Soalan:

Apakah makhluk yang mula-mula dijadikan oleh Allah di muka bumi ini sebelum Nabi Adam diturunkan ke bumi?

Balqis Aqila, Dungun, Terengganu.

 

Jawapan:

Di antara ciri keimanan kita kepada al-Qur’an ialah ia sudah menerangkan kepada kita semua yang perlu diketahui sebagai seorang muslim, untuk berjaya dan selamat di dunia dan akhirat.

Dalam susun kata lain, jika sesuatu perkara itu penting, Allah dan Rasulullah akan menerangkannya di dalam al-Qur’an dan hadis yang sahih. Jika sesuatu perkara itu tidak penting, Allah dan Rasulullah akan mendiamkannya. Apa yang Allah dan Rasulullah diamkan, tak perlu kita mencari-carinya. Ini kerana jika ditemui sekali pun, ia tidak terbukti sahih dan tidak membawa apa-apa manfaat kepada kita.

Dasar ini sangat penting kerana terdapat sebahagian agamawan atau umat Islam amat minat kepada kisah-kisah yang tidak diceritakan oleh al-Qur’an dan hadis yang sahih. Salah satu daripadanya ialah siapa atau apa makhluk yang hidup sebelum Nabi Adam diturunkan ke bumi. Maka jawapannya ialah, tidak perlu diketahui siapa atau apa kerana Allah dan Rasulullah tidak mengkhabarkannya kepada kita. Bererti ia bukanlah sesuatu yang penting untuk agama dan umat, dunia dan akhirat.