Bab 2
Tujuh Perosak Ilmu
Ilmu adalah satu energy yang tidak diukur
melalui jumlah sijil kelulusan atau pangkat, tetapi
diukur melalui sikap orang yang memilikinya. Semakin
banyak ilmu seseorang, semakin berhikmah sikap tuan
empunya. Ilmu itu menjadi energy yang
mengemudi gerak hati, arah pandangan, sumber
pendengaran, bahan pertuturan dan tingkahlaku
fizikalnya. Akan tetapi jika ilmu menjadi rosak, ia
seumpama energy yang tidak bermanfaat untuk
manusia. Ilmu yang rosak akan mengarah kepada hati,
pandangan, pendengaran, pertuturan dan tingkahlaku
yang dilarang oleh agama.
Justeru dalam rangka berinteraksi dengan ilmu, kita
perlu waspada terhadap unsur-unsur yang boleh
merosakkan ilmu. Jika unsur-unsur atau
perosak-perosak tersebut tidak ditangani, dibimbangi
ilmu akan membawa tuan empunya kepada kedudukan yang
tidak sepatutnya, iaitu lebih rendah daripada orang
yang tidak berilmu. Sudah tentu ini adalah satu
kedudukan yang dibenci oleh semua orang yang berakal.
Dalam risalah ini, saya akan mengupas tujuh perosak
ilmu. Unsur-unsur yang boleh merosakkan ilmu tidak
terhad kepada tujuh sahaja, hanya di antara semua
perosak tersebut, saya memilih tujuh yang paling
lazim berlaku dan paling berkesan dalam merosakkan
ilmu. Ia dimulai dengan sikap “tinggi diri”.
Perosak # 1: Tinggi Diri.
Apabila berinteraksi dengan ilmu, amat mudah bagi
seseorang merasa tinggi diri, iaitu merasakan
dirinya lebih baik, lebih hebat, lebih bijak dan
lebih tajam berbanding orang lain. Perasaan ini
mudah timbul kerana secara umumnya masyarakat kurang
berinteraksi dengan ilmu. Masyarakat lebih selesa
mengikuti apa yang telah dipelajari zaman
persekolahan dan menggantung diri kepada apa yang
telah selesa dipegang sejak sekian lama.
Suasana masyarakat seumpama “mesin photocopy”
ini menyebabkan orang yang menuntut ilmu akan dengan
mudah mendapati dirinya lebih berilmu daripada orang
lain. Perbezaan inilah yang seterusnya menyebabkan
orang yang berilmu merasakan dirinya lebih tinggi
daripada orang lain. Sikap tinggi diri berlaku
melalui beberapa cara:
-
Ujub,
iaitu sikap seseorang terhadap dirinya sendiri.
Dia merasakan dirinya satu keajaiban sehingga
perlu disanjung oleh orang lain. Jika tidak ada
orang lain yang menyanjung, memadailah dia
menyanjung dirinya sendiri. Antara ciri lazim
orang ujub ialah cepat marah apabila kedudukan
atau pandangannya tidak dihargai.
-
Sombong,
iaitu sikap seseorang apabila berinteraksi
kepada orang lain. Dia merasakan hanya dirinya
yang layak berbicara dengan kebenaran manakala
orang lain semuanya salah. Ciri lazim orang
sombong ialah suka mengkritik pandangan orang
lain dan suka memotong percakapan orang lain.
-
Angkuh,
iaitu sikap seseorang apabila menerima interaksi
daripada orang lain. Dia merasakan apa yang
dibicara atau ditegur oleh orang lain adalah
salah semuanya. Jika ditegur sepatah kata, dia
membantah dengan seratus perkataan yang lemah
lagi batil.
-
Dengki,
iaitu sikap membenci kebaikan, kehebatan, kebijaksanaan dan ketajaman yang ada pada orang
lain. Dia merasakan semua itu hanya milik
dirinya dan apabila mendapati ia dimiliki oleh
orang lain, dia membenci dan memusuhi orang itu.
-
Debat,
iaitu sikap suka menyanggahi pandangan orang
lain. Ini dilakukan agar pandangan dirinya
sentiasa tinggi manakala pandangan orang lain sentiasa rendah.
Orang yang tinggi diri akan mengalami masalah
“dataran ilmu”. Ilmunya pada awal berkembang naik
sehinggalah dia merasa tinggi diri. Pada tahap ini
ilmunya mula mendatar kerana perasaan tinggi yang
ada pada dirinya menyebabkan dia merasa tidak perlu
untuk menambahkan ilmu. Setelah beberapa ketika,
ilmunya mula menurun kerana perasaan tinggi diri
menyebabkan dia enggan mengulangkaji sehingga apa
yang diketahui sebelum itu hilang daripada dirinya.
Semua ini akhirnya merosakkan ilmu yang dimilikinya
satu masa dahulu.
Ketahuilah bahawa ilmu adalah seumpama air. Air
tidak mengalir ke tempat yang lebih tinggi. Jika
digunakan pam sekali pun, air yang dipam naik tetap
akan mencari jalan untuk turun dari tempat yang
tinggi itu. Sebaliknya air sentiasa mengalir ke
tempat yang rendah. Ia berkumpul di situ dan
memberikan manfaat kepada tumbuh-tumbuhan dan sekian
makhluk.
Oleh itu dalam rangka berinteraksi dengan ilmu,
elakkan sikap tinggi diri kerana ia akan merosakkan
ilmu sebagaimana air yang enggan mengalir ke tempat
yang tinggi. Sebaliknya hendaklah bersikap rendah
diri (tawadhu’ atau humble) kerana
ilmu akan sentiasa mengalir kepada orang yang rendah
diri sehingga dapat memberi manfaat kepada orang
lain.
Perosak # 2: Taasub.
Apabila berinteraksi dengan ilmu, manusia terbahagi
kepada tiga kategori:
-
Kategori Pertama
ialah mereka yang menjadikan semua sumber ilmu
sebagai rujukan tanpa membezakan yang benar dan
salah. Tanpa pembezaan tersebut, ilmu yang
mereka miliki bercampur aduk antara yang
bermanfaat dan mudarat. Pemilik ilmu itu sendiri
kelihatan sering tidak berpendirian, bahkan
kerap kali menyelisihi dirinya sendiri.
-
Kategori Kedua
ialah mereka yang membataskan sumber ilmu kepada
satu atau dua rujukan sahaja. Apa sahaja yang
berasal dari sumber itu mereka terima
bulat-bulat dan merasa selesa dengannya. Apa
yang berasal dari selain sumber itu mereka tolak
mentah-mentah dan merasakan ia satu cabaran yang
bakal menggoyang keselesaan yang dialami selama
ini. Maka ilmu yang berasal dari sumber lain itu
perlu dibantah dan diruntuhkan semampu boleh.
-
Kategori Ketiga
ialah mereka yang berada di pertengahan antara
Kategori Pertama dan Kategori Kedua
di atas. Ilmu dari pelbagai sumber dirujuk
dengan tapisan diambil yang benar dan ditolak
yang salah. Tapisan itu pula tidak bersifat
tetap, sebaliknya sentiasa diperbaharui kerana
apa yang benar pada awalnya mungkin terbukti
salah pada kemudiannya manakala apa yang salah
pada hari ini mungkin ternyata benar pada hari
esoknya.
Sikap yang benar berada pada Kategori Ketiga
manakala sikap yang salah berada pada Kategori
Pertama dan Kategori Kedua. Kesalalahan pada Kategori Kedua lebih lazim berlaku
kepada orang-orang yang berinteraksi dengan ilmu.
Kesalahan inilah yang disebut sebagai taasub atau
fanatik.
Taasub amat merugikan kerana ia menghalang ilmu yang
benar dan memelihara ilmu yang salah. Ini kerana
adakalanya di luar sana terdapat ilmu yang benar
tetapi ia terhalang semata-mata disebabkan sikap
taasub yang enggan menjengoknya. Pada waktu sama
dalam sumber seseorang terdapat ilmu yang salah
tetapi ia terpelihara semata-mata disebabkan sikap
taasub yang enggan membetulkannya.
Ketahuilah bahawa sikap taasub ialah satu perosak
ilmu yang boleh menyerang sesiapa jua. Hakikat ini
ingin saya warnakan kerana kerap ditemui satu
individu menuduh individu lain sebagai taasub
padahal penuduh tidak jauh berbeza daripada yang
dituduh. Saya kerap membaca Ahmad menuduh Jamal
sebagai taasub kepada Mazhab al-Syafi’e padahal
Ahmad juga taasub kepada Mazhab al-Albani. Saya
lazim mendengar Sakinah menuduh Aishah taasub kepada
pandangan syaikh tariqatnya padahal Sakinah juga
terikat kepada pandangan Syaikh Yusuf al-Qaradhawi.
Oleh itu apabila berinteraksi dengan ilmu:
-
Amalkan sikap yang dinamik kerana ilmu tidak
mengenal titik noktah. Sentiasa menapis antara
yang benar dan salah serta ketahuilah hasil
tapisan hari ini mungkin berbeza pada hari esok.
-
Berhenti menuduh orang lain taasub. Sebaliknya
sentiasa mengukur diri sendiri sama ada diserang
perosak taasub atau tidak.
-
Saling menasihati antara satu sama lain agar
berwaspada dari perosak taasub.
-
Taasub hanya dibolehkan terhadap sumber rujukan
ilmu yang sabit, iaitu al-Qur’an, al-Sunnah yang
sahih dan ijma’.
Perosak # 3: Zalim.
Kadangkala orang dalam Kategori Kedua cuba
menjengok ilmu dari sumber yang berada di luar
sempadan keselesaannya. Ini adalah satu permulaan
yang baik, akan tetapi sayang sekali yang menjengok telah dijangkiti dengan sikap taasub yang kronik
sehingga dia berlaku zalim. Apabila menjengok, dia
tidak menilai sumber yang lain itu secara adil
sebaliknya bersikap zalim dengan mencari-cari apa
yang salah sahaja. Seterusnya apa yang salah
ditimbulkan manakala apa yang benar ditenggelamkan.
Kezaliman adalah salah satu perosak yang menyerang
banyak ilmuan. Atas kezaliman ini, ramai yang secara
mudah menilai ilmu dari sumber lain sebagai salah.
Mereka tidak menilai benar atau salah, manfaat atau
mudarat, positif atau negatif secara adil,
sebaliknya bersikap zalim dengan hanya mencari-cari
kesalahan, kemudaratan dan ciri-ciri yang negatif.
Akhirnya mereka tidak mendapat apa-apa ilmu yang
baru dan hanya berpuas hati dengan ilmu lama yang
dimiliki.
Lawan dari sikap zalim ialah adil. Ilmuan yang adil
sedar bahawa kesempurnaan hanya milik Allah manakala manusia sentiasa bercampur-aduk, bersilih-ganti
antara benar dan salah, betul dan silap. Justeru
apabila menilai sumber ilmu yang lain, hendaklah
bersikap adil. Ilmu yang betul diambil dan
dimanfaatkan manakala ilmu yang salah dikenal pasti
dan dijauhkan.
Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan
keutamaan sikap adil:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ
كُونُواْ قَوَّٲمِينَ لِلَّهِ شُہَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ
وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ
أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ
ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ
لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ
خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua
sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan
keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran;
dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap
sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak
melakukan keadilan.
Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua)
kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu
lakukan.
[al-Maidah 5:08]
Perosak # 4: Tidak Menguasai Perbezaan Pendapat.
Menyentuh tentang perbezaan pendapat, orang yang
memiliki ilmu terbahagi kepada tiga kubu:
-
Kubu Pertama
ialah mereka yang menafikan kewujudan perbezaan
pendapat. Bagi mereka pendapat yang benar hanya satu
dan manusia seluruhnya perlu berpegang kepada
pendapat yang satu itu.
-
Kubu Kedua
ialah mereka yang mengakui kewujudan perbezaan
pendapat. Bagi mereka semua pendapat adalah benar
dan manusia bebas mengikuti mana-mana pendapat yang
disukainya.
-
Kubu Ketiga
ialah mereka yang menyatakan perbezaan pendapat
terbahagi kepada dua kategori:
-
Perbezaan pendapat yang dibolehkan di mana bagi
setiap pendapat terdapat dalil dan hujah yang kuat (proof
and argument).
-
Perbezaan pendapat yang dilarang di mana bagi setiap
pendapat tidak terdapat dalil dan hujah yang kuat.
Kemenangan terletak pada Kubu Ketiga yang
sebenarnya berada di pertengahan antara Kubu
Pertama dan Kubu Kedua. Perbezaan
pendapat adalah sesuatu yang benar-benar wujud dan
ia tidak dapat disifarkan. Walaubagaimana pun ini
tidaklah bererti setiap perbezaan pendapat
dibolehkan kerana di antaranya ada yang didasari
kepada dalil serta hujah dan ada yang didasari
kepada mitos dan kebiasaan.
Justeru apabila berhadapan dengan perbezaan
pendapat, langkah yang pertama ialah membezakan sama
ada ia adalah pendapat-pendapat yang dibolehkan atau
dilarang. Bagi perbezaan yang dibolehkan, langkah
seterusnya ialah meraikan pendapat-pendapat itu
dengan berpegang dan mengamalkannya secara
keseluruhan. Bagi perbezaan yang dilarang, langkah
seterusnya ialah membetulkan dengan nasihat dan
teguran yang hikmah.
Kerosakan berlaku apabila orang yang memiliki ilmu
tidak menguasai perbezaan pendapat. Mereka yang
bertahan di Kubu Pertama hanya mempertahankan
satu ilmu padahal di luar tembok terdapat pelbagai
ilmu lain yang dapat membantu mereka. Mereka yang
bertahan di Kubu Kedua sering keliru antara
kawan dan lawan kerana di dalam tembok yang sama
terdapat ilmu yang manfaat dan mudarat.
Perosak # 5: Tidak Mengamalkan Ilmu.
Orang yang memiliki ilmu terbahagi kepada tiga
martabat:
-
Memiliki ilmu tetapi tidak mengamalkannya. Ini
adalah martabat yang tercela.
-
Memiliki ilmu dan mengamalkannya. Ini adalah
martabat yang baik.
-
Memiliki ilmu, mengamalkannya dan menegakkan
kebenaran dengannya. Ini adalah martabat yang
terpuji.
Ilmu bukan sesuatu yang sekadar dihafal atau sebagai
alat untuk memperoleh sijil demi kenaikan pangkat
dan gaji. Ilmu ialah suatu energy yang
digunakan untuk mengemudi tuan empunya ke arah insan
yang cemerlang. Ilmu tanpa amalan tidak lebih
seumpama burung Kakak Tua yang menghafal beberapa
ayat lalu mengulanginya tanpa mengamalkannya. Sikap
seperti ini amat dibenci oleh Allah Subhanahu wa
Ta'ala:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ
لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ
ڪَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن
تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu
memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat
besar kebenciannya di sisi Allah - kamu
memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
[al-Saff 61:2-3]
Tidak mengamalkan ilmu akan menyebabkan ilmu yang
dihafal sebelum itu hilang dari ingatan. Ini kerana
untuk memelihara ilmu, pemiliknya hendaklah sentiasa
mengulangkaji dengan cara mengamalkannya. Tanpa
amalan, ilmu akan rosak dan hilang.
Perosak # 6: Kedekut.
Sikap kedekut tidak sahaja berkaitan dengan harta
tetapi merangkumi juga ilmu. Kedekut ilmu berlaku
melalui beberapa cara:
-
Enggan menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Contoh
yang lazim berlaku ialah enggan membukukan kertas
tesis, sebaliknya hanya menayangkannya dalam almari
perhiasan di rumah.
-
Mengenakan bayaran yang tinggi sebagai syarat
menyampaikan ilmu. Saya pernah dikhabarkan oleh
sumber yang terpercaya bahawa sesetengah penceramah
celebrity mengenakan syarat tiket penerbangan
kelas pertama, hotel lima bintang, kenderaan mewah,
makan minum yang ditanggung sepenuhnya serta bayaran
RM3000.00 semata-mata untuk memenuhi jemputan kuliah
satu jam. Apabila ditanya kenapa mengenakan syarat
yang begitu tinggi, mereka menjawab: “Jika artis
boleh kenapa penceramah tidak boleh?”
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
memberi amaran kepada orang yang memiliki ilmu
tetapi kedekut:
مَنْ كَتَمَ عِلْمًا ألْجَمَهُ الله يَوْمَ
الْقِيَامَةِ بِلِجَامٍ مِنْ نَارٍ.
Sesiapa yang menyembunyikan satu ilmu maka Allah
akan mengikatnya dengan tali dari api neraka pada
Hari Kiamat kelak.
[Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani
dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam
Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, hadis no: 121]
Ilmu adalah seumpama harta. Ia adalah milik Allah
dan kita hanya berperanan mengurusinya. Jika kita
mensedekahkannya, Allah akan membalas dengan
tambahan yang berlipat ganda di dunia dan akhirat.
Jika kita kedekut, Allah akan membalas dengan
kerugian yang ditimpa kerugian di dunia dan akhirat.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
bersabda:
مَثَلُ الَّذِيْ يَتَعَّلَمُ الْعِلْمَ ثُمَّ لاَ
يُحَدِّثُ بِهِ كَمَثَلِ الَّذِيْ يَكْنِزُ الْكَنْزَ
فَلاَ يُنْفِقُ مِنْهُ.
Perumpamaan orang yang belajar ilmu kemudian tidak
menyampaikannya adalah seperti orang yang menyimpan
kekayaan kemudian tidak membelanjakannya.
Jika kita menganalisa para ilmuan, akan didapati
orang yang kedekut ilmu semakin hari semakin
berkurang ilmu mereka. Ini kerana sikap kedekut itu
bertahap-tahap merosakkan ilmu yang mereka miliki
pada awalnya. Berbeza dengan orang yang bekerja
keras mensedekahkan ilmu. Semakin hari ilmu mereka
semakin bertambah kerana sikap bersedekah itu
menggandakan ilmu mereka dengan gandaan yang besar.
Perosak # 7: Murah Hati.
Lawan kepada kedekut ialah murah hati, iaitu terlalu
mudah dalam menyampaikan ilmu. Menyampaikan ilmu
adalah terpuji selagi mana ia berdasarkan dalil dan
hujah yang sahih. Menyampaikan ilmu menjadi tercela,
sekali gus menjadi unsur perosak, jika ia
disampaikan tanpa dalil dan hujah yang sahih. Sikap
terakhir inilah yang saya maksudkan sebagai “murah
hati” terhadap ilmu. Murah hati berlaku melalui
beberapa cara:
-
Menyatakan hukum halal dan haram atau selainnya
seperti wajib, sunat, harus, makruh dan haram tanpa
memiliki dalil dan hujah di sebaliknya.
-
Menyampaikan hadis-hadis Rasulullah
shallallahu
'alaihi wasallam tanpa mengetahui sumber dan
darjat kekuatannya.
-
Mengemukakan petua itu dan ini padahal ia hanyalah
rekaan dirinya semata-mata.
Seorang ilmuan hendaklah menyampaikan sekadar apa
yang diketahuinya. Apabila dia menyampaikan sesuatu
ilmu berkenaan Islam padahal dia tidak mengetahui
sama ada ilmu itu benar atau tidak, dia sebenarnya
memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang tidak
diketahuinya. Ini adalah kesalahan yang lebih berat
daripada syirik. Allah Subhanahu wa Ta'ala
berfirman:
قُلۡ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّىَ
ٱلۡفَوَٲحِشَ مَا ظَهَرَ مِنۡہَا وَمَا بَطَنَ
وَٱلۡإِثۡمَ وَٱلۡبَغۡىَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ
وَأَن تُشۡرِكُواْ بِٱللَّهِ مَا
لَمۡ يُنَزِّلۡ بِهِۦ سُلۡطَـٰنً۬ا وَأَن تَقُولُواْ
عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ
Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan
perbuatan-perbuatan yang keji sama ada yang nyata
atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa serta
perbuatan menceroboh tanpa alasan yang benar; dan
kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedangkan
Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang
membenarkannya); dan kamu memperkatakan terhadap
Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya.”
[al-A’raaf 7:33]
Dalam ayat di atas Allah menerangkan perkara-perkara
yang diharamkan-Nya dalam empat tingkatan:
-
Tingkatan Pertama:
“…perbuatan-perbuatan yang
keji sama ada yang nyata atau yang tersembunyi…”.
-
Tingkatan Kedua:
“…dan perbuatan dosa serta
perbuatan menceroboh tanpa alasan yang benar…”.
-
Tingkatan Ketiga:
“…kamu mempersekutukan
sesuatu dengan Allah sedangkan Allah tidak
menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya)…”.
-
Tingkatan Keempat:
“…kamu memperkatakan
terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak
mengetahuinya.”
Ilmu sepatutnya menjadi sesuatu yang bermanfaat bagi
tuan empunya. Menyampaikan ilmu sepatutnya
menggandakan ilmu seseorang dengan gandaan yang
besar. Akan tetapi menyampaikan ilmu tanpa kepastian
benar atau salah menjadi perosak yang memudaratkan
tuan empunya dan mengakibatkan kerugian yang besar
di dunia serta azab yang berat di akhirat.
Justeru dalam rangka menyampaikan ilmu, hendaklah
berada di pertengahan antara kedekut dan murah hati.
Sikap pertengahan yang saya maksudkan ialah
berhati-hati. Sampaikan apa yang diketahui, diamkan
apa yang tidak diketahui dan tangguhkan apa yang
belum pasti. Inilah sikap para ilmuan yang menjadi
rujukan umat Islam sejak dari zaman awal, maka
warisilah ia dengan bangga dan yakin. Bersikap diam
atau berkata “Saya tidak tahu” bukanlah tanda orang
yang jahil, sebaliknya adalah tanda orang yang
berilmu dan ilmu yang benar.
Demikian tujuh perosak ilmu yang perlu saya dan para
pembaca sekalian berwaspada darinya. Kadangkala
salah satu atau lebih dari perosak ini menyelinap
masuk dalam diri seseorang tanpa disedari. Oleh itu
marilah kita saling nasihat menasihati agar kita
semua sentiasa terhindar darinya. Imam Muslim
rahimahullah meriwayatkan sebuah hadis sahih
daripada Tamim bin al-Dari radhiallahu 'anh,
beliau menyatakan:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الدِّينُ النَّصِيحَةُ.
قُلْنَا: لِمَنْ؟
قَالَ: لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ
وَلِرَسُولِهِ
وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ
وَعَامَّتِهِمْ.
Bahawasanya Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Agama
adalah nasihat.”
Kami (para sahabat) bertanya: “Kepada siapa?”
(Nabi menjawab): “Kepada Allah, kitab-Nya, rasul-Nya,
para imam umat Islam dan keseluruhan umat Islam.”
|