Penjelasannya:
Di samping
menyenaraikan sejumlah rujukan kitab hadis Ahl al-Sunnah
sebagai bukti kebenaran hadis, Syi‘ah adakalanya mensahihkan
hadis yang mereka kemukakan dengan merujuk kepada kitab al-Mustadrak
karangan al-Hakim al-Naisaburi rahimahullah (405H),
dengan menukil kata-kata beliau:
“Hadis ini
sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim tetapi tidak dikeluarkan
oleh mereka berdua”
atau apa-apa lain yang seumpama. Berdasarkan pensahihan al-Hakim ini,
apatah lagi pensahihan yang berdasarkan syarat al-Bukhari dan
Muslim, Syi‘ah mengukuhkan lagi kedudukan hadis yang mereka
kemukakan sebagai hujah ke atas Ahl al-Sunnah.
Jawapan
Ahl al-Sunnah ke atas Strategi Asas Syi‘ah yang Keempat:
Penilaian hadis oleh al-Hakim
hanya dapat diterima jika ia disemak dan dipersetujui oleh ahli
hadis yang lain.
Mazhab Ahl
al-Sunnah ialah mazhab yang berada di pertengahan dalam semua
perkara: ia tidak melencong ke kanan dengan sikap keterlaluan dan
tidak melencong ke kiri dengan sikap memperlecehkan. Apabila merujuk
kepada seorang tokoh ilmuan, Ahl al-Sunnah juga memiliki
jalan yang di pertengahan: mereka memuliakan dia tanpa
mempertuhankannya dan bersikap adil dalam menilai kelemahannya –
seandainya ada – tanpa menghinanya.
Mazhab Ahl
al-Sunnah juga adalah mazhab yang dinamik, ia sentiasa mengkaji
semula dan menyemak ulang sumber-sumber dan intipati pengajaran
mereka, sama ada dalam bidang al-Qur’an, hadis, fiqh dan sebagainya.
Memang diakui ada segelintir yang menutup pintu-pintu kajian semula
dan penyemakan ulang ini, namun tindakan segelintir yang jumud ini
tidak boleh digeneralisasikan kepada semua Ahl al-Sunnah.
al-Imam,
al-Hafiz, al-Allamah, Muhammad bin ‘Abd Allah al-Dhabiyyi – al-Naisaburi
– al-Hakim Abu ‘Abd Allah – juga terkenal dengan gelaran singkat Ibn
al-Bayyi’
(ابن
البيع),
ialah seorang anak murid kepada puluhan ahli hadis termasuk Ibn
Hibban (354H) dan al-Daruquthni (385H), kemudiannya menjadi tokoh
hadis pada zamannya, beralih kepada guru kepada para ahli hadis
sesudahnya dan akhirnya menjadi sumber rujukan bagi para ilmuan
sehingga masa kini. Karangan-karangan beliau menjadi sumber rujukan
para ahli hadis, bahkan sebahagiannya menjadi dasar kepada standard
ilmu hadis sesudahnya.
Di antara
sekian banyak kitab yang beliau karang, yang terbesar dan yang
terakhir ialah kitab hadis al-Mustadrak ‘ala al-Shahihin.
Tujuan al-Hakim menyusun kitab al-Mustadrak ialah menghimpun
hadis-hadis yang sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim,
atau salah seorang daripada mereka, yang tidak mereka muatkan dalam
kitab sahih masing-masing.
Al-Hakim telah menghimpun
sebanyak 8803 hadis
berdasarkan tujuan di atas dan mensahihkannya mengikut beberapa
tingkatan:
1. Hadis
yang sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.
2. Hadis
yang sahih mengikut syarat al-Bukhari atau mengikut syarat Muslim.
Iaitu kesahihannya hanya berdasarkan syarat salah seorang daripada
mereka.
3. Hadis
yang sahih tanpa disandarkan kepada al-Bukhari atau Muslim. Ini
bererti hadis tersebut adalah sahih mengikut syarat al-Hakim sendiri.
4. Hadis
yang tidak diberi apa-apa darjat. Kemungkinan bagi yang terakhir ini
al-Hakim bermaksud untuk menilainya setelah selesai menyusun kitab
al-Mustadrak. Akan tetapi ajal telah mendahuluinya sehingga
dia tidak sempat untuk menunaikan maksudnya.
Akan tetapi
kajian semula oleh tokoh-tokoh hadis selepas al-Hakim mendapati
wujud beberapa percanggahan dalam pensahihan al-Hakim. Mereka dapati
hanya sebahagian hadis yang darjatnya menepati pensahihan al-Hakim
manakala selainnya tidak. Ada hadis yang dihukum sahih oleh al-Hakim
berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim akan tetapi semakan semula
mendapati ia tidak menepati syarat al-Bukhari dan Muslim. Demikian
juga bagi hadis yang beliau sahihkan berdasarkan syarat salah
seorang daripada mereka, atau berdasarkan syarat al-Hakim sendiri.
Bahkan adakalanya di sebalik pensahihan tersebut, semakan semula
mendapati hadis tersebut sebenarnya memiliki darjat dha‘if, sangat
dha‘if sehinggalah ke darjat palsu (maudhu’).
Para ahli hadis
ini kemudiannya mengusulkan beberapa faktor yang menyebabkan
percanggahan ini:
Pertama:
Beliau seorang
ahli hadis akan tetapi juga seorang Syi‘ah al-Rafidhah yang
jahat.
Oleh itu disahihkan
hadis-hadis yang tidak sahih bertujuan mencemari asas-asas Ahl
al-Sunnah dan pada waktu yang sama membenarkan Mazhab Syi‘ah.
Pendapat ini
dianggap lemah
malah ditolak oleh Ahl al-Sunnah.
Ini kerana Mazhab Ahl al-Sunnah tidak menghukum seseorang
melainkan pada amalan zahirnya. Amalan zahir al-Hakim tidak menunjuk
atau mengisyaratkan apa-apa tanda bahawa beliau bermazhab Syi‘ah
al-Rafidhah.
Kehadiran
sejumlah besar hadis tentang keutamaan para Ahl al-Bait
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, khasnya ‘Ali,
Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum tidak boleh
dijadikan hujah bahawa al-Hakim bermazhab Syi‘ah kerana
ketika menyusun bab tentang pengenalan dan keutamaan para sahabat (كتاب
معرفة الصحابة),
al-Hakim telah mendahulukan hadis-hadis tentang keutamaan Abu Bakar,
kemudian ‘Umar bin al-Khaththab, kemudian ‘Utsman ibn Affan,
kemudian barulah diikuti dengan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu
‘anhum. Lebih dari itu hadis-hadis yang menerangkan keutamaan
para Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
sememangnya banyak jumlahnya.
Paling tinggi
yang boleh dikatakan tentang al-Hakim ialah beliau hanya
mengutamakan kecintaan kepada para Ahl al-Bait radhiallahu
‘anhum dan ini dikenali sebagai al-Tasyaiyu’
atau al-Mufadhdhilah.
Kedua:
Untuk
menghimpun 8803 buah hadis, al-Hakim telah mengambil jangka masa
yang lama sehingga ke penghujung hayatnya. Dalam jangka masa yang
lama ini, sebagaimana kebiasaan kebanyakan manusia, usia tua telah
mendahuluinya sehingga dia tidak mantap dalam menghukum darjat
sesebuah hadis, bahkan sering tersilap. Kecerdasan fikiran yang
tidak mantap dan kesilapan kerana usia tua menyebabkan al-Hakim
banyak membuat kesilapan di dalam al-Mustadrak sehingga ke
tahap mensahihkan hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang pernah
ditolaknya sendiri dalam kitab yang lain. Oleh kerana kesilapan yang
fatal ini sebahagian ahli hadis menganggap lemah pensahihan
hadis al-Hakim sehingga tidak boleh berhujah dengannya melainkan
disemak semula.
Ibn Hajar al-‘Asqalani
rahimahullah (852H) menerangkan:
(al-Hakim
adalah) seorang imam yang sangat benar dan jujur akan tetapi dia
mensahihkan dalam kitabnya al-Mustadrak hadis-hadis yang
digugurkan (yakni ditolak sepenuhnya kerana pelbagai kecacatannya)
dan hal seperti ini banyak dilakukan olehnya …… Dan
sebesar-besar sebutan baginya adalah dia disebut di kalangan
orang-orang yang dha‘if akan tetapi telah diperkatakan tentang
keuzurannya kerana dia – semasa menulis kitab al-Mustadrak – berada
di penghujung umurnya.
Dan sebahagian
mereka (ahli hadis) menyebut bahawa dia tidak mantap dan cuai pada
penghujung umurnya dan yang sedemikian ini terbukti kerana dia
(al-Hakim) telah menyebut sejumlah para perawi dalam kitab al-Dhu‘afa’nya
sendiri dan secara muktamad menerangkan penolakan riwayat hadis
daripada mereka (para perawi yang dha‘if tersebut) dan menegah
daripada berhujah dengan (hadis yang diriwayatkan) oleh mereka –
lalu kemudian dia (al-Hakim) mengeluarkan hadis-hadis daripada
sebahagian mereka (yang didha‘ifkannya itu) dalam kitab al-Mustadraknya
dan mensahihkannya.
Ketiga:
al-Hakim
berpegang kepada manhaj bermudah-mudahan (tasahul) di dalam
mensahihkan sesuatu hadis. Ini sebagaimana terang Ibn al-Shalah
rahimahullah (643H):
Dan dia
(al-Hakim) meluaskan skop pada syarat penetapan hadis sahih dan
bermudah-mudahan dalam menghukum dengannya.
al-Zayla‘iy (الزيلعي)
rahimahullah (762H) menerangkan maksud “meluaskan skop pada
syarat penetapan hadis sahih dan bermudah-mudahan dalam menghukum
dengannya”, yang dapat diringkaskan sebagai berikut:
-
al-Bukhari
dan/atau Muslim adakalanya mensahihkan hadis daripada seorang
perawi yang pada dirinya terdapat perbincangan. Namun pensahihan
mereka tidaklah semata-mata berdasarkan perawi itu sahaja tetapi
berdasarkan lain-lain penguat dari sudut sanad atau penyokong dari
sudut matan.
Akan tetapi al-Hakim telah
menggunakan perawi yang sama tersebut untuk mensahihkan hadis yang
lain tanpa apa-apa penguat dan penyokong yang lain, lalu dia
berkata “Hadis ini sahih mengikut syarat al-Bukhari dan/atau
Muslim.” Pensahihan sebegini tidak boleh dikatakan “atas syarat
al-Bukhari dan/atau Muslim” dan ini merupakan salah satu bentuk
“bermudah-mudahan” yang diamalkan oleh al-Hakim.
-
al-Bukhari
dan Muslim adakalanya berdasarkan seorang perawi, mensahihkan
sebahagian hadisnya dan tidak mensahihkan sebahagian hadisnya yang
lain. Ini berlaku sekalipun kepada perawi yang sama kerana ukuran
pensahihan hadis bergantung juga daripada siapa dia menerimanya
dan kemantapan serta kemasyhuran dirinya sendiri dalam
meriwayatkan hadis tersebut. Akan tetapi al-Hakim telah mengambil
sikap bermudah-mudahan dengan mengumumkan kekhususan perawi
tersebut dan mensahihkan semua hadis-hadis yang diriwayatkan
olehnya dan mengistilahkannya sebagai “Hadis ini sahih mengikut
syarat al-Bukhari dan/atau Muslim.”
Daripada 3
faktor yang diusulkan di atas, hanya faktor kedua dan ketiga adalah
benar sebagai penyebab bagi wujudnya percanggahan di dalam
pensahihan al-Hakim. Faktor bermudah-mudahan merupakan manhaj asas
al-Hakim sekalipun tujuan beliau dalam menyusun kitab al-Mustadrak
ialah menghimpun hadis-hadis yang sahih berdasarkan syarat al-Bukhari
dan/atau Muslim. Beliau terpaksa berpegang kepada manhaj
bermudah-mudahan kerana (1) untuk menyusun hadis-hadis yang
benar-benar menepati syarat al-Bukhari dan Muslim adalah satu tugas
yang amat berat dan (2) jika mampu sekalipun, jumlah hadisnya
akan menjadi sangat kecil dan ini akan mensia-siakan tujuan asal
beliau untuk menyusun kitab al-Mustadrak.
Walaubagaimanapun mensahihkan hadis-hadis yang sebenarnya dha‘if,
sangat dha‘if dan maudhu’ bukanlah merupakan manhaj atau tujuan atau
kesengajaan al-Hakim tetapi ia adalah kerana kelanjutan umurnya yang
menyebabkan dia sering lupa atau tersilap. Ini adalah lumrah
manusiawi (human factor) yang tidak layak dijadikan
sumber celaan melainkan dijadikan sumber pembaikan.
Atas dua faktor
di atas, terdapat dua pendapat dalam berinteraksi dengan hadis-hadis
yang disahihkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadraknya:
Pendapat Pertama:
Ini pendapat
yang bersederhana lagi dipertengahan, di mana boleh diterima
pensahihan al-Hakim melainkan wujud hukum yang berlainan oleh tokoh
hadis yang terkemudian (selepas al-Hakim) atau jika dapat dikesan
kecacatan di dalam hadis tersebut yang mengubah hukumnya dari sahih
kepada tidak sahih. Pendapat ini diusulkan oleh Ibn al-Shalah
rahimahullah:
Dan dia
(al-Hakim) meluaskan skop pada syarat penetapan hadis sahih dan
bermudah-mudahan dalam menghukum dengannya. Maka yang utama ialah
mengambil jalan tengah dalam urusan ini: Maka kita mengatakan dengan
apa yang telah dihukumkan dengan kesahihannya (oleh al-Hakim) dan (ini
bagi kes di mana) kita tidak menemui urusan tersebut (pensahihan
atau pendha‘ifannya) daripada para imam yang selainnya. (Hadis yang
disahihkan oleh al-Hakim tersebut) jika tidak termasuk kategori
sahih maka ia termasuk dalam kategori hasan, boleh berhujah
dengannya dan beramal dengannya.
Kecuali jika jelas padanya terdapat kecacatan maka wajib
mendha‘ifkannya.
Pendapat kedua:
Ini adalah
pendapat yang lebih tegas, di mana tidak boleh diterima pensahihan
al-Hakim kerana telah berlaku banyak kesilapan di dalamnya,
sebahagiannya kecil dan sebahagiannya besar. al-Zaila‘iy menukil
kata-kata Ibn Dihyah rahimahullah:
Berkata Ibn
Dihyah di dalam kitabnya al-‘Ilm (bahawa pendapat yang)
masyhur adalah: Wajib ke atas para ahli hadis untuk berhati-hati ke
atas perkataan (pensahihan) al-Hakim Abi ‘Abd Allah kerana
sesungguhnya dia banyak berbuat silap, menzahirkan (membenarkan
hadis-hadis) yang gugur (tertolak). Dan sesungguhnya telah cuai
kebanyakan orang-orang yang datang selepas beliau dari (kesalahan-kesalahan)
yang sedemikian dan (mereka) bertaklid (mengikut terus tanpa
menyemak) kepadanya (al-Hakim) pada yang sedemikian (pensahihan
al-Hakim).
Pendapat yang dipilih:
Yang dipilih
dan yang dikuatkan ialah pendapat kedua, iaitu tidak boleh diterima
pensahihan al-Hakim ke atas hadis-hadisnya di dalam al-Mustadrak.
Ini kerana:
1. Manhaj
bermudah-mudahan al-Hakim sepertimana yang disebut oleh Ibn al-Shalah,
sebenarnya adalah lebih berat berbanding apa yang dikenali di
kalangan lain-lain ahli hadis yang bermanhaj seumpama seperti Ibn
Khuzaimah (311H) dan Ibn Hibban rahimahullah.
Malah al-‘Iraqi rahimahullah (806H) pernah mengomentarinya
sebagai bermudah-mudahan yang amat serius.
2. Di
dalam pensahihan al-Hakim wujud kebenaran dan kesilapan. Di dalam
kesilapan tu pula sebahagiannya adalah kecil dan sebahagiannya
adalah besar. Oleh itu tidak boleh dianggap bahawa pensahihan
al-Hakim paling minimum berdarjat hasan sahaja.
3. Kitab
al-Mustadrak al-Hakim, di dalamnya telah bercampur aduk
antara hadis yang sahih, hasan, dha‘if, sangat dha‘if dan maudhu’.
Untuk membezakan hadis-hadis yang telah bercampur aduk ini
memerlukan semakan semula secara keseluruhannya.
4. Hadis
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan salah satu sumber
syari‘at Islam dan kita semua telah diberi amaran tegas oleh baginda
untuk tidak menyebarkan hadis-hadis yang tidak berasal daripada
baginda. Oleh itu adalah satu kewajipan untuk menyemak hadis-hadis
daripada kitab al-Mustadrak sebelum mengemukakannya sekalipun
atas tujuan keutamaan beramal, memberi amaran dan menerangkan
kemuliaan para sahabat.
Catitan
tambahan:
Sifat
bermudah-mudahan al-Hakim yang menyebabkan pensahihannya perlu
disemak semula merangkumi seluruh kitab al-Mustadrak dan
bukan terhad kepada hadis-hadis yang menerangkan keutamaan para
Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
sahaja, radhiallahu ‘anhum.
Sebahagian
tokoh Syi‘ah ada yang berkata bahawa Ahl al-Sunnah
hanya menyemak dan menolak hadis-hadis di dalam al-Mustadrak
apa yang berkaitan dengan keutamaan Ahl al-Bait sahaja. Ini
adalah pendapat yang tidak benar. Semakan semula oleh para ahli
hadis Ahl al-Sunnah merangkumi seluruh kitab al-Mustadrak
termasuk dalam bab yang menghimpun hadis-hadis tentang keutamaan Abu
Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman radhiallahu ‘anhum. Bahkan semakan
semula telah menemui beberapa hadis yang berdarjat sangat dha‘if dan
maudhu’ berkenaan tiga khalifah yang pertama di atas di dalam kitab
al-Mustadrak.
Strategi
mudah kepada para pembaca:
Asas Kelima