PANDUAN SOLAT SUNAT

CARA NABI S.A.W.

 

Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 

 Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain

 

 

SOLAT TARAWIH (QIYAM AL-RAMADHAN)

 

Solat Tarawih atau Qiyam al-Ramadhan merupakan satu amalan yang amat dituntut (sunat mu’akkadah) bagi menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadan dengan amal ibadah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallambersabda:

 

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

Maksudnya:

Sesiapa bersolat pada malam Ramadan kerana iman (yang teguh) dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 759.

 

 

v  WAKTU UNTUK MENGERJAKAN SOLAT TARAWIH

 

Solat Tarawih adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam bulan Ramadan iaitu setelah mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun begitu waktu yang paling utama untuk dilaksanakan solat Tarawih itu adalah sepertiga malam yang terakhir iaitu dari pukul 3.00 pagi sehingga masuk waktu subuh. Namun demikian sekiranya dilakukan secara berjemaah di masjid-masjid maka ikutlah waktu yang telah ditetapkan oleh pihak masjid tersebut. Akan tetapi ada baiknya juga sekiranya masjid-masjid di Malaysia setidak-tidaknya sekali-sekala mengerjakan majlis solat Tarawih pada sepertiga malam yang akhir. Solat sunat Tarawih ini digandingkan dengan solat sunat Witir sebagai penutupnya.

 

Dalil sunat Tarawih lebih utama untuk dilaksanakan pada sepertiga malam yang terakhir adalah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ اْلآخِرُ

 

يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ.

Maksudnya:

Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkannya; siapa yang meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya; siapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1145.

 

Selanjutnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda:

 

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الرَّبُّ مِنْ الْعَبْدِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ الآخِرِ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ

 

أَنْ تَكُونَ مِمَّنْ يَذْكُرُ اللَّهَ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ فَكُنْ.

Maksudnya:

Saat yang paling dekat di antara Allah dan hamba-Nya adalah di tengah malam terakhir, apabila kamu boleh menjadi sebahagian daripada mereka yang mengingati Allah pada saat itu maka lakukanlah. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Da’waat, no: 3503.

 

 

v  JUMLAH RAKAAT SOLAT TARAWIH

 

Secara umumnya hukum serta cara perlaksanaan solat Tarawih atau Qiyam al-Ramadhan ini adalah sama dengan Qiyam al-Lail. Ianya boleh dilakukan dengan dua rakaat-dua rakaat dan ianya tidak mempunyai batasan jumlah rakaat yang maksimum. Malah ianya juga boleh dilaksanakan dengan hanya satu rakaat solat sunat witir.

 

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu’ anhuma, dia berkata:

 

قَالَ إِنَّ رَجُلاً قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ صَلاَةُ اللَّيْلِ؟

 

قَالَ: مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خِفْتَ الصُّبْحَ فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ.

Maksudnya:

Sesungguhnya seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah solat malam? Baginda bersabda: Dua-dua (rakaat), apabila engkau khuatir (masuk waktu subuh), maka laksanakan solat witir satu rakaat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1137.

 

Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa, jilid 22, ms. 272 berkata:

 

Sesungguhnya tentang solat Qiyam al-Ramadhan (solat Tarawih), Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menentukan jumlah rakaatnya, malah baginda sendiri melaksanakannya tidak lebih daripada tiga belas rakaat sama ada pada bulan Ramadan atau selainnya. Ini baginda laksanakan dengan memanjangkan rakaatnya. Apabila ‘Umar (radhiallahu’ anh) mengumpulkan orang-orang untuk berjemaah (mengerjakan solat Tarawih) dengan diimamkan oleh Ubay bin Ka’ab (radhiallahu’ anh), dia melaksanakannya bersama mereka sebanyak dua puluh rakaat kemudian diikuti Solat Witir tiga rakaat. Ini beliau lakukan dengan meringankan bacaan al-Qur’an selari dengan kadar penambahan rakaat supaya ia meringankan berbanding solat satu rakaat dengan dipanjangkan rakaatnya.

Setelah itu sekumpulan dari generasi salaf melaksanakan solat (Tarawih) secara empat puluh rakaat dan solat Witir tiga rakaat manakala selainnya dengan tiga puluh enam rakaat dan tiga rakaat witir. Semua ini telah berlaku dan dengan itu, sesiapa sahaja yang beribadah pada malam Ramadan dengan apa sahaja jumlah rakaat, maka dia (dikira) telah berbuat kebaikan.

Apa yang utama adalah perbezaan jumlah rakaat dikira berdasarkan kepada beragamnya keadaan orang-orang yang mengerjakan solat tersebut. Jika keadaan mereka memungkinkan dilaksanakan solat (Tarawih) dengan lama, maka adalah lebih afdhal melaksanakan solat (Tarawih) dengan sepuluh rakaat dan tiga Witir sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Nabi (shallallahu ‘alaihi wasallam) dan selainnya. Akan tetapi apabila tidak mungkin melaksanakan sedemikian, maka melaksanakan solat (Tarawih) dengan dua puluh rakaat adalah lebih afdhal dan itulah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam kerana yang demikian itu adalah dipertengahan antara sepuluh rakaat dan empat puluh rakaat.

Dan jika dilaksanakan solat (Tarawih) dengan empat puluh rakaat atau selainnya maka itu diperbolehkan dan tidak dimakruhkan sama sekali. Hal ini ditegaskan oleh lebih daripada seorang daripada kalangan para Imam seperti Imam Ahmad (bin Hanbal) dan selainnya. Malah sesiapa yang beranggapan bahawasanya solat Qiyam al-Ramadhan (Solat Tarawih) mempunyai ketentuan jumlah rakaatnya daripada Nabi (shallallahu ‘alaihi wasallam) tanpa boleh ditambah atau dikurangi daripadanya, maka sungguh dia telah membuat suatu kesilapan. - Dinukil dari buku tulisan Hafiz Firdaus Abdullah, Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa, ms. 87-88.

 

Diharapkan kenyataan Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah ini akan meredakan polemik yang sering berlaku di Malaysia tentang jumlah rakaat solat Tarawih sama ada lapan rakaat atau dua puluh rakaat. Ternyata kedua-duanya adalah benar di sisi syarak. Namun begitu penulis ingin memberi sedikit komentar tentang kenyataan Syaikh al-Islam bahawa ‘Umar al-Khatthab radhiallahu’ anh telah memerintah Ubay bin Ka’ab radhiallahu’ anh untuk mengimamkan solat Tarawih pada zamannya sebanyak 20 rakaat. Apa yang sebenarnya terjadi, pada zaman ‘Umar terdapat sekelompok umat yang mengerjakan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat, tetapi ‘Umar sendiri telah menyuruh Ubay bin Ka’ab dan Tamim al-Dari radhiallahu’ anhuma untuk memimpin solat Tarawih sebanyak sebelas rakaat iaitu termasuk tiga rakaat untuk solat Witir. Dalilnya adalah hadis berikut:

 

Al-Saib bin Yazid radhiallahu’ anh telah berkata:

 

أَمَرَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ وَتَمِيمًا الدَّارِيَّ أَنْ يَقُومَا لِلنَّاسِ بِإِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً.

 

Maksudnya:

‘Umar bin al-Khatthab telah memerintahkan Ubay bin Ka’ab dan Tamim al-Dari untuk mengimami manusia (dalam solat) sebanyak sebelas rakaat. - Hadis riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’, Kitab al-Nida’ li al-sholaah, no: 232.

 

Justeru itu jumlah rakaat yang paling utama adalah dengan tidak melebihkannya dari sebelas atau tiga belas rakaat kerana jumlah ini adalah sesuai dengan sebagaimana yang kebiasaannya dikerjakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

Daripada ‘Aishah radhiallahu’ anha, dia berkata:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي بِاللَّيْلِ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً يُوتِرُ مِنْهَا بِوَاحِدَةٍ.

 

Maksudnya:

Bahawa Rasulullah solat malam di waktu setelah selesai Isyak sampai terbit fajar sebanyak sebelas rakaat dengan salam setiap selesai dua rakaat, lalu berwitir dengan satu rakaat. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam kitab Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 736.

 

Daripada ‘Aishah radhiallahu’ anha, dia berkata:

 

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْهَا الْوِتْرُ وَرَكْعَتَا الْفَجْرِ.

 

Maksudnya:

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam biasa solat di malam hari tiga belas rakaat termasuk witir, dan dua rakaat solat fajar (sunat Qabliyah Subuh). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1140.

 

Abu Salamah radhiallahu’ anh pernah bertanya kepada ‘Aishah radhiallahu’ anha tentang solat malam Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada bulan Ramadan. Maka ‘Aishah menjawab:

 

مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزِيدُ فِي رَمَضَانَ وَلاَ فِي غَيْرِهِ عَلَى إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً.

 

يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ. ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ.

 

ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا.

Maksudnya:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menambah pada bulan Ramadan dan tidak pula pada bulan-bulan lainnya, melebihi sebelas rakaat; baginda solat empat rakaat, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat empat rakaat lagi, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat tiga rakaat (witir). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1147.

 

Hadis di atas ini menunjukkan bahawa solat Tarawih ini juga boleh dikerjakan empat rakaat-empat rakaat sebagaimana tatacara solat fardu yang empat rakaat iaitu dengan dua tahiyyat.

 

 

v  SOLAT TARAWIH BOLEH DILAKSANAKAN SECARA BERJEMAAH MAHUPUN BERSENDIRIAN

 

Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda pernah mengerjakan solat Tarawih ini secara berjemaah bersama para sahabat baginda pada beberapa malam. Kemudian baginda meninggalkannya lalu solat Tarawih tersebut didirikan secara bersendirian kerana khuatir ianya akan diwajibkan. Hal ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha:

 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَصَلَّى بِصَلَاتِهِ نَاسٌ

 

ثُمَّ صَلَّى مِنْ الْقَابِلَةِ فَكَثُرَ النَّاسُ ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنْ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوْ الرَّابِعَةِ

 

فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ:

 

قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنْ الْخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلاَّ أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ.

 

وَذَلِكَ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya:

Bahawasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat di masjid, maka bersolat pulalah bersama-samanya beberapa orang. Pada malam yang kedua baginda bersolat lagi, maka banyaklah orang-orang yang mengikuti solatnya. Kemudian orang ramai berkumpul di masjid pada malam yang ketiga atau yang keempat, tetapi Nabi s.a.w. tidak keluar bersolat bersama-sama mereka, apabila Subuh baginda s.a.w. keluar dan  bersabda:

Aku telah melihat apa yang kamu lakukan semalam. Tidak ada yang menghalangi aku keluar kepada kamu kecuali kerana aku takut ia diwajibkan ke atas kamu.

Kejadian itu berlaku pada bulan Ramadan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1129

 

Bersolat Tarawih secara bersendirian ini kekal sehingga pada zaman ‘Umar radhiallahu’ anh lalu beliau mengumpulkan orang ramai untuk mengerjakan solat Tarawih ini secara berjemaah. Daripada ‘Abdul Rahman bin ‘Abdul Qari yang berkata:

 

خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ

 

فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلاَتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ:

 

 إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلاَءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ.

 

ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ

 

يُصَلُّونَ بِصَلاَةِ قَارِئِهِمْ قَالَ عُمَرُ:

 

 نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنْ الَّتِي يَقُومُونَ يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ.

Maksudnya:

Pada satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama ‘Umar al-Khatthab radhiallahu’ anh ke masjid. Didapati orang ramai berselerakan. Ada yang solat bersendirian, ada pula yang bersolat dan sekumpulan (datang) mengikutinya. ‘Umar berkata:

Jika aku himpunkan mereka pada seorang imam adalah lebih baik.

Kemudian beliau melaksanakannya maka dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai bin Ka’ab. Kemudian aku keluar pada malam lain, orang ramai bersolat dengan imam mereka (yakni Ubai bin Ka’ab). Berkata ‘Umar:

Sebaik-baik bid’ah adalah perkara ini, sedangkan mereka yang tidur  adalah lebih baik dari apa yang mereka dirikan solat pada masa ini (untuk bangun bersolat pada akhir malam). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab Sholat al-Taraawih, no: 2010

 

Hadis-hadis di atas membuktikan Rasulullah s.a.w  pernah melaksanakan solat Tarawih secara berjemaah dan juga bersendirian. Oleh itu, kedua-duanya cara solat sama ada secara berjemaah atau sendirian adalah sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Namun demikian menerusi hadis di bawah, Rasulullah s.a.w menegaskan kelebihan mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah sehingga selesai umpama mendapat ganjaran solat sepanjang malam dan inilah yang sewajarnya cuba kita usahakan pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini. Daripada Abu Dzar al-Ghafiri radhiallahu’ anh:

 

صُمْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي رَمَضَانَ فَلَمْ يَقُمْ بِنَا حَتَّى بَقِيَ سَبْعٌ مِنْ الشَّهْرِ.

 

فَقَامَ بِنَا حَتَّى ذَهَبَ ثُلُثُ اللَّيْلِ ثُمَّ لَمْ يَقُمْ بِنَا فِي السَّادِسَةِ.

 

فَقَامَ بِنَا فِي الْخَامِسَةِ حَتَّى ذَهَبَ شَطْرُ اللَّيْلِ.

 

فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوْ نَفَّلْتَنَا بَقِيَّةَ لَيْلَتِنَا هَذِهِ.

 

قَالَ: إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ ُ.

Maksudnya:

Kami berpuasa bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada bulan Ramadan. Baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga baki tujuh malam terakhir. Lalu (pada malam tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam. Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam yang ke enam (sebelum akhir Ramadan). Baginda bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam ke lima (sebelum akhir Ramadan) sehingga seperdua malam.

Maka saya (Abu Dzar) berkata: Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami pada malam ini. Rasulullah menjawab: Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam. - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Qiyam al-Lail, no: 1587.

 

 

v  BERZIKIR DAN BERSELAWAT DI ANTARA SOLAT TARAWIH ADALAH BID’AH?

 

Mereka yang mengerjakan solat Tarawih ini akan berehat untuk menghilangkan penat diselang-selang solat tersebut. Dari tatacara inilah solat Qiyam al-Ramadhan mendapat gelaran Tarawih. Menurut Syaikh Muhammad at-Tuwaijiri:

 

Penamaan solat Tarawih: Kerana dahulu manusia duduk untuk beristirehat setiap empat rakaat setelah memanjangkan bacaan solat. – Syaikh Muhammad bin Ibrahim at-Tuwaijiri, Mukhtasar al-Fiqhi al-Islami, ms. 716.

 

Para ulamak sepakat tentang disyari’atkan untuk istirehat setelah selesai mengerjakan empat rakaat. Amalan inilah yang telah diwarisi daripada generasi al-Salafussoleh dan ianya berkemungkinan didasari dari perkataan ‘Aisyah radhiallahu’ anha ketika menggambarkan tatacara solat Tarawih Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam

 

يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ. ثُمَّ يُصَلِّي أَرْبَعًا فَلاَ تَسَلْ عَنْ حُسْنِهِنَّ وَطُولِهِنَّ.

 

ثُمَّ يُصَلِّي ثَلاَثًا.

Maksudnya:

Baginda solat empat rakaat, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat empat rakaat lagi, jangan kamu persoalkan akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat tiga rakaat (witir).  - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1147.

 

Tidak disyari’atkan sesuatu bacaan zikir-zikir, selawat-selawat mahupun doa-doa yang tertentu yang dilaksanakan secara berjemaah semasa waktu istirehat ini. Namun demikian sewajarnya tempoh tersebut dipergunakan untuk membaca ayat-ayat suci al-Qur’an, zikir-zikir, doa-doa dan selawat yang sabit dari hadis-hadis Nabi secara bebas tanpa penetapan bacaan atau aturan yang tertentu. Sudah menjadi kebiasaan di masjid-masjid mahupun surau-surau di seluruh Malaysia untuk membaca secara beramai-ramai dengan suara yang kuat zikir-zikir, doa-doa dan selawat-selawat di antara solat Tarawih ini. Amalan sebegini sebenarnya tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mahupun generasi al-Salafussoleh. Malah tidak pernah tertulis di dalam mana-mana kitab Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah bahawa beliau telah menganjurkan amalan sedemikian rupa. Sekiranya amalan ini baik bagi umat Islam pasti mereka telah mendahului kita dalam mengamalkannya. Ternyata para al-Salafussoleh meninggalkannya kerana ianya bukan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam malah ianya termasuk dalam amalan bid’ah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mencela amalan bid’ah melalui sabdanya:

 

إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ

 

وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَكُلُّ ضَلاَلَةٍ فِي النَّارِ.

Maksudnya:

Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan (bid’ah) adalah sesat. Dan setiap yang sesat itu ke neraka. - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab Solat al-‘Iedaini, no: 1560.

 

Tambahan lagi apa yang lebih bertepatan dengan sunnah adalah zikir-zikir mahupun doa-doa dilafazkan dengan suara perlahan dan secara sendiri-sendirian. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjelaskan kepada hambanya tentang tatacara berzikir yang sepatutnya kita persembahkan kepada-Nya. Ini sebagaimana firman-Nya:

 

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ

 

وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ

 

Maksudnya:

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya) dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. - al-A'raaf (7) : 205

 

Dari firman-Nya di atas ini dapat kita fahami bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala sendiri telah memerintahkan kita sebagai hamba-Nya untuk berzikir kepada-Nya dengan suara yang perlahan atau untuk lebih spesifik hanya diri sendiri yang mendengar zikir tersebut. Dengan tatacara yang sebegitu tidak memungkinkan zikir-zikir tersebut dilakukan secara berjemaah. Oleh itu ianya harus dilakukan secara sendiri-sendiri dan dengan suara yang perlahan.

 

Selanjutnya ingin penulis tambah sedikit tentang kaifiyah (tatacara) berdoa yang disyari’atkan sebagaimana yang difirman oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala:

 

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

 

فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

 

Maksudnya:

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. - al-Baqarah (2) : 186

 

Mengenai sebab turunnya ayat doa yang terkenal ini, dalam Tafsir al-Qurthubi  (jilid 1, ms. 219) disebutkan bahawa:

 

Daripada al-Solat bin Hakim bin Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairy, daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa ada seorang Arab Badwi berkata kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Wahai Rasulullah, apakah Rabb kami dekat sehingga kami cukup bermunajat (berbisik) kepada-Nya ataukah Dia jauh sehingga kami berseru kepada-Nya (dengan suara nyaring?” Beliau diam sahaja. Lalu tak seberapa lama kemudian Allah turunkan ayat di atas, “Wa idza sa’alaka ‘ibadi ‘anni…”

…Setelah itu disebutkan riwayat Ahmad daripada Abu Musa al-‘Asya’ari radhiallahu’ anh, dia berkata: “Kami pernah bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dalam satu peperangan. Setiap kali kami melalui jalan mendaki atau menurun di suatu lembah, maka kami mengeraskan suara bertakbir. Maka beliau mendekati kami seraya bersabda: “Wahai manusia, kasihanilah diri kalian, kerana kalian tidak berdoa kepada yang tuli dan tidak pula yang jauh. Sesungguhnya yang kalian seru lebih dekat kepada salah seorang di antara kalian daripada tengkuk untanya. Wahai Abdullah bin Qais, bagaimana jika aku ajarkan kepada mu satu kata dari simpanan syurga, iaitu la haula wa la quwwata illa billahi”. - Dinukil daripada kitab Koreksi Dzikir Jama’ah M. Arifin Ilham, karya Abu Amsaka, Darul Falah, Jakarta 2003, ms. 113-114.

 

Dari sini dapatlah kita fahami bahawa berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala juga disyari’atkan dengan suara yang perlahan sahaja sama seperti tatacara berzikir yang telah penulis bahaskan di atas melainkan terdapat petunjuk atau bukti yang menyatakan Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam telah melaksanakannya dengan suara yang keras dan secara berjemaah. Dengan memahami tatacara zikir serta doa yang Allah Subhanahu wa Ta’ala perintahkan kepada hamba-Nya untuk diamalkan maka penulis berharap para pembaca kini dapat membezakan di antara majlis zikir atau doa yang sunnah dan yang bid’ah. Namun begitu terdapat zikir-zikir yang sememangnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam lakukan dengan menyaringkan suara bersama para sahabat baginda seperti Takbir Hari Raya dan Talbiyah ketika mengerjakan ibadah Haji, maka dalam hal ini berlaku hukum yang khusus ke atasnya. Wallahu’alam. Oleh itu sewajarnya waktu istirehat di antara solat Tarawih itu dipergunakan untuk apa jua amalan yang sunnah secara sendiri-sendirian.

 

 

v  UPACARA TAHLIL SESUDAH SOLAT TARAWIH ADALAH BID’AH?

 

Apa yang lazim diamalkan di masjid-masjid sesudah solat Tarawih adalah mengadakan majlis Tahlil. Borang-borang Tahlil diedarkan terlebih dahulu dan bagi yang berminat mereka akan menyenaraikan nama ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia untuk dikirimkan pahala majlis Tahlil tersebut. Ada sesetengah masjid sehingga mengenakan bayaran kepada mereka yang ingin menyenaraikan nama ahli keluarga mereka untuk majlis Tahlil tersebut. Apakah itu Majlis Tahlil? Ia adalah satu upacara yang lazimnya dibacakan ayat-ayat suci al-Qur’an tertentu, bacaan zikir La ilaha illallah, Subhanallah dan lain-lain dengan niat pahala bacaan tersebut dihadiahkan kepada arwah kaum muslimin pada umumnya. 

 

Amalan ini sebenarnya tidak pernah diamalkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mahupun generasi al-Salafussoleh. Sekiranya amalan ini baik untuk umat Islam pasti mereka telah mendahului kita dalam mengamalkannya. Bahkan amalan Tahlil atau juga dikenali sebagai Kenduri Arwah sebenarnya bertentangan dengan pandangan Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i rahimahullah. Ternyata di dalam kitab-kitab Imam al-Syafi’i tidak pernah tertulis tentang amalan Tahlil ini malah tidak wujud satu riwayat pun yang menunjukkan beliau pernah mengajar anak muridnya akan ritual ini.

 

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

 

أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

 

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Maksudnya:

(Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. - Al-Najm (53) : 38-39

 

Telah berkata al-Hafidz Ibnu Kathir rahimahullah di dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Qur’an al-Adzim ketika mentafsirkan ayat di atas:

 

Iaitu sebagaimana seseorang tidak akan memikul dosa orang lain demikian juga seseorang tidak akan memperolehi ganjaran (pahala) kecuali apa-apa yang telah dia usahakan untuk dirinya sendiri. Dan dari ayat yang mulia ini Imam al-Syafi’i bersama para ulamak yang mengikutinya telah mengeluarkan hukum bahawa bacaan al-Qur’an tidak akan sampai hadiah pahalanya kepada orang yang telah mati. Kerana bacaan tersebut bukan dari amal dan usaha mereka. Oleh kerana itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah mensyari’atkan umatnya (untuk menghadiahkan bacaan al-Qur’an kepada yang telah mati) dan tidak juga pernah menggemarinya atau memberikan petunjuk kepada mereka baik dengan nash (dalil yang jelas lagi terang) dan tidak juga dengan isyarat dan tidak pernah dinukilkan dari seorangpun sahabat (bahawa mereka pernah mengirim pahala bacaan al-Qur’an kepada orang yang telah mati). Jika sekiranya amalan itu baik tentu para sahabat telah mendahului kita mengamalkannya. Dan di dalam masalah ibadah ianya hanya terbatas pada dalil dan tidak boleh dipalingkan dengan qiyas-qiyas atau pendapat-pendapat. - Dinukil dari kitab Hukum Membaca al-Qur’an Untuk Orang Mati: Sampaikah Pahalanya Pada Mereka?, oleh Syaikh Muhammad Ahmad Abdul Salam, (edisi terjemahan oleh H. Ma’mur Daud, Media Da’wah, Jakarta 2001), ms. 19-20.

 

Imam al-Nawawi rahimahullah pula di dalam Syarah Muslim (jilid 1, ms. 90) telah berkata:

 

Adapun bacaan al-Qur’an (yang pahalanya dikirimkan kepada si mati) maka yang masyhur di dalam mazhab Syafi’i tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim… Sedang dalilnya bagi Imam al-Syafi’i dan pengikut-pengikutnya iaitu firman Allah:

 

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

 Maksudnya:

Bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya - An-Najm (53) : 39.

 

           

Dan Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

 

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ صَدَقَةٌ جَارِيَةٌ

 

وَعِلْمٌ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ.

 

Maksudnya:

Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya. - Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Ahkam, no: 1297.

 

Oleh itu bagi masyarakat Islam di Malaysia yang berpegang teguh dengan mazhab Syafi’i sewajarnya meninggalkan amalan Tahlil ataupun Kenduri Arwah yang bid’ah ini bukan hanya pada malam-malam bulan Ramadan tetapi juga pada bulan-bulan yang lain. Sesungguhnya ketika Allah Subhanahu wa Ta’ala mewafatkan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, agama Islam itu sudah lengkap dan apa-apa ibadah yang bukan sebahagian dari agama ketika itu maka ianya bukan sebahagian agama Islam selama-lamanya. Telah berkata Imam Malik bin Anas rahimahullah:

 

Sesiapa yang membuat bid’ah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman:

 

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ

Maksudnya:

Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu. -al-Maaidah (5) : 3

 

Apa yang pada hari tersebut bukan sebahagian dari agama, maka ia tidak menjadi sebahagian dari agama pada hari ini. - Penulis nukil dari kitab Meluruskan Tafsir Bid’ah karya Alwi bin Abdul Qadir al-Seqaf, ms. 14.