Orang-orang tua kita biasa berpesan, sebelum tidur kebut terlebih dahulu tilam dengan sarung atau selimut. Pesanan ini sebenarnya bersumber daripada Rasulullah s.a.w.. Lebih seribu empat ratus tahun yang lalu, baginda berpesan: “Apabila salah seorang di antara kalian akan tidur, maka kebutlah tempat tidurnya dengan hujung kain sarungnya kerana sesungguhnya dia tidak tahu apa yang akan menimpanya.” [Shahih al-Bukhari, no: 6320]

          Selain pesanan di atas, terdapat beberapa lagi pesanan daripada Rasulullah s.a.w. tentang adab-adab tidur. Islam sebagai agama yang mencakupi seluruh kehidupan tidak terlupa untuk mengajar kita adab-adab sebelum, semasa dan selepas tidur. Marilah kita meluangkan masa sejenak untuk mempelajari adab-adab tersebut. Adab Sebelum Tidur. Pertama sekali hendaklah kita jadikan tidur sebagai satu bentuk ibadah dengan mengikuti adab-adab yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

          Selain itu tidurlah dengan niat merehatkan minda dan badan agar keesokan harinya anda dapat menjalankan ibadah dan tanggungjawab dengan baik. Ketahuilah bahawa manusia terbahagi kepada tiga kategori pada waktu malam.

          Kategori pertama ialah mereka yang mendapat pahala, iaitu mereka yang menjadikan tidur sebagai satu ibadah. Mereka akan mendapat pahala yang berganda jika bangun pada pertengahan malam berqiamulail.

          Kategori kedua ialah mereka yang mendapat dosa, iaitu mereka yang melakukan maksiat pada malam hari atau melakukan aktiviti sia-sia hingga tidur lewat dan terluput waktu sembahyang Subuh.

          Kategori ketiga ialah mereka yang tidak mendapat pahala atau dosa, iaitu mereka yang menjadikan tidur sekadar aktiviti kebiasaan.

          Rasulullah s.a.w. lazimnya tidur awal. Pada waktu malam, baginda hanya bersembang-sembang sekejap dengan isterinya kemudian terus masuk tidur [Shahih Muslim, no: 763-10].

          Bahkan salah seorang sahabat baginda yang bernama Abu Barzah pernah menerangkan: “Bahawasanya Rasulullah s.a.w. membenci tidur sebelum Isyak dan bersembang-sembang selepasnya.” [Shahih al-Bukhari, no: 568]

          Ini kerana tidur sebelum Isyak akan menyebabkan seseorang itu terlepas terus sembahyang Isyaknya manakala bersembang-sembang selepas Isyak akan menyebabkan seseorang itu tidak dapat bangun berqiamulail. Ketika hendak tidur, baginda berpesan: “Apabila kamu akan mendatangi tempat tidur, berwudhu’lah sebagaimana kamu berwudhu’ untuk sembahyang.” [Shahih al-Bukhari, no: 247]

          Jika anda merasa sukar untuk bangun berqiamulail, maka laksanakanlah sembahyang sunat Witir sebelum tidur. Kemudian kebutlah tempat tidur anda berdasarkan hadis yang telah dikemukakan sebelum ini. Akhir sekali, bacalah doa sebelum tidur, paling ringkas di antaranya ialah: “Bismika amutu wa ahya” yang bermaksud: “Dengan nama Engkau (Ya Allah), aku mati dan hidup.” [Shahih al-Bukhari, no: 6312]

Adab Semasa Tidur.

          Dianjurkan tidur dengan berbaring di sisi kanan [Shahih al-Bukhari, no: 247].

          Amat tidak dianjurkan tidur meniarap kerana ia bukan sahaja memboroikan perut, tetapi merupakan posisi yang dibenci oleh Allah s.w.t.. Ketika melihat seorang sahabatnya yang tidur meniarap, Rasulullah s.a.w. mengejutnya seraya bersabda: “Bangunlah! Ini ialah posisi tidur yang dibenci oleh Allah.” [Shahih Adab al-Mufrad, no: 905]

          Amat dianjurkan bangun malam berqiamulail. Jika anda dalam suasana didatangi haid atau nifas, tetap dianjurkan bangun untuk membaca al-Qur’an, berzikir dan berdoa sekali pun sekejap. Jangan membuat alasan konon bangun malam akan menyebabkan anda mengantuk pada keesokan harinya. Sebenarnya apa yang berlaku ialah di sebaliknya. Rasulullah s.a.w. menerangkan: “Syaitan mengikat di atas kepala seseorang kalian yang tidur dengan tiga simpulan dan menjadikan setiap simpulan pada tempat yang sepatutnya, lalu berkata: “Bagi kamu malam yang panjang, tidurlah!”. 

          Apabila orang itu bangun dan mengingati Allah, terbukalah satu simpulan. Apabila orang itu berwudhu’, terbukalah satu lagi simpulan. Apabila orang itu bersolat, terbukalah semua simpulan. Maka pada pagi harinya diri orang tersebut bersemangat lagi ceria. Sedangkan jika tidak (yakni semua simpulan masih terikat kerana tidak bangun malam) maka pada pagi harinya diri orang tersebut malas dan murung.” [Shahih al-Bukhari, no: 3269]

          Seandainya anda mendapat mimpi buruk (nightmare), maka Rasulullah s.a.w. mengajar kita: “Mimpi yang baik daripada Allah sedangkan mimpi yang buruk daripada syaitan. Maka apabila salah seorang daripada kalian mendapat mimpi buruk yag dibencinya, maka hendaklah dia ludah ke kiri tiga kali dan memohon perlindungan kepada Allah dari keburukan mimpinya itu (dengan menyebut A‘uzubillah himinash syaitan nirajim), sesungguhnya mimpi buruk itu tidak dapat memudaratkannya.” [Shahih Muslim, no: 2261]

          Ludah yang dimaksudkan ialah meludah seperti biasa tanpa mengeluarkan air liur. Seandainya terkeluar air liur, maka cepat-cepatlah minta maaf kepada rakan sebilik yang sedang nyenyak di sebelah kiri anda itu. Umm Sulaim, isteri kepada Abu Thalhah pernah bertanya: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Allah tidak malu dari kebenaran! Apakah seorang wanita wajib mandi hadas jika dia mimpi basah?” Rasulullah menjawab: “Ya, apabila dia menemui air mani (apabila terjaga dari tidur).” [Shahih al-Bukhari, no: 282]

          Wajib juga mandi hadas jika tidak ingat sama ada telah bermimpi atau tidak berdasarkan hadis berikut yang diriwayatkan oleh Aisyah, di mana Rasulullah pernah ditanya tentang seorang yang menemui air mani padahal dia tidak ingat tentang mimpinya. Baginda menjawab: “Dia wajib mandi hadas.” Ketika ditanya tentang seorang yang bermimpi tetapi tidak menemui air mani (setelah terjaga), baginda menjawab: “Tidak wajib mandi hadas baginya.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 234]

Adab Bangun Tidur.
          Ketika bangun tidur, dianjurkan membaca doa: “Alhamdulillah hillazi ahyana ba’da ma amatana wa ilaihin nusyur” yang bermaksud: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah sebelumnya mematikan kami dan hanya kepada-Nya kami akan dibangkitkan (pada Hari Akhirat kelak).” [Shahih al-Bukhari, no: 6312]

          itu dianjurkan terus membasuh tangan: “Jika salah seorang daripada kalian bangun tidur, janganlah dia memasukkan tangannya ke dalam bekas air sebelum membasuhnya sebanyak tiga kali kerana dia tidak tahu di manakah tangannya ketika dia tidur.” [Shahih Muslim, no: 278]

           Akhir sekali dianjurkan menghirup air ke dalam hidung dan menghembusnya keluar sebanyak tiga kali kerana: “…sesungguhnya syaitan bermalam di rongga hidung (orang yang tidur).” [Shahih Muslim, no: 238]

          Demikian adab-adab sebelum, semasa dan selepas tidur yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita. Amalkanlah ia supaya tidur kita menjadi satu ibadah yang membuahkan pahala. Selamat malam!