Bab 5
Wahabi: Meluruskan Salah Faham.
“Wahabi” bukan sahaja salah dari sudut gelaran, ia
juga salah dari sudut beberapa tuduhan dan salah
faham yang disandarkan kepadanya. Berikut
dikemukakan beberapa salah faham tentang gerakan
atau fahaman Wahabi, diikuti dengan penjelasan bagi
meluruskannya.
Salah Faham Pertama: Wahabi Dan Kuasa Barat.
Salah faham pertama yang akan diluruskan ialah
dakwaan bahawa gerakan Wahabi dimulai dan disokong
oleh kuasa-kuasa Barat, khasnya Inggeris. Bagi
meluruskan salah faham ini, saya merujuk kepada
sumber sejarah kuasa-kuasa Barat itu sendiri kerana
ia adalah “sumber dalaman” yang lebih tepat bagi
menggambarkan apa yang dilakukan oleh kuasa-kuasa
tersebut pada zaman itu.
Pertama,
kuasa Inggeris memang wujud pada zaman itu, tetapi
peranannya hanya bersifat komersil, iaitu menjaga
keselamatan perairan teluk bagi laluan kapal-kapal
perdagangannya dari India yang merupakan tanah
jajahannya saat itu.
Pihak Inggeris atau mana-mana kuasa Barat ketika itu
tidak berminat untuk membantu mengembalikan umat
Islam kepada agamanya yang tulen.
Kedua:
Bukan sekadar tidak minat membantu, kuasa-kuasa
Barat sebenarnya amat membenci gerakan Wahabi kerana
ia sebenarnya membangkitkan umat Islam. Seorang ahli
sejarah Perancis, Almosio Sidio, menulis:
Apabila Inggeris dan Perancis mengetahui kesepakatan
yang tercapai antara Muhammad bin Abdul Wahhab dan
Muhammad ibn Sa’ud untuk mentajdidkan agama (Islam)
dan ramai masyarakat Arab yang mengikutinya, mereka
bimbang ini akan membangkitkan umat Islam dari
kelekaan yang menyelubungi umat saat itu. Justeru
mereka (Inggeris dan Perancis) bimbang Islam akan
kembali kuat sebagaimana pada zaman Umar bin
al-Khaththab.
Mereka khuatir peperangan atas nama agama akan
kembali hidup, memberikan kemenangan kepada Islam
dan kekalahan kepada kuasa-kuasa Eropah. Atas dasar
inilah Inggeris dan Perancis meminta khilafah Turki
Uthmaniyah untuk memerangi gerakan yang
disebut-sebut sebagai “Wahabi” itu dan pihak
khilafah telah mewakilkan urusan ini kepada gabenor
Mesir, Muhammad Ali Pasha.
Salah Faham Kedua: Wahabi dan Khilafah Islam
Masyhur dikatakan, gerakan Wahabi bertanggungjawab
menjatuhkan khilafah Islam Turki Uthmaniyyah. Salah
faham ini dapat dijawab dari dua sudut. Pertama,
Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab tidak pernah
menentang khilafah Turki Uthmaniyyah. Sikap beliau
dalam persoalan ini adalah sebagaimana yang ditulisnya sendiri:
Aku meyakini kewajipan mendengar serta mentaati para
pemimpin kaum muslimin. Ia sama ada di kalangan
pemimpin yang shalih mahu pun yang buruk akhlaknya.
Ini selagi mana mereka tidak memerintahkan perkara
kemaksiatan terhadap Allah. Ketaatan ini ditujukan
terhadap sesiapa sahaja yang dilantik sebagai
khalifah yang dipersetujui lantikannya oleh orang
ramai yang meredhai kepimpinannya. Ini walaupun dia
memperolehi kekuasaan khalifah melalui jalan
paksaan, tetap menjadi suatu kewajipan mentaatinya
dan dilarang melakukan penentangan terhadapnya.
Kedua,
sama ada wujud atau tidak gerakan Wahabi, khilafah
Turki Uthmaniyyah pada zaman itu memang memiliki
pelbagai kelemahan dan masalah, dalaman dan luaran.
Sesiapa yang mengkaji sumber-sumber sejarah yang
adil lagi jujur berkenaan kedudukan khilafah saat
itu akan mengetahui ia dalam keadaan sedang jatuh
dan akan jatuh.
Cuba fikirkan, dengan kejatuhan khilafah, siapakah
yang akan mengambil alih menjaga dua bandar suci
umat Islam: Mekah dan Madinah? Lebih-lebih lagi
Semenanjung Arab ketika itu lebih bersifat “No
man’s land” di mana ia hanya dikuasai oleh
kabilah-kabilah kecil secara berselerakan. Shalih
Abud mengulas:
Tiada bukti menunjukkan bahawa negeri Najd pernah
tertakluk di bawah penguasaan atau autoriti khilafah
Uthmaniyyah. Selain itu tidak pernah wujud mahu pun
sebuah batalion atau markaz ketenteraan khilafah
Uthmaniyyah di sana. Ini sebelum lahirnya pergerakan
dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul
Wahhab).
Sebaliknya menerusi fakta kukuh berdasarkan kepada
dokumen khilafah Turki Uthmaniyyah yang direkodkan
oleh Yamen Ali Effendi (1018H/1609M) bertajuk
“Qawaniyyin Aali Uthman Mudomin Daftar al-Diwan”
ternyata khilafah Uthmaniyyah terbahagi kepada 32
buah negeri atau wilayah. 14 daripadanya merupakan
negeri-negeri tanah Arab. Namun negeri Najd tidak
termasuk di dalamnya.
Abdullah al-Utsaimin menambah:
Negeri Najd tidak pernah berada di bawah penguasaan
kerajaan Uthmaniyyah sebelum lahirnya pergerakan
dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab). Selain itu, ia juga tidak pernah disatukan
di bawah satu pemerintahan yang kuat dalam jangka
masa yang lama. Ini sama ada ketika sebahagian dari
wilayahnya berada di bawah penguasaan Bani Jabr atau
pun Bani Khalid. Ia disebabkan suasana peperangan
yang silih berganti antara wilayah mahu pun kabilah
negeri Najd yang terdiri dari pelbagai jenis puak
sehingga agak sukar untuk disatukan keseluruhannya.
Sekali lagi saya bertanya kepada para pembaca yang
budiman sekalian, dengan kejatuhan khilafah,
siapakah yang akan mengambil alih menjaga dua bandar
suci umat Islam: Mekah dan Madinah? Diingatkan
bahawa sekalipun kuasa-kuasa Barat wujud di kawasan
itu atas tujuan komersil, tidak dapat dinafikan
bahawa mereka juga tentu memiliki hasrat untuk
mengambil alih kota Mekah dan Madinah.
Nah! Dengan kewujudan gerakan Wahabi yang dapat
menyatukan umat Islam Semenanjung Arab, kedua-dua
bandar suci itu tetap berada di tangan umat Islam.
Jika tidak, nescaya Masjid al-Haram di Mekah dan
Masjid an-Nabawi di Madinah akan menerima nasib yang
sama seperti Masjid al-Aqsa di Palestin.
Fikir-fikirkanlah!
Salah Faham Ketiga: Wahabi dan Peperangan.
Beberapa orang pernah menyatakan kepada saya bahawa
syaikh mereka memiliki bukti yang lengkap dengan
sanad bahawa gerakan Wahabi melakukan peperangan dan
pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Arab
semata-mata untuk mengembangkan ajaran mereka.
Tuduhan ini tidak perlu diberi perhatian kerana
sanad tersebut, jika ia benar wujud, tidak memiliki
apa-apa nilai. Ini kerana orang-orang yang duduk
dalam rantaian sanad tersebut, biografi mereka tidak
tercatit dalam mana-mana kitab al-Jarh wa
al-Ta’dil. Sekadar mengetahui nama dan status
mereka sebagai “orang agamawan” adalah tidak
memadai. Dalam ilmu hadis, mereka termasuk dalam
kategori para perawi yang majhul, maka dengan
itu sanad tersebut adalah dha’if. Sanad sebegini
tidak boleh dijadikan hujah dalam membuat tuduhan
atau menjadi bukti dalam kes jenayah.
Adapun peperangan yang berlaku di Semenanjung Arab,
kedua-dua sumber sejarah ada mencatitkannya. Sumber
yang berpihak kepada dakwah Muhammad bin Abdul
Wahhab berkata ia dimulakan oleh golongan yang tidak
setuju dengan gerakan beliau. Sumber yang berpihak
kepada golongan yang tidak setuju dengan dakwah
Muhammad bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh
gerakan beliau. Siapakah yang benar dan sebesar
manakah skala peperangan itu – tiada siapa yang
mengetahuinya. Apa yang pasti, tidak wujud
kesan-kesan peninggalan sejarah yang dapat dijadikan
bukti adanya peperangan yang diceritakan dalam
kitab-kitab sejarah itu. Berbeza dengan peperangan
yang belaku di belahan dunia yang lain, ia dapat
dibuktikan melalui kesan-kesan peninggalan sejarah.
Salah Faham Keempat: Wahabi dan Tuhan.
Fahaman Wahabi sering dikaitkan dengan kepercayaan
kononnya Tuhan memiliki jasmani dan anggota. Ini
berlaku kerana fahaman Wahabi yang enggan
mentakwilkan sifat-sifat Allah seperti muka, tangan
dan kaki yang tertera dalam al-Qur’an dan al-Sunnah
yang sahih. Ini jelas adalah satu salah faham kerana
fahaman Wahabi beriman kepada sifat-sifat Allah
serta memahami maksudnya manakala bentuk atau
tatacara sifat itu diserahkan kepada Allah, tanpa
sebarang penyerupaan dengan mana-mana sifat
makhluk-Nya.
Ini adalah juga fahaman Ahl al-Sunnah wa
al-Jama'ah sebagaimana yang diterangkan oleh
al-Tirmizi (279H):
Dan sungguh telah berkata tidak seorang daripada
ahli ilmu tentang hadis ini dan apa yang seumpamanya
daripada riwayat-riwayat tentang al-Sifat dan
(tentang) Penurunan Rabb (Allah) Tabaraka
wa Ta’ala pada setiap malam ke langit dunia.
Mereka berkata riwayat-riwayat seperti ini adalah
benar (thabit) dan berimanlah kepada ia dan
jangan dibayangkan (seperti apa) dan jangan ditanya
bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat).
Inilah yang telah diriwayatkan daripada Malik (bin
Anas) dan Sufyan bin ‘Uyaynah dan ‘Abdullah bin
Mubarak, sesungguhnya mereka telah berkata tentang
hadis-hadis seperti ini (yang berkaitan nas-nas
al-Sifat): Terimalah ia (berimanlah kepadanya) tanpa
mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat).
Dan demikianlah juga pendapat ahli ilmu Ahl
al-Sunnah wa al-Jama‘ah.
Manakala golongan al-Jahmiyyah, mereka
mengingkari riwayat-riwayat seperti ini (nas-nas
al-Sifat) sambil berkata ini adalah tasybih
(penyerupaan dengan makhluk). Sesungguhnya Allah
‘Azza wa Jalla telah menyebut hal ini tidak
sekali dalam kitab-Nya (al-Qur’an) seperti Tangan
dan Pendengaran dan Penglihatan akan tetapi golongan
al-Jahmiyyah telah mentakwilkan
ayat-ayat ini dan menafsirkannya kepada sesuatu
yang berlainan daripada tafsiran ahli ilmu. Mereka
(al-Jahmiyyah) berkata sesungguhnya Allah
tidak mencipta (Nabi) Adam (‘alaihi salam)
dengan Tangan-Nya. Mereka berkata maksud Tangan-Nya
di sini adalah kekuatan-Nya.
Padahal berkata Ishaq bin Ibrahim: “Sesungguhnya
yang dianggap tasybih (penyerupaan dengan
makhluk) hanyalah apabila seseorang berkata Tangan
sepertimana tangan (makhluk) atau seumpama tangan
(makhluk), Pendengaran sepertimana pendengaran
(makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk).
Justeru apabila seseorang berkata Pendengaran
sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama
pendengaran (makhluk) maka barulah ia dianggap
sebagai penyerupaan.
Namun apabila seseorang berkata sebagaimana firman
Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an):
Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan tanpa
dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat)
dan tidak dikatakan seumpama pendengaran (makhluk)
dan tidak juga dikatakan sepertimana pendengaran
(makhluk) maka ini tidak dianggap sebagai
penyerupaan. Malah ia adalah sepertimana firman
Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an):
Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan
Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
[al-Syura 42:11]
Salah Faham Keempat: Wahabi dan Mazhab.
Fahaman Wahabi kononnya dianggap tidak mengikuti
mana-mana mazhab fiqh yang empat. Sekali lagi ini
adalah satu salah faham. Orang yang dituduh sebagai
Wahabi, mereka masih mengikuti mazhab di tempat
masing-masing. Hanya dalam beberapa persoalan
terpencil, apabila didapati hujah mazhab lain adalah
lebih kuat kerana lebih mendekati dalil al-Qur’an
dan al-Sunnah yang sahih, maka pendapat mazhab
tersebut diikuti dalam persoalan tersebut.
Oleh itu orang yang dituduh sebagai Wahabi di
Malaysia masih mengikuti Mazhab al-Syafi’e, orang
yang dituduh sebagai Wahabi di India-Pakistan masih
mengikuti Mazhab Hanafi, orang yang dituduh sebagai
Wahabi di Timur Tengah masih mengikuti Mazhab
Hanbali dan orang yang dituduh sebagai Wahabi di
Afrika Utara masih mengikuti Mazhab Maliki. Hanya
dalam beberapa persoalan terpencil mereka mengikut
mazhab yang lain kerana faktor kekuatan dalil dan
hujah.
Ini sebenarnya adalah sikap yang benar sebagaimana
yang diterangkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali (795H):
Berdasarkan keterangan-keterangan para imam mazhab,
adalah menjadi kewajipan apabila seseorang itu
menemui suatu perintah daripada Rasulullah s.a.w.
atau mengetahuinya, untuk menerangkannya kepada
sekian umat, menasihatkan mereka dengan penuh
keikhlasan dan memerintahkan mereka untuk
mengikutinya walau pun jika ia bertentangan dengan
pendapat para imam mazhab atau seseorang lain yang
terkemuka.
Ini adalah kerana kedudukan Rasulullah s.a.w. adalah
yang paling hak untuk dihormati dan ditaati,
melebihi dan mengatasi mana-mana pendapat orang atau
tokoh lain yang mungkin atas sebab-sebab yang tidak
disengajai telah bertentangan dengan perintah
Rasulullah. Oleh kerana inilah kita dapati para
sahabat dan generasi selepas mereka membantah
sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu yang
bertentangan dengan sunnah yang sahih. Adakalanya
bantahan ini mereka lakukan dengan amat keras, bukan
disebabkan perasaan benci kerana para sahabat itu
sememangnya amat menyayangi dan menghormati mereka,
akan tetapi Rasulullah itu lebih mereka sayangi dan
perintahnya lebih tinggi kedudukannya berbanding
perintah mana-mana makhluk lain.
Salah Faham Kelima: Wahabi dan Kekerasan.
Wahabi sering dihubungkan dengan kekerasan. Benarkah
demikian? Realitinya, pihak yang menuduh itulah yang
sebenarnya bersikap keras. Di sana sini mereka
menuduh sekian-sekian individu dan kumpulan sebagai
Wahabi yang menyesatkan. Adakalanya tuduhan ini
diterjemahkan dalam bentuk fizikal, seperti
mengharamkan penerbitan, menghalang kuliah-kuliah
agama dan menangkap para tokoh yang mereka tuduh
sebagai Wahabi. Tindakan-tindakan tersebut berlaku
tanpa tersembunyi sehingga diketahui dalam
media-media perdana.
Adapun di kalangan orang yang dituduh sebagai Wahabi,
mungkin ada yang bersikap keras. Namun perlu juga
ditinjau dari sudut yang lain, kerana istilah
“keras” itu sendiri boleh bersifat relatif.
Keberanian, ketegasan, kesungguhan adalah sifat yang
terpuji yang boleh ditafsirkan sebagai “kekerasan”
oleh pihak yang sukar menerima kenyataan. Demikian
juga, menyatakan yang haq di atas yang batil boleh
juga ditafsirkan sebagai kekerasan oleh pihak yang
sekian lama telah selesa dengan kebatilan tersebut.
Oleh itu kekerasan boleh disandarkan kepada salah
satu dari dua pihak, yang dituduh atau yang menuduh.
|