Islam Untuk Semua

Www.hafizfirdaus.com

Hafiz Firdaus Abdullah

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1971, Hafiz Firdaus Abdullah merupakan salah seorang penulis serta penceramah kontemporari yang mendalami hadis dan ayat-ayat al-Quran serta mengkaji sirah para Nabi dan Sahabat bagi mengupas isu-isu dan persoalan semasa. Penulisan beliau merupakan satu usaha membawa kembali pemahaman ilmu-ilmu Islam yang dipegang oleh masyarakat umum kepada pemahaman yang sahih, benar dan dengan hak.

 

Pendidikan

Memulakan pengajian di St. John's Institution, Bukit Nanas, Kuala Lumpur, beliau tidak pernah mendapat pendidikan formal di mana-mana sekolah agama atau institusi pengajian tinggi. Namun berdasarkan prinsip 'kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya', beliau mengikuti pelbagai bentuk kuliah agama serta mengkaji kitab-kitab muktabar yang ditulis oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam zaman silam dan juga semasa sehingga membolehkan beliau berkecimpung dalam arena penulisan ilmiah ini. Beliau juga gigih mempelajari bahasa Arab melalui guru-guru agama dan rakan-rakannya yang mahir berbahasa Arab bagi memaksimumkan

kebolehannya membaca kitab-kitab agama. Sehingga kini, walaupun beliau tidak boleh bertutur tetapi beliau dapat membaca kitab-kitab berbahasa Arab dengan baik

 

Kerjaya

Pada tahun 1989 beliau menyertai Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) sebagai seorang juruterbang. Kerjaya ini telah memberikan kelebihan kepada usaha dan minat beliau kerana dengan keperluan beliau untuk terbang ke serata dunia telah memberi peluang untuk memahami agama dari perspektif yang lebih luas. Dengan memperhatikan kepelbagaian ragam umat Islam seluruh dunia beliau dapat menyaksikan adanya toleransi dalam berbagai-bagai perbezaan pendapat justeru menyebabkan beliau berfikiran lebih terbuka. Tidak berakhir di situ, beliau cuba mengkaji apa pegangan dan dalil yang menjadi hujah mereka. Peluang ini bertambah menarik kerana beliau juga dapat dapat menimba ilmu daripada pelbagai tokoh dan sumber di serata dunia. Satu bonus juga kepada beliau kerana dengan kerjayanya beliau dapat membeli buku-buku ilmiah daripada serata dunia.

 

 

 

 

>