BEBERAPA PERSOALAN SOLAT

 

MAKLUMAT BUKU : KANDUNGAN

 

 

10

 
TIDAK BERZIKIR SESUDAH SOLAT

 

Baru-baru ini di dalam sebuah akhbar tempatan berbahasa Malaysia,[1] penulis tetap di dalam akhbar tersebut telah mengeluarkan satu kenyataan: "Sesetengah ulama terutama dari puak Wahhabi mengharamkan orang Muslim berwirid selepas solat kerana menganggapnya sebagai bid’ah atau perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah". Kenyataan yang jahil lagi keliru ini sebenarnya memang sudah tersebar di kalangan umat Islam di Malaysia. Walau pun begitu sepanjang kajian penulis, belum pernah lagi penulis terjumpa aliran-aliran Islam yang mengharamkan secara keseluruhan zikir sesudah solat atau menganggap ianya bid’ah. Pada pendapat penulis pandangan yang jahil ini timbul kerana ada niat jahat dan si penuduh sendiri tidak meneliti pandangan sebenar golongan yang dicemuh dengan gelaran Wahhabiyah ini dalam permasalahan zikir selepas solat. Kebanyakan daripada mereka hanya menggunakan sangkaan tanpa meneliti isu sebenar berkaitan dengan zikir setelah solat. Sikap mereka ini telah dicela oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firman-Nya:

 

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja,

(padahal) sesungguhnya sangkaan itu

tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.[2]

 

 

Hukum Zikir Selepas Solat.

 

Telah menjadi satu kesepakatan bahawa zikir setelah solat adalah satu bentuk amal ibadah yang disyari’atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firman-Nya:

 

Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat,

maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.[3]

 

 

Menurut Abdul Hakim bin Amir Abdat:

Zikir sesudah solat yang wajib/fardhu ialah satu bentuk zikir yang terikat dengan bilangan dan waktunya … Oleh kerana itu wajiblah kita mengikuti apa-apa yang Nabi shalallahu 'alaihi wasallam telah ajarkan kepada kita dengan tidak membuat-buat atau menambah-nambah yang telah ada.[4]

 

Telah menjadi kesepakatan ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah akan sunnahnya zikir setelah solat fardhu[5]. Cuma yang wujud perbezaan pendapat adalah berkaitan dengan tatacara zikir itu dibacakan. Insya-Allah di mukasurat yang berikutnya penulis akan bentangkan tatacara sebenar zikir setelah solat menurut sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dan juga al-Syafi’i rahimahullah.

 

 

Perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala Berkaitan Dengan Tatacara Bezikir

 

Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menjelaskan kepada hambanya tatacara berzikir yang sepatutnya kita persembahkan kepada-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya:

 

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu,

dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya)

dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.[6]

 

 

Dalam Tafsir al-Jalalain (Jld. 1, ms. 226) oleh al-Suyuti rahimahullah, disebutkan:

“Wadzkur Rabbaka Fi Nafsika ("Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu...) artinya secara rahsia atau sembunyi. Tadharru’an artinya merendah diri. Khifatan artinya rasa takut. Tingkatan di atas al-sirr ialah perkataan, tapi tidak nyaring dan tidak terdengar (bisikan).”[7]

 

Dalam Ruhul-Ma’any (Jld. 9, ms. 154) oleh al-Alusi rahimahullah, Ibnu Abbas radhiallahu 'anh berkata tentang ayat ini: Ertinya hanya dirinya sendiri yang mendengar.”[8] Dalam Tafsir Al-Qurthubi (Jld. 7, ms. 355) disebutkan, Abu Ja’far Al-Nuhas berkata:

Tidak ada perbezaan, bahawa makna wadzkur Rabbaka fi nafsika (Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu..) adalah dalam berdoa, Ibnu Abbas mengetikan berzikir di sini ialah qira’ah dalam solat. Ada pula yang berpendapat, artinya bacalah al-Qur’an dengan pengamatan dan pemahaman. Dunal Jahri (“…dengan tidak pula menyaringkan suara …”) artinya tidak menyaringkan suara. Hal ini sebagaimana firman Allah: [9

 

…dan ambilah jalan (pertengahan) antara demikian itu

 

ertinya antara nyaring dan bisikan hati, hal ini menunjukkan bahawa menyaringkan suara dalam berzikir adalah dilarang, berdasarkan keterangan-keterangan di atas.[10]

            Melalui firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di atas serta penjelasan daripada para ulama’ pentafsir al-Qur’an, dapat kita fahami bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala sendiri telah memerintahkan hamba-Nya untuk berzikir kepadanya dengan suara yang perlahan.

 

 

Hadis-Hadis Tentang Tatacara Zikir Setelah Solat

Di sini penulis akan paparkan beberapa hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang berkaitan dengan tatacara zikir sesudah solat.

 

Pertama:

 

أُمِّ سَلَمَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَتْ:

 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إذَا سَلَّمَ مِنْ صَلاَتِهِ قَامَ النِّسَاءُ حِينَ يَقْضِي تَسْلِيمَهُ

 

وَمَكَثَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فِي مَكَانِهِ يَسِيرًا.

           

Ummu Salamah (radhiallahu ‘anha) isteri Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berkata: "Rasulullah (shalallahu 'alaihi wasallam) apabila memberi salam setelah solatnya, kaum wanita berdiri setelah baginda menyelesaikan salamnya; sedangkan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sendiri diam di tempatnya sebentar."[11]

 

 

Kedua:

 

عَائِشَةَ قَالَتْ:كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَلَّمَ

 

لَمْ يَقْعُدْ إِلاَّ مِقْدَارَ مَا يَقُولُ: اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ

 

تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ (وَفِي رِوَايَةِ ابْنِ نُمَيْرٍ: يَا ذَا الْجَلاَلِ وَلإِكْرَامِ).

 

A'ishah (radhiallahu ‘anha) berkata: "Nabi shalallahu 'alaihi wasallam

apabila mengucapkan salam, (menunjukkan solat telah selesai);

baginda tidak duduk kecuali sekadar mengucapkan 'Allahumma antas salam, wa min kas salam, tabarakta dzal Jalali wal Ikram

(dalam riwayat lain disebut: yadzal Jalali wal Ikram).”[12]

 

 

Ketiga:

 

سِمَاكِ بْنِ حَرْبٍ قَالَ, قُلْتُ لِجَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ:

 

كُنْتَ تُجَالِسُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟

 

قَالَ: نَعَمْ. كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الْفَجْرَ

 

جَلَسَ فِي مُصَلاَّهُ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

 

فَيَتَحَدَّثُ أَصْحَابُهُ يَذْكُرُونَ حَدِيثَ الْجَاهِلِيَّةِ وَيُنْشِدُونَ الشِّعْرَ

 

وَيَضْحَكُونَ وَيَتَبَسَّمُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

 

Berkata Simak bin Harb, aku pernah berkata kepada Jabir bin Samurah:

"Pernahkah engkau duduk bersama Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam.

Jawab Jabir: "Ya! Biasanya setelah solat Subuh, Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam tetap duduk di tempat solatnya hingga matahari naik.

Di saat itu, biasanya para sahabat ada yang bercerita tentang kisah jahiliyah,

ada yang membaca puisi nasihat; dan jika mereka sampai tertawa

baginda ikut sama tersenyum."[13]

 

 

Keempat:

 

عَنْ جَابِرِ بْنِ يَزِيدَ بْنِ الأَسْوَدِ عَنْ أَبِيهِ, أَنَّهُ صَلَّى مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

صَلاَةَ الصُّبْحِ فَلَمَّا صَلَّى انْحَرَفَ.

 

Jabir bin Yazid Ibnu Aswad berkata, dari ayahnya bahawa dia pernah solat bersama Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam solat Subuh. Setelah selesai solatnya, baginda segera meninggalkan tempat solatnya.[14]

 

 

Kelima:

 

قَالَ ابْنُ شِهَابٍ أَخْبَرَتْنِي هِنْدُ بِنْتُ الْحَارِثِ الْفِرَاسِيَّةُ أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ أَخْبَرَتْهَا

 

أَنَّ النِّسَاءَ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُنَّ إِذَا سَلَّمْنَ مِنْ الصَلاَةِ قُمْنَ

 

وَثَبَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَنْ صَلَّى مِنْ الرِّجَالِ مَا شَاءَ اللَّهُ

 

فَإِذَا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ الرِّجَالُ.

 

Berkata Ibnu Syihab, aku diberitahu oleh Hindun binti Haarits al-Firasyyah, bahawa Ummu Salamah pernah memberitahukan: "Bahawa di masa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam pada umumnya, kaum wanita segera meninggalkan tempat solat setelah salam. Sedangkan Rasulullah dan kaum lelaki yang ikut solat bersama baginda masih duduk sampai Rasulullah bangkit maka kaum lelaki segera bangkit pula."[15]

 

 

Keenam:

 

أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ

 

كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ:

 

كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ.

 

Abdullah ibnu Abbas radhiallahu’anhuma berkata bahawa orang ramai berzikir dengan suara yang kuat selepas berakhirnya solat berjemaah dan ini berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ibnu Abbas melanjutkan: “Aku dapat mengetahui apabila solat telah selesai dengan mendengar zikir tersebut.”[16]

 

 

Ketujuh:

 

عَنْ اللَّهِ بْنَ الزُّبَيْرِ يَقُولُ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إذَا سَلَّمَ

 

مِنْ صَلاَتِهِ يَقُولُ بِصَوْتِهِ الأَعْلَى:لاَ إلَهَ إلاَّ اللَّهُ....

 

Abdullah ibnu Zubair (radhiallahu 'anh berkata): "Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam apabila memberi salam daripada solatnya, mengucapkan zikir berikut dengan suara yang keras: "La ilaha illAllah..."[17]

 

 

Setelah diteliti hadis-hadis di atas ternyata terdapat tiga cara Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam berzikir sesudah solat:

a) Baginda shalallahu 'alaihi wasallam berzikir dengan suara yang Jahr (kuat).

b) Baginda shalallahu 'alaihi wasallam berzikir secara sirr (perlahan).

c) Baginda shalallahu 'alaihi wasallam segera meninggalkan tempat solatnya tanpa berzikir[18]

 

Insya-Allah akan kita paparkan pendapat yang didukung ulama’ Ahlus Sunnnah Wal Jama’ah terutamanya pegangan al-Syafi'i rahimahullah Ta'ala dalam bab zikir selepas solat dan bagaimana beliau menghilangkan percanggahan yang seolah-olah kelihatan dalam hadis-hadis di atas.

 

Pandangan al-Syafi’i Tentang Zikir Setelah Solat

Menurut al-Syafi'i rahimahullah dalam kitab beliau al-Umm:[19]

Saya (al-Syafi'i) memandang baik bagi imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah keluar (selesai) daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikir kecuali bahawa dia itu adalah seorang imam yang harus orang belajar darinya. Allah Azza wa jalla telah berfirman:

 

... dan janganlah engkau menyaringkan bacaan doa engkau atau solatmu,

juga janganlah engkau perlahankannya...[20]

 

Iaitu, Allah sahaja yang Maha Mengetahui, ialah doa. Tidaklah engkau keraskan, ertinya janganlah engkau tinggikan suara. Dan tidak engkau diam sahaja, ertinya sehingga tidak dapat engkau dengar sendiri.

 

Saya mengira (berpendapat) bahawa yang diriwayatkan daripada Ibnu Zubair adalah dari tahlilnya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Dan yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas adalah dari takbirnya, sebagaimana yang kami riwayatkan dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam [zikir secara jahr (dengan suara yang kuat) selepas solat seperti yang telah dipaparkan di atas - pen] .

 

Saya mengira (berpendapat) bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam mengeraskan sedikit suaranya, supaya manusia dapat belajar daripadanya. Yang demikian itu kerana umumnya riwayat yang kami tuliskan bersama ini dan yang lainnya, tidak disebutkan padanya sesudah salam, akan pembacaan tahlil dan takbir.

 

Kadang-kadang disebutkan bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam berzikir sesudah solat, dengan yang saya terangkan itu, dan disebutkan juga perginya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dari solat tanpa zikir. Dan Ummu Salamah menyebutkan berhentinya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sekejap sesudah solat dan beliau tidak bezikir dengan keras (kuat).

 

Saya mengira, bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam  tidak berhenti yang sekejap itu, selain untuk berzikir dengan zikir yang tidak keras suara.....

 

Inilah tafsiran al-Syafi'i rahimahullah terhadap hadis-hadis zikir selepas solat. Beliau menyatakan zikir setelah solat secara jahr (kuat) yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas radhiallahu’anh adalah untuk para sahabat belajar dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tentang bacaan untuk berzikir. Setelah para sahabat faham akan tatacaranya maka zikir selepas solat itu diperlahankan atau disembunyikan dengan suara yang perlahan dan dikerjakan secara individual.

Ibnu Hajar al-‘Asqalani pengarang kitab Fathul Baari juga telah menurunkan kata-kata al-Nawawi rahimahullah  (kedua-dua mereka adalah tokoh hadis yang bermazhab Syafi'i) sebagai berikut: 

Al-Syafi'i memahami hadis ini (yakni hadis Ibnu Abbas) bahwa mereka mengeraskan suara hanya beberapa waktu lamanya untuk mengajar sifat (cara) zikir, bukan bererti mereka terus-menerus mengeraskan bacaan zikir. Adapun pandangan yang terpilih adalah bahawa imam dan makmum sama-sama membaca zikir dengan suara perlahan kecuali bertujuan untuk mengajar zikir tersebut kepada orang-orang.[21]

 

Dalam Syarah al-Nawawi ‘ala Shahih Muslim (Jld. 5, m.s 84) dalam bab “Raf’ush-Shaut bidz-zikr” (menyaringkan suara dalam berzikir), berkata al-Nawawi berkenaan hadis Ibnu Abbas:

Ini merupakan dalil tentang pendapat sebahagian salaf tentang sunat mengeraskan suara takbir dan zikir setelah selesai solat wajib. Di antara ulama muta’akhirin yang menganjurkannya ialah Ibnu Hazm al-Zahiri. Ibnu Bathal dan lain-lainnya menyatakan bahawa rakan-rakannya dan juga lain-lainnnya sepakat tentang tidak adanya anjuran mengeraskan suara zikir dan takbir tersebut. al-Syafi’i rahimahullah menafsirkan hadis ini bahawa hal itu merupakan pengulangan dalam jangka waktu yang tidak seberapa lama kerana Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam hendak mengajar sifat zikir kepada para sahabat, bukan bererti mereka terus menerus mengeraskannya. Dia berkata: “Imam dan makmum hendaknya memilih untuk berzikir kepada Allah setelah solat dengan menyembunyikannya (secara sirr). Kecuali jika ada orang yang hendak belajar zikir itu dari imam, hingga imam tahu bahwa orang yang belajar itu sudah mampu mempelajari darinya. Setelah itu imam harus menyembunyikannya. Begitulah semestinya.” Perkataan ibnu Abbas: “Aku tahu jika mereka menyelesaikan (solat)..” menurut zahir kalimatnya bahawa Ibnu Abbas tidak hadir dalam solat berjemaah pada sesekali waktu, kerana usianya yang masih kanak-kanak.[22]

 

Selanjutnya tentang hadis Ibnu Abbas radhiallahu'anhuma, Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata:

Kemudian terjadi perbezaan tentang latar belakang mengapa Ibnu Abbas berkata demikian. Al-Qadhi Iyadh mengatakan, bahawa Ibnu Abbas tidak hadir mengikuti solat berjemaah kerana usianya yang masih kecil, dia tidak termasuk di antara orang yang terus menerus menghadiri jamaah, maka beliau mengetahui akhir solat dari hal tersebut. Ulama’ selainnya mengatakan, kemungkinan Ibnu Abbas hadir di akhir Saf, maka beliau tidak mengetahui akhir solat dengan salam, akan tetapi beliau mengetahuinya dengan takbir. Ibnu Daqiq al Id berpendapat, dari sini dapat ditarik kesimpulan bahawa saat itu tidak ada orang yang menyampaikan takbir imam (muballigh) supaya didengar oleh orang-orang yang berada di akhir saf.[23]

 

Akan tetapi setelah Ibnu Abbas dewasa dan memiliki ilmu, dia sendiri ikut menafsirkan tadharru’an wa khufyatan dalam surah al-A’raf ayat ke 205 dengan berkata: Ertinya secara sembunyi, sirr.” Di tempat lain dia berkata menjelaskan sirr (zikir dengan suara perlahan – pen) itu ertinya: Hanya dirinya sendiri mendengar.”[24]

            Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibariy rahimahullah, pengarang kitab Fathul Mu’in, sebuah kitab fiqh mazhab al-Syafi’i yang menjadi rujukan utama bagi masyarakat Islam di Malaysia dan Indonesia, telah menulis:

Sunnah sesudah solat, zikir dan berdoa dengan suara perlahan. Maksudnya, sunnah melakukannya dengan suara perlahan bagi munfarid (solat bersendirian), makmum dan imam yang tidak bermaksud untuk memimpin hadirin atau memperdengarkan doanya agar diaminkan oleh mereka.[25] 

Maka secara ringkasnya pandangan al-Syafi’i rahimahullah tentang tatacara berzikir selepas solat adalah sebagaimana yang dikatakan oleh al-Baihaqi rahimahullah dalam kitabnya Sunan al-Kubra:

Bahawa zikir dan doa sesudah solat harus diperlahankan (secara sirr) kecuali jika imam ingin mengajarkan zikir itu kepada manusia, maka dikuatkan (secara jahr) supaya dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui, maka zikir dan doa itu haruslah diperlahankan (secara sirr semula – pen).[26]

 

Maka inilah pendapat Mazhab al-Syafi’i yang sebenar tentang zikir sesudah solat. Apa yang perlu difahami oleh para pembaca yang budiman bahawa sebenarnya hukum mengeraskan suara dengan zikir di dalam masjid sehingga terganggu orang lain yang sedang solat (samada makmum yang masbuk atau yang sedang solat sunat) adalah haram.  Menurut Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibariy rahimahullah:

Guru kami berpendapat: “Adapun mengeraskan suara zikir dan doa di dalam masjid sehingga menganggu ketenangan orang yang bersolat maka ianya adalah haram.”[27]

 

Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah pengharaman ini dikecualikan ketika sedang dijalankan majlis ilmu di masjid tersebut.[28] Pengharaman ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:

 

 

عَنِ الْبَيَاضِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

 

خَرَجَ عَلَى النَّاسِ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَقَدْ عَلَتْ أَصْوَاتُهُمْ بِالْقِرَاءَةِ

 

فَقَالَ: إِنَّ الْمُصَلِّي يُنَاجِي رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فَلْيَنْظُرْ مَا يُنَاجِيهِ

 

وَلاَ يَجْهَرْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ بِالْقُرْآنِ.

 

Dari al-Bayaadhiyyi radhiallahu’anh, dia berkata: “Bahwa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam pada suatu ketika keluar kepada orang ramai (di masjid).

Didapatinya banyak orang bersolat dan banyak pula yang mengeraskan suara dalam membaca al-Qur’an, maka sabdanya:

“Sesungguhnya orang yang bersolat itu sedang munajat atau bercakap-cakap dengan Tuhannya ‘Azza wa Jalla, maka seharusnya dia mengetahui apa yang dipercakapkan itu! Dan janganlah pula sebahagianmu mengeraskan suaranya mengatasi yang lain dalam membaca al-Qur’an!”[29]

 

 

Sekiranya membaca ayat al-Qur’an secara kuat dilarang kerana mengganggu orang lain yang sedang bersolat, maka sudah tentu juga membaca zikir secara kuat atau beramai-ramai adalah dilarang juga.

Selanjutnya ingin penulis tambah sedikit tentang kaifiyah (tatacara) berdoa yang disyari’atkan sebagaimana yang difirman oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala berserta huraian dan penjelasan para ahli tafsir tentang ayat tersebut:

 

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku

maka (beritahu kepada mereka):

sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);

Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.

Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku),

dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.[30]

 

 

Mengenai sebab turunnya ayat doa yang terkenal ini, al-Qurtubi dalam tafsirnya (jld. 1, ms. 219) menyebut:

Dari al-Shalat bin Hakim bin Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairy, dari ayahnya, dari datuknya, bahawa ada seorang Arab Badwi berkata kepada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, apakah Rabb kami dekat sehingga kami cukup bermunajat (berbisik) kepada-Nya ataukah Dia jauh sehingga kami berseru kepada-Nya (dengan suara nyaring?” Baginda diam sahaja. Lalu tak seberapa lama kemudian Allah turunkan ayat di atas, “Wa idza sa’alaka ibadi ‘anni…”

 

…Setelah itu disebutkan riwayat Ahmad dari Abu Musa al-‘Asya’ari radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Kami pernah bersama Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dalam satu peperangan. Setiap kali kami melalui jalan mendaki atau menurun di suatu lembah, maka kami mengeraskan suara bertakbir. Maka beliau mendekati kami seraya bersabda: Wahai manusia, kasihanilah diri kalian, kerana kalian tidak berdoa kepada yang tuli dan tidak pula yang jauh. Sesungguhnya yang kalian seru lebih dekat kepada salah seorang di antara kalian daripada tengkuk untanya. Wahai Abdullah bin Qais, bagaimana jika aku ajarkan kepada mu satu kata dari simpanan syurga, iaitu la haula wa la quwwata illa billahi” [31]

 

Dari sini dapatlah kita fahami bahawa berdoa kepada Allah ‘Azza wa Jalla juga disyari’atkan dengan suara yang perlahan sahaja. Apa yang lebih utama adalah jika kita panjatkan doa kepada Allah Ta’ala ketika masih dalam solat. Menurut Ibnu Taymiyyah rahimahullah dalam Majmu’ al-Fatawa, Jld. 22, ms. 512-514:

Seseorang yang sedang bersolat sebenarnya sedang mengadu (bermunajat) kepada Tuhannya, maka ketika dia memberi salam (menunjukkan berakhirnya solat), selesailah sudah munajatnya. Oleh itu sewajarnya permohonan itu dipanjatkan ketika bermunajat (dalam solat sebelum salam) kerana ianya lebih mungkin untuk dimakbulkan jika dibandingkan dengan permohonan yang dipanjatkan setelah dia selesai bermunajat (selesai solat).[32]

 

Antara waktu yang paling mustajab doa (berkemungkinan untuk doa dimakbulkan oleh Allah Ta’ala) semasa sedang bersolat adalah ketika sedang bersujud dan dalam tasyahhud akhir setelah selawat sebelum salam. Ini sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:

 

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ.

 

Saat yang paling dekat bagi seorang hamba untuk berada di samping Tuhannya, ialah ketika dia sujud. Dari itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa ketika sujud itu.[33]

 

 

 

أَلاَ وَإِنِّي نُهِيتُ أَنْ أَقْرَأَ الْقُرْآنَ رَاكِعًا أَوْ سَاجِدًا

 

فَأَمَّا الرُّكُوعُ فَعَظِّمُوا فِيهِ الرَّبَّ عَزَّ وَجَلَّ وَأَمَّا السُّجُودُ

 

فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ.

 

Ketahuilah bahawa saya dilarang membaca al-Qur’an di waktu rukuk mahupun sujud. Maka sewaktu rukuk hendaklah kamu membesarkan Tuhan, sedang di waktu sujud usahakanlah padanya berdoa dengan sungguh-sungguh, kerana besar kemungkinan (doa itu –pen) akan dikabulkan Tuhan.[34]

 

 

 

إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ

 

مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَعَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ

 

وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ثُمَّ يَدْعُو لِنَفْسِهِ بِمَا بَدَا لَهُ.

 

Bila seseorang selesai membaca tasyahhud (akhir),

hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah empat perkara,

iaitu (Ya Allah aku berlindung kepada mu) dari siksa neraka jahannam,

dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati, dan dari (fitnah) Dajjal.

Selanjutnya, hendaklah ia berdoa memohon kebaikan untuk dirinya sesuai dengan kehendaknya. [35]

 

Kesimpulan

Semoga dengan penjelasan ini maka umat Islam di Malaysia akan berlapang dada dalam permasalahan zikir dan berdoa sesudah solat ini. Yang benar menurut sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam adalah zikir dan doa tersebut dibacakan secara individual dengan suara yang perlahan. al-‘Utsaimin rahimahullah menulis:

Bukan termasuk perbuatan sunnah apabila seseorang duduk setelah solat untuk membaca zikir-zikir ataupun doa-doa yang ma’thur (yang disebutkan di dalam hadis) mahupun yang tidak ma’thur dengan suara yang keras (jahr). Apalagi jika bacaan semacam itu dikerjakan secara kolektif (bersama-sama), seperti yang telah menjadi tradisi di beberapa daerah. Namun sayangnya tradisi yang berlaku ini dianggap tidak benar jika tidak dikerjakan. Bahkan orang yang melarangnya dianggap sebagai orang yang melarang syi’ar agama. Padahal sebenarnya tradisi seperti ini seharusnya ditinggalkan kerana tidak diajar oleh sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam .[36]

 

Jangan disebabkan kejahilan diri masing-masing, terjadi saling fitnah-menfitnah dan memberi gelaran-gelaran dalam bentuk ejekan yang tidak baik. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani)

yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah),

Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.[37]

 

 

 


 

[1] Sila rujuk tulisan Astora Jabat dalam Mingguan Malaysia bertarikh 22hb Ogos 2004.

[2] Yunus (10): 36

[3] al-Nisaa’ (4): 103. Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah, ms. 375.

[4] Abdul Hakim bin Amir Abdat, al Masaa-il (Masalah-Masalah  Agama), jld.1, ms. 175.

[5] Di dalam bab seterusnya penulis akan membahaskan bacaan-bacaan zikir sesudah solat yang diamalkan oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam.

[6] al-A'raaf (7): 205

[7] Dinukil daripada kitab Koreksi Dzikir Jama’ah M. Arifin Ilham, ms. 88.

[8] Dinukil daripada kitab Koreksi Dzikir Jama’ah M. Arifin Ilham, ms. 88.

[9] al-Israa’ (17): 11

[10] Dinukil daripada kitab Koreksi Dzikir Jama’ah M. Arifin Ilham, ms. 94-95.

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh asy-Syafi’i di dalam Kitab al-Umm, jld.1, mukasurat 150 dan al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra, hadis no. 2827. Juga dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 837 dengan lafaz yang sedikit berbeza, iaitu:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَلَّمَ قَامَ النِّسَاءُ حِينَ يَقْضِي تَسْلِيمَهُ وَمَكَثَ يَسِيرًا قَبْلَ أَنْ يَقُومَ.

[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 592.

[13] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, hadis no. 1358.

[14] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, hadis no. 1334.

[15] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, hadis no. 1333.

[16] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 841.

[17] ---: Dikeluarkan oleh al-Syafi’i di dalam Kitab al-Umm, jld.1, mukasurat 150. Dikeluarkan juga oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no. 594 akan tetapi tanpa lafaz “dengan suara yang keras”.

[18] Hadis yang mengkhabarkan bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam setelah selesai solat baginda terus bangkit tanpa berzikir, menunjukkan zikir selepas solat hanyalah sunat.

[19] al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 295-297.

[20] al-Israa' (17):110

[21] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld. 4, ms. 711.

[22] Dinukil daripada buku Koreksi Dzikir Jama’ah M. Arifin Ilham, karya Abu Amsaka, Darul Falah, Jakarta 2003, ms. 107-108.

[23] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld.4, ms. 712.

[24] Dinukil dari buku tulisan Abu Amsaka, Koreksi Dzikir Jama’ah M. Arifin Ilham, ms. 98.

[25] Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibariy, Fathul Mu’in (edisi terjemahan oleh Drs. Aliy As’ad, Klang Book Centre,  Klang 1988), jld.1, ms. 170.

[26] Dinukil daripada buku tulisan Hafiz Firdaus Abdullah, Zikir-Zikir Selepas Solat Fardhu Sebagaiman Yang Diajarkan Dan Dilakukan Oleh Rasulullah SAW, ms. 46

[27] Zainuddin bin ‘Abdul ‘Aziz al-Malibariy, Fathul Mu’in, jld.1, ms. 172.

[28] Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld.2, ms.151

[29] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan ia dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas kitab tersebut, hadis no. 19022 (jld. 4, ms. 344).

[30] al-Baqarah (2): 186

[31] Dinukil daripada kitab Koreksi Dzikir Jama’ah M. Arifin Ilham, ms. 113-114.

[32] Dinukil daripada kerta kerja Hukum Berdoa Dan Cara Bertasbih Selepas Solat, ms. 9, tulisan Rasul Dahri. Yang telah beliau bentangkan di markas Pertubuhan al-Khaadem, Damansara, Kuala Lumpur.

[33] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 482.

[34] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 479.

Catitan penyunting: Petunjuk sampingan dalam hadis ini adalah larangan membaca ayat-ayat al-Qur’an ketika rukuk dan sujud. Para pembaca hendaklah memerhatikan hal ini kerana sedia diketahui terdapat sebahagian ustaz yang mengajar membaca ayat-ayat al-Qur’an ketika sujud dalam solat atas alasan fadilat attau petua tertentu.

Tidak boleh juga membaca doa yang berasal daripada ayat al-Qur’an ketika sujud. Gantinya, doa tersebut boleh dibaca ketika duduk tasyahud akhir sebaik sahaja sebelum memberi salam. Rujuk hadis berikutnya berkenaan doa sebelum memberi salam.

[35] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, hadis no. 1310.

[36] Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah, ms. 375.

[37] Aali ‘Imran (3):105

 

Ke atas