Kata Pengantar

 

 

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

 

Pengenalan

Buku ini merupakan Siri Kedua dalam rangka membahas dan menjawab hujah-hujah asas yang lazim dikemukakan oleh Syi‘ah al-Rafidhah ke atas Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam persoalan Khalifah (al-Imamah). Sebelum ini – alhamdulillah – telah diterbitkan Siri Pertama yang membahas Definisi, Sejarah Kemunculan dan 5 Strategi Asas yang digunakan oleh Syi‘ah al-Rafidhah apabila berhujah ke atas Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

Buku Siri Kedua ini insya-Allah akan memberi tumpuan kepada membahas dan menjawab ayat-ayat al-Qur’an yang lazim dijadikan hujah oleh Syi‘ah al-Rafidhah dalam persoalan khalifah.

Atas tujuan singkatan perkataan, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah akan disebut sebagai Ahl al-Sunnah sahaja manakala Syi‘ah al-Rafidhah akan disebut sebagai Syi‘ah sahaja.

 

Aspek Perbahasan

Yang dimaksudkan sebagai Persoalan Khalifah ialah: Siapakah yang berhak menjawat kedudukan Khalifah Umat Islam selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam – adakah Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman atau Ahl al-Bait Rasulullah yang terdiri daripada ‘Ali dan keturunannya, radhiallahu 'anhum?

 

Mazhab Ahl al-Sunnah:

Ahl al-Sunnah berpendapat jawatan khalifah selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ditentukan berdasarkan pilihan dan kesepakatan majoriti umat Islam. Pemilihan dilakukan oleh para tokoh (Ahl al-Hal wa al-Aqd) manakala kesepakatan dibuktikan dengan janji taat setia (bai‘ah) yang diberikan oleh umat Islam kepada tokoh yang telah dipilih. Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh telah dipilih sebagai khalifah sejurus selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan beliau kemudiannya diberi janji taat setia (bai‘ah) oleh umat Islam pada saat itu.

 

Mazhab Syi‘ah:

Syi‘ah pula berpendapat jawatan khalifah ditentukan oleh sumber wahyu, jauh sekali daripada campur tangan manusia. Selanjutnya Syi‘ah berpendapat bahawa sumber wahyu, yakni nas al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, telah menentukan Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang terdiri daripada ‘Ali bin Abi Thalib dan keturunannya radhiallahu 'anhum sebagai khalifah yang hak. Akan tetapi ketentuan ini telah dikhianati oleh majoriti umat Islam yang telah memilih dan memberi janji taat setia kepada Abu Bakar radhiallahu ‘anh.

 

Metode Perbahasan.

Insya-Allah kita akan mengkaji, membahas dan menjawab dakwaan Syi‘ah bahawa kekhalifahan ‘Ali dan keturunannya telah ditentukan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Untuk buku Siri Kedua ini, kita akan memberi tumpuan kepada dakwaan atau hujah yang Syi‘ah bina daripada ayat-ayat al-Qur’an.

Penulis tidak akan mengemukakan semua ayat yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah melainkan beberapa sahaja yang membentuk asas mazhab mereka. Ayat-ayat “asas” ini juga adalah yang paling masyhur diperhujahkan oleh Syi‘ah dan yang paling memberi kesan (impact) kepada masyarakat awam Ahl al-Sunnah. Para pembaca yang terdiri daripada mereka yang (1) berada di dalam Mazhab Syi‘ah, (2) pernah didakwah oleh Syi‘ah dan (3) bakal didakwah oleh Syi‘ah akan mendapati bahawa mereka (Syi‘ah) tidak akan lari daripada menggunakan ayat-ayat ini sebagai hujah, sama ada secara sebahagian atau keseluruhannya.

Ini kemudiannya diikuti dengan jawapan Ahl al-Sunnah ke atas ayat-ayat yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah. Apabila dijawab dan diruntuhkan ayat-ayat ini yang membentuk asas Mazhab Syi‘ah, sekaligus akan runtuh jugalah hujah-hujah Syi‘ah yang lain.

Secara terperinci, metode kajian, perbahasan dan jawapan penulis terbahagi kepada beberapa langkah:

 

Langkah Pertama:

Memberi pengenalan ringkas kepada ayat yang dijadikan hujah seperti nama gelarannya dan kepentingan ayat tersebut kepada Syi‘ah. Syi‘ah lazimnya memberi nama gelaran tertentu kepada ayat-ayat yang mereka jadikan hujah, seperti Ayat al-That-hir bagi ayat 33 surah al-Ahzab, Ayat al-Wilayah bagi ayat 55 surah al-Maidah dan begitulah seterusnya.

 

Langkah Kedua:

Menjelaskan bagaimana Syi‘ah menjadikan ayat tersebut sebagai hujah bagi membuktikan kekhalifah ‘Ali bin Abi Thalib dan keturunannya, radhiallahu 'anhum. Hujah-hujah tersebut penulis himpun daripada pelbagai sumber Syi‘ah sendiri. Tumpuan khas diberikan kepada buku yang berjudul Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah (Kenapa Aku Memilih Mazhab Syi‘ah) karangan Muhammad Mar‘i al-Amin al-Anthaki (محمد مرعي الأمين الأنطاكي). Terdapat dua sebab penulis memberi tumpuan kepada buku ini:

 

1. Ia adalah antara buku terkini yang hebat sesudah al-Muraja‘at dalam mengemukakan hujah-hujah Syi‘ah ke atas Ahl al-Sunnah dalam membuktikan kebenaran Mazhab Syi‘ah dan kekhalifahan ‘Ali bin Abi Thalib.

 

2. Buku ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu pada tahun 1993 oleh salah seorang pensyarah universiti tempatan. Ini adalah satu “pencapaian ulung” memandangkan tokoh-tokoh di Malaysia lazimnya memiliki minat yang sangat minimum dalam bidang penterjemahan. Edisi terjemahan tersebut kini boleh dimuat turun (download) daripada beberapa laman web Syi‘ah.

 

Walaubagaimanapun perlu digariskan bahawa penulis tidak bermaksud untuk menjawab dan membongkar pelbagai jenayah ilmiah yang terdapat di dalam buku Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah tersebut. Penulis hanya menggunakannya sebagai alat untuk memberi gambaran kepada para pembaca sekalian tentang bagaimana Syi‘ah menjadikan sesebuah ayat sebagai hujah.

 

Langkah Ketiga:

Menjawab dan membatalkan hujah-hujah yang Syi‘ah bina daripada ayat tersebut. Perlu dibezakan bahawa metode penulis bukanlah membanding dan memilih yang paling kuat (rajih) antara hujah Syi‘ah dan hujah Ahl al-Sunnah. Ini kerana metode perbandingan dan pemilihan yang terkuat (tarjih) hanya dilakukan ke atas beberapa pendapat yang sama-sama memiliki kebenaran. Hujah-hujah yang Syi‘ah bina daripada ayat-ayat al-Qur’an tidak memiliki apa-apa kebenaran, bahkan yang tepat ia hanyalah penyelewengan ke atas ayat-ayat suci tersebut. Teruskan membaca dan mengkaji buku ini, insya-Allah para pembaca yang budiman sekalian akan menemui apa maksud penulis di atas.

Jawapan dan pembatalan yang penulis kemukakan adalah berdasarkan prinsip-prinsip Ahl al-Sunnah dalam berinteraksi dengan ilmu-ilmu Islam. Justeru pemahaman terhadap ayat al-Qur’an adalah berdasarkan ilmu Usul Tafsir dan Usul Fiqh yang ditetapkan oleh para ahli tafsir dan ahli fiqh Ahl al-Sunnah.[1] Demikian juga, apa-apa hadis yang dikemukakan sebagai tafsiran ayat akan diukur darjat kekuatannya berdasarkan kaedah yang ditetapkan oleh para ahli hadis Ahl al-Sunnah.[2] Inilah yang penulis maksudkan sebagai “Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi‘ah……”

 

Langkah Keempat:

Memberi kesimpulan ringkas bagi memantapkan kefahaman para pembaca.

 

 

Ulangkaji Ke Atas Lima Strategi Asas Syi‘ah Dalam Berhujah

Yang penting bukanlah mengetahui jawapan bagi semua hujah Syi‘ah tetapi mengenal pasti strategi Syi‘ah dalam berhujah ke atas Ahl al-Sunnah. Terdapat lima strategi asas Syi‘ah apabila berhujah ke atas Ahl al-Sunnah. Lima strategi asas ini telah penulis gariskan dalam buku Siri Pertama, lengkap dengan perinciannya. Memandangkan lima strategi asas ini adalah sangat penting dan sering kali digunakan dalam menjawab hujah-hujah Syi‘ah di dalam buku ini, penulis akan mengemukakannya semula di sini secara ringkas bagi kemudahan para pembaca:

 


 

Strategi Asas Syi‘ah yang Pertama:

Mengkhususkan nas yang pada asalnya berbentuk umum

  

 

Jawapan Ahl al-Sunnah ke atas Strategi Asas Syi‘ah yang Pertama:

Setiap nas hendaklah diambil berdasarkan bentuknya yang asal melainkan wujud petunjuk lain yang mengubah bentuk asal tersebut.

 

 


  

Strategi Asas Syi‘ah yang Kedua:

Mengkhususkan perbahasan berdasarkan sebab turun dan kelahiran nas.

 

 Jawapan Ahl al-Sunnah ke atas Strategi Asas Syi‘ah yang Kedua:

Yang diambil adalah keumuman lafaz
dan bukan kekhususan sebab.

 

 


  

Strategi Asas Syi‘ah yang Ketiga:

Jumlah rujukan yang banyak menjadi bukti kebenaran hujah

  

Jawapan Ahl al-Sunnah ke atas Strategi Asas Syi‘ah yang Ketiga:

 Kebenaran hujah tidak diukur dengan jumlah rujukan tetapi hujah yang terkandung di dalam rujukan itu sendiri

 

 


 

Strategi Asas Syi‘ah yang Keempat:

Adakalanya darjat hadis dinilai sahih dengan merujuk kepada pensahihan al-Hakim di dalam kitabnya al-Mustadrak.

 

 Jawapan Ahl al-Sunnah ke atas Strategi Asas Syi‘ah yang Keempat:

Penilaian hadis oleh al-Hakim hanya dapat diterima jika ia disemak dan dipersetujui oleh ahli hadis yang lain.

 

 


  

Strategi Asas Syi‘ah yang Kelima:

Menggunakan pendekatan psikologi untuk menarik
keyakinan orang awam.

 

 Jawapan Ahl al-Sunnah ke atas Strategi Asas Syi‘ah yang Kelima:

Kejayaan pendekatan secara psikologi tetap bergantung kepada faktor kesahihan fakta dan kebenaran hujah.

 

 


 

Sumber Rujukan.

Teks ayat-ayat al-Qur’an Resam Uthmani disalin terus (copy & paste) dari edisi cdrom al-Mushaf v1.0 keluaran Harf Information Technologies, Kaherah (www.harf.com). Terjemahan ayat-ayat al-Qur‘an al-Karim dirujuk kepada kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Qur‘an oleh Abdullah Basmeih yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia, dirujuk terus dari edisi cdrom Holy Qur’an v6.31 keluaran Harf IT, Kaherah. Dalam beberapa kes terpencil terjemahan diambil dari rujukan yang lain dan hal ini akan dicatit di bahagian notakaki.

Hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam disemak (takhrij) kepada kitabnya yang asal. Di sini wujud perbezaan yang besar antara Ahl al-Sunnah dan Syi‘ah dalam manhaj mengemukakan hadis sebagai hujah. Manhaj Ahl al-Sunnah dalam mengemukakan hadis ialah merujuk kepada kitab-kitab asal yang mengemukakan hadis tersebut lengkap dengan sanadnya. Kitab-kitab lain yang menukil hadis tanpa sanad tidak termasuk dalam kategori “kitab-kitab asal.”

Berbeza dengan Syi‘ah di mana manhaj mereka ialah mengemukakan hadis dengan merujuk kepada kitab-kitab yang menukilnya tanpa mengira sama ada ia memiliki sanad atau tidak. Malah majoriti kitab yang dirujuk oleh Syi‘ah bukanlah kitab asal yang memiliki sanad. Tujuan Syi‘ah memilih manhaj ini ialah untuk memberi pengaruh palsu kepada para pembaca mereka, seolah-olah “jumlah rujukan yang banyak menjadi bukti kebenaran hujah.”

Oleh itu dalam mentakhrij hadis-hadis yang dijadikan hujah oleh Syi‘ah, penulis tidak akan memberi perhatian kepada “rujukan-rujukan hadis” yang dikemukakan oleh Syi‘ah. Sebaliknya penulis akan mentakhrijnya berdasarkan kitab-kitab hadis yang asal dan lengkap bersanad. Selain itu, hadis-hadis daripada kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim adalah sahih dengan sendirinya manakala hadis-hadis daripada kitab yang lain dirujuk darjat kekuatannya kepada penilaian para ahli hadis yang diiktiraf.

Sumber rujukan lain akan dicatit di bahagian notakaki. Dalam rangka menjawab hujah-hujah Syi‘ah daripada al-Qur’an dalam buku Siri Kedua ini, penulis banyak merujuk kepada kitab-kitab tafsir para tokoh Ahl al-Sunnah. Sebahagian rujukan ini penulis catitkan di notakaki manakala sebahagian lagi tidak kerana yang penting bukanlah sumber rujukan tetapi hujah yang dikemukakan.

Di mana mungkin, sumber rujukan yang terdiri daripada kitab klasik akan penulis catitkan nama bab bagi memudahkan kajian semula oleh para pembaca. Ini kerana kitab-kitab klasik ini adakalanya memiliki lebih dari satu penerbit dengan disunting (tahqiq) oleh para peneliti yang berlainan sehingga rujukan mukasurat bagi satu edisi akan berbeza dengan edisi yang lain. Jika kitab klasik tersebut tidak memiliki bab, penulis akan berikan rujukan mukasurat bagi beberapa edisi yang sedia ada. Bagi sumber rujukan terkini di mana penerbitnya hanya satu, penulis akan catitkan nama dan tempat penerbit tanpa disertai dengan nama bab.

 

Penghargaan.

Penghargaan yang besar dan ucapan ribuan terima kasih ditujukan kepada guru-guru penulis dalam ilmu tafsir al-Qur’an, khasnya al-Ustaz Abdullah Yasin dan al-Ustaz Abdul Kariman Abdul Muin. Semoga Allah memelihara mereka, menambah ilmu mereka dan memberi kemudahan kepada mereka untuk menyampaikan ilmu agar dapat dimanfaatkan oleh orang ramai. Tidak ketinggalan ialah penghargaan dan ucapan terima kasih kepada isteri penulis, Maryati Mat Nasir dan rakan-rakan, khasnya Haezal Hezri Omar, Hazman Hasan, Mohd. Fikri Che Husain, Mohd. Khairul Mohamed, Muhammad Rafiq Muhammad dan Mohd. Yaakub Mohd. Yunus. Tanpa bantuan, semakan dan suntingan mereka, buku ini tidak akan dapat disempurnakan. Semoga Allah menganjari mereka dengan sesuatu yang lebih baik.

Dialu-alukan apa-apa pembetulan dan pembaikan daripada para pembaca sekalian. Penulis boleh dihubungi melalui e-mel di alamat afizfirdaus@yahoo.com, SMS di nombor 019-3848467 atau surat-menyurat yang dialamatkan kepada penerbit.

 

Wassalamu‘alaikum waRahmatullah waBarakatuh.

Hafiz Firdaus bin Abdullah.

Oktober 2003 – April 2004

 


 


[1]           Ahl al-Sunnah dan Syi‘ah memiliki kaedah usul yang tersendiri. Lebih lanjut lihat buku ‘Ali Ahmad al-Salus – Baina al-Syi‘ah wa al-Sunnah: Dirasat Muqaranah fi al-Tafsir wa al-Ushul (Dar al-‘Ithishom, Kaherah tp.thn.)

            Yang dimaksudkan dengan ilmu Usul Tafsir dan Usul Fiqh ialah kaedah, formula dan peraturan mengeluarkan pemahaman yang benar daripada nas al-Qur’an dan al-Sunnah.

[2]           Yang dimaksudkan dengan darjat kekuatan hadis ialah status Sahih, Hasan, Dha‘if (lemah), Dha‘if Jiddan (sangat lemah) dan Maudhu’ (palsu).

 

 

:: Cover :: Index ::