Tajuk: Kesan Perubahan Sosial Terhadap Hukum Islam: Satu Kajian Tentang Metodologi Syariah Dan Pelaksanaannya.

Penulis: Prof. Madya Muhammad Firdaus Nurul Huda, pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh di UIAM, Gombak.

Penerbit: Thinker’s Library, Kuala Lumpur. Tel: 03-6189 7570

Saiz besar, berkulit keras, 347 mukasurat, RM38.00.

Ulasan:

Apabila membicarakan hukum Islam dan hubungannya dengan peredaran zaman, umumnya umat Islam boleh di bahagikan kepada 3 kelompok:

Pertama: Mereka yang berpendapat hukum Islam adalah statik dan beku, tidak boleh berubah secara mutlak.

Kedua: Mereka yang berpendapat hukum Islam adalah sentiasa berkait dengan peredaran zaman sehingga setiap perkembangan baru akan menyebabkan mereka mengolah, mentakwil dan mengubah tanpa batas.

Ketiga: Mereka yang membezakan antara hukum Islam yang bersifat statik dan yang dinamik. Kemudiannya mempraktikkan kedua-duanya secara adil dan benar.

Golongan pertama dan kedua memang banyak lagi biasa kedengaran di sana sini manakala golongan ketiga jumlahnya masih tersangat sedikit. Mereka terdiri daripada para tokoh yang memiliki pengetahuan yang mendalam tentang syari‘at Islam serta memiliki kefahaman yang luas antara ciri-ciri yang membentuk keasliannya dan yang menjaga kesinambungannya hingga akhir zaman.

Alhamdulillah kini terdapat sebuah buku yang bersifat ilmiah yang membahas subjek di atas dengan luas lagi lengkap. Ia dimulai dengan Bab 1 yang menerangkan faktor-faktor yang menyebabkan berubah dan berkembangnya kehidupan sosial manusia. Ia kemudian diikuti dengan Bab 2 yang membahas beberapa cabang ilmu usul fiqh yang berkaitan dengan perubahan sosial dan peredaran zaman seperti ‘Azimah dan Rukhsah, Qiyas dan Ta’lil, Maqasid al-Syari‘ah, Masalih al-Mursalah dan al-‘Urf.

Ini disusuli dengan Bab 3 yang khas mengemukakan beberapa contoh perlaksanaan dinamisme syari‘at Islam dari zaman sahabat hingga ke zaman para imam mazhab yang empat, radhiallahu 'anhum. Contoh-contoh ini menunjukkan bagaimana mereka menetapkan hukum bagi sesuatu perkara yang sebelum itu tidak ditetap oleh syari‘at Islam secara jelas. Di waktu yang sama terdapat juga beberapa contoh di mana mereka menetapkan hukum yang berlainan daripada apa yang sudah ditetapkan oleh syari‘at Islam. Tindakan mereka yang terakhir ini bukanlah kerana menentang syari’at Islam atau menganggapnya tidak sempurna, tetapi kerana mereka lebih memahami syari‘at Islam secara seluruhnya, khasnya dari sudut tujuan dan objektif yang ingin dicapai olehnya.

Buku ini diakhiri dengan Bab 4 di mana penulis membicarakan beberapa contoh persoalan fiqh masa kini yang perlu dianalisa semula dengan lebih mendalam sesuai dengan perubahan sosial dan peredaran zaman. Beliau membicarakan 3 persoalan, (1) Persoalan Rukyah anak bulan (Hilal), (2) Persoalan perkahwinan antara lelaki Muslim dengan wanita Ahli Kitab dan (3) Persoalan faedah dan riba Perbankan masa kini.

Buku ini disyorkan agar kita sama-sama dapat memahami dengan lebih mendalam tentang syari‘at Islam, khasnya ciri-ciri dinamisme dan tujuannya. Sering kali kita mendengar ada orang yang mengkritik “Si fulan itu jumud dan ketinggalan” manakala di sudut yang lain pula ada orang yang mengkritik “Si fulan itu mempermudahkan hukum semata-mata kerana mengikut kemajuan dunia”, lalu siapakah yang sebenarnya berada di atas kebenaran ? Mengkritik tanpa ilmu bukanlah tindakan yang benar, malah ia hanya membesar-besarkan sifat kejahilan seseorang itu sahaja. Setiap orang perlu memiliki neraca ilmu yang dengannya dia dapat mengukur tindakan orang lain dan membetulkannya jika nyata salah.

Faktor lain yang menyebabkan saya mengesyorkan buku ini adalah kerana ia pada asalnya ialah kertas tesis Ph.D Ustaz Muhammad Firdaus. Kita mengalu-alukannya kerana sangat sedikit sarjana di Malaysia yang membukukan kertas tesis mereka dan menghasilkan tulisan ilmiah untuk masyarakat Islam Malaysia. Semoga tindakan Ustaz Muhammad Firdaus ini akan menjadi pembuka laluan bagi lain-lain sarjana untuk membukukan kertas tesis mereka dan berusaha menghasilkan buku-buku ilmiah untuk manfaat kita semua.