Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7

 

 

Kata Pengantar Penyunting

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya, dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya. Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

Dalam rangka menjawab hujah-hujah Syi‘ah al-Rafidhah ke atas Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, saya bercadang untuk menyusun sebuah buku khas yang memberi tumpuan kepada menganalisa, membahas dan menjawab hujah-hujah Syi‘ah al-Rafidhah yang berkaitan dengan sejarah para sahabat radhiallahu 'anhum. Alhamdulillah, kemudian saya menemui sebuah buku yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada topik di atas tetapi juga memberi tumpuan kepada menerangkan keutamaan para sahabat radhiallahu 'anhum.

Topik keutamaan para sahabat adalah tidak kurang pentingnya dalam rangka mematahkan strategi Syi‘ah al-Rafidhah yang hanya mengemukakan keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh dan membelakangkan, malah menghina dan mencela para sahabat yang lain, radhiallahu 'anhum.

Buku yang saya maksudkan ditulis oleh Syaikh ‘Abd Allah ‘Abd al-Qadir al-Taliri dengan judul yang bermaksud Kitab Keutamaan Para Sahabat Dan Pembelaan Atas Kemuliaan Mereka Serta Menjelaskan Bahaya Membenci dan Mencela Mereka. Walaubagaimanapun untuk edisi terjemahan ini, saya memilih judul Jawapan Ahl al-Sunnah Ke Atas Syi‘ah al-Rafidhah Berkenaan Keutamaan Dan Sejarah Para Sahabat kerana buku tersebut sememangnya ditulis oleh Syaikh al-Taliri dalam rangka menjawab dan menolak hujah-hujah Syi‘ah al-Rafidhah berkenaan keutamaan dan sejarah para sahabat radhiallahu 'anhum.

Buku ini berjaya disiapkan selepas melalui dua proses utama.

Proses pertama adalah menterjemahkannya. Ini saya amanahkan kepada Muhammad Amin Yaacob, seorang rakan saya dan jiran setempat. Beliau ialah seorang akauntan bebas (A.C.C.A) dan sebelum ini adalah pengarang kepada buku Christianity Through The Lens of Christian And Muslim Scholars yang diterbitkan dalam dua siri oleh Perniagaan Jahabersa.

Manhaj penterjemahan buku ini ialah memelihara dalil dan hujah manakala bentuk dan gaya penyampaian disesuaikan ke dalam bahasa Melayu. Lebih dari itu, terdapat beberapa bahagian yang diringkaskan terjemahannya supaya perbincangan adalah lebih fokus dan padu. Terdapat beberapa penjelasan tambahan yang diberikan oleh penterjemah dan ini ditanda dengan kurungan jika berada di ruang utama atau dengan “Catitan penterjemah” jika berada di ruang notakaki.

Terjemahan ayat-ayat al-Qur’an diambil secara terus (copy and paste) daripada Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Qur‘an oleh Abdullah Basmeih, edisi cdrom Holy Qur’an v6.31 keluaran Harf IT, Kaherah (www.harf.com). Terjemahan hadis-hadis diusahakan sendiri dengan semakan kepada beberapa edisi kitab hadis terjemahan sama ada dalam bahasa Inggeris atau Indonesia.

Proses kedua ialah menyunting hasil terjemahan yang telah disiapkan. Suntingan yang saya lakukan adalah:

  1. Mentakhrij, yakni memberi rujukan kepada hadis-hadis yang dijadikan dalil. Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim adalah sahih dengan sendirinya manakala hadis-hadis selain itu disemak darjat kekuatannya kepada penilaian para ahli hadis yang muktabar. Pengarang pada asalnya telah mentakhrij hadis-hadis yang beliau kemukakan. Akan tetapi saya dapati takhrij beliau adalah kurang mantap dan adakalanya bersikap bermudah-mudahan (tasahul) dalam melakukannya.
  2. Memberi rujukan kepada sumber-sumber yang dinukil oleh pengarang. Ini kerana apabila menukil sesuatu hujah, adakalanya pengarang memberi rujukan yang lengkap, adakalanya tanpa rujukan melainkan nama tokoh, umpama: “Berkata al-Nawawi bahawa……”. Maka saya menambah di bahagian notakaki nama kitab umpama: “Syarh Shahih Muslim, jilid (jld.) sekian-sekian, mukasurat (ms.) sekian-sekian.”
  3. Memberi beberapa catitan sebagai maklumat tambahan. Ini diletak di bahagian notakaki dan didahului dengan tanda “Catitan penyunting”. Kebanyakan maklumat tambahan yang saya berikan ialah dalam rangka menjawab hujah-hujah, atau lebih tepat, fitnah-fitnah Syi‘ah al-Rafidhah ke atas para sahabat.

    Fitnah-fitnah Syi‘ah al-Rafidhah itu sendiri terbahagi kepada dua kategori, yang
    pertama berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih manakala yang kedua berdasarkan riwayat-riwayat yang tidak sahih atau tidak diketahui darjat kekuatannya. Saya hanya memberi tumpuan kepada fitnah-fitnah kategori pertama. Fitnah-fitnah kategori kedua tidak akan diberi tumpuan kerana sesuatu yang tidak sahih tidak memiliki apa-apa nilai sekalipun ia masyhur tercatit di dalam kitab-kitab sejarah.

    Satu contoh fitnah kategori kedua yang saya maksudkan ialah riwayat kononnya ‘Umar al-Khaththab telah mengepung dan mengancam untuk membakar rumah ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu 'anhum untuk memaksa mereka membai‘ah Abu Bakar. Riwayat ini masyhur disebut dalam sebahagian kitab-kitab sejarah akan tetapi darjat kekuatannya tidak diketahui. Lebih dari itu kisah tersebut menggambarkan ‘Ali radhiallahu 'anh sebagai seorang yang dayus lagi penakut kepada ‘Umar. Padahal ‘Ali yang kita kenal adalah seorang yang gagah berani sehingga pasti beliau tidak akan membiarkan ‘Umar mengancam keselamatan ahli keluarganya. Ini menunjukkan bahawa kisah tersebut adalah tidak benar dan sengaja direka oleh perawi Syi‘ah al-Rafidhah untuk membuat fitnah ke atas ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh.

Saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar buku ini menepati tujuannya dalam menerangkan keutamaan para sahabat dan menjawab tuduhan serta celaan Syi‘ah al-Rafidhah kepada mereka. Ribuan terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan yang telah membantu menyiapkan buku ini daripada proses penterjemahan, penyuntingan, penyemakan sehinggalah membaca pruf. Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala memberikan sebaik-baik ganjaran kepada mereka semua.

Hafiz Firdaus Abdullah
                30 Jun 2005

 

 >> Kata Pengatar Pengarang

 



Kandungan
 Kata Pengantar PenyuntingKata Pengantar Pengarang
Bahagian A: 1 2 3 4 5 6 7 
Bahagian B: 1 2 3 4 5 6 7