Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Muqaddimah

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim

Segala puji-pujian kepada Allah, Rabb sekalian alam. Salam dan Selawat ke atas Rasulullah, ahli keluarganya, para sahabatnya, tabien, atha tabien; dan ke atas sekalian orang yang berusaha untuk mengikuti dan mempratikkan segala ajarannya dan menjauhkan segala larangannya.

Dewasa kini umat Islam rancak bermusafir ke sana-sini antara negara ke negara, benua ke benua dengan memanfaatkan sepenuhnya alat pengangkutan udara yang tersedia. Bermusafir dengan pesawat-pesawat terbang samada yang kecil mahupun yang besar, sudah menjadi satu kebiasaan bagi umat Islam di seluruh dunia. Hal ini tidak lain adalah merupakan salah satu lagi daripada sekian banyak anugerah serta kemudahan duniawi yang Allah Subhanahu waTa'ala sediakan untuk hamba-hambaNya.

Dalam kita menerima serta memanfaatkan anugerah Allah ini, tidak seharusnya kita lupa atau mengabaikan tanggung-jawab terhadapNya, iaitu tetap melaksanakan amal-amal ibadah yang diperintahkan selaku mengabdikan diri kepada Khaliq yang telah menciptakan kehidupan untuk kita dan menganugerahkan pelbagai kemudahan untuk kita menjayakan kehidupan ini. Dalam hal ini kita renungi dua firman Allah Subhanahu waTa'ala di dalam al-Qur'anul Karim:

Dan (Dialah Allah) yang telah menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Dia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang dapat kamu mengenderainya supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan - Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderan ini untuk kami sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya, dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. [Maksud surah az-Zukhruf 43 - 12,13]

Wahai sekalian manusia, Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.

Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu;

Maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).   [Maksud surah al-Baqarah 02 - 21,22]

Adakalanya musafir dengan alat pengangkutan serba canggih masa kini, terutamanya musafir penerbangan banyak melahirkan beberapa kemuskilan dan persoalan di benak seseorang itu dalam rangka usaha mereka melaksanakan amal-amal ibadah. Ini timbul atas beberapa faktor semulajadi penerbangan yang sukar dielakkan seperti kedudukan pesawat yang sentiasa bergerak dan berubah arah, ruang dalam pesawat yang sempit lagi penuh sesak dan berbagai lagi.

Atas sebab-sebab inilah penulisan ini diusahakan agar dapat memberikan jawapan serta penerangan yang sebaik mungkin bagi setiap individu yang bermusafir dengan pesawat terbang agar dengan itu mereka dapat terus beribadah kepada Allah Azza waJalla dan pada waktu yang sama dapat meneruskan kewajipan-kewajipan duniawi mereka. Penulisan ini juga tidak lain adalah bertujuan menyahut seruan Allah Subhanahu waTa'ala yang bermaksud:

Dan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [Maksud surah at-Taubah 09 - 71]

Buku ini secara khusus membicarakan permasalahan-permasalahan musafir penerbangan memandangkan kepada keunikkan medium pengangkutan tersebut. Akan tetapi ini tidaklah bermakna bahawa buku ini terhad kepada musafir penerbangan sahaja. Para pembaca sekalian boleh menghubung-kaitkan permasalahan-permasalahan yang dihuraikan dalam buku ini kepada apajua medium pengangkutan lain seperti keretapi, bas ekspres, teksi dan sebagainya. Keunikkan musafir penerbangan pasti secara sendirinya dapat merangkumi apajua persoalan-persoalan yang mungkin timbul dari medium-medium pengangkutan selainnya. Selain itu topik-topik perbincangan dalam buku ini juga boleh dijadikan sumber rujukan ilmiah dan dasar pegangan bagi apa-apa persoalan ibadah lain yang mungkin timbul dalam setiap liku-liku kehidupan harian seseorang.

Topik-topik perbincangan dalam buku ini juga tidaklah terbatas hanya kepada soalan-soalan yang tepat bersangkutan dengan musafir penerbangan. Sesekali disertakan bersama isu-isu lain yang ada hubung-kaitnya dengan topik asal yang sedang dihuraikan agar ia dapat meluaskan lagi skop penguasaan buku ini dan sekaligus kedewasaan ilmu para pembaca sendiri. Prinsip ini tidak lain diteladani daripada sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sendiri di mana beliau apabila ditanya sesuatu soalan, tidak hanya akan menjawab soalan itu sahaja tetapi diperluaskan kepada isu-isu lain yang berkaitan. Contohnya apabila seorang sahabat bertanya kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mengenai hukum berwudhu' dengan air laut, beliau membolehkannya dan dalam jawapan yang sama, juga menghalalkan setiap sumber makanan yang diperoleh dari laut. Hadith berikut dijadikan rujukan:

Abu Hurairah radiallahu-anhu berkata, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam: Ya Rasulullah ! Kami berada di atas kapal, kami hanya membawa sedikit air yang jikalau kami gunakan untuk berwudhu' nescaya kami akan mati kehausan. Bolehkah kami berwudhu' dengan air laut ? Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam menjawab: Air laut itu suci airnya dan halal bangkainya.[1]

Sebelum dimulakan huraian serta perbicaraan persoalan-persoalan musafir, ada baiknya jikalau terlebih dahulu diterangkan metologi pengkajian serta manhaj penyampaian yang menjadi dasar bagi penulisan ini. Ia bertujuan agar para pembaca sekalian dapat mengetahui asas-asas serta garis-garis landasan yang penulis pegangi supaya dapat memberikan kepuasan yang meyakinkan dan mengelak kekeliruan yang meragukan.

 

Metologi Pengkajian dan Manhaj Penyampaian.

 

Pertama -      Rujukan dasar kepada al-Qur'an dan as-Sunnah.

Setiap permasalahan yang dibahaskan dalam buku ini dirujuk secara terus kepada nas-nas al-Qur'an dan juga as-Sunnah. Sememangnya demikianlah perintah Allah dalam kita beragama dan mempelajari setiap ajarannya, sebagaimana firman Allah Subhanahu waTa'ala di dalam al-Qur'an: Wahai orang-orang yang beriman, ta'atlah kamu kepada Allah dan ta'atlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Uli'l-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. [Maksud surah an-Nisaa 04 - 59].

Walaubagaimanapun setiap ayat al-Qur'an dan potongan hadith dikemukakan secara terjemahan maksud sahaja. Teks Arab tidak disertakan agar buku ini dapat dimanfaatkan oleh para pembaca sekalian dalam semua suasana dan ketika. Setiap terjemahan ayat (serta penjelasan dalam kurungan) adalah dinukil secara terus dari Tafsir Pimpinan Ar Rahman kepada pengertian Al Qur’an – hasil usaha Shaikh Abdullah Basmeih, terbitan Bahagian Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri, Malaysia. Setiap ayat al-Qur'an yang dikemukakan dikemukakan nama surah serta nombornya, kemudian diikuti dengan nombor ayat. Sebelum menyalin terus sesuatu ayat al-Qur'an itu, penulis mengkaji terlebih dahulu makna tafsiran serta tujuan penurunan ayat tersebut dengan mana-mana kitab-kitab tafsir yang muktabar agar dapat dipastikan bahawa ayat tersebut adalah tepat bagi tujuan perbincangan dan bukan pula sesuatu yang di salah tafsir. Teks Arab ayat al-Qur'an sengaja tidak disertakan supaya buku ini mudah dibawa dan dibaca di mana-mana tanpa sebarang halangan.

Bagi setiap terjemahan hadith-hadith Nabi sallallahu-alaihi-wasallam, nombor serta sumber rujukannya dikemukakan di bahagian notakaki buku ini. Setiap hadith dipastikan sahih kedudukannya semampu pengkajian penulis dan mana-mana hadith yang di bawah status sahih seperti hadith hasan atau hadith daif dinyatakan kelemahannya juga di bahagian notakaki. Mana-mana hadith yang tidak dijumpai sumber rujukannya maka ia hanya dikemukakan sebagai Kata-kata hikmah selari dengan tuntutan pengajaran ilmu usul hadith. Mana-mana hadith yang merupakan pendapat atau keterangan sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dikemukakan sebagai Atsar sahabat. Hujah keterangan serta fatwa pendapat sahabat adalah juga merupakan hujah agama kerana mereka adalah orang-orang yang paling memahami nas-nas al-Qur'an dan as-Sunnah, disebabkan oleh kehadiran mereka mempelajari ilmu-ilmu Islam di sisi baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam, teori dan praktikal.

Pengkhususan dalam kaedah pengutaraan hadith sepertimana yang diterangkan di atas adalah amat perlu memandangkan banyaknya hadith-hadith daif serta yang tidak berasas, tersebar luas masa kini dalam sumber-sumber penyampaian ilmu-ilmu Islam samada secara lisan mahupun tulisan. Dengan ini juga diperingatkan kepada para pembaca sekalian agar sentiasa memastikan setiap hadith yang mereka dengar atau baca disertai dengan sumber kitab rujukannya agar tidak tersalah pegang kepada sesuatu riwayat yang lemah ataupun yang palsu.

Setiap hadith yang dijadikan sumber rujukan juga dibandingkan terlebih dahulu dengan mana-mana kitab syarah hadith yang sedia ada agar dapat dipastikan sebab lahirnya hadith, maksud sebenarnya dan tujuan pengajarannya. Dengan cara ini dapat juga dipastikan bahawa sesuatu hadith itu adalah tepat dengan topik perbicaraan dan bukan pula sesuatu yang disalah faham. Setelah itu dirujuk pula kedua-dua dalil al-Qur'an dan hadith itu kepada kitab-kitab fiqh agar dapat dipastikan setiap dalil yang dipergunakan adalah tepat dari sudut tujuan hukumnya dan amalan, selari dengan ciri-ciri tuntutan syari'at. Dalam hal ini juga setiap penerangan itu disertakan sumber rujukannya di bahagian notakaki bagi analisa lanjut sesiapa yang berminat.

Di sini penulis ingin mengambil kesempatan menegur sesetengah orang yang telah mengabaikan ketaatan kepada al-Qur'an dan hadith lalu sebaliknya melimpahkan segala ketaatan hanya kepada ustaz atau ustazah yang mengajar. Apa sahaja yang disampaikan oleh seseorang pengajar, samada Tuan Guru atau Tuan Imam atau Uztaz atau Ustazah diterima bulat-bulat tanpa mengambil kira adakah ajaran yang mereka sampaikan itu dirujuk kepada sumber al-Qur'an atau as-Sunnah. Malah adakalanya apabila seseorang itu menemui dalil sahih dari al-Qur'an atau as-Sunnah, dalil tersebut ditolak semata-mata kerana tidak selari dengan ajaran ustaznya.

Prinsip beragama seperti ini perlu ditegur dan diubah serta merta. Seseorang itu perlu menukar prinsip-prinsip asas keagamaannya dari mendengar cerita uztaz kepada memegang dalil dan hujah asal sahaja hujah itu berasal dari nas al-Qur'an dan al-Hadith yang sahih. Jikalau ada apa-apa yang benar maka pegangilah ia kerana nas yang membenarkan, bukan ustaz yang membenarkan. Jikalau ada apa-apa yang dilarang maka jauhilah ia kerana nas yang menegahnya dan bukan uztaz yang melarangnya.

            Tugas uztaz atau mana-mana tenaga pengajar agama ialah menyampaikan ajaran-ajaran Islam berdasarkan al-Qur'an dan al-Hadith. Sebarang ajaran yang tidak berasal dari dua sumber ini atau tidak disertakan rujukan dari dua sumber ini maka ia tidak berhak untuk ditaati atau diikuti malah harus dipersoalkan. Atas dasar ini jugalah penulis dalam buku ini hanya bertindak sebagai seorang yang menyampaikan hujah-hujah al-Qur'an dan al-Hadith serta penjelasan tokoh-tokoh ilmuan yang sememangnya membicarakan hal-hal agama berdasarkan sumber al-Qur'an dan al-Hadith. Jika dua sumber ini menyatakan sesuatu maka dua sumber inilah yang memegang autoriti untuk ditaati samada orang lain menyetujuinya atau tidak.

Akhir kata jikalau ada sebarang permasalahan agama maka carilah ustaz atau ustazah yang akan menerangkan permasalahan tersebut berdasarkan dalil al-Qur'an dan al-Hadith kemudian berpeganglah dalil-dalil tersebut, bukan kepada ustaz atau ustazahnya kerana mereka hanya bertindak sebagai pihak yang menyampaikan. Jadikanlah firman Allah Subhanahu waTa'ala berikut ini sebagai asas prinsip yang utuh dalam kita beragama -

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat"; dan mereka itulah orang-orang beroleh kejayaan. [Maksud surah an-Nur 24 - 51]

 

Kedua - Takhayyur serta Talfiq sesama Mazhab.

Takhayyur bererti memilih dan Talfiq bererti mencampur dan dalam ertikata perbincangan fiqh, ia bermaksud memilih-milih serta mencampur antara ajaran-anjaran mazhab-mazhab fiqh yang sedia ada, iaitu Mazhab Shafie, Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi dan Mazhab Hanbali. Setiap ajaran mazhab itu adalah berasal dari ajaran al-Qur'an dan as-Sunnah dan oleh itu tidak menjadi halangan untuk kita mengikuti sebahagian atau mana-mana bahagian dari ajaran sesuatu mazhab itu. Adapun perkara-perkara kecil yang menjadi perbezaan sesama mazhab tidak sepatutnya menjadi batu penghalang tetapi sebaliknya perlu dijadikan pemangkin bagi meluaskan ilmu pengetahuan dan kematangan beragama.

Dalam hal ini penulis bukanlah seseorang yang tidak bermazhab atau anti mazhab tetapi hanya sahaja kebenaran itu lebih berhak untuk dikemukakan dan lebih disayangi untuk diperhujahkan. Sekalipun penulis tidak merujuk kepada sesuatu mazhab secara khusus, penulis tetap merujuk kepada kitab-kitab tulisan tokoh-tokoh mazhab tersebut dengan mengambil dalil-dalil serta hujah penjelasan mereka tanpa menyebelahi pendapat mazhab mereka.

Oleh itu para pembaca akan mendapati dalam buku ini terdapat sumber rujukan yang dinukil dari tulisan Imam Nawawi dan As-Suyuti dari Mazhab Shafie, Imam Ibnu Qudamah dan Ibnu Qayyim dari Mazhab Hanbali, Imam al-Qarafi dari Mazhab Maliki dan begitulah seterusnya. Setiap dari imam-imam mujtahid di atas cenderong kepada sesuatu mazhab akan tetapi kecenderongan mereka kepada satu-satu mazhab itu tidaklah bererti mereka ikut sahaja secara membuta akan ajaran mazhab tersebut. Mereka meluaskan sesuatu yang sememangnya kuat lagi benar dan pada waktu yang sama meralat dan membetul apa-apa yang kurang tepat atau tersalah tafsir. Atas prinsip inilah juga menulis mengusahakan buku ini. Mana-mana pendapat mazhab yang paling mendekati kebenaran topik yang dibicarakan maka pendapat itulah yang diambil dan dikemukakan tanpa menolak pendapat-pendapat mazhab lain. Jikalau terdapat perbezaan yang nyata antara mazhab dalam satu-satu isu, maka perbezaan itu akan dikemukakan bagi sebagai analisa dan perbandingan lanjut.

Selain dari rujukan tokoh-tokoh sesuatu mazhab, penulis juga merujuk kepada imam-imam mujtahid yang diluar lingkungan sesuatu mazhab, seperti Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyah, Imam as-Sha'nani dan Imam asy-Shaukani. Asal sahaja jikalau seseorang tokoh mujtahid itu berada dalam golongan Ahli Sunnah wal Jamaah, ilmu-ilmu mereka tetap menjadi sumber rujukan dan sandaran oleh penulis. Dan begitulah juga sepatutnya kita memperluaskan manhaj agama kita, tidak pula menyempitkannya kepada sesebuah mazhab sahaja.[2]

Ketiga - Menjauhi Taqlid Buta.

Taqlid buta bererti mengikuti sesuatu ajaran agama tanpa mengetahui hujah atau dalil rujukan disebaliknya. Taqlid buta juga bermaksud menerima ajaran agama sekadar mengetahui itu wajib dan ini haram, tanpa mengetahui hikmah sesuatu hukum mahupun tujuan pensyariatannya. Perbuatan beragama secara taqlid buta dilarang oleh Islam sebagaimana perintah Allah Azza waJalla di dalam al-Qur'an: Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [Maksud surah al-Israa' 17 - 36]

Taqlid buta membawa banyak keburukan kepada Islam dan sekali-gus umatnya. Ia menjauhi seseorang itu daripada al-Qur'an dan as-Sunnah, mencetekkan kefahaman agama seseorang itu dari nas-nas wahyu kepada hanya rangka-rangka perkataan manusia, menjadikan ilmu-ilmu Islam bagai hitam dan putih, iaitu sekadar ini boleh itu tidak boleh, ini halal itu haram, ini wajib itu sunat dan banyak lagi. Seseorang yang mempelajari ilmu-ilmu agama dengan taqlid buta tidak akan dapat melihat keindahan ajaran itu, mahupun hikmah di sebaliknya dan akhirnya hanya akan menyempitkan pandangannya terhadap keseluruhan ajaran Islam yang sekian luas ini. Kerana itulah kita dapati al-Qur'an, as-Sunnah, para sahabat, para imam mazhab dan ahli-ahli ilmuan agung sepanjang zaman mengecam pengajaran dan pembelajaran ilmu-ilmu agama dengan kaedah taqlid buta.

Berpegang kepada prinsip menjauhi taqlid buta, setiap permasalahan yang dihuraikan dalam buku ini akan disertakan hujah serta dalil asasnya agar para pembaca sekalian dapat benar-benar memahami apa yang dibicarakan dan dapat mengamalkan setiap yang dipelajari itu dengan penuh keyakinan dan kepastian. Dari perenggan ini juga dinasihatkan kepada para pembaca sekalian agar menjauhi kaedah pembelajaran yang berdasarkan taqlid buta dan berarahlah kepada pembelajaran yang bersandarkan kepada dalil-dalil serta hujah-hujah. Carilah tenaga pengajar atau buku agama yang membicara serta menerangkan sesuatu hal itu lengkap dengan dalil-dalil serta hujah-hujah al-Qur'an dan as-Sunnah yang sahih dan disalingi dengan penjelasan tokoh-tokoh ilmuan yang diiktiraf zaman.

 

Keempat - Menghormati Perbezaan Pendapat.

Setiap hujah penjelasan yang diberikan dalam buku ini adalah hasil dari penggalian, pengkajian, penetilitian dan analisa yang diusahakan oleh penulis berdasarkan kepada dalil-dalil al-Qur'an serta as-Sunnah dan rujukan terhadap kitab-kitab muktabar tulisan tokoh-tokoh ilmuan sepanjang sejarah Islam. Walaubagaimanapun dalam suasana keluasan ilmu-ilmu Islam ini, sedia diakui bahawa setiap perbincangan itu pasti menjemput perbezaan pendapat dan harapnya suasana sebegini dapat dilihat dengan pandangan yang positif dan tidak pula negatif.

Searah dengan itu penulis amat menjemput sebarang diskusi atau perbincangan dengan para pembaca sekalian terhadap mana-mana topik yang dibincangkan dalam buku ini, asalkan ia dilakukan kerana mencari kebenaran dan bukan sebaliknya. Penulis juga dengan terbuka hati menjemput para pembaca sekalian agar membanding dan menganalisa hujah penerangan dalam buku ini dengan mana-mana ustaz atau tenaga pengajar yang mereka yakini. Setelah itu berpeganglah kepada penerangan yang paling mendekati kebenaran serta yang diyakini, iaitu penerangan yang paling kuat diperhujahkan oleh sumber nas al-Qur'an dan as-Sunnah yang sahih. Dengan cara ini kita sama-sama dapat berusaha kearah keluasan ilmu, menambah keterbukaan fikiran, mengarah kepada kedewasaan manhaj menuju ke dinamisme agama yang berwawasan.

Menganalisa serta mengkaji antara beberapa dalil-dalil dan hujah penerangan agama adalah satu sikap terpuji yang amat digalak oleh Allah Subhanahu waTa'ala, yakni dengan firmanNya: (Orang-orang) yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah pertunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. [Maksud surah az-Zumar 39 - 18]

 

Kelima - Mengambil guna kemudahan syari'at apabila hukum asal terhalang.

Setiap perintah ibadah yang disyari'atkan oleh Allah Azza waJalla adalah lengkap lagi sempurna untuk semua umat manusia untuk semua zaman, suasana dan tujuan hidup. Dengan itu juga setiap perintah ibadah itu wajib dipenuhi syarat-syaratnya dan dilaksanakan dengan betul lagi sempurna oleh setiap individu dalam semua suasana dan kegiatan hidup. Allah Azza waJalla telah berfirman di dalam al-Qur'an: Wahai orang-orang yang beriman ! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. [Maksud surah Ali-Imran 03 - 102]. Pengulangan perintah taqwa dua kali di dalam ayat di atas menunjukkan satu penegasan di atas penegasan, memberikan tafsiran perintah yang menyuruh setiap orang beriman itu agar benar-benar berusaha dan tetap berusaha melakukan apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang.

Walaubagaimanapun Allah Subhanahu waTa'ala sedia mengetahui bahawa manusia dalam satu-satu suasana tertentu adakalanya berhadapan dengan situasi yang jauh dari norma-norma kehidupan biasa dan situasi ini juga menghalang sesuatu perintah agama itu daripada dapat dilaksanakan sesempurna mungkin. Justeru itu kita dapati Allah Ta'ala sedia memberi kemaafan dan kelonggaran hukum kepada seseorang itu apabila dia terhalang dari melaksanakan sesuatu perintah ibadah  dengan sempurna, iaitu dengan firmanNya: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu. [Maksud surah at-Taghabun 64 - 16]

Selain itu juga kita dapati Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Apabila aku mencegah kamu dari suatu pekerjaan maka jauhilah ia dan apabila aku menyuruh kamu dengan sesuatu suruhan maka hendaklah kamu lakukannya sedaya-upaya. [3] Kedua-dua dalil di atas dijadikan sumber rujukan dan patukan hukum oleh para ahli usul fiqh sebagai memberikan kemaafan serta kelonggaran hukum kepada seseorang itu apabila dia terhalang dari melaksanakan mana-mana perintah ibadah secara sempurna. Kelonggaran hukum agama ini diberikan kepada seseorang yang sedang menghadapi kesukaran agar mereka tetap dapat beribadah kepada Allah Azza waJalla dalam suasana mengharungi kesukaran dan kesulitan yang sedang dialami ketika itu. Ini adalah merupakan salah satu dari tunggak utama prinsip agama Islam, kerana pada hakikatnya agama ini tidaklah sekali-kali dijadikan oleh Allah Azza waJalla sebagai sesuatu yang menyusah lagi memberatkan umat tetapi adalah sebagai sesuatu yang mudah lagi menyenangkan. Allah Azza waJalla menerangkan kebenaran hujah ini dengan firmanNya: Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan sudah payah dalam perkara agama. [Maksud Surah al-Hajj 22 - 78].

Dalam kajian Sirah Nabawiyah kita dapati baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam sering memberikan alternatif serta kelonggaran hukum kepada umat apabila mereka menghadapi kesulitan untuk melaksanakan sesuatu perintah agama. Kisah berikut disalin sebagai contoh teladan:

Imran bin Husain radiallahu-anhu menceritakan bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam ternampak seorang lelaki yang sedang duduk bersendirian dan tidak bersolat bersama-sama jemaah orang ramai. Lalu beliau bertanya: Wahai si fulan ! Apakah yang menghalang kamu daripada bersolat bersama orang ramai ? Lelaki itu menjawab: Wahai Rasulullah ! Aku berada dalam keadaan hadas besar padahal tidak ada air. Lalu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Bertayamumlah kamu dengan debu tanah suci dan itu adalah mencukupi bagi kamu.[4]

Kisah di atas menerangkan bahawa seorang sahabat tidak dapat melaksanakan ibadah solatnya kerana sedang berada di dalam keadaan hadas besar dan pada waktu yang sama tidak mempunyai air untuk Mandi Wajib. Melihatkan suasana ini, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam memberikan kelonggaran hukum bagi orang tersebut, yakni dengan menyuruhnya bertayamum dengan debu tanah sebagai ganti Mandi Wajib; padahal kita semua sedia ketahui bahawa tayamum itu hanyalah suatu  alternatif bagi ibadah wudhu' ! Inilah yang dimaksudkan sebagai mengambil guna kemudahan syari'at apabila hukum asal terhalang.

Malah di dalam satu kisah lain, Nabi sallallahu-alaihi-wasallam pernah memarahi beberapa orang sahabat yang terlalu ketat memegang kepada hukum asal agama sehingga menyebabkan kemudaratan kepada salah seorang dari mereka. Perhatikanlah hadith berikut ini:

Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu berkata: Kami pernah berada dalam satu perjalanan lalu seseorang di antara kami (terjatuh) lalu kepalanya terkena batu. Orang itu kemudian (di malam hari) junub pula kerana bermimpi (dalam tidurnya). Maka (di keesokan pagi) bertanyalah dia kepada rakan-rakannya: Apakah kalian mengetahui hukum keringanan bagi aku untuk bertayamum ? Kami menjawab: Kami tidak mengetahui sebarang hukum keringanan bagi kamu sedangkan kamu mampu menggunakan air. Maka orang itupun melakukan Mandi Wajib dan ternyata setelah itu dia mati (kerana cedera parah yang amat sangat di kepalanya itu).

Setelah itu kami (pulang) menghadap Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan melapurkan kepada beliau peristiwa tersebut maka beliau bersabda (dengan marah): Mereka telah membunuhnya, Allah (akan) membunuh mereka ! Mengapa mereka tidak bertanya jikalau mereka tidak tahu ? Sesungguhnya ubat kebodohan itu adalah bertanya. Dia cukup dengan bertayamum sahaja dan membalut kain serban atas lukanya, kemudian menyapu di atas serbannya itu. Setelah itu dia mencuci anggota badannya yang lain.[5]

Dalam hadith ini jelas kita melihat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam marah terhadap perbuatan para sahabat yang terlalu ketat memegang kepada sesuatu hukum sehingga menyebabkan kematian salah seorang dari sahabat mereka sendiri. Malah baginda juga mempertanggungkan kematian sahabat itu ke atas rakan-rakannya, dengan sabda beliau: Mereka telah membunuhnya……

Daripada dua kisah di atas, nyata kepada kita bahawa Nabi sallallahu-alaihi-wasallam membenarkan kelonggaran hukum kepada sesiapa yang berhadapan dengan sesuatu kesulitan yang jelas menghalang perlaksanakan sesuatu hukum asal perintah agama. Perbuatan beliau ini adalah jelas selari dengan tuntutan perintah Allah Subhanahu waTa'ala, sebagaimana yang tertera di dalam nas-nas al-Quranul Karim yang telah dikemukakan awal tadi.[6] 

Akan tetapi diulangi bahawa kemaafan dan kelonggaran hukum yang dimaksudkan hanyalah ditujukan kepada seseorang yang benar-benar ikhlas dalam menghadapi sesuatu kesukaran dan telahpun berusaha sekuat-daya-mampu untuk mengelak atau mencari jalan alternatif lain. Kemaafan serta kelonggaran hukum-hukum syari'at ini juga telahpun ditentukan batas, cara dan kaedahnya, oleh itu janganlah pula kita mereka-reka kemudahan hukum secara sendiri-sendiri.

Seseorang yang sengaja memudah-mudahkan hukum agama atau meremehkannya bukan sahaja akan menyebabkan amal ibadahnya menjadi batal tetapi akan juga dipertanggungkan kerana sengaja mempermainkan hukum Allah Subhanahu waTa'ala. Dalam hal ini kita teringat kata-kata hikmah yang memesan: Agama adalah mudah lagi memudahkan akan tetapi janganlah kamu mempermudahkannya !

______________

 

Akhir kata diharapkan buku ini dapat menjawab sebarang kemusykilan yang ada berkenaan kaedah-kaedah perlaksanaan amal ibadah dalam suasana musafir. Didoakan agar segala keterangan dan penjelasan yang diberikan dalam buku ini dapat memberikan keyakinan yang secukupnya untuk kita semua tetap melaksanakan perintah-perintah Allah Azza waJalla dalam semua suasana perjalanan kehidupan.  Jikalau ada kebenaran dan manfaat dari usaha ini maka itu adalah dari petunjuk Allah Subhanahu waTa'ala dan sememangnya dari petunjukNya sahajalah kita harapkan keredhaan dan balasan yang sebaiknya. Jikalau ada kesilapan atau keburukan maka itu adalah dari kelemahan penulis sendiri maka amatlah diharapkan supaya diberikan tunjuk ajar dan teguran akan salah silapnya. 

Diakhiri dengan doa agar rahmat, hidayah serta petunjuk Allah sentiasa pada kita agar tercapai hajat menjadi hambaNya yang sejati. "Wahai Tuhan kami, Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami". [Maksud surah al-Kahfi 18 - 10]

 

  Hafiz Firdaus Abdullah
      
10 Rejab 1420

     hafizf@tm.net.my

       Memoid: hafizf


 

[1]               Maksud hadith dari Sunan an-Nasai - no: 0058.

[2]               Lebih jauh lihat buku penulis - Pedoman-pedoman Bermazhab dalam Islam ; Penerbitan Jahabersa, M'sia.1999.

[3]               Maksud hadith dari Abu Hurairah radiallahu-anhu riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Syarh Matn al-Arba'in an-Nawawi - no: 09.

[4]               Maksud hadith dari Sahih Bukhari - no: 0348.

[5]               Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 0317.

[6]               Banyak lagi dalil al-Qur'an dan as-Sunnah yang membenarkan kelonggaran hukum kepada seseorang yang terhalang dari melaksanakan hukum yang asal. Bagi kajian lebih jauh, lihat buku Keluasan dan Keluwesan Hukum Islam oleh Prof. Dr. Yusuf Qardhawi. Bagi kajian mendalam, lihat mana-mana kitab usul serta qawaaid fiqh yang muktabar, antaranya ialah 'Ashbahu wa al-Nadhair fii Qawaaid al-Fiqhiyyah, dibawah tajuk: Kesulitan dapat menarik Kemudahan (Kaedah ketiga dari Kitab pertama) oleh Imam as-Suyuti. Kitab ini kini telahpun diterjemahkan atas tajuk Kaedah-kaedah Hukum Islam Mazhab Shafie, terbitan Darul Iman, Malaysia, 1999.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan