BEBERAPA PERSOALAN SOLAT

 

MAKLUMAT BUKU : KANDUNGAN

 

 

4

 

MELETAKKAN TANGAN
DI ATAS DADA KETIKA BERDIRI

 

 

Din: Assalaamu’alaikum Shah

 

Shah: Wa’alaikumussalaam Warahmatullah, apa khabar Din?

 

Din: Baik Alhamdulillah. Shah, boleh aku tanya sikit tak?

 

Shah: Hmm, tentang apa?

 

Din: Aku tengok kau solat tadi masa berdiri kau letak tangan kat dadalah, sedangkan sepatutnya kau letak tangan di pusat sebagaimana yang biasa diamalkan.

 

Shah: Apa yang aku buat itu ada sandarannya dari hadis Nabi yang sahih Din.

 

Din: Aku bukan apa, Tok Guru aku kata amalan tersebut sesat.

 

Shah: Kenapa pula sesat?

 

Din: Menurut guru aku apabila meletakkan tangan di dada ia akan membentuk huruf Lam (ل). Dari huruf lam ini timbulnya perkataan la’ ( لا-Tiada). Jadi apabila dengan meletakkan tangan di dada tanpa kau sedari kau sebenarnya menunjukkan pernyataan La’ Allah (لا الله - Tiada Allah).

 

Shah: Tapi meletakkan tangan di atas dada itu ada hadis Nabi sebagai dalilnya. Tak mungkin begitu.

 

Din: Itu apa yang Tok Guru aku cerita.

 

Shah: Tok Guru kau ada bagi dalil tak untuk menguatkan hujahnya itu?

 

Din: Ada.

 

Shah: Apakah dalilnya? Sebab kita dalam Islam jika kita nak bagi hujah mesti dikuatkan dalil dari al-Qur’an atau hadis yang sahih.

 

Din: Hmm. Nanti aku bagilah.

 

Beginilah satu kisah benar yang terjadi kepada seorang sahabat penulis sendiri. Sehingga hari ini penulis dan sahabat penulis tersebut masih terfikir bagaimanakah dengan meletakkan tangan di dada ketika berdiri dalam solat membentuk perkataan Lam (ل). Inilah sikap ulama’ su’ (jahat) yang melakukan fitnah yang keji lagi hina. Bagi yang jahil, mereka menerima sahaja tanpa usul periksa ajaran-ajaran yang pelik sebegini akibat telah terbiasa dengan sikap taklid buta yang telah sebati dalam jiwa mereka. Apa sahaja amalan yang tidak biasa mereka amalkan maka dikatakan sesat, “ini bukan dari mazhab kami”  atau ungkapan yang paling popular ini adalah amalan Wahhabi. Sesungguhnya amalan meletakkan tangan di atas dada ketika berdiri dalam solat ini ada contohnya dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Maka dengan memperlekehkan perbuatan tersebut secara tidak langsung mereka sebenarnya memperlekehkan sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Tindakan memperlekehkan sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam satu bentuk istihza[1] tehadap Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam sendiri. Dan istihza’  ini dicela oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Firman-Nya:

 

Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu)

tentulah mereka akan menjawab:

"Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main".

Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta),

kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman…[2]

 

Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan solat,

mereka menjadikan solat itu sebagai ejek-ejekan dan permainan.

Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal. [3]

 

 

Semoga kita menjauhkan diri dari sikap istihza’ ini.

 

 

Dalil Yang Menetapkan Meletakkan Tangan Di Atas Dada

 

Sesungguhnya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam apabila berdiri (qiyam) dalam solat baginda akan meletakkan tangan kanannya di atas belakang tangan kirinya. Adakalanya beliau menggenggam tangan kanannya di pergelangan tangan kirinya. Sahl bin Sa’ad radhiallahu 'anh menerangkan:

 

كَانَ النَّاسُ يُؤْمَرُونَ أَنْ يَضَعَ الرَّجُلُ الْيَدَ الْيُمْنَى عَلَى ذِرَاعِهِ الْيُسْرَى فِي الصَّلاَةِ.

Manusia diperintahkan agar meletakkan tangan kanannya

di atas lengannya yang kiri dalam solat.[4]

 

 

Demikian juga oleh Wail bin Hujur radhiallahu 'anh:

 

ثُمَّ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى.

 

Kemudian meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya.[5]

 

 

             Dalam sebuah riwayat yang lain beliau menyebut:

 

ثُمَّ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى كَفِّهِ الْيُسْرَى وَالرُّسْغِ وَالسَّاعِدِ.

 

Beliau (Nabi shalallahu 'alaihi wasallam) meletakkan lengan kanan pada punggung telapak kirinya, pergelangan, dan lengan kirinya.[6]

 

 

Tentang tempat perletakkan tangan pula maka terdapat beberapa pendapat yang antaranya adalah di atas pusat, di bawah pusat, di perut dan di dada. Menurut al-‘Utsaimin rahimahullah: Pendapat yang lebih dekat kebenarannya adalah meletakkan tangan di atas dada.[7] Dalilnya adalah hadis Wail bin Hujur radhiallahu 'anh:

 

صَلَّيْتُ مَعَ النَِّبيِّ صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
 
فَوَضَعَ يَدَهُ اْليُمْنَى عَلَ يَدَهُ اْليُسْرَى عَلَى صَدْرِهِ.

 

“Saya melakukan solat bersama Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam maka diletaknya tangan kanannya di atas tangan kirinya di atas dada.”[8]

 

Tentang diletakkan tangan di atas dada, Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata:

Para ulama’ berpendapat bahawa hikmah yang dapat diambil adalah bahawa meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri merupakan sifat orang yang memohon dengan merendahkan diri, dan lebih mendekatkan kepada ke-khusyu’-an. Sepertinya Imam Bukhari memperhatikan hal ini, sehingga sesudahnya (Bab meletak tangan kanan atas tangan kiri – pen) dia menyebutkan bab tentang khusyu’. Di antara pernyataan yang unik adalah pendapat sebahagian ulama’ bahawa hati[9] merupakan tempat niat, dan telah menjadi kebiasaan seseorang yang hendak menjaga sesuatu maka dia menempatkan tangannya di atas sesuatu yang dijaga.[10]

 

Tambah Ibnu Hajar lagi bahawa Ibnu Abdil Bar berkata:

Tidak ada perbezaan riwayat dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam mengenai hal itu (yakni meletakkan tangan di atas dada – penerj), dan ini merupakan pendapat majoriti sahabat dan tabi’in serta pendapat yang disebutkan oleh Malik dalam kitab al-Muwathta’. Ibnu Mundzir dan lainnya tidak menukil dari Imam Malik selain pendapat ini.[11]

 

             Menurut Abu Ubaidah Masyhur:

Sedangkan para ulama’ mazhab Maliki meriwayatkan tentang sunnahnya meletakkan tangan di dada ketika solat fardhu mahupun solat sunat merupakan hal yang bukan rahsia lagi. Sebab orang-orang hidup pada generasi awal Islam telah diperintahkan untuk melakukannya.[12]

 

Al-Syaukani di dalam kitabnya Nail al-Awthaar (Jld. 1, ms. 204) berkata:

Tidak ada satu hadispun yang lebih sahih dalam masalah ini (tempat meletakkan tangan – pen) kecuali hadis Wail (bin Hujur) di atas. Riwayat ini benar-benar sesuai dengan perbuatan orang-orang salaf kami, yakni seperti pentafsiran Ali dan Ibn Abbas tehadap  firman Allah Ta’ala:

 

Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan ber-nahar-lah:[13]

 

Yang dimaksudkan dengan kata nahr dalam ayat tersebut adalah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di tempat nahr (menyembelih haiwan) dan di dada.[14]

 

 

Maka dengan ini jelas bagi kita semua bahawa meletakkan tangan di atas dada ketika berdiri dalam solat mempunyai dalil yang sahih dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dan ianya juga merupakan salah satu dari pendapat ulama’ Ahlus Sunnah wal Jamaah. Maka seharusnya umat Islam di Malaysia berlapang dada dalam menerima sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam ini walaupun ianya tidak biasa diamalkan di sini.

 

 


 

[1] Istihza’ ertinya mengejek, memperolok-olok atau mencemuh.

[2] al-Taubah (9): 65-66

[3] al-Maaidah (5): 58

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 740.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no 401.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya, hadis no. 726 dan al-Nasai dalam Sunannya, hadis no. 889. Al-Nawawi menyebut hadis ini dalam al-Majmu’, jld. 2, ms. 269 dan beliau berkata: “Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih.” Turut dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai, hadis no. 889.

[7] Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah: Bab Ibadah, (edisi terjemahan oleh Furqan Syuhada, Qosdi Ridwanullah dan Irwan Raihan, Pustaka Arafah, Solo, 2002) ms. 357. Selepas ini buku ini akan disebut sebagai “Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah”.

[8] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya, hadis no. 479. Hadis juga disebut oleh al-Nawawi dalam Al-Majmu’, jld. 3, ms. 270; al-Zaila‘i (الزيلعي) dalam Nasb al-Rayah (نصب الراية) fi Takhrij Ahadits al-Hidayah, jld. 1, ms. 433 dan Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Talkhish al-Habir (التلخيص الحبير) fi Takhrij Ahadits al-Rifa‘i al-Kabir (الرافعي الكبير), jld. 405 dan mereka pada zahirnya menerima pensahihan Ibn Khuzaimah. Sanad hadis ini telah dinilai sahih oleh penyemak kitab Shahih Ibn Khuzaimah: Muhammad Musthafa al-‘Azhami.

[9] Qalb atau hati bukanlah organ hati di dalam badan kita tetapi ia adalah organ jantung. Pendapat inilah juga yang di pegang oleh Ibnu Hajar rahimahullah kerana organ jantung terletak di dada.

[10] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld.4, ms. 429.

[11] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld.4, ms. 429.

[12] Dinukil daripada kitab Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 112.

[13] al-Kauthar (108): 2

[14] Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 114.

 

Ke atas