-matian akan tetapi sekadar perbezaan pendapat di mana setiap tokoh yang cenderung kepada satu pendapat bersikap toleran terhadap pendapat yang lain. Ini kerana wilayah perbezaan tersebut tidak besar sehingga melibatkan hukum pokok agama tetapi kecil sekadar melibatkan tahap batasan aurat. Mereka semua bersepakat bahawa tubuh badan wanita adalah aurat yang wajib ditutup. Mereka hanya berselisih terhadap tiga anggota iaitu muka, telapak tangan dan telapak kaki – adakah ia wajib ditutup juga. Perbezaan ini disebut juga oleh saudara Zainudin ketika menukil pendapat Ibn ‘Arabi dalam dalam artikel asal beliau, perenggan ke 19 dan 20:

 

“Sebahagian ulama mengatakan keseluruhan tubuh perempuan aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Ada pula ulama yang mengatakan demikian dengan tambahan tapak kakinya tidak termasuk aurat. Ada yang mengatakan perempuan keseluruhannya aurat.”

 

Setiap tokoh yang cenderung kepada salah satu daripada tiga pendapat ini memiliki dalil dan hujah sebagaimana yang tercatit di dalam kitab-kitab fiqh mereka. Penulis tidak akan menyalinnya di sini kerana ia akan mengambil ruang yang besar. Namun yang penting ketiga-tiga pendapat ini memiliki dasarnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah dan ia bukanlah semata-mata “pegangan masing-masing tanpa menganalisis secara teliti sumber asal al-Quran, sunah dan ijmak para ulama” sebagaimana dakwa saudara Zainudin.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 3 dan 4:

Imam Waliyullah memberi takrif aurat di dalam kitab Hujjatullah al-Balighah pada halaman 688, jilid 2; beliau berkata:

 

“Ketahuilah bahawa menutup aurat, saya maksudkan ialah anggota-anggota yang mendatangkan keaiban dengan sebab ia terbuka di hadapan khalayak ramai mengikut adat umat yang sederhana hidupnya seperti yang terdapat pada bangsa Quraisy pada masa itu, ia termasuk di dalam pokok (asas) tamadun yang diakui di sisi setiap golongan yang dinamakan manusia, dan ia di antara perkara yang membezakan manusia daripada sekalian pelbagai jenis haiwan. Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/belakang), dua buah kemaluan, ari-ari dan bahagian anggota yang mengiringinya termasuk pangkal kedua-dua paha dikira yang paling jelas dari segi agama bahawa ia termasuk ke dalam bahagian aurat.”

 

Analisa:

Daripada kata-kata di atas, kelihatan bahawa aurat manusia yang diwajibkan oleh syari‘at untuk ditutup ialah kemaluan depan dan belakang. Benarkah yang sedemikian merupakan pendapat Imam Waliyullah? Rujukan penulis kepada kitab Hujjah Allah al-Balighah (Dar al-Ma’rifah, Beirut 1997) jld. 2, ms. 219-222 karangan al-Imam Syah Waliy Allah ibn ‘Abd al-Rahman al-Dahlawi (seterusnya disebut dengan singkatan al-Imam al-Dahlawi) membuahkan hasil yang berlainan.

Daripada penjelasan al-Imam al-Dahlawi yang sepanjang 3 mukasurat, saudara Zainudin hanya mengambil satu perenggan yang letaknya di separuh kedua. Agaknya apa kata al-Imam al-Dahlawi di separuh pertama? Di sini penulis tidak akan menterjemah ke semuanya kerana ia amat panjang. Akan tetapi penulis akan kemukakan poin-poin penting daripada perkataan al-Imam al-Dahlawi.

Al-Imam al-Dahlawi memulakan perbahasannya tentang aurat wanita dengan menjelaskan bahawa apabila seorang lelaki memandang kepada aurat wanita, ia akan menimbulkan syahwat yang akhirnya membawa kepada perkara-perkara maksiat. Atas dasar ini maka syari‘at Islam menggariskan beberapa cara untuk menutup jalan-jalan yang boleh membawa kepada syahwat dan kemaksiatan ini. Antara cara tersebut adalah:

  1. Tempat wanita adalah di rumah. Mereka hanya keluar apabila terdapat keperluan yang mendesak. Dalilnya ialah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam yang bermaksud: Seorang wanita adalah aurat, maka apabila dia keluar daripada rumahnya syaitan akan menghias-hiaskannya.” Juga firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu [surah al-Ahzab 33:33]

  2. Wanita memakai jilbab (tudung) dan tidak menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami dan mahramnya sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Nur 24 ayat 31. Rukhsah (kelonggaran) diberikan kepada (a) wajah sebagai bentuk pengenalan dan (b) tangan kerana ia banyak membuat kerja. Selain itu rukhsah juga diberi kepada wanita tua yang sudah tiada daya tarikan.

  3. Tidak boleh berdua-duan (khalwat).

  4. Tidak boleh memandang aurat sesama jantina. Lelaki tak boleh pandang aurat lelaki, wanita tak boleh pandang aurat wanita.

  5. Tidak boleh sesama jantina tidur satu “pakaian”, yakni tidur satu selimut bersama-sama. Poin ke 4 & 5 ini untuk mengelakkan kemaksiatan sesama jantina seperti gay & lesbian.

Demikian ringkasan daripada keterangan al-Imam al-Dahlawi. Jelas daripada keterangan beliau bahawa aurat wanita bukanlah kemaluan depan belakang sahaja tetapi semua anggota tubuh badan kecuali muka dan tangan. Sekarang tibalah kita ke perenggan yang dinukil dan diterjemahkan oleh saudara Zainudin. Perhatian kita ditumpukan kepada satu ayat yang diterjemah oleh Zainudin sebagai: “Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/belakang), dua buah kemaluan………”

Sengaja atau tidak, saudara Zainudin telah meninggalkan huruf “waw” sebelum perkataan “dua kemaluan”. Terjemahan harfiah daripada teks Arab yang sebenar ialah: “Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut dan dua kemaluan manusia (qubul/depan dan dubur/belakang) dan dua buah kemaluan…”

Sekalipun kita biasa menterjemah huruf “waw” sebagai “dan”, yang benar di dalam ilmu bahasa Arab huruf “waw” memiliki 5 peranan. Peranan huruf “waw” di dalam ayat di atas adalah untuk memberi tumpuan atau penekanan (emphasis) sehingga terjemahannya dalam bahasa kita adalah: “Dengan sebab itu syariat mewajibkan menutup aurat tersebut, khasnya dua kemaluan manusia…..”

 

Ini seumpama firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud:

 

Sesiapa memusuhi Allah dan memusuhi Malaikat-malaikat-Nya dan Rasul-rasul-Nya, (waw) khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.[al-Baqarah 2:98]

 

Jika diperhatikan ayat di atas, Allah menggunakan kata dan untuk malaikat Jibril dan Mikail. Kenapakah demikian padahal Allah Subhanahu wa Ta'ala telahpun menyebut makhluk malaikat-malaikat-Nya sebelum itu? Sebabnya adalah kerana Allah ingin memberi penekanan kepada dua orang malaikat yang khusus di antara semua malaikat, iaitu Jibrail dan Mikail.

Justeru daripada kajian kita ke atas keseluruhan penjelasan al-Imam Waliyullah al-Dahlawi, jelas bahawa bagi beliau aurat wanita adalah sesuatu yang boleh membuka jalan ke arah kemaksiatan lagi mendedahkan aib kepada orang ramai. Oleh itu aurat tersebut wajib ditutup, mewakili seluruh tubuh badan wanita kecuali muka dan telapak tangan. Jauh sekali daripada pendapat al-Imam Waliyullah al-Dahlawi bahawa aurat wanita yang wajib ditutup hanya kemaluan depan dan belakangnya.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 6:

Asal hukum menutup aurat di dalam syarak difaham daripada firman Allah taala di dalam surah al-A'raf, ayat 26. Allah berfirman: Wahai anak Adam sesungguhnya Kami turunkan pakaian yang menutup kemaluan kamu dan pakaian menutup seluruh tubuh dan pakaian takwa (sederhana) itu lebih baik.

 

Analisa:

Memang benar bahawa ayat yang membentuk asas dalam hukum menutup aurat ialah ayat 26 surah al-A’raaf. Akan tetapi merupakan tindakan yang salah untuk menjadikan ayat 26 surah al-A’raaf sebagai dalil menentukan aurat dan pakaian untuk para wanita. Ini kerana ayat 26 surah al-A’raaf hanya membentuk asas hukum secara umum manakala perinciannya perlu dirujuk kepada ayat-ayat yang lain dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam. Untuk kesempatan ini penulis akan kemukakan dua ayat al-Qur’an yang memperincikan keumuman ayat 26 surah al-A’raaf di atas.

 

Ayat pertama ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[surah al-Ahzab 33:59]

 

 

Ayat kedua ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:  

 

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.

[surah al-Nur 24:31]

 

Ayat pertama menyuruh Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam memerintah para isteri baginda dan semua perempuan beriman untuk melabuhkan pakaian sehingga menutup seluruh tubuh badan. Ayat kedua pula memerintahkan agar kain tudung yang sedia dipakai di kepala dilabuhkan ke hadapan agar menutup belahan leher dan dada. Kedua-dua ayat ini memperincikan aurat dan cara pakaian yang dikehendaki oleh syari‘at Islam untuk menutup aurat tersebut. Penulis merasa aneh mengapa saudara Zainudin tidak mengemukakan kedua-dua ayat ini untuk menepati tajuk artikelnya Memahami Aurat Wanita.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 9:

Sebenarnya para imam Islam telah pun menetapkan aurat yang wajib ditutup dan yang tidak wajib ditutup. Imam as-Syafii sebagai contoh mengikut adat resam Arab dan perasaan mereka yang mana kaum perempuannya suka menutup seluruh badan dan kaum lelakinya menutup sekadar tiga per empat badan. Imam Hanafi mengikut adat Ajam (Parsi) yang resamnya tidak jauh dengan Arab.

 

Analisa:

Di atas adalah satu kenyataan yang aneh lagi amat jauh daripada kebenaran. Para imam mazhab – semoga Allah merahmati mereka semua – tidak membicara apa-apa persoalan agama kecuali menjadikan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih sebagai dalil dan hujah. [rujuk buku penulis Pedoman-pedoman Bermazhab Dalam Islam (edisi baru) (Jahabersa, Johor Bahru 2004), ms. 55-59]

 

Demikianlah halnya dalam menetapkan batas aurat wanita yang wajib ditutup. Mereka tidak berhukum berdasarkan adat sesuatu masyarakat tetapi berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam. Para pembaca dijemput memerhatikan semula ayat-ayat di atas. Kedua-dua ayat 59 surah al-Ahzab dan ayat 31 surah al-Nur ditujukan kepada perempuan-perempuan yang beriman. Ia tidak ditujukan kepada perempuan daripada sesuatu bangsa atau suku kaum tertentu. Kedua-dua ayat ini membatalkan pendapat Zainudin yang mendakwa para imam mazhab menetapkan kewajipan aurat perempuan berdasarkan adat bangsa tertentu.

 

Kedua-dua ayat ini juga membatalkan pendapat kebanyakan para modernis dan aktivis wanita masa kini yang turut mendakwa bahawa memakai tudung untuk menutup aurat (menutup kepala, rambut dan dilabuhkan sehingga ke bawah dada) adalah ikutan adat masyarakat Arab semata-mata. Kedua-dua ayat di atas ditujukan kepada para wanita yang beriman dan sikap mereka terhadap kedua-dua ayat di atas bukanlah mencipta pelbagai dalih untuk menolaknya tetapi menerimanya dengan hanya berkata “Kami dengar dan kami taat”. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat; dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.

[surah al-Nur 24:51]

 

 

Disebut dalam perenggan ke 9:

Akan tetapi Imam Malik, guru kepada Imam as-Syafii menetapkan aurat mengikut adat resam orang-orang di sebelah Eropah. Dia membenarkan kaum lelaki menutup dua kemaluan sahaja dan begitu juga dengan kaum wanitanya. Jika terbuka buah dada dan belakang sekalipun dikirakan sembahyang mereka sah, apakah lagi di luar sembahyang.

 

Analisa:

Ini jelas adalah satu fitnah ke atas al-Imam Malik rahimahullah (179H). Setakat ini penulis tidak menemui mana-mana kitab fiqh Mazhab Maliki yang muktabar yang menerangkan sedemikian. Kita minta saudara Zainudin mengemukakan bukti yang jelas daripada mana-mana kitab fiqh yang muktabar dalam Mazhab Maliki untuk membenarkan dakwaannya itu. Sementara menunggu, para pembaca sekalian boleh mempertimbangkan beberapa poin di bawah ini:

  1. Manhaj fiqh al-Imam Malik ialah al-Qur’an, al-Sunnah dan amalan agama penduduk Madinah. Al-Imam Malik tidak pernah menjadikan adat orang Eropah sebagai manhaj fiqhnya. [rujuk buku The Origins of Islamic Law: The Qur’an, The Muwattha’ and Madinan ‘Amal oleh Yasin Dutton (Curzon Press, Surrey 1999)].

  2. Sepanjang hayatnya al-Imam Malik tidak pernah keluar dari Kota Madinah kecuali apabila hendak menunaikan amalan haji dan umrah.

  3. Di zaman al-Imam Malik orang Eropah juga tidak pernah menjejak kaki di atas bumi Madinah kerana ia termasuk tanah haram yang dilarang ke atas orang bukan Islam. Berdasarkan poin kedua dan ketiga ini, bagaimana mungkin dikatakan beliau mengikut adat Eropah? Perlu diingatkan bahawa pada zaman al-Imam Malik tidak ada media cetak, elektronik dan internet yang boleh menghubungkan beliau dengan budaya Eropah.

  4. Lebih terserlah, orang Eropah sendiri sama ada kaum lelaki atau perempuan kira-kira 1200 tahun, iaitu pada zaman al-Imam Malik, tidak berpakaian dengan hanya menutup kemaluan depan dan belakang sahaja.

Setelah membuat fitnah ke atas al-Imam Malik, saudara Zainudin seterusnya berkata: “Jika terbuka buah dada dan belakang sekalipun dikirakan sembahyang mereka sah, apakah lagi di luar sembahyang.”

Daripada kata-kata di atas, tidak ragu lagi bahawa aurat wanita yang patut ditutup mengikut saudara Zainudin hanyalah kemaluan depan dan belakang sahaja. Ini tidak berbeza dengan kaum pendalaman Afrika yang hanya memakai cawat. Dengan artikelnya yang berjudul Memahami Aurat Wanita, inilah aurat dan cara berpakaian yang cuba difahamkan oleh saudara Zainudin ke atas umat Islam. Kita berkata, jika saudara Zainudin ingin bercawat ke sana ke sini maka dipersilakan. Akan tetapi janganlah cuba membenarkannya di atas nama “Syari‘at Islam”.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 10:

Imam Abu Bakar al-Jassas di dalam kitab Ahkamul Quran, jilid 3, halaman tiga berkata: “Sesungguhnya telah bersetuju ummah bahawa apa yang ditunjukkan oleh ayat (al-Quran) adalah mesti menutup aurat.”

 

Analisa:

Di atas hanyalah nukilan sepatah daripada perkataan al-Imam Abu Bakar Ahmad bin ‘Ali al-Razi al-Jashshash rahimahullah (370H) daripada kitabnya yang masyhur Ahkam al-Qur’an. Seterusnya daripada perenggan 11 hingga 16, saudara Zainudin menukil sebahagian hujah-hujah al-Imam al-Jashshash tentang aurat lelaki. Manakala dalam perenggan ke 17 saudara Zainudin menukil sebahagian daripada ayat 31 surah al-Nur. Penulis merasa hairan, kenapakah dalam sebuah artikel yang memiliki judul Memahami Aurat Wanita, saudara Zainudin tidak menukil hujah-hujah al-Imam al-Jashshash tentang aurat dan pakaian wanita?

Tak mengapa, berikut penulis salin beberapa hujah beliau ketika menafsirkan ayat 31 surah al-Nur. Terhadap firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, berkata al-Imam al-Jashshash rahimahullah:

 

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, Mujahid dan ‘Atha’ tentang firman-Nya: “kecuali yang zahir daripadanya”, (mereka) berkata: “Apa yang ada (kelihatan) pada muka dan telapak tangan, warna telapak tangan dan celak mata.” Diriwayatkan yang seumpama daripada Ibn ‘Umar, demikian juga daripada Anas. Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas (beliau berkata): “Ia adalah telapak tangan, muka dan cincin.” Manakala A’isyah berkata: “Perhiasan zahir adalah gelang dan cincin yang tidak bermata.” Berkata Abu ‘Ubaidah: “Cincin tak bermata (dan) cincin.” Berkata al-Hasan: “Mukanya dan apa yang nampak dari pakaiannya.” Berkata Sa‘id bin al-Musayyib: “Mukanya dan apa yang nampak darinya.” Diriwayatkan oleh Abu al-Ahwash daripada ‘Abd Allah, beliau berkata: “Perhiasan itu ada dua, (pertama ialah) perhiasan batin yang tidak dilihat kecuali oleh suami – iaitu rantai, gelang dan cincin. (Kedua ialah) perhiasan zahir – iaitu pakaian.” Berkata Ibrahim: “Perhiasan zahir ialah pakaian.” [Ahkam al-Qur’an (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut), jld. 3, ms. 408]

 

Daripada penafsiran para sahabat dan tokoh generasi Salaf yang dinukil oleh al-Imam al-Jashshash, dapat kita ketahui bahawa perhiasan zahir seorang wanita yang tidak wajib untuk ditutupi ialah muka dan dua telapak tangannya serta alat-alat hias yang ada pada muka dan dua telapak tangan seperti celak dan cincin. Selain itu ada juga yang berpendapat bahawa perhiasan zahir seorang wanita adalah pakaiannya. Yang penting semua tafsiran ini menunjukkan bahawa seluruh tubuh badan wanita adalah aurat yang perlu ditutupi dengan pakaian kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Ini sebagaimana yang dirumuskan oleh al-Imam al-Jashshash: “Ini menjadi dalil bahawa wajah dan dua telapak tangan wanita bukanlah aurat.”

 

Terhadap firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud: dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, al-Imam al-Jashshash rahimahullah berkata:

 

Dikatakan bahawa yang dimaksudkan adalah baju al-Dar‘u (sejenis baju umpama baju kurung Melayu) yang memiliki belahan di bahagian lehernya. Apabila wanita memakai al-Dar‘u, ia mendedahkan dada dan leher. Maka Allah memerintah mereka untuk menutupnya dengan firman-Nya: “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka” (maksudnya hendaklah kain tudung kepala yang dipakai dilabuhkan ke depan agar menutup belahan dada dan leher). Di sini terdapat dalil bahawa dada wanita dan lehernya adalah aurat yang tidak boleh dilihat oleh orang lain. [Ahkam al-Qur’an, jld. 3, ms. 409]

 

Daripada nukilan di atas dapat diambil hukum bahawa dada dan leher wanita termasuk aurat yang wajib ditutupi. Lebih tepat, seluruh tubuh badan wanita adalah aurat kecuali muka dan telapak tangannya. Demikian rumusan daripada penjelasan al-Imam al-Jashshash yang tidak dinukil oleh saudara Zainudin.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 19 hingga 21:

Pada bahagian `Batas aurat perempuan' pula beliau berkata: “Sebahagian ulama mengatakan keseluruhan tubuh perempuan aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Ada pula ulama yang mengatakan demikian dengan tambahan tapak kakinya tidak termasuk aurat. Ada yang mengatakan perempuan keseluruhannya aurat.

Ada pun mazhab kami (Ibnu al-Arabi), aurat pada perempuan hanyalah dua kemaluannya sebagaimana Allah berfirman: Mulailah mereka menutup atas kedua mereka dengan daun dari syurga. (Al-A'raf, ayat 22). Allah menyamakan di antara Adam dan Hawa pada menutup aurat keduanya (iaitu dua kemaluan). Jika perempuan diarah menutup adalah mazhab kami, tetapi bukannya tutupan itu kerana aurat malahan itu adalah undang-undang syarak yang berkehendakkan menutup dan tidaklah pasti menutup sesuatu itu kerana ia aurat.

 

Analisa:

Di atas adalah nukilan daripada kitab Futuhat al-Makkiyyah karangan Ibn ‘Arabi rahimahullah (638H).  Yang sepatutnya menjadi perhatian kita adalah pendapat jumhur ulama’ berkenaan aurat wanita sebagaimana yang dinukil sendiri oleh Ibn ‘Arabi pada perenggan pertama. Sekalipun wujud perbezaan pendapat, perbezaannya adalah amat kecil. Ringkasnya pendapat jumhur terbahagi kepada tiga:

 

  1. Seluruh tubuh badan wanita adalah aurat kecuali muka dan telapak tangan.

  2. Seluruh tubuh badan wanita adalah aurat kecuali muka, telapak tangan dan telapak kaki.

  3. Seluruh tubuh badan wanita adalah aurat.

 

Adapun pendapat Ibn ‘Arabi bahawa aurat wanita hanyalah dua kemaluannya, itu adalah ijtihad beliau. Walaubagaimanapun ini tidaklah bererti Ibn ‘Arabi membolehkan kaum wanita bercawat sahaja. Perhatikan pada ayat terakhir di mana Ibn ‘Arabi tetap akur kepada pakaian yang menutup tubuh badan wanita sebagai salah satu tuntutan syari‘at. 

Jika ditinjau dengan lebih mendalam, sebenarnya tidak wujud perbezaan tentang batas pakaian yang minimum untuk kaum wanita Islam antara jumhur ulama’ dan Ibn ‘Arabi. Yang wujud hanyalah perbezaan dalam menilai “sebab” kenapa wanita patut menutup tubuh badan mereka. Jumhur ulama’ berpendapat sebabnya adalah kerana tubuh badan wanita adalah aurat. Ibn ‘Arabi pula berpendapat sebabnya adalah kerana tuntutan syari‘at. Justeru sekali lagi ditekankan, perbezaan yang wujud hanya dalam penilaian “sebab” dan bukan “batas” tubuh badan yang patut ditutup. Hal ini dapat dibuktikan secara praktikal juga. Di serata dunia terdapat ramai umat Islam yang cenderung kepada mengikut pendapat dan ijtihad mazhab tasawuf Ibn ‘Arabi. Akan tetapi kita tidak dapati seorang jua daripada mereka yang bercawat sahaja, sebaliknya mereka berpakaian menutup tubuh badan mereka sebagaimana juga umat Islam yang lain.

 

 

Disebut dalam perenggan ke 22:

Dengan huraian itu jelaslah bahawa walaupun segala nas, pendapat para ulama muhaqqiqin boleh dikatakan telah ittifak (bersepakat) dan ijmak mengakui bahawa aurat sebenar yang dikehendaki oleh Allah supaya manusia menutupnya itu hanyalah dua kemaluan (qubul dan dubur) sahaja sama ada pada kaum lelaki atau perempuan……

 

Analisa:

Secara zahir kelihatan di atas adalah kesimpulan saudara Zainudin. Ringkasnya beliau mendakwa para ulama telah bersepakat bahawa aurat yang wajib ditutup di sisi syari‘at Islam adalah dua kemaluan sahaja. Sejauh manakah kebenaran kesimpulan ini? Mari kita menilainya dari beberapa sudut:

  1. Sehingga kini nukilan-nukilan daripada kitab para ulama yang dikemukakan oleh saudara Zainudin tidak ada yang dilakukan secara benar. Wujud jenayah ilmiah dalam bentuk nukilan yang tidak lengkap atau terjemahan yang diselewengkan. Maka bagaimana mungkin saudara Zainudin berkata “dengan huraian itu jelaslah bahawa……” padahal tidak ada apa-apa nukilan dan huraian yang benar mahupun jelas daripada beliau.

  2. Dakwaan ijma’ hanyalah daripada saudara Zainudin semata-mata. Rujukan-rujukan yang dikemukakan olehnya tidak ada yang menyebut ijma’ dalam bab ini.

  3. Mustahil wujud satu ijma’ di sisi para ilmuan lalu ijma’ tersebut tidak pernah diamalkan oleh umat. Seandainya para ilmuan bersepakat bahawa aurat yang wajib ditutup hanyalah dua kemaluan, pasti di mana-mana sahaja dari dulu sehingga sekarang kita dapat perhatikan umat Islam hanya bercawat dalam urusan harian mereka. Bercawat tidak pernah menjadi bentuk pakaian umat Islam. Hakikat ini tidak lain menunjukkan bahawa ijma’ yang didakwa oleh saudara Zainudin tidak pernah wujud melainkan igauan beliau semata-mata.

 

Disebut dalam perenggan ke 24:

Pengertian aurat ini memang dimaklumi di kalangan umat Arab zaman silam. Al-Quran dan hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam tidak memberi makna yang jelas atau keputusan yang tidak boleh dipertikaikan. Dengan sebab itu perkhilafan (beza) pendapat di kalangan para ulama Islam tidak timbul sama sekali, tetapi apa yang berlaku adalah sebagaimana yang kita semua saksikan pada hari ini. Punca perbahasan mengenai masalah aurat ini hanya timbul daripada kefahaman yang semata-mata diambil daripada hadis-hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wassalam yang keterangannya berlawanan dan juga pendapat para ahli tafsir yang memberi keterangan di bawah ayat-ayat yang tidak sarih (jelas).

 

Analisa:

Kata-kata saudara Zainudin di atas dapat kita analisa sepertimana berikut:

  1. Sememangnya benar bahawa perkataan “aurat” sudah sedia maklum di kalangan umat Arab zaman silam. Maka atas kefahaman tentang pengertian sebenar perkataan “aurat”, mereka semua berpakaian menutup tubuh badan dengan sempurna kecuali muka, telapak tangan dan telapak kaki. Ini sekali gus membatalkan dakwaan saudara Zainudin bahawa aurat yang wajib ditutup hanya kemaluan depan dan belakang.

  2. Dalam ayat pertama saudara Zainudin mendakwa pengertian aurat sudah dimaklumi oleh umat Arab. Akan tetapi dalam ayat kedua saudara Zainudin mendakwa al-Qur’an dan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wassalam tidak memberi makna yang jelas berkenaan dengan aurat. Di sini kita bertanya, bukankah al-Qur’an dan hadis itu pada asalnya berbahasa Arab dan diturunkan dalam persekitaran masyarakat Arab? Lalu bagaimana mungkin di satu sudut mereka sedia memakluminya padahal dalam sudut yang lain mereka berpendapat ianya tidak jelas? Nampaknya kenyataan saudara Zainudin ini saling membatal antara satu sama lain.

 

Yang benar masyarakat Arab memahami batas-batas aurat sebagaimana yang digariskan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Atas sebab itulah mereka berpakaian menutup tubuh badan dengan sempurna kecuali muka, telapak tangan dan telapak kaki.

 

  1. Tidak ada orang yang akan mendakwa dalil al-Qur’an bersifat tidak jelas manakala al-Hadis bersifat saling berlawanan melainkan kerana kejahilan dirinya sendiri dalam menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kedua-dua sumber mulia di atas. al-Qur’an memiliki disiplin ilmu tafsir yang tersendiri, demikian juga bagi al-Hadis. Seandainya terdapat perlawanan antara dalil-dalil ini, maka terdapat disiplin ilmu yang khas bagi menyelesaikan perlawanan tersebut. [lebih lanjut rujuk buku penulis Kaedah Memahami Hadis-Hadis yang Saling Bercanggah (Jahabersa, Johor Bahru 2002)]

 

 

Disebut dalam perenggan ke 24 dan 25:

Kerana sebab itulah Imam Ibnu Rusyd rahimahullah taala telah memberi penjelasan dalam Bidayatul Mujtahid, jilid 1; halaman 114: “Para ulama keseluruhannya telah ittifak (sepakat) mengatakan bahawa menutup aurat itu suatu kewajipan yang mutlak, tetapi mereka berselisih faham tentang penutupan itu adakah ia merupakan suatu syarat yang terkandung di dalam beberapa syarat bagi sah sembahyang ataupun tidak.

Demikian pula mereka berlainan faham tentang batas-batas aurat pada lelaki dan perempuan, tetapi yang ternyata di dalam mazhab Imam Malik bahawa menutup aurat itu termasuk di dalam bahagian amalan sunat di dalam sembahyang sahaja. Di dalam mazhab Abu Hanifah dan as-Syafii menutup aurat itu sebahagian amalan fardu di dalam sembahyang…….”

  

Analisa:

Nukilan di atas akan penulis analisa dalam dua bahagian:

 

Pertama:

Perkataan sebenar al-Imam Ibn Rusyd rahimahullah (595H) di dalam kitab Bidayah al-Mujtahid (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1996), jld. 2, ms. 182 adalah seperti berikut: “Bersepakat para ilmuan bahawa menutup aurat adalah fardhu secara mutlak. Dan mereka berbeza pendapat sama ada ia adalah salah satu syarat daripada syarat-syarat sah solat atau tidak. Dan demikian juga mereka berbeza pendapat tentang batas aurat bagi seorang lelaki dan wanita. Dan yang zahir di dalam Mazhab Malik bahawasanya ia adalah daripada sunan solat manakala (di dalam mazhab) Abu Hanifah dan al-Syafi‘iy ia adalah daripada kefardhuan solat.

Perhatikan bahawa saudara Zainudin telah menterjemah perkataan “daripada sunan solat” sebagai “bahagian amalan sunat di dalam sembahyang sahaja.” Menterjemah istilah sunan sebagai “amalan sunat” adalah satu kesalahan yang amat fatal di sisi saudara Zainudin. Ini kerana setiap satu di antara mazhab fiqh yang empat memiliki pendefinisian yang tertentu bagi sesebuah istilah. Justeru tidak boleh mendefinisi sesebuah istilah melainkan merujuk kepada ahli-ahli dalam mazhab itu sendiri.

Adapun yang dimaksudkan dengan “sunan solat”, ia adalah sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Baji rahimahullah (474H), salah seorang mujtahid Mazhab Maliki di dalam kitabnya al-Muntaqa Syarh al-Muwattha’ (Dar al-Kitab al-Islami, Beirut tp.thn.), jld. 1, ms. 247. Beliau berkata:

 

Maka adapun berkenaan pakaian (solat) maka sesungguhnya baginya terdapat dua jumlah, jumlah yang fardhu dan jumlah yang utama. Maka adapun yang fardhu bagi seorang lelaki maka ia adalah apa yang menutupi aurat dan tidak wujud perbezaan pendapat tentang kefardhuannya. Akan tetapi para sahabat kami berbeza pendapat tentang tafsir yang sedemikian. Berkata al-Qadhi Abu al-Faraj, ia adalah salah satu fardhu daripada kefardhuan solat dan ini adalah juga pendapat Abu Hanifah dan al-Shafie. Dan berkata al-Qadhi Abi Ishaq sesungguhnya ia adalah daripada sunan solat, dan ini adalah juga merupakan pendapat Ibn Bukair dan al-Syaikh Abu Bakr. Adapun faedah perbezaan pendapat ini, bahawasanya jika kami berkata sesungguhnya ia adalah daripada kefardhuan solat maka solat akan batal dengan ketiadaan penutup aurat manakala jika kami berkata ia bukanlah daripada kefardhuan solat (ertinya ia adalah sunan) maka berdosa orang yang meninggalkan penutup aurat akan tetapi tidaklah batal solatnya.

 

Daripada keterangan al-Baji di atas, dapat kita ringkaskan bahawa terdapat dua pendapat di kalangan ahli fiqh Mazhab Maliki tentang hukum menutup aurat dan kaitannya dengan syarat sah solat. Yang pertama berpendapat ia adalah fardhu, sesiapa yang tidak menutup aurat maka batal solatnya. Yang kedua berpendapat ia adalah sunan, sesiapa yang tidak menutup aurat maka tidaklah batal solatnya tetapi dia berdosa besar.

Ini jauh berbeza dengan istilah sunat yang sedia kita fahami, bahawa jika buat dapat pahala, tak buat tak dosa. Seolah-olah menutup aurat dalam solat menghasilkan pahala manakala tak menutup aurat tidak mengakibatkan dosa apatah lagi membatalkan solat. Padahal yang dimaksudkan dalam Mazhab Maliki dengan istilah sunan ialah solat tetap sah jika tidak menutup aurat, namun ia akan mengakibatkan dosa.

Selain itu perlu juga diperincikan bahawa tidak menutup aurat yang dimaksudkan dengan istilah sunan adalah untuk jangka waktu yang singkat lagi tidak disengajakan. Jika seseorang itu mampu untuk menutup aurat namun dia sengaja enggan maka solatnya tidak sah. Mujtahid Mazhab Maliki, al-Imam al-Haththabi rahimahullah (954H) dalam kitabnya Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Syaikh Khalil (Dar al-Fikr, Beirut 1398H), jld. 1, ms. 498 berkata:

 

(Jika) Imam jatuh penutup auratnya ketika rukuk lalu dia menarik semula selepas mengangkat kepala (daripada posisi rukuk), berkata Ibn al-Qasim daripada Musa: Tidak apa-apa ke atasnya (yakni solatnya tidak batal) jika dia menarik semula. Akan tetapi jika dia tidak menarik semula maka perlu diulangi solat dalam waktunya kerana pada asalnya menutup aurat adalah daripada sunan solat.

 

Demikianlah maksud sebenar istilah sunan dan kaitannya dengan hukum menutup aurat sebagai syarat sah solat bagi Mazhab Maliki. Ia bukanlah “amalan sunat” sebagaimana yang diterjemahkan oleh saudara Zainudin.

 

Kedua:

Sekali lagi kita merasa hairan dengan sikap saudara Zainudin. Dengan sebuah artikel yang bertujuan membahas aurat wanita – malah juga dengan judul Memahami Aurat Wanita – kenapakah beliau tidak menukil keterangan al-Imam Ibn Rusyd tentang aurat wanita? Yang dinukil hanyalah muqaddimah al-Imam Ibn Rusyd berkenaan aurat manakala perinciannya ditinggalkan oleh saudara Zainudin. Di dalam kitab yang sama, Bidayah al-Mujtahid, jld. 2, ms. 185 (hanya selang dua mukasurat daripada yang dinukil oleh saudara Zainudin), terdapat sebuah bab khas yang memperincikan aurat wanita, iaitu Fasal Ketiga, Bab Masalah Ketiga……di mana berkata al-Imam Ibn Rusyd:

 

Ia adalah berkenaan batas aurat wanita, maka kebanyakan ilmuan berpendapat bahawa keseluruhan badannya adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan. Dan Abu Hanifah berpendapat kaki bukanlah aurat. Dan Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman dan Ahmad (bin Hanbal) berpendapat seluruhnya adalah aurat.

 

Sebab perbezaan ini adalah berdasarkan kepada firman Allah Ta‘ala (yang bermaksud): “Dan janganlah mereka (kaum wanita) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” [Surah al-Nur 24:31] – apakah pengecualian yang dimaksudkan merujuk kepada anggota tertentu atau anggota yang sememangnya tidak dapat dilindungi? (maksud pendapat yang kedua: sekalipun berpakaian sepenuhnya, mereka tetap dapat dikenali sebagai seorang wanita disebabkan zahir bentuk badan mereka)

 

Mereka yang berpendapat bahawa pengecualian tersebut bermaksud anggota yang sememangnya tidak dapat dilindungi ketika bergerak berkata seluruh badannya adalah aurat termasuk bahagian belakang. Mereka berhujah dengan keumuman firman Allah Ta’ala: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar).” [surah al-Ahzab 33:59]

 

Mereka yang berpendapat bahawa pengecualian tersebut bermaksud anggota yang secara kebiasaan (sebab tugas harian) tidak ditutup – yaitu muka dan dua telapak tangan – berkata bahawa dua anggota ini tidak termasuk aurat. Pendapat ini mereka perhujahkan bahawasanya wanita tidak menutupi mukanya (ketika melakukan ibadah) haji.

 

Demikian penerangan al-Imam Ibn Rusyd yang tidak dinukil oleh saudara Zainudin. Daripada penerangan di atas dapat kita rumuskan beberapa poin penting:

  1. Tubuh badan wanita adalah aurat yang perlu ditutupi.

  2. Wujud perbezaan pendapat tentang muka dan telapak tangan – adakah ia wajib ditutup atau tidak. Masing-masing pihak memiliki hujah tersendiri dalam perbezaan ini. Ia bukanlah “Setiap golongan bermati-matian dengan pegangan masing-masing tanpa menganalisis secara teliti sumber asal al-Quran, sunah dan ijmak para ulama” sebagaimana dakwa saudara Zainudin di bahagian awal artikel beliau.

  3. Wilayah perbezaan pendapat amatlah kecil dan ia tidak mencemari kesepakatan bahawa tubuh badan wanita adalah aurat yang perlu ditutupi.

 

 

HIMPUNAN RISALAH DALAM BEBERAPA PERSOALAN UMMAH : BUKU 1

Penyusun : Hafiz Firdaus Abdullah