Kata Pengantar

 

 

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi  bahawa  Muhammad  adalah  hamba-Nya  dan Rasul-Nya.

 

Pengenalan.

Buku ini merupakan siri pertama dalam membahas dan menjawab hujah-hujah asas yang lazim dikemukakan oleh Syi‘ah al-Rafidhah ke atas Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam persoalan Khalifah (al-Imamah). Hujah-hujah ini terdiri daripada ayat-ayat al-Qur’an, hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan beberapa peristiwa sejarah. Memandangkan subjek ini adalah sesuatu yang agak luas, ia akan diterbitkan dalam bentuk bersiri, insya-Allah.

Atas tujuan singkatan perkataan di dalam buku ini, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah akan disebut sebagai Ahl al-Sunnah sahaja manakala Syi‘ah al-Rafidhah akan disebut sebagai Syi‘ah sahaja.

 

Kenapa buku ini ditulis ?

Ada tiga faktor utama yang menyebabkan penulis memilih subjek ini sebagai subjek kajian dan tulisan:

 

Pertama:

Dakwah Syi‘ah di tanah air kita dewasa ini sudah semakin aktif. Sekalipun pihak-pihak berwajib memantau gerakan dakwah yang mereka lakukan secara terbuka, ini tidak menghalang mereka untuk terus menyebar luaskan mazhab mereka melalui kaedah usrah di kampus pusat pengajian tinggi, dari rumah ke rumah dan melalui medium internet. Gerakan secara kecil-kecilan ini lama kelamaan akan beransur besar. Mamduh Farhan al-Buhari menyenaraikan 5 faktor yang menyuburkan dakwah Syi‘ah di kalangan umat Islam Ahl al-Sunnah:[1]

 

1. Kejahilan umat Islam tentang agama mereka sendiri.

 

2. Kejahilan umat Islam tentang mazhab Syi‘ah.

 

3. Strategi Syi‘ah yang memanfaatkan suasana kelemahan ekonomi umat Islam. Bantuan ekonomi dihulurkan sebagai penjinak hati ke arah mazhab Syi‘ah.

 

4. Kelalaian tokoh-tokoh Ahl al-Sunnah dalam menanggapi dakwah Syi‘ah.

 

5. Kesungguhan luar biasa mazhab Syi‘ah dalam menyebar luaskan mazhab mereka.

 

Kedua:

Sejauh kajian penulis, usaha kita (Ahl al-Sunnah) untuk memantau gerakan Syi‘ah hanyalah sekadar (1) menghukum bahawa ia adalah mazhab yang sesat dan (2) mengemukakan beberapa bukti tentang ciri-ciri akidah mereka yang pelik lagi aneh. Masih terlalu sedikit usaha yang dilakukan untuk menjawab hujah-hujah yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh Syi‘ah yang membenarkan mazhab mereka di atas Ahl al-Sunnah. Dalam suasana kematangan umat Islam masa kini mencerna sumber-sumber ilmu, mereka tidak lagi mudah menolak sesuatu mazhab atau aliran semata-mata kerana dilabelkan “sesat” atau “aneh.”

 

Ketiga:

Termasuk ciri kematangan umat Islam masa kini ialah mereka tidak lagi mengikut secara membuta tuli kata-kata guru atau orang terkenal, tetapi mereka memerhatikan dalil dan hujah yang dikemukakan – sama ada ia bersumber daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih atau selain daripada itu. Konsep siapa yang berkata tidak lagi menjadi hujah tetapi apa yang dikatakan, itulah yang menjadi hujah.

 

Dalam usaha menegakkan diri mereka sebagai mazhab yang benar di atas Mazhab Ahl al-Sunnah, Syi‘ah memiliki strategi menggunakan dalil-dalil yang bersumber dari rujukan Ahl al-Sunnah sendiri. Mereka menggunakan al-Qur’an yang sama dengan Ahl al-Sunnah, malah dengan terjemahan yang berasal daripada tokoh Ahl al-Sunnah sendiri.[2]

 

Mereka juga merujuk kepada kitab-kitab hadis dan tarikh (sejarah) yang sama dengan Ahl al-Sunnah.[3] Syi‘ah tidak lagi menggunakan sumber-sumber rujukan mereka tersendiri sehinggakan nama tokoh-tokoh mereka yang terkenal daripada al-Kulaini (329H) sehingga ke al-Thabathaba’i (1981M) tidak lagi disebut langsung.

 

Strategi ini benar-benar berjaya memperoleh keyakinan umat Islam yang asalnya terdiri daripada kalangan Ahl al-Sunnah, sama ada orang awam mahupun para tokoh dan cendekiawan. Akhirnya sebahagian mereka ada yang berkesimpulan bahawa Mazhab Ahl al-Sunnah dan Mazhab Syi‘ah al-Rafidhah adalah sama-sama benar[4] manakala sebahagian lain menganggap yang benar hanyalah Mazhab Syi‘ah lalu meninggalkan Mazhab Ahl al-Sunnah.

Tiga faktor di atas membuatkan penulis merasa penting untuk membuat kajian dan jawapan ke atas hujah-hujah yang dikemukakan oleh Syi‘ah ke atas Ahl al-Sunnah. Sebagai permulaan, kajian dan jawapan ini ditumpukan kepada persoalan khalifah. Diakui masih terdapat beberapa persoalan lain yang tidak kurang pentingnya seperti perbezaan pegangan akidah, hukum fiqh khasnya yang berkaitan dengan Nikah Mut’ah dan persoalan sejarah khasnya yang berkaitan dengan pembunuhan ‘Ali, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum.

 

Sasaran Pembaca:

Buku ini ditujukan kepada 3 golongan:

 

1. Mereka yang sebelum ini pernah menjadi sasaran dakwah ahli-ahli Syi‘ah sama ada secara langsung atau tidak langsung, lalu ingin mencari jawapan bagi menangani hujah-hujah yang dikemukakan kepada mereka.

 

2. Mereka yang sehingga kini belum dijadikan sasaran dakwah oleh Syi‘ah tetapi ingin mempersiapkan jawapan sebagai “perisai” seandainya dijadikan sasaran pada masa-masa yang akan datang.

 

3. Mereka yang kini berdiri dalam Mazhab Syi‘ah tetapi masih memiliki keinginan dan keterbukaan untuk mengkaji dan menganalisa.

 

Struktur buku.

Buku ini penulis bahagikan kepada beberapa siri. Ini kerana:

 

1. Subjek yang akan dibahas ini adalah sangat luas. Jika disusun dalam sebuah buku sahaja, ia akan menjadi sangat tebal dan ini lazimnya akan memberatkan kebanyakan pembaca awam.

 

2. Membahagikannya kepada beberapa siri membolehkan perbahasan menjadi lebih fokus tanpa mengakibatkan masalah information overload.

 

3. Pembahagian ini juga memudahkan penulis untuk mengkaji dan membahas subjek ini secara bertahap-tahap. Ia juga memudahkan penulis untuk membuat tambahan dan edisi semakan (revision) seandainya perlu pada masa-masa akan datang.

 

Buku Siri Pertama ini dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian Pertama memberi tumpuan kepada:

 

1. Pengenalan ringkas kepada definisi Ahl al-Sunnah dan Syi‘ah serta sejarah kelahiran kedua-dua mazhab ini.

 

2. Mengenal pasti adakah Syi‘ah dan Ahl al-Bait mewakili satu mazhab yang sama.

 

3. Petunjuk al-Qur’an yang mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali.

 

4. Menerangkan iktikad Ahl al-Sunnah terhadap Ahl al-Bait.

 

Ini diikuti dengan Bahagian Kedua yang menggariskan 5 strategi asas yang digunakan oleh Syi‘ah dalam berhujah ke atas Ahl al-Sunnah. Pengetahuan terhadap 5 strategi asas ini adalah penting untuk para pembaca mengenali dan menangani hujah-hujah Syi‘ah, sama ada yang akan dikemukakan dalam buku ini atau yang selainnya.

Insya-Allah buku ini akan disusuli dengan siri-siri yang berikutnya yang memberi tumpuan menjawab hujah-hujah Syi‘ah daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan Sejarah. Contoh hujah Syi‘ah daripada al-Qur’an ialah Ayat al-That-hir (ayat 33 surah al-Ahzab), Ayat al-Mawaddah (ayat 23 surah al-Syura) dan Ayat al-Wilayah (ayat 55 surah al-Maidah). Contoh hujah daripada al-Sunnah ialah Khutbah Ghadir Khum, Hadis al-Tsaqalain dan Hadis al-Safinah. Contoh hujah daripada Sejarah ialah Penyembunyi wasiat Rasulullah, Perlantikan Abu Bakar dan Peristiwa Tanah Fadak.

 

Sumber Rujukan.

Teks ayat-ayat al-Qur’an Resam Uthmani disalin terus (copy & paste) dari edisi cdrom al-Mushaf v1.0 keluaran Harf Information Technologies, Kaherah (www.harf.com). Terjemahan ayat-ayat al-Qur‘an al-Karim dirujuk kepada kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Qur‘an oleh Abdullah Basmeih yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia, dirujuk terus dari edisi cdrom Holy Qur’an v6.31 keluaran Harf IT, Kaherah. Dalam beberapa kes terpencil terjemahan diambil dari rujukan yang lain dan hal ini akan dicatit di bahagian notakaki.

Hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dirujuk kepada kitabnya yang asal sepertimana yang akan penulis catitkan di bahagian notakaki. Setiap hadis yang dikemukakan didahulukan darjat kekuatannya (sahih, hasan atau dha‘if) diikuti dengan rujukan sumber dan jalan-jalan periwayatannya (takhrij). Ini hanyalah sebagai format penyampaian. Hadis-hadis daripada kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim adalah sahih dengan sendirinya manakala hadis-hadis daripada kitab yang lain dirujuk darjat kekuatannya kepada penilaian para ahli hadis yang diiktiraf.

Sumber rujukan lain akan dicatit di bahagian notakaki. Di mana mungkin, sumber rujukan yang terdiri daripada kitab klasik akan penulis catitkan nama bab bagi memudahkan kajian semula oleh para pembaca. Ini kerana kitab-kitab klasik ini adakalanya memiliki lebih dari satu penerbit dengan disunting (tahqiq) oleh para peneliti yang berlainan sehingga rujukan mukasurat bagi satu edisi akan berbeza dengan edisi yang lain. Jika kitab klasik tersebut tidak memiliki bab, penulis akan berikan rujukan mukasurat bagi beberapa edisi yang sedia ada. Bagi sumber rujukan terkini di mana penerbitnya hanya satu, penulis akan catitkan nama penerbit dan lokasinya tanpa disertai dengan nama bab.

Selain itu penulis juga akan menyenaraikan beberapa sumber rujukan yang sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu, Indonesia atau Inggeris yang ada kaitannya dengan topik yang sedang dibahas bagi membantu para pembaca melakukan kajian sendiri.

 

Penghargaan.

Buku ini tidak akan dapat disempurnakan tanpa bantuan, semakan dan suntingan daripada isteri, Maryati Mat Nasir dan rakan-rakan, khasnya Haezal Hezri Omar, Hazman Hasan, Mohd. Fikri Alamghiri, Mohd. Khairul Mohamed dan Mohd. Yaakub Mohd. Yunus. Walaubagaimanapun seandainya masih wujud apa-apa kesilapan maka ia berada di atas tanggung jawab penulis sepenuhnya. Di waktu yang sama penulis amat mengalu-alukan apa-apa pembetulan dan pembaikan daripada para pembaca sekalian. Penulis boleh dihubungi melalui
e-mel di alamat hafizfirdaus@yahoo.com atau SMS di nombor 019-3848467 atau surat-menyurat yang dialamatkan kepada penerbit.

 

Wassalamu‘alaikum waRahmatullah waBarakatuh.

Hafiz Firdaus bin Abdullah.

July – Disember 2003


 


[1]           Saduran daripada keterangan beliau dalam bukunya yang amat bermanfaat lagi terkini: al-Syi‘ah Minhum ‘Alaihim (edisi terj. oleh Agus Hasan Bashari atas judul Gen Syi‘ah: Sebuah Tinjauan Sejarah, Penyimpangan Akidah dan Konspirasi Yahudi; Darul Falah, Jakarta 2001), ms. 77.

[2]           Asalnya Syi‘ah memiliki pandangan yang tersendiri tentang al-Qur’an. Sila rujuk:

1. Mawaqif al-Rafidhah min al-Qur’an al-Karim (Maktabah Ibn Taimiyah, tp.tpt, tp.thn) oleh Mamadu Karamabiri.

2. al-Syi‘ah wa al-Qur’an (Idara Tarjuman al-Sunnah; Lahore 1983) oleh Ihsan Ilahi Dhahir.

Salah sebuah buku Ihsan Ilahi yang membahas subjek ini secara ringkas berjudul al-Syi‘ah wa al-Sunnah telah diterjemahkan ke dalam dua bahasa:

1. Bahasa Indonesia: Virus Syi‘ah: Sejarah Alienisme Sekte (diterjemahkan oleh Fadhli Bahri; Darul Falah, Jakarta 2002).

2. Bahasa Inggeris: The Shi‘ites and The Sunna (diterjemahkan oleh Rana Ihsan Ilahi; Idara Tarjuman al-Sunnah; Lahore 1984).

Boleh juga dirujuk ke edisi bahasa Arab terbaru yang telah diberi beberapa catitan tambahan yang bermanfaat oleh ‘Abd al-Sam‘iy terbitan Dar ‘Ammar, Amman 1996.

[3]           Asalnya Syi‘ah memiliki kaedah ilmu hadis dan kitab-kitab hadis yang tersendiri. Sila rujuk:

1. Mukhtasar al-Tuhfah al-Itsna ‘Asyariyyah oleh Shah Waliyullah al-Dahlawi (1762M) (edisi terj. oleh Salahuddin Abdullah atas judul Ringkasan Syiah Mazhab Imam Dua Belas; Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur 1992), ms. 73 dan seterusnya.

2. Ma‘a al-Syi‘ah al-Itsna ‘Asyariyyah fi al-Usul wa al-Furu’ oleh ‘Ali Ahmad al-Salus (edisi terj. oleh Asmuni Solihan atas judul Ensiklopedi Sunnah Syiah; Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2001), jld. 2, ms. 91 dan seterusnya.

[4]           Hal ini tidak mungkin berlaku sekalipun telah diusahakan oleh tokoh-tokoh Ahl al-Sunnah. Ini kerana wujud perbezaan yang amat besar dalam perkara-perkara yang melibatkan asas dan pokok agama antara Mazhab Ahl al-Sunnah dan Syi‘ah. Lebih lanjut lihat buku Masalah al-Taqrib bain Ahl al-Sunnah wa al-Syi‘ah (Dar al-Thayyibah, Makkah 1416H) oleh Nasr bin ‘Abd Allah ‘Ali al-Qafari.

            Bagi rujukan dari sumber terjemahan, lihat buku Muhib al-Din al-Khatib yang berjudul al-Khuthuth al-‘Aridhah:

1. Bahasa Inggeris: al-Khutoot al-‘Areedah: An Exposition and Refutation of the sources upon which the Shi‘ite Religion is based (diterjemah oleh Mahmoud Murad; Majlis al-Haq, Canada & Pustaka Ushamurni, Kuala Lumpur 1987).

2. Bahasa Indonesia: Mengenal Pokok-pokok Ajaran Syiah al-Imamah dan Perbedaannya Ahlussunnah (diterjemah oleh Munawwar Putera; PT Bina Ilmu, Surabaya 1984).

Selain itu, rujuk juga:

1. Penjelasan Terhadap Fahaman Syiah oleh Bahagian Penyelidikan JAKIM (K. Lumpur 1997).

2. Dedah Fahaman Syiah oleh Musa al-Musawi (edisi terjemahan oleh Udah Mohsin, Mohd. Zawawi & Mudasir Rosdar; JAKIM, K. Lumpur 1998).

3. Syiah: Siapakah Mereka dan Apakah Sikap Kita Terhadap Mereka ? oleh Yazid Bahrin (Jahabersa, Johor Bahru 1997).

4. Kepalsuan Ajaran Syiah & Pemikiran Khomeni oleh ‘Abd Allah al-Ghifari (edisi terjemahan oleh Samsuddin Selamat; Jahabersa, Johor Bahru 1998).

5. Perbandingan Antara Sunnah dan Syi‘ah oleh ‘Abd Allah bin Sa‘id al-Junaid (edisi terjemahan oleh Mahmud Fauzi; LPPI, Jakarta 1999).

6. Mengapa Kita Menolak Syi‘ah ? (Kumpulan makalah Seminar Nasional Sehari Tentang Syi‘ah; LPPI, Jakarta 1998).

 

 

:: Cover :: Index ::