Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian III   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8

4 Menentukan Waktu Imsak Dalam Penerbangan.

Antara perkara yang selalu menjadi perkiraan bagi seseorang yang hendak berpuasa ketika berada dalam penerbangan ialah penentuan waktu Imsak atau waktu di mana dia berhenti makan dan memulakan ibadah puasanya. Menentukan waktu Fajar[1] secara tepat dalam penerbangan sememangnya adalah agak sukar kerana ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti arah penerbangan, pusingan bumi, kedudukan garislintang dan kelajuan serta ketinggian pesawat. Justeru itu sekalipun seseorang itu memiliki alat kiraan elektronik yang tersedia kemudahan kiraan berdasarkan darjah garisbujur dan garislintang, ianya tetap tidak dapat dirujuk dengan setepatnya. Ianya hanya boleh digunakan sebagai jangkaan waktu dan ketetapan muktamad hendaklah dengan melihat ke arah ufuk Timur.

Kepentingan ketentuan waktu Imsak dalam penerbangan, sepertimana yang diterangkan sebelum ini, meliputi dua perkara, [1] Bagi mengatur bilakah masa untuk bersahur dan [2] Bagi menentukan bilakah masa mula berpuasa. Berikut dihuraikan secara lebih terperinci akan kepentingan dua perkara ini dan hubung-kait hukumnya dengan puasa dalam penerbangan.

Bersahur adalah antara amalan yang paling utama bagi ibadah puasa umat Islam. Sahur didefinasikan sebagai Makan pada pagi hari sebelum fajar bagi yang akan menjalankan ibadah puasa. Dari segi hukum fiqh, sahur hukumnya sunat, tetap sah puasa bagi seseorang yang tidak bersahur di waktunya[2] ; manakala menurut ahli hadith serta mereka yang prihatin serta kasih terhadap sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, sahur amatlah diutamakan dan sangat dibenci jikalau ditinggalkan. Sikap sebegini didasarkan kepada sekian banyak pesanan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam terhadap keutamaan bersahur, antaranya:

[01] Anas bin Malik radiallahu-anhu berkata, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Hendaklah kamu bersahur kerana bersahur itu ada keberkatan. [3]

[02]  Dari Abdullah bin Harith, telah bercerita seorang sahabat Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam: Aku masuk menemui Nabi, di kala itu beliau sedang bersahur lalu beliau bersabda: Makan sahur adalah satu keberkatan yang diberikan Allah kepada kamu, maka JANGANLAH kamu meninggalkannya.  [4]

[03]  Abu Said al-Khudri radiallahu-anhu berkata, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Makan sahur itu adalah satu keberkatan, maka janganlah kamu meninggalkannya walau kamu hanya menelan seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur. [5]

Tiga hadith di atas serta banyak lagi jelas menunjukkan keutamaan bersahur bagi ibadah puasa yang disyari'atkan oleh Islam. Selain memperolehi keberkatan dari Allah Subhanahu waTa'ala, sahur juga jelas terbukti menjanjikan bagi diri tuannya kesihatan yang baik serta kekuatan mental dan fizikal yang diperlukan sepanjang hari. Waktu terbaik bagi bersahur adalah sebaik sahaja sebelum masuk waktu Subuh, sebagaimana terang Zaid bin Thabit radiallahu-anhu: Kami bersahur dengan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, kemudian kami bangun mengerjakan solat Subuh.  Anas bin Malik radiallahu-anhu bertanya: Berapa lamakah antara sahur dan solat Subuh ? Zaid berkata: Sekadar seseorang membaca 50 ayat al-Qur'an. [6]

Tidaklah dinamakan bersahur jikalau ianya dilakukan sebelum tidur atau diawal pagi (contohnya pukul 2 pagi) kerana yang sedemikian tidaklah selari dengan definasi sahur yang difahami dari sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Malah makan dan minum  bagi tujuan berpuasa sebelum tidur sebenarnya adalah praktik amalan agama orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian). Apabila Islam datang dan mensyari'atkan ibadah puasa, amalan tersebut diganti dengan sesuatu yang lebih baik, iaitu makan dan minum sebaik sahaja sebelum Fajar.[7] Justeru itu kita dapati Nabi sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: "Pembeza antara puasa kita dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani ialah makan sahur." [8]

Daripada dalil-dalil serta hujah penjelasan yang tertulis di atas, dapat kita fahami bahawa bersahur itu adalah suatu tuntutan utama bagi ibadah puasa umat Islam dan ia lebih afdal diamalkan apabila hampir dengan waktu Fajar bagi permulaan puasa. Perbincangan seterusnya akan mengarah kepada persoalan - Sekadar manakah harus kita lewatkan waktu bersahur apabila berada dalam penerbangan lebih-lebih lagi apabila kita semua sedia ketahui bahawa adalah sukar untuk menentukan waktu Imsak serta waktu Fajar secara pasti ? Maka bagi menjawab soalan ini akan diterangkan dahulu maksud waktu Imsak mengikut definasi al-Qur'an dan as-Sunnah.

Imsak asalnya adalah dari Bahasa Arab, didefinasikan sebagai Menahan Diri dari sesuatu yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.[9] Bermulanya waktu Imsak ialah apabila jelas kelihatan iras-iras cahaya putih muncul secara mendatar (horizontal) bagi menandakan lahirnya waktu pagi dan berakhirnya waktu malam. Allah Azza waJalla telah berfirman: Dan makan serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (cahaya malam), iaitu waktu fajar; kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (iaitu menjelma waktu Maghrib). [Maksud surah al-Baqarah 02 - 187]. Dari ayat di atas jelas tertulis bahawa Allah memerintahkan kita untuk makan dan minum (bersahur) sehingga nyata kelihatan terbitnya cahaya pagi.

Cahaya pagi yang terbit itu adalah juga merupakan petanda bagi masuknya waktu Subuh, iaitu waktu bagi dilaungkan azan Subuh. Justeru itu kita lihat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam hanya memerintahkan seseorang itu untuk berhenti dari makan dan minumnya apabila azan Subuh kedengaran. Lebih dari itu, jikalau seseorang itu sedang makan atau minum di kala azan dilaungkan maka dia dibolehkan menghabiskan apa yang berada di tangannya ketika itu. Hadith berikut dijadikan hujah: Abu Hurairah radiallahu-anhu berkata, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas makanan / minuman masih berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sebelum dia menunaikan hajatnya dari bekas tersebut.  [10]

Daripada firman Allah Ta'ala dan sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam di atas, jelas kepada kita bahawa waktu Imsak itu adalah apabila terbitnya cahaya pagi di ufuk timur yang membezakan antara mulanya waktu pagi dan berakhirnya waktu malam. Waktu itu adalah juga bersamaan dengan laungan azan Subuh bagi menandakan masuknya waktu bagi solat Subuh. Oleh itu seseorang dibolehkan bersahur, iaitu makan dan minum sehingga azan dilaungkan atau sehingga jelas nyata baginya kelihatan iras-iras cahaya pagi di ufuk timur.

Berbalik kepada perbincangan kita berkenaan bersahur dalam penerbangan, seseorang itu amat dianjurkan untuk makan dan minum bagi menghadapi hari puasanya, mengingatkan kepada banyaknya pesanan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam tentang keutamaan bersahur. Sahur juga sunnah untuk dilewatkan sehampir mungkin kepada waktu Subuh. Oleh kerana sukar untuk menentukan waktu Subuh atau waktu terbit Fajar ketika dalam penerbangan, seseorang itu dianjurkan untuk mengawalkan sedikit waktu sahurnya dari waktu Fajar yang dijangkakan agar dia dapat memperolehi kesempurnaan sahurnya. Akan tetapi jikalau sedang bersahur lalu tiba-tiba jelas kelihatan cahaya pagi di tingkap pesawat terbang maka hendaklah berhenti dari makan dan minum kecuali sekadar menghabiskan apa yang masih berbaki di tangan. Dalil-dalil al-Qur'an serta as-Sunnah sepertimana yang dikemukakan awal tadi menerangkan bahawa bersahur bagi memulakan ibadah puasa sehingga kedengaran azan atau sehingga kelihatan cahaya pagi adalah tetap sah. [11]

Analisa Pendapat

Pendapat masyhur tempatan menyatakan bahawa waktu Imsak ialah kira-kira 10 atau 15 minit sebelum masuknya waktu Fajar atau waktu Subuh dan seseorang itu tidak lagi dibenarkan makan atau minum selepas waktu Imsak tersebut supaya tidak terlajak hingga ke waktu Fajar atau waktu Subuh. Lebih dari ada segelintir pendapat pula menyatakan bahawa seseorang itu wajib berhenti bersahur 10 minit sebelum waktu Fajar dan jikalau dia sengaja melebihi batas waktu tersebut, puasanya adalah tidak sah.

Pendapat ini sebenarnya tidak ditemui dalil atau hujahnya, samada dari al-Qur'an mahupun  as-Sunnah. Sebaliknya ditemui dalil yang menerangkan agar waktu sahur, iaitu makan dan minum bagi tujuan berpuasa, dilambatkan sehingga hampir ke waktu Fajar. Dalilnya ialah:

[01] Zaid bin Thabit radiallahu-anhu berkata: Kami bersahur dengan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, kemudian kami bangun mengerjakan solat Subuh.  Anas bin Malik radiallahu-anhu bertanya: Berapa lamakah antara sahur dan solat Subuh ?  Zaid berkata: Sekadar seseorang membaca 50 ayat al-Qur'an. [12]

[02] Abu Dzar al-Ghafiri radiallahu-anhu berkata, bahawa diriwayatkan daripada Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam: Senantiasa umatku berada dalam kebaikan selama mereka mengakhirkan sahur dan menyegerakan berbuka. [13]

[03] Abu 'Athiah berkata, aku telah bertanya kepada A'isyah radiallahu-anha: Di antara kita ada dua orang sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam, salah seorang menyegerakan berbuka dan melambatkan bersahur; manakala seorang lagi melambatkan berbuka dan mengawalkan bersahur.        A'isyah bertanya: Siapakah di antara keduanya yang mengawalkan berbuka dan melambatkan bersahur ? Aku menjawab: Abdullah ibnu Mas'ud. A'isyah lalu berkata: Demikian itulah yang dilakukan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. [14]

Malah mengikut sunnah yang sahih, diharuskan bersahur sehingga terdengar laungan azan subuh, dan dibolehkan menghabiskan makanan atau minuman yang masih ada di tangan ketika azan sudah dilaungkan, sepertimana yang telah dikemukakan dalilnya sebelum ini:

Abu Hurairah radiallahu-anhu berkata, Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas makanan / minuman masih berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sebelum dia menunaikan hajatnya dari bekas tersebut.  [15]

Berdasarkan hadith-hadith di atas, maka jelas tiada ketentuan waktu Imsak terlebih awal kecuali apabila masuknya waktu Fajar itu sendiri. Mewujudkan waktu imsak 10-15 minit sebelum waktu Fajar adalah bid'ah hukumnya kerana ia adalah ciptaan manusia tanpa ada sebarang contoh dari sumber-sumber al-Qur'an mahupun as-Sunnah. Sekalipun perbuatan ini hendak didasarkan kepada sikap berhati-hati, ia tetap tidak diterima kerana jelas menyalahi sunnah Nabi sallallahu-alaihi wasallam yang memerintahkan agar waktu sahur itu dilewatkan sehingga hampir kepada waktu Fajar.

Imam an-Nawawi, tokoh fiqh yang ulung bagi Mazhab Shafie di kurun ke - 7H menyatakan: Para sahabat Imam Shafie (maksudnya ulama'-ulama' Mazhab Shafie-P) sepakat menyatakan bahawa orang yang meragukan tibanya waktu Imsak masih dibolehkan makan dan minum. Sebagai dalil, Allah Subhanahu waTa'ala membolehkan orang yang berpuasa untuk makan dan minum di malam hari sehingga nampak jelas Fajar menyinsing sekalipun orang yang hendak berpuasa itu sendiri tidak melihatnya langsung. Mengenai hal ini Allah Ta'ala telah berfirman dalam al-Qur'anul Karim: Dan makan serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (cahaya malam), iaitu waktu fajar; kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (iaitu menjelma waktu Maghrib). [Maksud surah al-Baqarah 02 - 187].[16]

Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, juga seorang tokoh Mazhab Shafie di kurun ke - 9H menerangkan: Melambatkan berbuka dan mengawalkan sahur adalah perbuatan yang bertentangan dengan sunnah, tiada sebarang kebaikan, banyak keburukan; dan diminta perlindungan Allah dari perbuatan sedemikian.[17]

Prof. Dr. Yusuf Qardhawi menerangkan: Jelaslah bahawa waktu Imsak yang dimulai sekian-sekian lama sebelum terbitnya Fajar, sebagaimana yang ditetapkan orang secara terus menerus, sama sekali tidak berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Penetepan sedemikian adalah merupakan sikap berlebih-lebihan dalam agama. Bahkan ia menyalahi Sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam yang memandang baik penangguhan makan sahur sehingga akhir malam (iaitu sebelum terbit fajar).[18]

Shaikh Saleem al-Hilali berkata: Menahan diri dari makan dan minum sebelum datangnya waktu fajar yang jelas semata-mata atas alasan berhati-hati adalah suatu ciptaan bid'ah.[19]

Drs. Abdul Ghani Azmi Hj. Idris berkata: Di antara faedah hadith-hadith di atas ialah membatalkan bid'ah imsak sebelum fajar, iaitu lebih kurang 1/4 jam, kerana berbuat demikian atas alasan takut kedatangan azan fajar di kala mereka sedang bersahur. Jikalau mereka mengetahui akan kemudahan ini tentulah mereka tidak akan terjatuh dalam amalan bid'ah itu.[20]

Kesimpulan

1.      Kaedah menentukan waktu Imsak yang tepat dalam penerbangan adalah dengan merujuk secara terus kepada tanda-tanda cahaya fajar di ufuk timur. Rujukan kepada alat-alat kiraan hanyalah tepat sebagai jangkaan dan perancangan awal.

2.      Waktu Imsak, iaitu waktu berhenti dari makan dan minum serta permulaan bagi ibadah puasa adalah apabila timbulnya cahaya pagi di ufuk Timur yang jelas lagi nyata kelihatan. Ini adalah waktu yang sama bagi permulaan solat Subuh.

3.      Menetapkan waktu Imsak beberapa ketika sebelum waktu Subuh adalah jelas satu perbuatan yang tidak mempunyai dalil sokongan malah menyalahi sunnah serta ajaran agama.


 

[1]               Dalam penulisan ini waktu Fajar adalah bersamaan dengan waktu Subuh.

[2]               Ensiklopidi Hukum Islam - Sahur.

[3]               Maksud hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0665.

[4]               Maksud hadith dari Sunan an-Nasai - no: 2128.

[5]               Maksud hadith dari Musnad Ahmad, 3/12 + 44 dan al-Musannaf Ibnu Abi Syaibah, 3/8 ; isnadnya hasan dengan disokongi oleh beberapa jalan riwayat yang berbeza.

[6]               Maksud atsar sahabat riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0666.

[7]               Shaikh Saleem al-Hilalee dan Shaikh Ali Hasan Ali Abdul Hamid - Fasting in Ramadhan as Observed by The Prophet sallallahu-alaihi-wasallam, pg 40.

[8]               Maksud hadith dari 'Amru bin 'Ash radiallahu-anhu riwayat Imam Muslim, Misykat al-Masabih, 3/524/022.

[9]               Ensiklopidi Hukum Islam - Imsak, Kamus Istilah Fiqh - Imsak.

[10]             Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 2249, Musnad Ahmad, 2/150.

[11]             Lihat juga penjelasan Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 2/291-292.

[12]             Maksud atsar sahabat riwayat Imam Bukhari dan Muslim, al Lu' Lu' wal Marjan - no: 0666.

[13]             Maksud hadith riwayat Imam Ahmad dan statusnya daif menurut Imam Ibnu Abii Hatim. Dikemukakan sesuai dengan syarat-syarat at-Targhib wat-Tarhib. [Nail-ul-Authar, 4/510]

[14]             Maksud hadith dari Sunan an-Nasai - no: 2125.

[15]             Maksud hadith dari Sunan Abu Daud - no: 2249, Musnad Ahmad, 2/150.

[16]             Imam an-Nawawi dalam Majmu Syarh al-Muhadzzab, 6/346.

[17]             Imam Ibnu Hajar al-Asqalani - Fath-ul-Bari, 4/199.

[18]             Prof. Dr. Yusuf Qardhawi - Hadyu Islam - Fatwa al-Mu'ashirah, ms 406-407.

[19]             Shaikh Saleem al-Hilalee dan Shaikh Ali Hasan Ali Abdul Hamid - Fasting in Ramadhan as Observed by The Prophet sallallahu-alaihi-wasallam, pg 36.

[20]             Drs. Abdul Ghani Azmi Hj. Idris - Bimbingan Mencapai Kesempurnaan Ibadah Puasa, ms 84.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan