BEBERAPA PERSOALAN SOLAT

 

MAKLUMAT BUKU : KANDUNGAN

 

 

 

PENDAHULUAN

 

Menurut Dr. Shalih bin Ghanim bin Abdillah al-Sadlani:

Makna solat dari Allah adalah Rahmat, sedangkan makna solat dari seseorang adalah doa dan istighfar. Manakala dalam istilah syar’i solat bererti, ...rukun-rukun yang dikhususkan dan zikir yang telah dimaklumi dengan syarat-syarat yang dibatasi dengan waktu-waktu tertentu, atau perkataan dan perbuatan yang diawali dengan takbiratul ihram dan ditutup dengan salam disertai dengan niat.[1]

Ibadah solat merupakan satu bentuk ibadah yang paling utama di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ianya merupakan rukun Islam yang kedua setelah mengucap dua kalimah syahadah. Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya tentang apakah Islam, lantas baginda menjawab :

 

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ

 

الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ.

 

Islam itu dibangunkan atas lima perkara,

Syahadah bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasul Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji ke rumah Allah (Baitullah)

dan puasa di bulan Ramadhan.[2]

 

Tidak seperti ibadah lain, kewajipan ibadah solat diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam pada malam berlakunya peristiwa Isra’ Mi’raj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Malik bin Anas radhiallahu’anh:

 

فُرِضَتْ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِهِ الصَّلَوَاتُ خَمْسِينَ ثُمَّ نُقِصَتْ حَتَّى

 

جُعِلَتْ خَمْسًا ثُمَّ نُودِيَ: يَا مُحَمَّدُ إِنَّهُ لاَ يُبَدَّلُ الْقَوْلُ لَدَيَّ وَإِنَّ لَكَ بِهَذِهِ الْخَمْسِ خَمْسِينَ.

 

Pada malam Isra’ difardhukan kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam

solat sebanyak lima puluh kali, kemudian dikurangkan hingga lima kali (sehari) kemudian diseru (oleh Allah),

Wahai Muhammad! Sesungguhnya ketetapan-Ku tidak akan diubah.

Dan bagimu dengan solat lima kali (sehari)

akan mendapatkan pahala sebanyak solat lima puluh kali.[3]

 

Ini menunjukkan keagungan dan keistimewaan ibadah solat yang melebihi ibadah-ibadah lain. Ibadah solat juga merupakan tiang yang asas bagi agama Islam dan sekiranya tiang ini runtuh maka runtuhlah segala-galanya berkaitan dengan agama. Ini sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:

 

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ.

 

Pangkal semua urusan agama adalah Islam, dan tiangnya adalah solat,

dan puncak tertingginya adalah jihad.[4]

 

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan bahawa ibadah solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelakunya gugur keimanannya. Ancaman ini pernah disuarakan oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sebagaimana sabdanya:

 

الْعَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ الصَّلاَةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ.

 

Perjanjian di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat,

dan barangsiapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir.[5]

 

 

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلاَةِ.

 

“Sesungguhnya yang memisahkan antara seseorang dengan kesyirikan

dan kekufuran adalah dengan meninggalkan solat.”[6]

 

Beginilah tingginya martabat ibadah solat di sisi Islam. Maka tidaklah menghairankan sekiranya perkara yang mula-mula dihisab ketika di hari akhirat nanti adalah ibadah solat. Jika seseorang itu tidak bersolat maka sia-sialah segala amal ibadahnya yang lain. Ini sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang diperjelaskan oleh Abu Hurairah radhiallahu’anh:

 

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ

 

فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ...

 

Sesungguhnya perkara pertama yang akan di hisab

bagi seseorang hamba di hari kiamat dari amal-amalnya ialah solatnya,

jika solatnya baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung

dan jika solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung...[7]

 

Oleh itu sepatutnya seluruh umat Islam memberi perhatian yang tinggi terhadap kesempurnaan ibadah solat ini kerana implikasi ibadah solat terhadap diri kita semua sebagaimana yang telah saya paparkan di atas adalah begitu besar. Oleh itu perlu wujud di jiwa seluruh umat Islam untuk bersungguh-sungguh dalam menyempurnakan ibadah solat dan meningkatkan keperihatinan kita untuk mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Ini adalah kerana manusia yang paling sempurna cara solatnya di bumi Allah Subhanahu wa Ta'ala ini adalah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Tidak mungkin ada yang berani menyanggah kenyataan bahawa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam adalah contoh ikutan terbaik untuk semua manusia yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana baginda telah dididik oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala secara langsung melalui wahyu-wahyu-Nya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

Demi sesungguhnya,

adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah

dan (balasan baik) di hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).[8]

 

Semoga perbahasan seterusnya di dalam buku ini dapat membawa kita lebih hampir kepada sifat solat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam Insya-Allah.

 


 

[1] Shalih bin Ghanim bin Abdillah al-Sadlani, Shalat Jama’ah: Panduan Hukum, Adab, Hikmah, Sunnah dan Peringatan Penting Tentang Perlaksanaan Shalat Berjema’ah (edisi terjemahan oleh M. Nur Abrari, Pustaka Arafah, Solo, 2002), ms. 17.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 8 dan Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 16.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih gharib”. Ia juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 213.

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih”. Juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 2616.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih gharib”. Juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 2621.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 82.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata: “Hadis Abu Hurairah adalah hasan gharib”. Juga dikeluarkan oleh Abu Daud dengan maksud yang sama dan ia disahihkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani sebagaimana sebut al-Murakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi ketika mensyarahkan hadis di atas. Hadis ini disahihkan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 413.

[8] al-Ahzaab (33):21. Penulis sengaja mengulangi ayat ini di beberapa tempat dalam buku ini kerana ingin menekankan betapa pentingnya untuk kita mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam amal ibadah harian kita dan ianya juga adalah berbentuk perintah dari Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

Ke atas