BEBERAPA PERSOALAN SOLAT

 

MAKLUMAT BUKU : KANDUNGAN

 

 

KATA PENGANTAR

 

 

إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا

 

وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ

 

وَأَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.

 

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Kepada-Nya kita memuji, memohon pertolongan dan kepada-Nya jua kita meminta ampun. Kita memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan diri dan keburukan amal perbuatan. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dia tidak akan mendapatkan kesesatan. Barangsiapa yang tersesat, maka tidak ada yang dapat memberikannya petunjuk kecuali hanya Dia. Saya bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah yang maha Esa, tidak ada sekutu baginya dan Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya.

 

Wahai orang-orang yang beriman!

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa,

dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.[1]

 

Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu

yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam),

dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa),

dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan -

lelaki dan perempuan yang ramai.

Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta

dengan menyebut-nyebut nama-Nya,

serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat;

kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.[2]

 

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah,

dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara),

Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu,

dan mengampunkan dosa-dosa kamu.

Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya,

maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.[3]

 

 

Sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah kitabullah. Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam . Sedangkan seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan dan semua yang diada-adakan adalah bid’ah. Semua yang bid’ah adalah sesat dan semua yang sesat tempat kembalinya adalah neraka. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam),

dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu),

lalu Allah menyatukan di antara hati kamu

(sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam),

maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka

(disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah),

lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.[4]

 

 

Sesungguhnya persaudaraan dan penyatuan antara sesama umat Islam merupakan satu nikmat kurniaan Allah Subhanahu wa Ta'ala yang seharusnya kita pertahankan dengan bersungguh-sungguh. Kekuatan umat Islam banyak bergantung kepada kesatuan ini dan sekiranya umat Islam berpecah-belah maka pasti akan timbul bencana yang boleh menyebabkan golongan kuffar mengambil kesempatan untuk menewaskan atau melemahkan posisi umat Islam. Umat Islam pada zaman Rasululllah shalallahu 'alaihi wasallam begitu memerhatikan konsep persaudaraan ini dan mereka bersikap berkasih sayang sesama umat Islam. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Nabi Muhammad (shalallahu 'alaihi wasallam) ialah Rasul Allah;

dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas

terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam),

dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri

(umat Islam)...[5]

 

 

Dengan mempraktikkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala di atas, maka Islam telah melalui zaman gilang-gemilangnya sehinggakan Empayar Rom dan Parsi yang dianggap kebal pada masa itu telah berjaya ditewaskan oleh tentera Islam. Tetapi malangnya keadaan sekarang sudah berubah malah terbalik. Umat Islam lebih gemar mengampu dan berkasih sayang terhadap golongan kuffar dan bersikap keras serta tegas ke atas saudaranya yang seagama. Lihatlah bagaimana negara-negara Islam mengampu Amerika Syarikat dan sekutunya dan membiarkan dua buah negara Islam iaitu Afghanistan dan Iraq diceroboh oleh tentera kuffar. Lihatlah bagaimana kegagalan negara-negara Arab untuk bersatu sehingga tanah umat Islam di Palestin dirampas oleh orang Yahudi dihadapan mata mereka tanpa mereka mampu untuk berbuat apa pun. Oleh itu kita harus sedar betapa pentingnya untuk kita mengelakkan terjadinya perpecahan dan berusaha dengan gigih untuk mendamaikan pihak-pihak sesama Islam yang bertelingkah. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala

 

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara,

maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu;

dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.[6]

 

 

Oleh itu segala ruang yang boleh menimbulkan perpecahan umat Islam di Malaysia harus kita tutup serapat mungkin. Penulis melihat antara subjek yang sentiasa menjadi bahan polemik di dalam masyarakat adalah berkaitan tatacara perlaksanaan ibadah solat. Umat Islam saling tuduh-menuduh sesama mereka bahawa tatacara solat pihak yang lain sebagai tidak sah atau bertentangan dengan sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Adakalanya polemik ini bertukar menjadi buruk sehingga ada yang bermasam muka malah ada yang sampai ke tahap saling sesat-menyesatkan dan kafir-mengkafirkan. Antara faktor yang menyumbang ke arah kekusutan kemelut ini adalah:

  1. Kejahilan terhadap sunnah-sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam.

  2. Sikap taklid buta iaitu hanya mengikut amalan kebiasaan yang diwarisi secara turun-temurun tanpa ingin mengetahui samada amalan tersebut bersumber dari al-Qur’an atau al-Sunnah. Termasuk dalam kategori ini adalah sikap hanya menerima sahaja ajaran guru-guru agama tanpa ingin mengetahui dalil yang mereka pergunakan dalam mengeluarkan pendapat masing-masing.

  3. Sikap fanatik mazhab sehinggakan mengutamakan pendapat mazhab masing-masing dari dalil yang datang dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini juga termasuk terlalu mengagung-agungkan ajaran guru masing-masing sehinggakan mereka diletakkan ke taraf maksum dan pendapat mereka seolah-olah tidak boleh dibantah langsung.

            Di Malaysia sebagai contohnya kita telah melihat perdebatan hangat berkaitan dengan tatacara solat di antara Golongan Muda dan Golongan Tua atau kelompok Wahhabiyah dan Syafi’iyyah[7] yang telah berlarutan sekian lama. Melalui pengalaman penulis sendiri secara peribadi dan di alam cyber, seringkali tatacara solat golongan Wahhabiyah atau Ahl al-Sunnah ini dipertikaikan keabsahannya hanya kerana ianya tidak seperti kebiasaannya yang diamalkan oleh kebanyakan orang Islam di Malaysia. Permasalahan ini adalah disebabkan oleh pemikiran yang tertutup kerana terlalu terikat dengan amalan tradisi dan warisan serta kejahilan atas sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dalam perkara berkaitan dengan tatacara solat tersebut. Pepatah Arab ada menyatakan ‘Faman jahila shay-a’ ‘aadaahu’ yang bermaksud ‘’Maka sesiapa yang tidak kenal (mengetahui) sesuatu perkara itu, nescaya dia akan berseteru (menolak) terhadap perkara itu.” Kejahilan adalah antara faktor utama yang menyebabkan manusia mempertikaikan sesuatu perkara yang sebenarnya dicontohkan dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam melalui hadis-hadis baginda yang sahih. Penulis berkeyakinan jika dalil yang membelakangi sesuatu amalan itu ditonjolkan dengan cara yang penuh hikmah pasti ianya akan melapangkan dada umat Islam yang saling berselisih pendapat dan menerima perbezaan tersebut kecuali mereka yang sememangnya taksub (fanatik) terhadap pendapat sendiri.

 

Penulis di dalam buku ini berusaha untuk membahaskan empat belas perkara berkaitan dengan solat fardhu termasuk solat Jumaat yang sering terjadi perdebatan hangat tentang tatacara perlaksanaannya dan penulis namakan buku ini “Beberapa Persoalan Lazim Tentang Solat”. Insya-Allah penulis akan sedaya upaya untuk membahaskan topik-topik tersebut seadil mungkin dengan menggunakan al-Qur’an dan al-Sunnah sebagai neraca kerana Nabi shalallahu 'alaihi wasallam telah memberi jaminan bahawa selagi mana kita berpegang kepada keduanya kita tidak akan tersesat. Sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam:

 

Aku telah meninggalkan kepada kamu sekalian dua perkara

yang kamu tidak akan sesat dengan keduanya,

iaitu Kitabullah dan sunnah Nabinya.”[8]

 

 

Semoga melalui buku ini sedikit sebanyak akan dapat meningkatkan pengetahuan para pembaca berkaitan dengan ibadah solat agar dapat membanteras budaya taklid buta dan fanatik mazhab. Sesungguhnya terdapat begitu banyak hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang menjelaskan tatacara solat baginda shalallahu 'alaihi wasallam yang sepatutnya lebih kita utamakan daripada pendapat orang lain walaupun setinggi mana statusnya pada mata kita dan masyarakat.

           

Dalam mengusahakan buku ini, penulis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beberapa sahabat yang telah membantu menyempurnakannya: Khairul Amin dan Sakinah Ariff Johor kerana telah menyemak terjemahan hadis-hadis yang dikemukakan, Maryati Mat Nasir kerana telah membaca pruf dan Hafiz Firdaus Abdullah kerana telah memberikan rujukan dan kekuatan darjat (takhrij) bagi hadis-hadis yang terdapat dalam buku ini.[9] Walaubagaimanapun seandainya terdapat apa-apa kesilapan atau kekurangan dalam buku ini, maka ia adalah di atas tanggungjawab penulis. Sebarang pembetulan dan pembaikan dialu-alukan. Ia boleh disampaikan kepada penulis sama ada melalui talifon: 016-2640722 atau e-mel: [email protected]

 

Semoga buku ini dapat dijadikan sebagai wadah untuk kita sama-sama berusaha memperbaiki tatacara solat kita agar bertepatan dengan Sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru yang banyak mengajar penulis tentang sifat solat sebagaimana yang dikerjakan oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam seperti Ustaz Rasul Dahri, Dr. Abdullah Yassin dan Ustaz Hussain Yee.

 

Setinggi penghargaan juga kepada kedua ibu bapa yang dihormati, seluruh ahli keluarga yang dikasihi terutamanya isteri yang tercinta Wan Haslini Wan Kamaruzaman, rakan dan sahabat Tuan Hassan Tuan Lah, Ustaz Mohd Fikri Che Hussain (Alamghiri), Muhammad Khairul (Abu Adam), Maryati Mat Nasir, Muhammad Rafiq (Saw Eng Sian), Zayed, Dr. Imran, Muhammad Affendi (Abu Nurul), Fazila Sazali Fathoni, Saudara Mazlan (PERKIWIRA) dan seluruh ahli Fikrah Net, atas sokongan dan dorongan yang kesemua mereka ini berikan sehingga tersusunnya buku ini.

 

Semoga Allah membalas jasa mereka dengan ganjaran pahala yang lebih baik di dunia dan akhirat. Semoga amalan yang baik dan ilmu yang berfaedah ini diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

 

Abu Iqbal Mohd Yaakub Bin Mohd Yunus

Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur

July 2005 / Jamadilakhir 1426H

 


 

[1] Aali-‘Imraan (3):102

[2] al-Nisaa’ (4): 1

[3] al-Ahzaab (33): 70-71

[4] Ali ‘Imran (3): 103

[5] al-Fath (48): 29

[6] al-Hujuraat (49): 10

[7] Kaum Muda atau Wahhabi ini adalah gelaran yang berbentuk negatif sebagai sindiran diberikan kepada mereka yang ingin kembali kepada Islam sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dan diwarisi oleh para sahabat  dan seluruh generasi al-salaf al-Ummah yang diiktiraf sebagai generasi terbaik bagi umat Islam. Ini sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh al-Bukhari rahimahullah (Shahih al-Bukhari, hadis no. 3650):

 خَيْرُ أُمَّتِي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ut at-Tabi’in).

 

Mereka tidak hanya terikat atau bertaqlid kepada satu mazhab malah mereka menganjurkan ittiba’ iaitu menerima dan mengikut sesuatu pendapat yang lebih tepat setelah mengetahui keterangan yang jelas dari kitab al-Qur’an dan Hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang sabit. Ini bukan bermakna mereka menolak mazhab-mazhab yang wujud dalam Islam, tetapi mereka menentang budaya taksub mazhab iaitu meletakkan pandangan mazhab lebih tinggi daripada perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya shalallahu 'alaihi wasallam. Kaum Muda atau Wahhabi ini secara yang lebih tepat dikenali sebagai Ahl al-Sunnah, Salafiyah, Firqah al-Najiyyah, al-Ta’ifah al-Mansurah, Ittiba’ al-Sunnah dan Anshar al-Sunnah. Untuk mengkaji sejarah kemasukan dan perkembangan gerakan ini di Malaysia, sila baca sebuah kajian yang dilakukan oleh pasukan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia yang telah dibukukan, bertajuk ’Gerakan Pembaharuan Islam: Satu Kajian Di Negeri Perlis Dan Hubung Kaitnya Dengan Malaysia’.

 

Kaum Tua atau Shafi’iyyah pula adalah kelompok yang sentiasa mempertahankan amal ibadah yang telah diamalkan secara turun-temurun sekalipun amalan tersebut tidak memiliki dalil yang sahih dari al-Qur’an mahupun sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Mereka menggunakan gelaran Shafi’iyyah untuk menunjukkan mereka bermazhab al-Syafi’i walaupun terdapat banyak amalan mereka yang sering dipolemikkan dengan kaum muda itu sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan ajaran al-Syafi’i. Ada dari kalangan mereka yang begitu taksub dengan Mazhab al-Syafi’i dan menolak apa sahaja pandangan yang tidak selari dengannya. Walaupun begitu kedua-dua pihak adalah Muslim yang bersaudara yang sepatutnya mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan perpecahan.

 

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Malik di dalam al-Muwattha’, hadis no. 1395. Beliau tidak menyebut sanadnya tetapi sekadar berkata “disampaikan (kepadaku) bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda…”. Ini adalah kaedah khusus di sisi Malik terhadap hadis-hadis yang diterimanya melalui jalan periwayatan yang banyak. Berkata Ibn ‘Abd al-Barr: “Dan ini juga (adalah hadis yang) terpelihara, dikenali lagi masyhur daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan para ahli ilmu, kemasyhurannya menyebabkan ia tidak memerlukan sanad.” [al-Tamhid, jld. 24, ms. 331]

[9] Catitan penyunting: Dalam menerangkan darjat hadis-hadis dalam buku ini, manhaj yang saya gunakan adalah:

  1. Hadis-hadis disebut rujukannya secara ringkas sahaja, paling kurang kepada sebuah kitab. Ini tidaklah bermakna hadis tersebut tidak wujud dalam kitab-kitab hadis yang lain.

  2. Hadis-hadis daripada Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim adalah sahih dengan tersendirinya.

  3. Adapun hadis-hadis selain kedua-dua kitab sahih tersebut, saya akan menerangkan darjatnya berdasarkan penilaian ahli hadis masa kini seperti Muhammad Nashr al-Din al-Albani rahimahullah dan Syu’aib al-Arna’uth hafizahullah.

  4. Di mana boleh saya akan menyertakan juga penjelasan para ahli hadis masa lalu terhadap darjat hadis-hadis tersebut.

  5. Penomboran hadis adalah berdasarkan susunan para penelitiannya, dan ia adalah seperti berikut:

a): Shahih al-Bukhari, Shahih Muslim dan Sunan Ibn Majah berdasarkan susunan Fu‘ad ‘Abd al-Baqi’.

b): Sunan Abu Daud berdasarkan susunan Muhib al-Din ‘Abd al-Hamid.

c): Sunan al-Tirmizi berdasarkan susunan Ahmad Syakir.

d): Sunan al-Nasa’i berdasarkan susunan Abu Fattah Abu Ghudah.  

e): Musnad Ahmad berdasarkan susunan Syu‘aib al-Arna’uth, disertai rujukan kepada edisi 6 jilid dalam kurungan.

 

Ke atas