BAHAGIAN KEDUA

Lima strategi asas Syi‘ah dalam berhujah dan
Jawapan Ahl al-Sunnah ke atasnya.

 

Untuk menjawab hujah-hujah Syi‘ah ke atas Ahl al-Sunnah, perkara penting yang perlu diketahui bukanlah semua hujah mereka tetapi strategi asas yang mereka gunakan untuk berhujah. Jika diketahui strategi-strategi asas Syi‘ah, maka adalah mudah untuk menangkap dan menjawab hujah-hujah mereka sama ada yang telah berlalu atau yang akan datang, sama ada yang dibahas di dalam buku ini atau yang tidak dibahas. Ini berdasarkan kata hikmah: Jika kamu memberi saya ikan saya akan memakannya untuk satu hari tetapi jika kamu mengajar saya cara menangkap ikan saya akan memakannya seumur hidup.

Terdapat lima strategi asas yang lazim digunakan oleh Syi‘ah untuk berhujah ke atas Ahl al-Sunnah. Sesiapa yang mengkaji hujah-hujah Syi‘ah akan mendapati mereka tidak lari daripada menggunakan lima strategi asas ini, sama ada secara sebahagian atau keseluruhannya. Berikut dikemukakan setiap satu daripada lima strategi asas ini diikuti dengan jawapan Ahl al-Sunnah bagi membatalkannya.

 

Strategi asas Syi‘ah yang pertama:

Mengkhususkan nas yang pada asalnya berbentuk umum

 

Penjelasannya:

Merupakan satu kebiasaan bagi Syi‘ah untuk memaksa nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah agar ia khusus ditujukan kepada Ahl al-Bait, radhiallahu ‘anhum. Contohnya jika kita mengkaji seluruh al-Qur’an al-Karim, tidak ada satu jua ayat yang secara khusus membicarakan hak kekhalifahan Ahl al-Bait ke atas umat Islam ini. Demikian juga, tidak ada satu jua hadis sahih yang menerangkan hak kepimpinan Ahl al-Bait ke atas umat Islam.

Namun kita dapati Syi‘ah mengemukakan pelbagai ayat dan hadis untuk mengangkat diri mereka sebagai golongan yang benar dan Ahl al-Bait sebagai khalifah yang hak. Padahal ayat dan hadis yang mereka kemukakan semuanya berbentuk umum dan tidak khusus merujuk kepada Ahl al-Bait mahupun subjek khalifah.

 

Jawapan Ahl al-aSunnah ke atas Strategi Asas Syi‘ah yang Pertama:

Ahl al-Sunnah memiliki satu kaedah yang baku di dalam memahami dan berinteraksi dengan nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah, iaitu:

 

Setiap nas hendaklah diambil berdasarkan bentuknya yang asal melainkan wujud petunjuk lain yang mengubah bentuk asal tersebut.

 

Penjelasannya:

Nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah, ada yang berbentuk umum, ada yang berbentuk khusus, ada yang berbentuk mutlak, ada yang berbentuk membatas, ada yang berbentuk menetapkan, ada yang berbentuk menafikan, ada yang berbentuk doa, ada yang berbentuk anjuran, ada yang berbentuk peringatan, ada yang berbentuk isyarat dan pelbagai lagi. Semua bentuk-bentuk ini dapat dikenali daripada zahir susunan lafaz dan perkataan yang digunakan di dalam lafaz.

 

Adakalanya wujud dua nas yang membahas subjek yang sama, yang pertama berbentuk umum manakala yang kedua berbentuk khusus, maka nas yang kedua berperanan mengkhususkan keumuman nas yang pertama. Adakala wujud juga dua nas yang membahas subjek yang sama, yang pertama berbentuk mutlak manakala yang kedua berbentuk membatas, maka nas yang kedua berperanan membatasi kemutlakan nas yang pertama. Di dalam kedua-dua kes di atas, peranan nas yang kedua disebut sebagai “petunjuk lain yang mengubah bentuk asal tersebut” di mana yang asal itu adalah nas yang pertama.

 

Nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah dengan segala bentuknya berasal daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Bentuk-bentuk yang dimiliki oleh setiap nas al-Qur’an dan al-Sunnah memiliki peranan, tujuan dan hikmah yang tersendiri di dalam membentuk kesempurnaan syari‘at Islam. Allah tidak sekali-kali menciri-cirikan nas tersebut dengan bentuk yang tertentu tanpa apa-apa peranan, tujuan dan hikmah di sebaliknya. Apabila Allah berfirman dengan ayat yang bersifat umum, bererti Allah sememangnya mengkehendaki ia bersifat umum. Apabila Allah mengilhamkan Rasul-Nya Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam untuk bersabda dengan sesuatu yang bersifat memberi peringatan, bererti Allah sememangnya mengkehendaki ianya bersifat memberi peringatan. Demikianlah seterusnya bagi lain-lain bentuk nas seperti mutlak, membatas, menetapkan, menafikan, doa, anjuran, isyarat dan pelbagai lagi.

 

Justeru seandainya Allah mengkehendaki hak kekhalifahan berada di tangan Ahl al-Bait, khasnya ‘Ali bin Abi Thalib, Allah akan menurunkan nas yang berbentuk khusus lagi tepat bagi menetapkan kekhalifahan mereka sehingga tidak timbul apa-apa kesamaran (ambiguity) atau salah faham. Ini sebagaimana tindakan Allah mengkhususkan kepimpinan kepada Nabi Daud ‘alaihi salam dan menetapkan kerajaannya:

 

Wahai Daud ! Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu). [Shad 38:26]

 

Kemudian Allah secara khusus menetapkan Nabi Sulaiman ‘alaihi salam sebagai pewaris Nabi Daud ‘alaihi salam: 

Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud. [al-Naml 27:16]

 

Demikian juga, apabila Allah hendak menerangkan bahawa Muhammad adalah Rasul-Nya, Allah menerangkannya dengan jelas lagi tepat sebagaimana firman-Nya: 

Muhammad ialah Rasul Allah [al-Fath 48:29]

 

Hakikatnya kita tidak mendapati di dalam al-Qur’an ayat yang berbunyi umpama: “Wahai ‘Ali dan keturunanmu ! Sesungguhnya Kami telah menjadikan kalian khalifah di bumi ini…” atau: “ ‘Ali dan keluarganya mewarisi kepimpinan Rasulullah” atau: “ ‘Ali bin Abi Thalib ialah Khalifah Allah sesudah Muhammad.” atau apa-apa lain yang seumpama. Ini tidak lain menunjukkan bahawa Allah sememangnya tidak berkehendak menetapkan ‘Ali dan keturunannya sebagai khalifah umat Islam sesudah Rasulullah.

 

Di dalam al-Sunnah yang sahih, yang wujud hanyalah beberapa hadis yang berbentuk doa, harapan, peringatan, anjuran dan pesanan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam terhadap Ahl al-Bait baginda. Semua ini tiada yang berbentuk mengkhusus dan menetapkan jawatan khalifah ke atas Ahl al-Bait baginda. Maka di atas ketiadaan ini, Ahl al-Sunnah tidak mengkhusus dan menetapkan jawatan khalifah kepada Ahl al-Bait kerana setiap nas hendaklah diambil berdasarkan bentuknya yang asal melainkan wujud petunjuk lain yang mengubah bentuk tersebut.

 

Strategi mudah kepada para pembaca:

  •       Setiap nas al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih adalah sempurna dalam bentuknya yang asal sebagai kesempurnaan yang berasal daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

 

  •        Seandainya Allah mengkehendaki ‘Ali menjadi khalifah, Allah akan menetapkannya dengan nas yang berbentuk khusus, jelas lagi tepat.

 

 

Asas Kedua

 

 

 

:: Cover :: Index ::