Soalan:
Saya sudah menjangkau usia 28 tahun dan masih lagi tidak mempunyai teman lelaki. Ada saudara-mara yang mencadangkan saya menjalani rawatan tradisional seperti mandi bunga untuk mempercepatkan jodoh. Apakah hukumnya?

Masliza Mahadi, Air Jawa, Sabah.


Jawapan:
Kepercayaan di sebalik rawatan mandi bunga ialah ia membersihkan sial atau nasib buruk yang dianggap wujud pada diri yang perlu dimandikan. Oleh kerana itulah selepas mandi bunga, orang yang menjalani rawatan ditegah mengutip atau membersihkan sisa-sisa bahan mandian dari lantai tempat mandi. Konon jika dia mengutip atau membersihkannya, sial atau nasib buruk yang sudah diserap keluar oleh bahan-bahan mandian itu akan masuk semula ke dalam dirinya.

Rawatan mandi bunga, sama ada oleh perawat dan yang dirawat, termasuk amalan syirik kepada Allah. Tidak ada sial atau nasib buruk pada sesuatu benda atau perbuatan, pada seseorang atau pada diri sendiri. Pada zaman Rasulullah saw, masyarakat mempercayai nasib baik atau buruk pada arah penerbangan burung. Jika burung terbang ke arah kanan, maka apa jua urusan yang mereka buat pada ketika itu dipercayai akan menjadi baik. Sebaliknya jika burung terbang ke arah kiri, maka apa jua urusan yang mereka buat pada ketika itu dipercayai akan ditimpa kesialan. Kepercayaan ini dilarang oleh Rasulullah:

“Mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik, mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik. (Baginda mengulanginya tiga kali).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3910]

Solusi bagi sesuatu masalah ialah berdoa kepada Allah kemudian berusaha untuk memperolehinya. Mandi bunga hanya menjauhkan seseorang daripada Allah, jauh daripada Rahmat-Nya, jauh daripada pertolongan-Nya.