BEBERAPA PERSOALAN SOLAT

 

MAKLUMAT BUKU : KANDUNGAN

 

PENUTUP

 

Semoga dengan penerangan yang serba ringkas ini dapatlah dirungkaikan segala permasalahan yang sering berlegar-legar berkaitan dengan solat fardhu. Hindarilah diri daripada suka menuduh orang lain apabila melihat tatacara solat mereka berbeza daripada kebiasaan. Apa yang seharusnya dilakukan adalah terlebih dahulu cuba memahami dalil-dalil yang mungkin ada dalam tatacara solat yang berbeza tersebut. Ada kemungkinan juga bahawa amalan yang biasa diamalkan oleh diri kita sendiri itu yang sebenarnya kurang tepat. Untuk memastikan kebenaran sesuatu amalan hendaklah kita menilai amalan tersebut dengan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah nescaya kita tidak akan tersesat. Ini sebagaimana sabda Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang telah disebut pada permulaan buku ini: Aku telah meninggalkan kepada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat dengan keduanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabinya.”

 

Apa yang penulis perhatikan, majoriti umat Islam di Malaysia dalam membuat penilaian samada sesuatu ibadah itu sah atau tidak, mereka hanya bersandarkan kepada amalan kebiasaan orang ramai yang diwarisi secara turun-temurun dan kemudian dilabelkan sebagai Mazhab al-Syafi’i. Amalan orang ramai bukanlah satu pra-syarat terhadap kebenaran sesuatu amal ibadah. Malah Allah ‘Azza Wa Jalla memberi amaran kepada kita bahawa adakalanya mengikut pendapat orang ramai boleh membawa kita ke lembah kesesatan. Ini sebagaimana firman-Nya:

 

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi,

nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah;

tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata,

dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.[1]

 

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja,

(padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi

kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad).

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.[2]

 

 

Sedangkan budaya pasrah kepada amalan nenek-moyang yang diwarisi secara turun-temurun merupakan budaya umat jahiliyah yang pernah diperangi oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan apabila dikatakan kepada mereka:

"Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Qur’an)

dan kepada Rasul-Nya (yang menyampaikannya)",

mereka menjawab:

"Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya".

Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?[3]

 

Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taklid buta);

Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad)

kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran,

melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata:

“Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama

dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja.”

 

Rasul itu berkata: “Adakah (kamu akan menurut juga mereka)

walaupun aku membawa kepada kamu agama yang lebih jelas hidayah petunjuknya

daripada jalan agama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?”

 

Mereka menjawab:

Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya.

Lalu kami balas keingkaran mereka dengan azab yang membinasakan;

maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat

yang mendustakan Rasul-rasulnya.[4]

 

 

Sekali lagi ingin penulis tegaskan bahawa yang sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur sekiranya terjadi perselisihan pendapat adalah dengan mengembalikannya kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah ‘Azza wa Jalla:

 

Wahai orang-orang yang beriman,

taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah

dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara,

maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an)

dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [5]

 

 

Apa yang dapat penulis simpulkan di sini, Alhamdulillah tatacara solat Ahl al-Sunnah (atau yang sering dicemuh dengan gelaran Wahhabi) yang dikatakan berbeza dari amalan kebiasaan orang Malaysia, sebenarnya memiliki contoh dari hadis-hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang sahih, bahkan adakalanya lebih menepati Mazhab al-Syafi’i yang sebenarnya. Maka sewajarnya semua pihak berlapang dada serta dielakkan atau dihentikan sahaja sikap tuduh-menuduh berkaitan dengan kecacatan atau kesempurnaan ibadah solat pihak lain dan memberi gelaran yang tidak baik seperti “ini cara solat puak Wahhabi atau “ini bukan dari mazhab kita”. Sikap sebegini lebih membawa keburukan dari kebaikan.

 

Di masa yang sama pihak Ahl al-Sunnah juga hendaklah berusaha untuk menghindari dari memandang rendah tatacara solat pihak lain yang berbeza. Ada kemungkinan perkara yang dikatakan terdapat perbezaan tersebut sebenarnya masih termasuk dalam perkara yang dikhilafkan oleh ulama’ dan juga mempunyai dalil yang sahih dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Sekiranya memang benar amalan yang berbeza itu adalah bid’ah yakni tidak ada contoh dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, sewajarnya Ahl al-Sunnah mengelakkan konfrontasi dan berdakwah secara hikmah dalam menyatakan kebenaran tersebut. Ini adalah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad)

dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik,

dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu

Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya,

dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.[6]

 

 

Semoga menerusi cara berdakwah yang berkesan, orang ramai akan lebih tertarik kepada ajaran yang dibawa dan dapat mengelakkan perpecahan antara sesama umat Islam. Penulis memohon kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar buku ini akan mendatangkan manfaat kepada umat Islam di Malaysia. Semoga ianya dapat menyatukan kita atas satu aqidah dan satu jalan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam al-Qur’an dan melalui Sunnah Nabi-Nya shalallahu 'alaihi wasallam.  Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (Agama Islam) yang betul lurus,

maka hendaklah kamu menurutnya;

dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam),

kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah,

Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.[7]

 

 

Sehubungan dengan ayat di atas, Abdullah bin Mas’ud radhiallahu 'anh meriwayatkan:

 

(Pada suatu ketika) Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam

menggariskan kepada kami satu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allah.”

Kemudian baginda menggariskan beberapa garisan di sebelah kanannya

dan di sebelah kirinya lalu bersabda:

Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada satu syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut.

 

Kemudian baginda membacakan ayat:

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (Agama Islam) yang betul lurus,

maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan

(yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu)

mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah.” [8]

 

 

Adalah harapan penulis yang menggunung tinggi agar buku ini akan dapat meningkatkan keazaman semua pihak untuk bersungguh-sungguh dalam mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam ibadah solat kerana ianya telah diwajibkan atas seluruh umat Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam  sebagaimana sabdanya: Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.[9]

 

Apatah lagi mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam adalah bukti yang jelas yang menunjukkan kecintaan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firmannya:

 

Katakanlah (wahai Muhammad):

"Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,

nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.

Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.[10]

 

 

Semoga dengan kesungguhan kita dalam mencontohi atau berittiba’ kepada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam  kita akan termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat Allah dan segala dosa kita diampunkan oleh-Nya. Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta'ala memperkenankan permohonan kami dan hanya kepada Dialah kami memohon pertolongan dan perlindungan sebagaimana firmannya:

 

Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya

Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi?

Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi

dan yang dapat memberi pertolongan.[11]


 

 


[1]  al-An’aam (6): 116

[2]  Yunus (10):36

[3]  Al-Maaidah (5): 104

[4]  al-Zukhruf (43): 23-25

[5]  al-Nisaa’ (4): 59

[6]  al-Nahl (16): 125

[7]  al-An’aam (6): 153

[8]  Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, hadis no: 4142 (jld. 1, ms. 435) dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth.

[9]   Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no. 631.

[10] ali ‘Imraan (3): 31

[11] al-Baqarah (2): 107

 

 

Ke atas