Musafir  Penerbangan dan Beberapa  Permasalahannya

Hafiz Firdaus Abdullah

Bahagian IV   Tajuk 1:2:3:4:5:6:7:8

Sembelihan Kaum Yahudi dan Nasrani:
Satu Analisa Hukum dan Perbandingan Pendapat.

Allah Subhanahu waTa'ala telah berfirman di dalam al-Qur'an: Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). [Maksud surah al-Maidah 05 - 05]. Dalam ayat di atas Allah Ta'ala telah menghalalkan bagi kita umat Islam makanan-makanan sembelihan kaum ahli kitab, iaitu sembelihan kaum Yahudi dan Nasrani. Walaubagaimanpun ayat di atas telah menimbulkan beberapa perbincangan yang mendalam di kalangan ahli-ahli ilmuan dan perbincangan mereka akan disalin serta dianalisa berikut ini supaya dapat kita fahami dengan lebih mendalam hukum serta tujuan sebenar ayat di atas.

Pertama: Ahli Kitab - Definasi dan Kedudukan Hukumnya.

Islam membahagikan umat manusia ini dari sudut agama kepada tiga golongan:

1.      Orang-orang yang beriman, iaitu orang Islam.

2.      Orang-orang Ahli Kitab.

3.      Orang-orang Musyrik.

Orang-orang Islam adalah orang yang mentauhidkan Allah sebagai satu-satunya Tuhan sekalian alam manakala RasulNya pula adalah Muhammad bin Abdillah, sallallahu-alaihi-wasallam. Orang-orang Islam adalah orang yang menerima risalah agama yang dibawa oleh al-Qur'an dan Sunnah, tidak risalah-risalah agama sebelum itu atau selain itu. Firman Allah Azza waJalla: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. [ Maksud surah Ali Imran 03 - 19]

Orang yang beriman kepada selain risalah agama Islam digelar sebagai orang bukan Islam atau orang kafir dan mereka terbahagi kepada 2 golongan iaitu orang-orang Ahli Kitab dan orang-orang Musyrik. Seluruh ahli-ahli tafsir, ahli hadith serta ahli fiqh sepakat menyatakan bahawa yang dimaksudkan sebagai orang-orang Ahli Kitab ialah kaum yang diturunkan kepada mereka kitab Taurat, iaitu kaum Yahudi dan kaum yang diturunkan kepada mereka kitab Injil, iaitu kaum Nasrani (Kristian). Sementara orang-orang Musyrik pula ialah orang-orang yang menyembah berhala, patung, pokok dan sebagainya. Termasuk dalam golongan ini ialah kaum yang tidak mempercayai adanya tuhan atau agama, iaitu kaum atheis dan juga komunis. Selain itu terdapat perbezaan pendapat samada golongan Saabi'in dan Majusi , adakah mereka termasuk dalam golongan Ahli Kitab atau Musyrik.[1]

Secara lebih tepat Ahli Kitab didefinasikan sebagai umat-umat di mana agama mereka berasal dari kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah Subhanahu waTa'ala kepada nabi-nabi mereka di mana nama nabi-nabi tersebut telah di sebut secara jelas di dalam kitab al-Qur'anul Karim.[2]  Oleh itu umat-umat dari agama lain seperti Hindu atau Budha tidak termasuk dalam golongan Ahli Kitab yang dimaksudkan sekalipun mereka mempunyai kitab suci masing-masing.[3]

Ahli Kitab adalah satu golongan umat yang berbeza dengan orang-orang yang beriman, iaitu orang Islam, sepertimana yang telah dibezakan oleh al-Qur'an dalam ayat berikut: Wahai orang-orang yang beriman, Jika kamu ta'at akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab itu nescaya mereka ……[Maksud surah Ali Imran 03 - 100]. Ahli Kitab termasuk ke dalam golongan orang bukan Islam, iaitu orang-orang kafir tetapi mereka tidak termasuk ke dalam golongan orang musyrik. Pembezaan 2 golongan ini dilakukan oleh al-Qur'an dalam ayat berikut: Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik …… [Maksud surah al-Baiyinah 98 - 02].  Ahli Kitab dari golongan Yahudi dan Nasrani sebenarnya adalah tergolong dalam kategori mereka sendiri, iaitu tidak beriman dan tidak pula musyrik, sepertimana yang dikategorikan oleh al-Qur'an dalam ayat berikut: Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabi'in, dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik……[Maksud surah al-Hajj 22 - 17].

Daripada nukilan beberapa ayat-ayat al-Qur'an yang membahagikan sesuatu umat itu kepada beberapa golongan, nyata kepada kita bahawa orang-orang Ahli Kitab mempunyai tempat yang tersendiri di sisi ajaran Islam. Mereka bukanlah orang-orang yang beriman tetapi mereka juga bukan orang-orang yang musyrik. Mereka adalah orang-orang yang telah diberi kedudukan yang berbeza dari kaum lain dan dengan kedudukan inilah Islam menghalalkan sembelihan mereka, menghalalkan pernikahan dengan wanita mereka serta mengizinkan persahabatan dengan mereka berbanding dengan kaum-kaum lain. Keistimewan ini dikhaskan oleh Islam terhadap mereka kerana kaum Yahudi dan Nasrani ini kedua-duanya berpegang kepada agama yang amat hampir kepada agama Islam. Mereka percaya kepada Tuhan, percaya kepada Malaikat, rasul-rasul dan juga mempunyai kitab-kitab suci yang diturunkan. Dengan itu Islam menghalalkan sembelihan mereka, menghalalkan pernikahan dengan wanita mereka dan membolehkan perhubungan sosial yang baik dengan mereka agar dengan itu kita dapat menarik mereka ke arah agama Islam ini. Apabila kita dan mereka dapat hidup dalam suasana iklim yang lebih erat dan rapat, dapatlah kita memperlihatkan mereka akan kebenaran, kemuliaan, kesyumulan dan keindahan Islam dan sekaligus dapat membuka hati mereka ke arah Islam.[4]

Hikmah kedua dihalalkan sembelihan kaum Ahli Kitab ialah kerana Allah Subhanahu waTa'ala sedia mengetahui bahawa mereka, kaum Yahudi dan Nasrani adalah dua kaum yang dominan di muka bumi ini bersama-sama dengan umat Islam. Salah satu dari dua kaum ini, antara Yahudi atau Nasrani atau kedua-duanya pasti akan wujud di mana-mana bahagian muka bumi ini sehingga ke akhir zaman. Dengan membolehkan umat Islam memakan hasil sembelihan mereka, umat Islam akan dapat memperolehi makanan di mana sahaja mereka berada. Ini amat benar jikalau kita perhatikan suasana masa kini di mana umat Islam wujud merata-rata di seluruh dunia, ada sebagai majoriti dan ada sebagai minoriti. Umat Islam yang hadir sebagai majoriti tidak menghadapi masalah pemakanan kerana mudah bagi mereka berusaha-sama menyediakan sumber makanan yang halal bagi diri dan kumpulan mereka. Akan tetapi bagi umat Islam yang wujud sebagai kelompok minoriti di negara-negara non-muslim, seperti di Argentina, Peru, Greenland dan sebagainya, adalah sukar bagi mereka menyediakan makanan halal secara usaha sesama sendiri melainkan dengan memakan hasil sembelihan kaum Ahli Kitab yang wujud di lokasi mereka. Di sini dapat kita renungi kembali firman Allah Subhanahu waTa'ala yang menjadi prinsip syari'at agama Islam ini: Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan AgamaNya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan sudah payah dalam perkara agama. (Maksud surah al-Hajj 22 - 78).

Walaubagaimanapun kedudukan istimewa kaum Ahli Kitab di sisi Islam hanyalah bagi urusan Duniawi dan tidak pula bagi urusan Ukhrawi kerana mereka semua akan tetap dimasukkan ke dalam api neraka selama-lamanya. Allah Azza waJalla telah berfirman:  Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya. [Maksud surah al-Baiyinah 98 - 06]

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli-ahli fiqh samada kebolehan hukum-hukum tertentu yang khusus di dalam al-Qur'an itu, seperti halalnya sembelihan mereka dan halalnya pernikahan dengan wanita mereka, adakah ia ditujukan kepada seluruh kaum Ahli Kitab sepanjang zaman ataupun terhad kepada beberapa syarat. Perbezaan ini menyimpul kepada tiga ikatan pendapat iaitu:

1.      Kebolehan hukum adalah mutlak bagi semua kaum Ahli Kitab, dahulu, sekarang atau yang akan datang, samada mereka berpegang kepada kitab asal mahupun kepada kitab yang telah diubah suai.

2.      Kebolehan hukum hanya bagi kaum Ahli Kitab yang hidup di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan keturunan zuriat mereka sahaja. Pemeluk-pemeluk baru dari kalangan agama Yahudi dan Nasrani tidak termasuk dalam golongan ini.

3.      Kebolehan hukum tidak lagi boleh diterima kerana kebanyakkan kaum Yahudi dan Nasrani masa kini tidak lagi memegang kepada kitab mereka yang asal melainkan ianya telah diubahsuai atau ditukar.

Analisa serta Perbandingan Pendapat.

Pendapat pertama dihujahkan atas dasar bahawa Allah Subhanahu waTa'ala telah membolehkan suatu hukum tanpa meletakkan apa-apa syarat tambahan mengenainya padahal Allah sebagai Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana sudah tentu akan melakukan sedemikian jikalau Dia merasakan perlu demi kebaikan umat Islam. Akan tetapi Allah Ta'ala tidak melakukan demikian, yakni tidak meletakkan apa-apa syarat tambahan tetapi sebaliknya Allah telah meletaknya sebagai salah satu dari sumber hukum yang termasuk dalam sifat-sifat kesempurnaan Islam. Allah Subhanahu waTa'ala telah berfirman: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu. [Maksud surah al-Maidah 05 - 03]. Perlu juga digarisbawahi bahawa ayat kesempurnaan Deen Islam ini diturunkan serentak dengan ayat yang membolehkan sembelihan dan pernikahan wanita Ahli Kitab.

Tambahan lagi di dalam al-Qur'an juga tidak dijumpai mana-mana ayat yang meletakkan syarat-syarat tambahan atau had-had tertentu mengenai hukum kebolehan sembelihan Ahli Kitab padahal di dalam al-Qur'an itu sendiri Allah Azza waJalla telah menerang akan kesempurnaannya, iaitu dengan firmanNya: Dan kami turunkan kepada kamu (kitab) al-Qur'an menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang-orang Islam. [Maksud surah an-Nahl 16 - 89]. Selain itu beberapa ayat lain di dalam al-Qur'an jelas menunjukkan bahawa ia adalah lengkap dan tidak kurang apa-apa jua terutama dalam hukum-hukum syari'at Islam. Antaranya:

Tiada kami (Allah) tinggalkan sesuatupun di dalam Kitab al-Qur'an ini. [Maksud surah al-
An'aam 06 - 38]

Padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu. [Maksud surah al-An'aam 06 - 119]

Dan tiadalah Tuhanmu itu lupa. [Maksud surah Maryam 19 - 64].

Selain itu juga tidak didapati dalam Sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam apa-apa keterangan yang memberikan syarat-syarat serta hukum-hukum tambahan dalam hal ini. Sebaliknya apa yang jelas dipesan oleh Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ialah segala hukum-hukum agama Islam ini yang sedia disyari'atkan adalah lengkap lagi sempurna dan apa-apa kekosongan di antaranya adalah satu kebolehan yang merupakan anugerah dari Allah kepada hamba-hambaNya. Sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam:

Halal adalah sesuatu yang dihalalkan oleh Allah di dalam kitabNya (al-Qur'an) dan haram adalah sesuatu yang diharamkan oleh Allah dalam kitabNya (al-Qur'an). Sedangkan sesuatu yang didiamkanNya maka itu adalah termasuk sesuatu yang diampuniNya.[5]

Dalam satu hadith yang lain Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga telah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala telah memfardhukan beberapa fardhu maka janganlah kamu mensia-siakannya. Dan Ia (Allah) telah menetapkan beberapa batas (had) maka janganlah kamu melampauinya. Dan Ia (Allah) telah mengharamkan segala sesuatu (yang perlu diharamkan) maka janganlah kamu mencerobohinya. Dan Ia (Allah) telah mendiamkan segala sesuatu sebagai Rahmat kepada kamu bukan kerana lupa - maka janganlah kamu cuba menyelidikinya.[6]

Rumusan yang dapat ditarik dari hujah-hujah yang dikemukakan oleh golongan pertama ini adalah - sembelihan kaum Ahli Kitab, iaitu kaum Yahudi dan Nasrani adalah halal bagi umat Islam tanpa apa-apa syarat atau had kerana Allah Subhanahu waTa'ala telah menurunkan hukum kebolehan ini tanpa meletakkan apa-apa syarat tambahan. Kebolehan ini juga berkuat-kuasa tidak kira samada kaum-kaum tersebut masih berpegang kepada ajaran kitab mereka yang asli ataupun yang telah diubahsuai. Penghujahan terakhir ini akan diperluaskan penerangannya apabila menganalisa pendapat golongan ketiga nanti.

Antara tokoh-tokoh mutakhir yang menghujahkan kebenaran pendapat pertama ini adalah Prof. Dr. Yusuf Qardhawi, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili, Dr. Ahmad al-Syarbashi dan majoriti ahli-ahli tafsir serta ahli-ahli fiqh.[7]

Pendapat kedua menyatakan bahawa kebolehan memakan sembelihan kaum Ahli Kitab hanyalah terhad kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani yang hidup di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan keturunan-keturunan mereka sahaja. Ini adalah kerana ayat yang menghalalkan sembelihan Ahli Kitab adalah ia dalam bentuk Kata yang telah berlalu atau Past tense menunjukkan bahawa ia ditujukan kepada umat Yahudi dan Nasrani yang hidup sebelum turunnya ayat tersebut dan bukan ditujukan kepada umat-umat yang akan datang. Oleh itu keberlakuan hukum ini tidak tertakluk kepada umat-umat Yahudi dan Nasrani yang baru memeluk agama itu dan ia juga tidak tertakluk kepada umat-umat Yahudi dan Nasrani yang tidak dapat dikesan nasab keturunan mereka sehingga ke zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam.

Pendapat ini dianggap lemah kerana tafsiran yang sedemikian itu tidak pernah didengar dari Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mahupun para sahabat radiallahu-anhum padahal merekalah orang yang paling mengenali al-Qur'an dan paling mengetahui tujuan ayat-ayatnya. Selain itu sememangnya diketahui bahawa kaum Yahudi dan Nasrani adalah dua kaum wujud sebelum wujudnya Islam dan mereka telah diturunkan kitab Taurat dan Injil sebelum turunnya kitab al-Qur'an. Justeru adalah memadai al-Qur'an mengalamatkan mereka dalam bentuk bahasa yang telah berlalu atau past tense.

Setelah menganalisa pendapat golongan kedua ini, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili menolaknya dengan hujah beliau: Pendapat ini tidak mempunyai dalil yang kukuh tentang syarat yang mereka katakan itu padahal para sahabat radiallahu-anhum telah memakan sembelihan ahli kitab dan mengahwini wanita mereka tanpa menyelidik samada memenuhi syarat ini atau tidak. (iaitu menyelidik nasab keturunan mereka) [8]

Pendapat Ketiga menyatakan bahawa hukum kebolehan memakan sembelihan kaum Ahli Kitab tidak lagi berhubung-laku di masa kini kerana kedua-dua kaum tersebut, Yahudi dan Nasrani telah banyak melakukan perubahan serta ubah-suai akan kitab mereka itu sehingga ianya tidak lagi tulen sepertimana yang wujud di zaman Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Selain itu sebahagian besar orang-orang Yahudi dan Nasrani juga kini telah tidak lagi mentaati ajaran kitab mereka samada yang tulen mahupun yang diubahsuai tetapi banyak pula mengikuti hukum-hukum baru yang direkacipta mereka selari dengan peredaran zaman. Dengan hujah-hujah di atas, golongan ini berpendapat bahawa sembelihan kaum Ahli Kitab tidak lagi halal bagi umat Islam masa kini dan bagi yang akan datang.

Pendapat di atas sekali imbas sememangnya menampakkan banyak kebenaran dan tiada lubang kelonggaran. Tetapi sebelum diterima pendapat ini sebulat-bulat ia perlu dianalisa serta dikaji terlebih dahulu secara ilmiah yang mendalam, sesuai dengan prinsip-prinsip usul tafsir al-Qur'anul Karim.

Al-Qur'an adalah sebuah kitab yang diturunkan ayatnya berperingkat-peringkat, setiap penurunan ayat ditentukan kadar dan masanya oleh Allah Subhanahu waTa'ala sesuai dengan tahap pencernaan ilmu oleh masyarakat ketika itu dan kondisi sosial mereka yang dinamis dari satu masa ke masa yang lain. Setiap ayat turun membawa keterangan serta ilmu pengetahuan yang baru, melengkapkan lagi apa yang sudah diturunkan, mengganti dengan yang lebih baik dari apa yang sudah sememangnya baik serta mengkhususkan lagi apa yang sebelum ini adalah umum.[9] Keterangan di atas mudah difahami dari dua firman Allah Azza waJalla berikut ini: Dan al-Qur'an itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang dan Kami menurunkannya beransur-ansur; dan dalam ayat seterusnya: Apa sahaja ayat keterangan yang kami pinda atau yang kami tinggalkan atau yang kami tangguhkan, Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu ? [Maksud surah al-Isra' 17 - 106 dan surah al-Baqarah 02 - ayat 106.[10]]

Ayat yang menghalalkan sembelihan kaum Ahli Kitab bagi umat Islam, iaitu dalam surah al-Maidah 05, ayat ke 5 adalah antara ayat yang terakhir diturunkan sebelum lengkapnya al-Qur'an ini dan sebelum wafatnya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Ayat ini dijangkakan turun kira-kira 81 hari atau lebih sedikit sebelum wafatnya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan ia adalah serangkap dengan ayat yang menerangkan tentang kesempurnaan Islam, iaitu firman Allah Ta'ala: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu. [Maksud surah al-Maidah 05 - 03].[11] Di samping itu surah al-Maidah adalah juga surah terakhir yang diturunkan antara kesemua 114 surah-surah yang terkandung di dalam al-Qur'an.[12]

Hakikat turunnya ayat yang menghalalkan sembelihan Ahli Kitab sebagai salah satu dari ayat-ayat terakhir dalam al-Qur'anul Karim memberikan titik pengkajian yang amat besar lagi berat dalam analisa hukum berkaitan. Ini adalah kerana ayat ini turun setelah turunnya beberapa ayat-ayat yang sedia mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli Kitab yang telah mengubah-suai, menukar serta mencampur-aduk ajaran agama mereka.

Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli Kitab tersebut yang mengubah-ubah ayat-ayat dalam kitab mereka. Al-Qur'an menyatakan: ……padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah). [Maksud surah al-Baqarah 02 - 75].

Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli Kitab tersebut yang mencampur-adukkan ajaran mereka serta menyembunyikan kebenaran ayat-ayat kitab mereka. Al-Qur'an menyatakan: Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya. [Maksud surah al-Baqarah 02 - 42]

Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli Kitab tersebut yang memilih-milih ajaran agama mereka, sebahagian diambil dan sebahagian ditinggalkan. Al-Qur'an menyatakan: Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain ? [Maksud surah al-Baqarah 02 - 85]

Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli Kitab yang menjadikan Nabi Isa alaihi-sallam sebagai Tuhan mereka dan pendita-pendita sebagai yang berhak untuk menukar ajaran kitab mereka. Al-Qur'an menyatakan: Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan. [Maksud surah at-Taubah 09 - 31]

Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli Kitab yang menjadikan Nabi Isa alaihi-sallam sebagai anak Allah. Al-Qur'an menyatakan: Mereka (kaum Ahli Kitab) berkata: "Allah mempunyai anak". Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu).[Maksud surah Yunus 10 - 68]

Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli Kitab yang mewujudkan konsep Tuhan Bertiga atau Trinity. Al-Qur'an menyatakan: Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al-Masih 'Isa ibni Maryam itu hanya seorang Pesuruh Allah,dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). [Maksud surah an-Nisaa' 04 - 171]

Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli Kitab yang adakalanya mempersoalkan kesahihan agama mereka sendiri. Al-Qur'an menyatakan: Wahai Ahli Kitab, Mengapa kamu berani mempertengkarkan tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim, patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal ? [Maksud surah Ali Imran 03 - 65]

Himpunan keterangan-keterangan di atas tidak lain menunjukkan bahawa apabila hukum kebolehan memakan hasil sembelihan kaum Ahli Kitab diturunkan, al-Qur'an telahpun dari awal menerang akan perbuatan mereka, kaum Yahudi dan Nasrani itu yang menyeleweng dan menyimpang dari ajaran mereka yang asal. Malah lebih buruk lagi mereka sejak dari awal lagi telahpun melakukan tuduhan syirik yang amat besar terhadap Allah Subhanahu waTa'ala dengan menuduhNya mempunyai anak dan sebagainya. Tetapi perbuatan-perbuatan sebegini oleh kaum Ahli Kitab tersebut tidaklah menjadi penghalang bagi Allah Subhanahu waTa'ala untuk tetap menurunkan hukum menghalalkan sembelihan mereka kepada umat Islam seluruhnya.

Nah ! Jikalau sejak dari dini lagi al-Qur'an telah menghalalkan sembelihan Ahli Kitab  untuk umat Islam seluruhnya sekalipun dalam suasana ketika itu kaum-kaum Ahli Kitab telahpun melakukan berbagai-bagai kesalahan, apakah pula bezanya dengan umat-umat Ahli Kitab masa kini ? Sudah tentu tidak ada bezanya. Mereka tetap juga sama sebagaimana generasi mereka yang lalu. Maka dengan itu juga tidak ada sebarang perbezaan bagi keberlakuan hukum-hukum al-Qur'an terhadap mereka, samada masa kini atau masa yang akan datang.

Justeru itu pendapat ketiga ini yang mengatakan bahawa keberlakuan hukum-hukum Islam terhadap kaum Ahli Kitab tidak lagi sah masa kini atas alasan mereka telahpun menyeleweng dari ajaran yang asal tidak dapat diterima. Pendapat ini tidak mempunyai alasan mahupun dalil sokongan yang kukuh melainkan ianya adalah satu sikap yang terlalu berhati-hati sehingga berlawanan pula dengan ketentuan ilmiah agama Islam ini.

Kesimpulan dari analisa serta perbandingan antara tiga pendapat yang berkitar pada persoalan: Adakah Hukum-hukum Ahli Kitab berhubung-laku sehingga masa kini menampakkan bahawa hujah pendapat yang pertama adalah yang paling tepat kepada kebenaran dalil-dalil serta ruh tuntutan agama. Iaitu bahawa kebolehan hukum-hukum adalah mutlak bagi semua kaum Ahli Kitab, dahulu, sekarang atau yang akan datang, samada mereka berpegang kepada kitab atau ajaran yang asal mahupun kepada yang telah diubah suai.

Kedua: Sembelihan Ahli Kitab yang Dibolehkan.

Perkara kedua yang menjadi subjek perbahasan para ahli fiqh ialah hukum-hukum yang berkisar pada kaedah sembelihan itu sendiri. Ianya terbahagi kepada 4 sub-topik perbahasan, iaitu:

1.      Jenis haiwan sembelihan yang boleh kita makan.

2.      Hukum membaca nama Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.

3.      Hukum membaca nama selain Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.

4.      Hukum sembelihan kaum Ahli Kitab yang dilakukan sempena hari perayaan mereka.

5.      Kaedah atau cara sembelihan yang dibolehkan.

Analisa Pengkajian

Pertama: Jenis haiwan sembelihan yang boleh kita makan.[13]

Dipersetujui oleh majoriti para fuqaha bahawa daging-daging yang telah diharamkan dalam Islam tidak boleh dimakan oleh umat Islam sekalipun ia disembelih oleh kaum Ahli Kitab. Oleh itu umat Islam tidak boleh memakan daging babi yang disembelih oleh umat Nasrani. Menjadi titik perbezaan di sini ialah Islam membolehkan sembelihan kaum Ahli Kitab tetapi tidak membolehkan semua jenis daging-daging yang mereka sembelihkan. Justeru itu sembelihan kaum Ahli Kitab hanya dihalalkan oleh Islam apabila yang disembelih itu adalah haiwan-haiwan yang halal menurut syari'at Islam.

Kedua: Hukum membaca nama Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.

Menyebut nama Allah ketika menyembelih atas salah satu dari syarat sembelihan mengikut syari'at Islam, sebagaimana firman Allah Subhanahu waTa'ala di dalam al-Qur'an: Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya. [Maksud surah al-An'aam 06 - 121]

Walaubagaimanapun menyebut nama Allah ketika menyembelih tidak menjadi syarat bagi menghalalkan sembelihan yang dilakukan oleh kaum Ahli Kitab. Ini adalah kerana ayat yang menghalalkan sembelihan kaum Ahli Kitab diturunkan oleh Allah Subhanahu waTa'ala selepas turunnya ayat-ayat yang memerintahkan agar sesuatu sembelihan itu perlu dibacakan Basmalah.

Hakikat ini memperlihatkan pengkhususan dan pengecualian kepada sembelihan kaum Ahli Kitab daripada sembelihan kaum Muslimin, dimana ia menunjukkan bahawa sembelihan mereka (Ahli Kitab) terkecuali dari perintah bacaan Basmalah.[14] Lebih dari itu apabila Allah Subhanahu waTa'ala menghalalkan sembelihan Ahli Kitab, sudah tentu diketahuiNya bahawa mereka tidak akan menyebut Bismillah ar-Rahman ar-Rahim atau Bismillahi Allahu Akbar ketika menyembelih kerana sudah sememangnya mereka itu bukan orang Islam tetapi adalah orang Yahudi dan Nasrani. Sekalipun jikalau ada kaum Ahli Kitab yang menyebut Basmalah ketika meyembelih, itu hanyalah sebutan dimulut dan bukan kerana sesuatu yang timbul dari sebab keimanan di hati.

Persoalan menyebut nama Allah ketika menyembelih juga pantas terjawab dengan hadith sahih berikut ini:

A'isyah radiallahu-anha berkata, sekumpulan orang telah datang bertemu Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam lalu bertanya: Beberapa orang telah menghadiahkan kami daging padahal kami tidak tahu samada mereka menyebut nama Allah atau tidak ketika menyembelihnya. Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjawab: Sebutlah nama Allah ke atasnya dan makanlah.[15]

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa sesuatu sembelihan yang tidak disebut nama Allah atasnya, ataupun tidak diketahui samada disebut nama Allah atau tidak ketika menyembelihnya, ia tetap boleh dimakan dengan menyebut nama Allah oleh orang yang akan memakannya itu sendiri. Walaubagaimanapun hadith di atas terhad kebolehannya kepada sembelihan umat Islam dan kaum Ahli Kitab sahaja kerana sedia diketahui melalui banyak dalil-dalil lain yang berkaitan bahawa sembelihan kaum-kaum lain pada asalnya tetap tidak halal bagi kita umat Islam tanpa mengira samada mereka atau kita ada menyebutkan nama Allah ke atasnya atau tidak.

Ketiga: Hukum membaca nama selain Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.

Persoalan seterusnya yang perlu dianalisa hukumnya ialah apabila kaum Ahli Kitab melakukan sembelihan tanpa menyebut nama Allah ke atasnya tetapi menyebut pula nama-nama tuhan mereka seperti Jesus son of God, al-Masih atau al-Uzair dan sebagainya. Termasuk dalam kategori ini adalah menyembelih dengan tujuan korban bagi tuhan-tuhan mereka atau wali-wali mereka (saints) atau sebagai nazar atau sebagai memperoleh berkat, pahala dan sebagainya. Maka dalam kes ini kita tidak boleh menerima sembelihan mereka kerana Allah Azza waJalla telahpun berfirman: Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah. [Maksud surah al-Maidah 05 - 03]  Ayat ini adalah sekumpulan dan diperkira turun bersama-sama dengan ayat yang menghalalkan sembelihan ahli kitab. Oleh itu hukum menyembelih kerana sesuatu selain Allah adalah haram dimakan dan ia tetap berhubung-laku samada bagi sembelihan umat Islam ataupun umat Ahli Kitab. Ini adalah kerana menyembelih bagi tujuan sesuatu selain Allah atau dengan nama selain Allah adalah sesuatu yang mengandungi unsur-unsur syirik di dalamnya dan syari'at Islam sememangnya tidak memberikan kelonggaran dalam hal-hal yang ada mengandungi unsur-unsur syirik, sekalipun hanya bayang-bayangnya.

Walaubagaimanapun sesuatu sembelihan yang dilakukan oleh kaum Ahli Kitab yang tidak kita ketahui apakah nama yang mereka sebut ke atasnya adalah halal untuk kita makan kerana kita, mengikut kaedah usul fiqh, sememangnya tidak diwajibkan untuk menyelidik sesuatu yang tidak mungkin dapat diketahui hakikat asal-usulnya. Dalam hal ini para fuqaha amat cenderong kepada hujah dua orang sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang terkenal, iaitu az-Zuhri dan Ali bin Abi Talib radiallahu-anhuma yang berkata: Tidak ada salahnya memakan haiwan sembelihan kaum Nasrani Arab. Akan tetapi jikalau kamu mendengar orang yang menyembelih haiwan itu menyebut suatu nama selain dari nama Allah maka janganlah kamu makan, dan jikalau kamu tidak mendengar nama apakah mereka sebut (maka makanlah) kerana Allah sememangnya telah menghalalkan memakan hasil sembelihan mereka dalam suasana Allah sedia mengetahui kekafiran mereka.[16]

Prof. Dr. Yusuf Qardhawi juga telah menulis: Yang tidak kita ketahui tidak kita tanyakan dan kita tidak perlu bertanya mengenai sesuatu yang bukan urusan kita. Hanya sahaja apabila kita ketahui bahawa makanan tersebut berasal dari orang Ahli Kitab maka pada saat kita hendak memakannya kita sebut sahaja nama Allah.[17]

Keempat: Hukum sembelihan kaum Ahli Kitab yang dilakukan sempena hari perayaan mereka.

Adakalanya sesuatu sembelihan itu dilakukan oleh kaum Ahli Kitab adalah bersempena dengan hari-hari perayaan mereka, seperti Hari Natal, Thanksgiving Day[18], Hari Ulangtahun Gereja, Perlantikan Paderi atau Rahib, Majlis Perkahwinan di Gereja dan sebagainya. Maka dalam hal ini majoriti para fuqaha dari Mazhab Maliki, Shafie dan Hanbali[19] meletakkan hukum makruh bagi kita untuk turut serta memakan makanan yang disembelih sempena perayaan-perayaan mereka. Makruh juga untuk kita turut serta dalam majlis makan yang mereka anjurkan ketika itu. Kemakruhan dalam dua suasana ini adalah kerana kita umat Islam tidak mahu turut serta atau bersubahat dalam majlis-majlis keagamaan mereka. Kehadiran atau penerimaan kita terhadap makanan atau sembelihan mereka dalam majlis-majlis keagamaan tersebut seolah-olah menampakkan sokongan kita terhadap agama mereka padahal kita dilarang dari berbuat demikian.

Akan tetapi apabila seseorang muslim itu menerima atau membeli daging hasil sembelihan Ahli Kitab padahal dia tidak mengetahui bahawa daging tersebut disembelih sempena sesuatu majlis perayaan mereka, maka daging itu tetap halal kerana sesuatu yang tidak diketahui tidak akan dijadikan sumber patukan hukum baginya.

Walaubagaimanapun sebahagian ahli fiqh berpendapat bahawa sembelihan kaum Ahli Kitab yang dilakukan sempena perayaan-perayaan mereka adalah dihalalkan tanpa apa-apa syarat hukuman. Pendapat ini didasarkan kepada pendapat seorang sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang terkenal, iaitu Abu Darda radiallahu-anhu. Diriwayatkan bahawa:

Telah bertanya seorang lelaki kepada Abu Darda samada bolehkah dia memakan daging seekor kambing yang telah diberikan kepadanya, yang telah disembelih sempena hari perayaan Gereja St. George. Abu Darda menjawab: Ya Allah ! Maafkanlah ! Bukankah mereka itu kaum Ahli Kitab, di mana makanan mereka adalah halal bagi kami dan makanan kami halal bagi mereka ? Abu Darda kemudian menyuruh lelaki tersebut untuk memakan daging kambing tersebut.[20]

Sebenarnya pendapat para fuqaha di atas tidaklah bertentangan dengan pendapat Abu Darda. Para fuqaha lebih memberikan perhatian kepada pertimbangan keseluruhan ruh agama manakala Abu Darda hanyalah memberikan pendapat beliau antara dua hukum, iaitu halal atau haram. Justeru sembelihan Ahli Kitab sempena perayaan mereka pada dasarnya adalah tetap halal untuk kita makan, hanya sahaja ia adalah makruh dari sudut keutamaannya demi menjaga maruah agama.

Kelima: Kaedah atau cara sembelihan yang dibolehkan.

Terdapat beberapa pengusaha pusat penyembelihan kaum Ahli Kitab masa kini yang menyembelih binatang-binatang mereka dengan menggunakan kaedah kejutan elektrik, iaitu selepas binatang itu dibaringkan terlebih dahulu dengan ubat tidur. Perubahan teknologi sembelihan ini membawa ahli fiqh kita kepada topik perbincangan yang baru, iaitu adakah sembelihan kaum Ahli Kitab boleh kita terima dengan cara kejutan elektrik atau adakah kita hanya boleh menerima sembelihan yang dilakukan mengikut syari'at asal mereka, iaitu memotong di leher binatang dengan pisau tajam ?

Dalam menganalisa persoalan ini penulis mengutip penerangan Prof. Dr. Yusuf Qardhawi yang telah berkata: Apa sahaja kaedah sembelihan yang dikatakan sebagai halal oleh kaum Ahli Kitab adalah juga halal bagi kita sekalipun kaedah sembelihan mereka berlainan dengan kaedah sembelihan kita. Dan apa sahaja kaedah sembelihan yang dikatakan haram oleh mereka maka kita juga menerima keharamannya (iaitu dengan tidak memakannya). Apabila mereka kaum Ahli Kitab melakukan penyembelihan, mereka menyembelih dengan tujuan agar sembelihan mereka itu adalah halal dijadikan sebagai makanan mengikut syarat-syarat agama mereka. Ini adalah merupakan hujah pendapat sebahagian dari para fuqaha Mazhab Maliki.

Dari keterangan ini, maka dapat kita yakini bahawa daging-daging yang dimpot dari negara-negara Ahli Kitab seperti ayam dan lembu adalah halal untuk kita makan sekalipun ada kemungkinan bahawa ia telah disembelih dengan menggunakan kejutan elektrik atau apa-apa yang seumpama. Asalkan sahaja mereka kaum Ahli Kitab berpendapat bahawa kaedah ini adalah halal menurut syari'at agama mereka maka ia juga adalah halal untuk kita. Inilah sebenarnya maksud tujuan surah al-Maidah yang telah menghalalkan sembelihan mereka.[21]

Penerangan Prof. Dr. Yusuf Qardhawi di atas bermaksud bahawa kita telahpun dihalalkan untuk memakan sembelihan kaum Ahli Kitab apabila mereka menyembelih binatang-binatang mereka menurut ketentuan syari'at mereka. Apa sahaja yang dipandang halal oleh mereka dari sudut kaedah sembelihan, maka ia juga adalah halal bagi mereka. Ini adalah kerana kita dihalalkan untuk menerima sembelihan mereka tanpa dibebani dengan syarat penyelidikan ke atas cara-cara sembelihan mereka.

Tambahan lagi apabila Islam mensyari'atkan kebolehan memakan hasil sembelihan kaum Ahli Kitab, telah sedia diketahui bahawa kaum Ahli Kitab ini melakukan berbagai-bagai perubahan dalam syari'at-syari'at agama mereka. Maka tidaklah menjadi satu keasingan jikalau mereka masa kini juga melakukan perubahan-perubahan yang seumpama dan akan terus melakukannya pada masa-masa akan datang. Justeru  perubahan kaedah sembelihan adalah sesuatu yang sudah sedia dijangkakan sejak dari awal lagi dan ia tidak menjadi penghalang pada masa lalu, maka dengan itu ia juga tidak sepatutnya menjadi faktor penghalang pada masa kini.

Walaubagaimanapun kebanyakkan pusat-pusat penyembelihan kaum Ahli Kitab masa kini masih menggunakan teknik sembelihan dengan pisau tajam di leher binatang tersebut.[22] Teknik ini masih menjadi pilihan mereka kerana daging yang disembelih sebegini lebih baik mutu dan kualitinya daripada daging yang 'dikejut' dengan sambaran elektrik. Lebih dari itu sembelihan dengan kaedah potongan di leher juga menjadi pengesyoran pakar-pakar kesihatan kerana darah yang memancut-mancut keluar dari leher binatang yang disembelih itu dipersetujui sebagai bermanfaat dari sudut kesihatan manusia.

Ketiga: Beberapa Nota Tambahan.

Pertama Negara-negara Ahli Kitab.

Apabila kita merujuk kepada kaum Ahli Kitab bagi memakan sembelihan mereka, kita juga sebenarnya merujuk kepada tempat-tempat kehadiran mereka. Definasi Ahli Kitab umum mewakili umat-umat Yahudi danNasrani (Kristian), oleh itu apabila kita merujuk kepada negara Ahli Kitab, ia adalah umum ditujukan kepada negara-negara di mana majoriti penduduknya, atau agama rasminya adalah Yahudi atau Nasrani atau kedua-duanya. Oleh itu yang dimaksudkan sebagai negara-negara Ahli Kitab ialah Australia, New Zealand, Amerika, Canada, England, Germany dan sebagainya. Di negara-negara ini seluruh sembelihan mereka diperkira sebagai sembelihan Ahli Kitab yang halal untuk kita makan[23].

Bagi negara-negara di mana penduduk majoriti mereka bukan beragama Nasrani atau Yahudi seperti di Afrika, Amerika Selatan dan sebagainya, maka harus kita mencari komuniti mereka bagi menerima sembelihan mereka. Bagi negara-negara di mana penduduk yang menganut agama Yahudi atau Nasrani wujud dalam bilangan yang kecil, seperti di Jepun, Rusia dan China, wajib kita pastikan terlebih dahulu bahawa makanan atau daging yang mereka sediakan adalah disembelih oleh orang-orang Yahudi atau Nasrani sebelum kita boleh menerimanya sebagai halal. Ini adalah kerana orang-orang Yahudi atau Nasrani yang hadir secara minoriti di negara-negara ini adakalanya menerima daging sembelihan dari kaum-kaum lain yang bukan dari agama mereka sendiri.

Tidak perlu diperiksa kadar keimanan atau ketaatan umat-umat Yahudi atau Nasrani di negara-negara ini terhadap agama mereka masing-masing. Islam hanya menghalalkan sembelihan mereka tanpa mewajibkan kita menyemak syari'at mahupun amalan mereka. Islam hanya membenarkan sembelihan mereka, bukan pula membenarkan agama mereka.

Di sini perlu ditegur sikap sesetengah pihak yang meletakkan pelbagai syarat-syarat ketat bagi menerima sesuatu kaum atau negara itu sebagai kaum Ahli Kitab padahal dalam waktu yang sama pihak-pihak ini lupa pula untuk mengenakan syarat-syarat yang sama terhadap umat Islam. Pihak-pihak ini berkata orang-orang Yahudi dan Nasrani masa kini tidak lagi mentaati ajaran agama mereka padahal dalam waktu yang sama pihak-pihak ini lupa bahawa umat Islam masa kini juga ramai yang amat longgar ketaatan mereka terhadap ajaran agama sendiri. Pihak-pihak ini berkata bahawa ramai umat Nasrani masa kini tidak lagi pergi ke gereja di hari Ahad padahal mereka lupa bahawa umat Islam juga ramai yang tidak pergi ke masjid di hari Jumaat.

Kritikan di atas tidak lain hanyalah bermaksud untuk menyedarkan sesetengah pihak yang telah mengharamkan hukum agama berdasarkan berbagai-bagai syarat yang tidak perlu disyaratkan. Agama Islam yang syumul ini telah memudahkan untuk umatnya beberapa perkara dan meluaskan juga beberapa hukum demi kemaslahatan mereka maka tidaklah sepatutnya kemudahan ini kita tolak atau sempitkan atas sikap terlalu berhati-hati yang tidak ditafsir berdasarkan kepada nilai-nilai syari'ah secara ilmiah.

Tegur Allah Subhanahu waTa'ala di dalam al-Qur'an: Katakanlah: Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi HALAL dari rezeki yang dikurniakanNya ?       Katakanlah: Semua itu adalah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia ………[Maksud surah al-A'raaf 07 - 32]

Kedua: Perbezaan antara sembelihan dan masakan.

Selama ini kita telah menganalisa serta membicarakan hal-hal berkaitan dengan sembelihan kaum Ahli Kitab, belum lagi tentang masakan kaum Ahli Kitab. Antara dua ini terdapat perbezaan yang nyata, di mana yang dihalalkan hanyalah sembelihan mereka manakala masakan mereka pula wajib mengikuti syarat-syarat agama kita. Justeru itu apabila kita pergi ke negara-negara Ahli Kitab lalu hendak makan di sana, wajib kita pastikan terlebih dahulu bahawa daging dan ayam mereka dimasak mengikut hukum-hukum Islam.

Yang dimaksudkan sebagai masakan mengikut hukum-hukum Islam ialah daging-daging tersebut tidak dimasak dalam minyak yang disaring dari lemak binatang (animal oil) kerana sebahagian besar dari sumber minyak binatang adalah berasal dari lemak-lemak babi (lard). Sekalipun sesebuah restoran itu menggunakan minyak sayuran, perlu dipastikan bahawa minyak itu tidak dicampuri atau diulang-guna untuk beberapa jenis masakan yang mengandungi daging babi. Demikian juga tidak boleh makan di restoran yang menyedia masakan daging lembu dan daging babi dalam dapur yang sama kerana sudah pasti mereka akan menggunakan alat-alat memasak yang sama. Adakala juga sesetengah resipi mereka yang disalingi dengan minuman wine yang dicampurkan bersama ketika memasak bagi menambahkan kelazatan. Ini juga tidak boleh kita terima.

Penerangan di atas tidak memberikan kita banyak pilihan kecuali mencari restoran-restoran masyarakat Ahli Kitab yang sememangnya tidak mempunyai menu masakan daging babi dan ia juga tidak menggunakan minyak masak dari lemak binatang. Ini dapat kita lakukan dengan bertanya kepada tuan kedai tersebut dan menantikan jawapan yang menyakinkan darinya. Satu alternatif lain ialah memilih masakan atau restoran yang menyediakan pemakanan Kosher atau Kosher Dietry. Apakah itu Kosher ? Persoalan ini akan dijawab dalam huraian berikut ini.

Ketiga: Pemakanan Kosher.[24]

Kosher (Kashruth) adalah sebuah terminologi Bhs. Hebrew yang bermaksud betul atau lengkap. Dari segi definasinya ia bermaksud sesuatu sumber pemakanan yang disediakan secara betul lagi lengkap mengikut syarat-syarat hukum agama yang tertera dalam kitab Taurat, Kitab Moses yang lima (The Pentateuch) dan kitab Injil. Pemakanan Kosher adalah lebih merupakan syarat pengkhususan oleh kaum orthodox Yahudi yang masih ketat memegang kepada ajaran-ajaran agama mereka.

Sembelihan dan masakan Kosher disediakan dalam suasana pengawasan yang ketat oleh badan-badan keagamaan mereka. Antara syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum sembelihan atau masakan mereka disahkan sebagai halal menurut agama mereka ialah:

1.      Tukang sembelih adalah seorang Yahudi orthodox yang kuat pegangannya terhadap agama.

2.      Binatang yang hendak disembelih bukanlah sesuatu yang telah mati (bangkai) dan bukan juga sesuatu yang mati kerana tercedera atau disiksa.

3.      Rumah sembelihan dan alat-alat sembelihan hanya khusus untuk kegunaan kaum Yahudi orthdox ini. Tiada percampuran dibenarkan dengan sembelihan kaum lain sekalipun bagi kaum-kaum Yahudi dan Nasrani.

4.      Binatang yang disembelih adalah dari jenis haiwan yang dihalalkan oleh agama. Babi dan hasil-hasil sampingannya tidak termasuk sebagai salah satu haiwan yang dihalalkan.

5.      Sembelihan hendaklah dilakukan dengan pisau tajam yang dapat memotong leher haiwan tersebut secara pantas sehingga tidak terasa kesakitannya. Sembelihan dengan kejutan elektrik tidak diterima.

6.      Daging-daging tersebut diekspot secara berasingan, dalam bekas dan bungkusan berasingan, tidak boleh bercampur dengan hasil-hasil sembelihan kaum lain.

7.      Daging-daging tersebut hanya boleh dimasak di dapur dan restoran yang hanya menyajikan masakan kosher mengikut resepi-resepi kosher. Ini adalah kerana resepi kosher mengandungi beberapa syarat tambahan seperti daging yang hendak dimasak tidaklah  berdarah lagi, susu dan daging tidak boleh dimasak bersama, makanan laut yang bercengkerang tidak boleh diterima dan beberapa jenis lemak juga tidak diterima. Sebarang percampuran dengan sembelihan atau menu atau resepi masakan kaum lain sekalipun Yahudi dan Nasrani adalah tidak diterima.

8.      Masakan kosher tidak boleh disediakan dalam minyak yang berasal dari lemak binatang. Penggunaan wine dalam masakan hanya dibolehkan apabila wine itu dimasak dengan sempurna dalam masakan tersebut, tidak hanya dituang ke atasnya. Walaubagaimanapun seseorang itu boleh meminta agar wine tidak dicampur sama ke dalam masakan yang mereka pesan.

9.      Setiap restoran Kosher mempunyai sijil-sijil pengesahan mereka yang disahkan oleh badan-badan berwajib keagamaan Yahudi orthodox.

Syarat-syarat pemakanan kosher di atas jelas memberikan keyakinan yang diperlukan oleh kita umat Islam. Yang utama bagi kita umat Islam ialah pemakanan kosher disediakan tanpa dicampuri dengan masakan daging babi atau apa-apa hasil sampingan haiwan tersebut. Restoran-restoran serta kedai-kedai makan Kosher mudah didapati di mana-mana lokasi diseluruh dunia terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat. Makanan-makanan dalam bentuk sejuk beku juga mudah diperolehi di pasaraya-pasaraya, dikenali dengan lambang dan sijil pengesahan Kosher Certified. Selain itu juga kita akan dapati barangan-barangan sampingan seperti Kosher Ice Creame, Kosher Yoguhrt, Kosher Bread, Kosher Cooking Oil, Kosher Cheese dan berbagai lagi yang terjamin bersih dari hasil-hasil sampingan yang diharamkan, terutamanya yang berasal dari makhluk babi.

Masakan kosher juga boleh diperolehi dalam menu permintaan khas di kebanyakkan syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa. Kosher menu perlu diminta terlebih awal, kira-kira 24 jam sebelum waktu penerbangan dan ia akan diserahkan dalam pesawat nanti. Walaubagaimanapun sesetengah syarikat penerbangan antarabangsa ada juga menyediakan masakan Islam sebagai menu permintaan khas.

Keempat: Mengutamakan pemakanan Umat Islam.

Sekalipun dibolehkan memakan hasil sembelihan Kaum Ahli Kitab, perlu ditegaskan di sini bahawa yang utama adalah tetap memilih sembelihan serta masakan Umat Islam sendiri. Keutamaan ini adalah berdasarkan konsep kita umat Islam yang seharusnya memberi prioriti dan pilihan teratas kepada urusan sesama umat daripada urusan antara berlainan umat dan kaum. Oleh itu sembelihan umat Islam harus diutamakan daripada sembelihan umat Ahli Kitab dan lebih dari itu, sembelihan umat Islam yang kuat ketaqwaannya lebih patut diutamakan daripada sembelihan umat Islam umumnya.


 

[1]               Kaum Saabi'in adalah penyembah malaikat manakala kaum Majusi adalah penyembah matahari. Kajian lebih lanjut sila lihat mana-mana kitab tafsir yang membicaranya secara mendalam, antaranya Tafsir al-Maraghi, 17/166-167. Bagi hukum sembelihan mereka lihat penerangan Prof. Dr. Wahbah Zuhaili dalam Fiqh dan Perundangan Islam, 3/753.

[2]               Dr. Ahmad Sukarja - Perkahwinan Antara Berbeza Agama Menurut Hukum Islam, ms 8, sebuah kertas kajian yang dimuatkan dalam buku Problematika Hukum Islam Kontemporer, ketua editor Dr. Huzaimah Yanggo dan Drs. Hafiz Anshari.

[3]               Prof. Dr. Yusuf Qardhawi -Halal and Haram in Islam, pg 63, fn 03. Bagi analisa lanjut kihat buku Dr. M. Quraish Shihab - Wawasan al-Qur'an, ms 366-369.

[4]               Prof. Dr. Yusuf Qardhawi -Halal and Haram in Islam, pg 59-60.

[5]               Maksud hadith dari Salman al-Farisi radiallahu-anhu, Sunan Ibnu Majah - no: 3367.

[6]               Maksud hadith dari Abi Tha'labah radiallahu-anhu, diriwayatkan oleh Imam ad-Daruquthni dan dinilai sebagai hadith hasan oleh Imam an-Nawawi dalam Syarh Matn Arba'in - no: 31.

[7]               Prof. Dr. Yusuf Qardhawi - Hadyu Islam: Fatwa al-Mua'shirah, ms 812 ; Dr. Ahmad as-Syarbashi - Yas 'Alunaka fi ad-Din wal al-Hayah, 1/519-522 ; Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 3/750 dan lain-lain lagi.  Lihat juga penerangan konsep halal dan haram dalam Islam oleh Prof. Abdul Rahman I. Doi dalam buku beliau Shari'ah: The Islamic Law, pg 406-410.

[8]               Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 3/752.

[9]               Kajian lebih jauh lihat Sejarah dan Dasar Pengajian al-Qur'an, ms 48-65 oleh Shaikh M. Ali as-Shabuni.

[10]             Ayat al-Baqarah 106 di atas diterjemahkan selari dengan pengkajian ilmu Nasikh dan Mansukh yang dikemukakan oleh kebanyakkan ahli ilmu mutakhir, antaranya oleh Shaikh Muhammad Abduh dan Rashid Risda dalam Tafsir al-Manar , serta oleh Dr. M. Quraish Shihab dalam Membumikan al-Qur'an, ms 143-150.

[11]             Ayat 'kesempurnaan agama Islam' diturunkan pada 81 hari sebelum wafatnya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menurut kiraan ahli sejarah dan ulama' tafsir, lihat Sejarah dan Dasar Pengajian al-Qur'an, ms 15 oleh Shaikh M. Ali as-Shabuni. Dikatakan bahawa ayat ke 5 dari surah al-Maidah ini turun pada 81 hari sebelum kewafatan Nabi atau mungkin awal sedikit kerana ia adalah serangkap termasuk dalam golongan ayat ke 3 dalam surah yang sama, sepertimana yang dikategorikan oleh al-Hajj Ta'lim Ali (T.B. Irving) dalam muqaddimah kitab tafsir beliau terhadap surah al-Maidah, dalam The Qur'an: Translation and Commentary , pg 53.

[12]             Lihat penerangan Imam Ibnu Kathir - Mukhtasar Tafsir al-Qur'anul Adzim Ibnu Kathir, 3/1.

[13]             Prof. Dr. Yusuf Qardhawi -Halal and Haram in Islam, pg 60 ; Shaikh Abdul Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzahibil Arba'ah, 3/34.

[14]             Lihat penerangan Imam Ibnu Kathir - Mukhtasar Tafsir al-Qur'anul Adzim Ibnu Kathir, 3/30.

[15]             Maksud hadith dari Sahih Bukhari - no: 5507.

Imam Baihaqi berkata bahawa daging tersebut diberikan oleh sekumpulan orang yang baru sahaja memasuk Islam lalu mereka belum tahu sepenuhnya tatacara sembelihan menurut ajaran Islam, sehingga diragui samada  mereka telah menyebut nama Allah atau tidak ketika menyembelihnya. Lalu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menyuruh mereka sendiri yang membaca nama Allah. Berkata Imam Ibnu Kathir, hadith ini menunjukkan bahawa bacaan Basmalah itu tidak wajib kerana seandainya ia wajib, sudah tentu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam tidak akan mengizinkan mereka memakannya kecuali setelah dibuktikan terlebih dahulu, iaitu dengan pergi bertanya kepada orang-orang tadi yang menghadiahkan daging tersebut. [Mukhtasar Tafsir al-Qur'anul Adzim Imam Ibnu Kathir, 3/310] Sememangnya membaca Basmalah ketika sembelihan diperselisihkan hukumnya oleh para fuqaha. Antaranya ada yang menafsirkan ayat perintah membaca nama Allah itu adalah sebagai melarang sesuatu sembelihan itu dilakukan atas sebab-sebab bukan kerana Allah. Rujuk mana-mana kitab fiqh muktabar dalam hal ini. Walaubagaimanapun kebanyakkan ahli fiqh membenarkan kita memakan hasil sembelihan kaum Ahli Kitab dengan membaca Basmalah secara sendiri (yakni kita sendiri yang membacanya) berdasarkan hadith di atas. Lihat Hadyu Islam: Fatwa al-Mua'shirah, ms 812 oleh Prof. Dr. Yusuf Qardhawi.

[16]             Maksud atsar sahabat dari Sahih Bukhari - no: 5507, vol 7, pg 329. Bagi kajian pendapat para fuqaha sila lihat kitab Shaikh Abdul Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzahibil Arba'ah, 3/33-36.

[17]             Prof. Dr. Yusuf Qardhawi - Hadyu Islam: Fatwa al-Mua'shirah, ms 812.

[18]             Thanksgiving Day adalah satu hari upacara keagamaan dan bukan sahaja sekadar adat kebiasaan di benua Amerika Utara. Hari ini dianjurkan sebagai satu tanda kesyukuran mereka ke atas tahun yang telah berlalu dan segala kebaikan yang mereka perolehi dalam tahun tersebut. Hari ini juga disambut dengan upacara khusus di gereja-gereja. Bagi kajian lanjut sila lihat The Oxford Dictionary of World Religions.

[19]             Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 3/751.

[20]             Maksud atsar sahabat diriwayatkan oleh Imam at-Tabari dikemukakan oleh Shaikh Ahmad Mustafa al-Maragi dalam Tafsir al-Maragi, 5/111. Lihat juga analisa Prof. Dr. Yusuf Qardhawi -Halal and Haram in Islam, pg 61.

[21]             Prof. Dr. Yusuf Qardhawi -Halal and Haram in Islam, pg 62.

[22]             Prof. Dr. Hamka misalnya, bagi tujuan memuaskan hatinya, telah pergi ke Amerika untuk menyelidik kaedah-kaedah penyembelihan di sana. Beliau telah melawat sebuah pusat sembelihan lembu secara komersial yang amat besar, di mana dalam satu hari sahaja mereka menyembelih 14, 000 ekor lembu. Lembu-lembu itu tetap disembelih dengan cara memotong leher mereka dengan pisau yang tajam. Walaubagaimanapun bagi memudahkan kawalan lembu yang sedemikian banyak bilangannya, lembu-lembu tersebut ditidurkan terlebih dahulu dengan gas pelali agar tidak terkejar-kejar para pekerja kilang tersebut untuk menangkap lembu-lembu itu. [ Prof. Dr. Hamka - Tafsir al-Azhar, 3/1628]

[23]             Lihat penerangan Dr. Ahmad as-Syarbashi - Yas 'Alunaka fi ad-Din wal al-Hayah, 1/519-522.

[24]             Kajian lanjut sila lihat - The Kosher Companion: A Guide to Food, Cooking, Shopping and Services oleh Trudy Garfunkel ;  The Shengold Jewish Encyclopedia - Kosher / Dietry Law ; The Oxford Dictionary of World Religion - Kosher/Dietry Law ; The Penguin Handbook of Living Religions, pg 34 dan lain-lain.

al-Firdaus.Com :: Senarai Kandungan