Himpunan Risalah dalam Beberapa Persoalan Ummah

 Buku 4

 

 

Pendirian Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Terhadap Yazid bin Muawiyah

Oleh

Hafiz Firdaus Abdullah

 

Yazid bin Muawiyah adalah salah seorang individu yang mendapat perhatian di dalam sejarah Islam. Umat Islam terbahagi kepada tiga kumpulan apabila berinteraksi dengannya. Ada yang mencela beliau serendah-rendahnya, ada yang memuji beliau setinggi-tingginya dan ada yang mengambil sikap pertengahan antara mencela dan memuji. Sikap orang-orang yang dipertengahan adalah sikap Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, dan sememangnya begitulah sikap orang-orang berilmu lagi adil yang berada di atas kebenaran.

 

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah memiliki sebuah penjelasan yang menarik dalam perkara ini. Ikutilah ia:

 

“Tidak berlaku sebelum ini perbincangan berkenaan Yazid bin Muawiyah dan tidak pula berbincang mengenainya menjadi salah satu urusan agama. Hanya setelah itu, setelah berlaku beberapa peristiwa, segolongan orang melaknat Yazid bin Muawiyah secara terang-terangan. Bahkan mungkin dengan sedemikian mereka ingin melanjutkan laknat tersebut kepada orang-orang yang lain pula.

 

Padahal kebanyakan Ahl al-Sunnah membenci perbuatan melaknat seseorang secara khusus. Setelah mendengar (perbuatan melaknat) sedemikian, maka timbul pula segolongan orang yang berkeyakinan bahawa Yazid adalah daripada kalangan sahabat yang utama dan seorang imam yang memberi petunjuk.

 

Maka golongan yang melampaui batas berkenaan Yazid terdiri daripada dua golongan yang saling bertentangan. (Golongan yang pertama), mereka berkata bahawasanya beliau (Yazid) adalah seorang kafir zindiq dan sesungguhnya beliau telah membunuh anak perempuan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, (para sahabat dari kalangan) Anshar serta anak-anak mereka pada peristiwa al-Hurrah (pembebasan kota Madinah) untuk membalas dendam ahli-ahli keluarganya yang terbunuh, seperti datuk sebelah ibunya yang bernama Utbah bin Rabi‘ah dan pakciknya yang bernama al-Walid dan selain mereka. Juga disebut-sebut tentang beliau sebagai peminum arak dan melakukan maksiat secara terang-terangan.

 

(Golongan yang kedua pula) berkeyakinan bahawa Yazid adalah seorang imam yang adil, yang mendapat petunjuk lagi memberi petunjuk dan beliau daripada generasi sahabat atau daripada sahabat yang utama, malah daripada kalangan wali-wali Allah Ta’ala.  Bahkan sebahagian mereka ada yang berkeyakinan bahawa Yazid adalah daripada kalangan Nabi-nabi dan mereka berkata: Sesiapa yang menentang Yazid maka Allah akan menghentikannya di dalam neraka jahannam……

 

Maka kedua-dua golongan ini bersikap melampaui batas terhadap Yazid dan mereka menyelisih apa yang disepakati oleh para ilmuan dan imam. Yazid bin Muawiyah lahir pada zaman khalifah Usman ibn Affan radhiallahu 'anh dan tidak pernah bertemu dengan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Oleh itu berdasarkan kesepakatan para ilmuan, beliau bukanlah daripada kalangan generasi sahabat. Beliau juga bukanlah masyhur dari sudut keagamaannya dan keshalihannya. Beliau hanyalah seorang dari kalangan pemuda-pemudi Islam.

 

Pada waktu yang sama, beliau tidak kafir dan tidak zindiq. Beliau memegang jawatan khalifah selepas ayahnya di atas kebencian sebahagian umat Islam dan keredhaan sebahagian yang lain. Beliau memiliki keberanian dan kemuliaan dan tidaklah beliau menampakkan perbuatan-perbuatan maksiat sebagaimana yang dihikayatkan oleh musuh-musuhnya.

 

Pada masa pemerintahannya, telah terjadi beberapa peristiwa yang besar. Peristiwa pertama adalah pembunuhan Husain radhiallahu 'anh sedangkan beliau tidak memerintahkan pembunuhan tersebut, tidak menampakkan kegembiraan terhadap pembunuhan tersebut, tidak menusuk gigi taring (Husain) radhiallahu 'anh dengan besi dan tidak (memerintah agar) dibawa kepala Husain radhiallahu 'anh ke Syam. Akan tetapi yang beliau perintahkan ialah agar memerhatikan Husain radhiallahu 'anh dan menahan urusannya, sekalipun sehingga perlu memeranginya. Akan tetapi orang suruhannya telah melebihi daripada apa yang diperintahkan dan al-Syamarzi telah mendorong Ubaidullah bin Ziyad untuk membunuh Husain dengan tenteranya……

 

Maka mereka membunuh Husain secara zalim, demikian juga terhadap sebahagian daripada ahli keluarganya, radhiallahu 'anhum. Pembunuhan Husain radhiallahu 'anh adalah satu musibah yang besar. Sesungguhnya pembunuhan Husain dan pembunuhan Usman sebelum itu merupakan sebab utama berlakunya fitnah ke atas umat ini manakala pembunuh kedua-dua mereka adalah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah.

 

Tatkala ahli keluarga Husain radhiallahu 'anhum menghadap Yazid bin Muawiyah, beliau memuliakan mereka dan menghantar mereka ke Madinah. Diriwayatkan bahawa Yazid melaknat Ubaidullah bin Ziyad atas pembunuhan Husain…… akan tetapi di sebalik itu semua Yazid tidak menampakkan pengingkarannya terhadap peristiwa pembunuhan Husain, beliau tidak menyokongnya dan tidak pula menghukumnya padahal itu (menghukum orang-orang yang bertanggungjawab) adalah satu kewajipan ke atas dirinya. Ini menyebabkan para ahli kebenaran mencelanya disebabkan sikapnya yang meninggalkan kewajipan (menjatuhkan hukuman) dan juga disebabkan oleh beberapa perkara lain. Adapun musuh-musuh Yazid, mereka menokok tambah ke atasnya pelbagai kedustaan yang lain.

 

Adapun peristiwa kedua adalah berkenaan penduduk Madinah yang membatalkan  bai‘ah mereka kepada Yazid dan menghalau keluar orang-orang Yazid serta ahli keluarganya. Maka Yazid menghantar sepasukan tentera kepada mereka dan memberikan syarat – jika mereka tidak taat dalam masa tiga hari, beliau akan memasuki kota Madinah dengan pedang dan menghalalkan darah mereka. Setelah tiga hari, tentera Yazid memasuki kota Madinah dan membunuh penduduknya, merampas harta mereka dan menodai kesucian wanita mereka. Kemudian Yazid menghantar tenteranya ke kota Mekah yang mulia dan mengepungnya. Namun Yazid mati dalam suasana tenteranya sedang mengepung kota Mekah. Ini semua merupakan permusuhan dan kezaliman yang dilakukan di atas perintahnya.

 

Di atas peristiwa-peristiwa ini, Ahl al-Sunnah dan para imam umat ini berkeyakinan untuk tidak mencela atau mencintai Yazid. Berkata Shalih bin Ahmad bin Hanbal, aku bertanya kepada ayahku: “Satu kaum mereka berkata bahawa mereka mencintai Yazid.” Ayahnya (Imam Ahmad bin Hanbal) menjawab: “Wahai anakku! Bagaimana mungkin seseorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat boleh mencintai Yazid?” Aku bertanya lagi: “Wahai ayahku! Maka kenapakah engkau tidak melaknat Yazid?” Ayahnya menjawab: “Wahai anakku! Sejak bila engkau melihat ayah engkau melaknat seseorang?”

 

Dalam riwayat yang lain, orang berkata kepada (Imam Ahmad bin Hanbal): “Adakah engkau menulis hadis daripada Yazid bin Muawiyah?” Beliau menjawab: “Tidak, tidak ada kemuliaan pada dirinya. Bukankah dia telah melakukan ke atas penduduk Madinah apa yang dia lakukan?”

Maka di sisi para ilmuan dan para imam kaum muslimin, Yazid adalah seorang raja daripada raja-raja. Mereka tidak mencintainya seperti mencintai orang-orang yang shalih dan wali-wali Allah. Pada waktu yang sama mereka tidak mencelanya. Ini kerana mereka (para ilmuan dan para imam kaum muslimin) tidak suka melaknat seorang muslim secara khusus.

 

Ini berdasarkan sebuah hadis di dalam Shahih al-Bukhari daripada Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh, bahawa seorang lelaki yang digelar ‘Himar’ sering meminum arak. Setiap kali dia dihadapkan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, dia dipukul (sebagai hukuman hudud). Maka (setelah beberapa ketika) berkata seorang lelaki: “Semoga Allah melaknatnya. Berapa kali dia sudah dihadapkan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam!” Lalu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “Jangan melaknat dia kerana sesunguhnya dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.”

 

Namun demikian segolongan daripada Ahl al-Sunnah membolehkan melaknat Yazid kerana mereka berkeyakinan bahawa beliau telah melakukan kezaliman yang membolehkan laknat ke atas pelakunya. Manakala segolongan yang lain berpandangan boleh mencintai Yazid kerana sesunguhnya beliau seorang muslim yang memegang jawatan khalifah pada zaman para sahabat dan dibai‘ah oleh para sahabat. Malah mereka berkata, tidaklah sah apa yang dinukil tentang (kezaliman-kezaliman) Yazid padahal beliau memiliki beberapa kebaikan atau beliau seorang mujtahid dalam apa yang dilakukannya.

 

Yang benar adalah apa yang diperkatakan oleh para imam bahawa mereka tidak mengkhususkan kecintaan kepada Yazid mahupun melaknatnya. Sekalipun beliau seorang yang fasiq atau zalim, maka Allah akan mengampuni seorang yang fasiq dan zalim jika orang itu memiliki beberapa kebaikan yang besar. Sesungguhnya al-Bukhari di dalam Shahihnya telah meriwayatkan daripada Ibn Umar radhiallahu 'anhuma bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Pasukan tentera yang pertama menyerang Konstantinopel, maka Allah mengampunkan mereka”. Pasukan pertama yang menyerang Konstantinopel adalah dibawah pimpinan Yazid bin Muawiyah.”

 

Demikian penjelasan Ibn Taimiyyah, dinukil secara berpisah daripada Majmu al-Fatawa, jld. 3, ms. 409-413.

 

 

 

 

Kandungan