Bismillahi Rahmani Rahim,
Assalamu’alaikum, waRahmatullahi waBarakatuh,

Ulasan Ke Atas Sanggahan Roslee Ismail.

Sebagai penulis buku, saya menerima banyak maklumbalas daripada para pembaca. Di antaranya ada yang bertanya soalan, memberi pendapat, menyatakan sokongan dan menyatakan sanggahan. Semua ini kita alu-alukan sebab tidak ada penulis yang sempurna, tidak ada buku yang sempurna. Ini termasuklah saya.

Baru-baru ini hangat dibicarakan satu sanggahan oleh Roslee Ismail berjudul: “Suatu Sanggahan Ke Atas Hafiz Firdaus Abdullah.” Sanggahan ini dia siarkan di laman Facebooknya dan beberapa pengunjung telah memanjangkan (forward) sanggahan dia kepada saya.

Sanggahan ini kita alu-alukan kerana ia salah satu sarana untuk kita meningkatkan ilmu dan melakukan pembetulan dalam penulisan yang sememangnya tidak sempurna. Dalam artikel ini, marilah kita menganalisa dan mengulas sanggahan Roslee Ismail tersebut.

Penting untuk dinyatakan, sanggahan Roslee Ismail yang dirujuk ialah apa yang dipanjangkan kepada saya dari laman Facebook dia pada 01 Disember 2010. Dalam artikel ini, kita hanya akan menganalisa dan mengulas poin-poin yang penting dari sanggahan tersebut. Maka saya tidak akan menukil seluruh sanggahan Roslee Ismail dalam artikel saya ini. Para pembaca yang berminat boleh merujuk kepada laman Facebook Roslee Ismail untuk membaca artikel yang penuh.

M

Sanggahan Roslee Ismail:
Hafiz Firdaus Abdullah menulis dalam bukunya Pedoman-pedoman Bermazhab Dalam Islam (bab 12: Adakah Seruan: Kembali al-Qur’an dan Hadith” Bererti Meninggalkan Ajaran Mazhab-mazhab Islam?)

[Notakaki 1: Pedoman-pedoman Bermazhab Dalam Islam, Perniagaan Jahabersa, Johor Bahru, 2000, cet. 1, hlm. 186.]

Ulasan Hafiz Firdaus:
Edisi yang dirujuk oleh Roslee Ismail ialah edisi pertama buku Pedoman-Pedoman Bermazhab yang dicetak pada tahun 2000. Dengan bertambahnya ilmu dan kefahaman, saya telah membuat edisi kedua (revision) pada tahun 2004 dan satu lagi edisi ketiga pada tahun 2008. Apa yang berada di laman sekarang (
www.hafizfirdaus.com) ialah edisi kedua terbitan 2004 sementara yang berada di pasaran sekarang ialah edisi ketiga terbitan 2008.

Sepatutnya apabila seseorang itu ingin mengkaji dan membuat sanggahan, dia merujuk kepada edisi yang terbaru sebab edisi inilah yang mewakili pendapat terkini seseorang penulis. Roslee Ismail dalam sanggahannya merujuk kepada edisi pertama (2000) dan edisi kedua (2004) dan melaga-lagakan di antara kedua-dua edisi ini.

Sejak awal kita telah dapat mengenal niat murni Roslee Ismail dalam sanggahannya ini.

M

Sanggahan Roslee Ismail:
1. Adakah wajar apabila al-Imam al-Shafi^i berkata: “Aku tidak mengetahui…”, lalu dikatakan bahawa beliau kemungkinan besar tidak sempat menemui hadith-hadith berkenaan? Sedangkan pendapat al-Imam al-Shafi^i ini hanya mengandungi bicara tentang masalah istinbat dan hukum, dan tidak ada pun pengakuan beliau atau isyarat bahawa beliau tidak menemui hadith-hadith berkenaan (madmadah) dan menghirup air melalui hidung (istinshaq)!! Amat jelas di sini Hafiz Firdaus salah faham terhadap kata-kata al-Imam al-Mujtahid al-Shafi^i.

Ulasan Hafiz Firdaus:
Benar, saya telah salah faham kata-kata al-Imam al-Syafi’e rahimahullah. Atas dasar inilah saya telah menarik balik kenyataan itu dalam buku edisi kedua dan edisi ketiga.

Di sini kita berterima kasih kepada Roslee Ismail yang ingin membetulkan kenyataan tersebut. Hanya dia lewat enam tahun, sebab kenyataan itu telahpun dibetulkan sejak edisi kedua yang terbit pada tahun 2004. Malah, saya sebenarnya telah membuat pembetulan pada tahun 2003, hanya proses percetakan yang agak perlahan menyebabkan buku edisi kedua terbit pada tahun 2004.

Maka Roslee Ismail sebenarnya lewat tujuh tahun.

M

Sanggahan Roslee Ismail:
2. Hairan! Jikalah al-Imam al-Shafi^i tidak menemui hadith-hadith berkenaan, maka bagaimana mungkin al-Imam al-Shafi^i boleh mengistinbatkan hukum sunat bagi madmadah dan istinshaq? Bagaimana pula beliau tahu ada perbuatan madmadah dan istinshaq sebelum berwuduk? Adakah Hafiz Firdaus menyangka al-Imam al-Shafi^i menentukan hukum sunat dengan jahil dan melulu?

3. Bahkan, sebenarnya Hafiz Firdaus terlalu melulu dalam hal ini. Adakah anda tahu wahai Hafiz Firdaus bahawa al-Imam al-Shafi^i telah meriwayatkan hadith-hadith madmadah dan istinshaq dalam kitab beliau Musnad al-Shafi^i; beliau berkata:

Ulasan Hafiz Firdaus:
Setelah mengemukakan sanggahan di atas, Roslee Ismail seterusnya mengemukakan tiga hadis dari Musnad al-Syafi’e.

Dalam sanggahan dan pengemukaan di atas, terserlah kejahilan dan sifat terburu-buru Roslee Ismail. Ini kerana hadis-hadis yang dia kemukakan dari Musnad al-Syafi’e hanya bersifat menerangkan perbuatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Sesiapa yang lazim membaca kitab-kitab Ushul al-Fiqh, dia akan mengetahui kaedah mengistinbatkan hukum oleh al-Imam al-Syafi’e yang secara asasnya:

[a] Apabila Rasulullah pernah melakukan sesuatu ibadah, ia membawa hukum sunat.

[b] Apabila Rasulullah melakukan sesuatu ibadah secara berterusan, ia membawa hukum sunat muakkadah.

[c] Apabila Rasulullah memerintahkan sesuatu ibadah, ia membawa hukum wajib.

Tiga kaedah di atas hanya secara asas. Ia seterusnya digandingkan dengan faktor-faktor (qarinah) yang lain seperti hadis yang memiliki maksud yang berlainan, susunan lafaz hadis dan amalan orang-orang pada zaman al-Imam al-Syafi’e rahimahullah.

Justeru apabila dalam edisi pertama saya menyatakan al-Imam al-Syafi’e tidak menemui hadis, yang dimaksudkan ialah hadis yang bersifat memerintah bukannya yang bersifat perbuatan. Ini telah dinukil sendiri oleh Roslee Ismail dalam sanggahannya:

“Daripada penjelasan Imam Shafie di atas, kemungkinan besar dia tidak sempat menemui hadith-hadith yang MEMERINTAHKAN seseorang itu berkumur-kumur dan menghirup air ke hidung ketika berwudhu. Walaubagaimanapun telah ditemui hadith-hadith Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam di mana beliau MEMERINTAHKAN orang yang berwudhu untuk berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung…”

Para pembaca diminta memberi perhatian kepada perkataan dalam huruf besar di atas.

Jika Roslee Ismail seorang yang berhati-hati lagi pakar, dia dengan mudah akan dapat mengesan apa yang saya maksudkan. Seterusnya dia akan mengemukakan hadis yang memerintahkan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung yang sepatutnya diketahui oleh al-Imam al-Syafi’e.

Tindakan Roslee Ismail mengemukakan hadis-hadis perbuatan dari Musnad al-Syafi’e lalu bertanya: “bagaimana mungkin al-Imam al-Shafi^i boleh mengistinbatkan hukum sunat bagi madmadah dan istinshaq?” menunjukkan dia sendiri yang jahil lagi terburu-buru.

M

Sanggahan Roslee Ismail:
1. Al-Imam al-Shafi^i tidak berdosa pun malah mendapat satu pahala andainya beliau tersalah dalam menentukan hukum sunat bagi amalan madmadah dan istinshaq kerana beliau seorang yang layak untuk berijtihad dengan berpandukan terus kepada al-Quran dan beberapa riwayat hadith yang berkenaan.

2. Soalnya, adakah Hafiz Firdaus ini dapat pahala atau dosa kerana menuduh al-Imam al-Shafi^i tidak menemui hadith madmadah dan istinshaq dan silap ijtihad?

Ulasan Hafiz Firdaus:
Semoga Allah Subhanahu waTa’ala mengurniakan pahala yang berkekalan kepada al-Imam al-Syafi’e dan semua imam-imam Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah kita.

Adapun soalan kedua yang ditujukan kepada saya, maka saya hanya dapat kemukakan ayat berikut dari al-Qur’an al-Karim yang bermaksud:

“Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Ahzab 33:05]

Mana-mana penulis yang tersilap dalam penulisannya dan dia tidak sengaja dalam kesilapan itu, maka kita tidak bertanya atau menganggap dia berdosa. Kita hanya membetulkan kesilapan penulis  tersebut. Ini merupakan salah satu dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, iaitu kita fokus kepada membetulkan perbuatan manakala pembuatnya diserah kepada Allah Subhanahu waTa’ala.

Nampaknya Roslee Ismail bukan saja jahil dalam Ushul al-Fiqh, tetapi jahil juga dalam dasar-dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

M

Sanggahan Roslee Ismail:
Selepas Hafiz Firdaus membentang maksud hadis-hadis berkenaan berkumur-kumur (madmadah) dan menghirup air melalui hidung (istinshaq), lalu dia berkata[7]:

“Daripada empat hadith di atas, jelas kepada kita bahawa berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung serta menghembusnya keluar adalah salah satu daripada kewajipan wudhu. Ianya diperintahkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan perintah beliau adalah juga perintah Allah. Perintah ini tidaklah bertentangan dengan perintah Allah di dalam al-Qur’an, surah al-Ma’idah ayat 6 kerana mulut dan hidung itu sememangnya termasuk dalam bahagian muka manusia. Demikian penjelasan Imam Ahmad bin Hambal.” Intaha.

5. Apakah martabat ilmu Hafiz Firdaus yang melayakkan beliau untuk melakukan tarjih ke atas sesuatu ijtihad seseorang mujtahid?

Ulasan Hafiz Firdaus:
Nampaknya Roslee Ismail tidak jujur dalam penukilan kata-kata saya di atas. Dia tidak menukil rujukan notakaki saya.

Jika dirujuk dalam buku edisi pertama (2000), setelah kenyataan: “Daripada empat hadith di atas, jelas kepada kita bahawa berkumur-kumur dan menghirup air ke hidung serta menghembusnya keluar adalah salah satu daripada kewajipan wudhu. Ianya diperintahkan oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dan perintah beliau adalah juga perintah Allah”, saya telah mengemukakan notakaki seperti berikut:

“Imam Muhammad bin Ali asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, vol 1, ms 306-312. Imam Muhammad bin Ismail as-Sha'nani - Subul-us-Salam, vol 1, ms 106; Prof. Wahbah al-Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, vol 1, ms 222-225; Prof. TM Hasbi ash-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, vol 1, ms 233-238.”

Berdasarkan notakaki ini, para pembaca sanggahan akan dapat mengetahui bahawa saya tidak melakukan tarjih sesuka hati, tetapi sebenarnya merujuk kepada pentarjihan para imam yang layak. Dalam edisi kedua (2004) telah dikemukakan hasil pentarjihan al-Imam al-Syaukani rahimahullah:

“Saya berkata, pendapat yang mengatakan ia (berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung) adalah wajib merupakan pendapat yang benar. Ini kerana Allah Subhanahu telah memerintahkan di dalam kitabnya yang agung (al-Qur’an) untuk membasuh muka manakala berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung termasuk bahagian muka.  Dan sungguh telah jelas bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam secara berterusan melakukan yang sedemikian di dalam setiap wudhu’nya dan ini diriwayatkan oleh semua perawi yang menjelaskan sifat wudhu’ baginda shallallahu 'alaihi wasallam. Maka ini menerangkan bahawa termasuk bersama perintah al-Qur’an untuk membasuh muka ialah berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung.”

[Notakaki 117: Sebahagian daripada kata-kata al-Syaukani di dalam al-Sail al-Jarrar (ed: M. Ibrahim Zayid; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1405H), jld. 1, ms. 81.]

Roslee Ismail juga mengetahui nukilan saya terhadap kata-kata al-Imam al-Syaukani di atas dalam edisi kedua (2004). Persoalannya, kenapa Roslee Ismail mahu melaga-lagakan antara edisi pertama (2000) dan edisi kedua (2004)?

M

Sanggahan Roslee Ismail:
1. Apakah qarinah yang jelas dalam hadith-hadith yang menunjukkan bahawa amalan madmadah dan istinshaq itu wajib?

2. Memasukkan mulut dan hidung ke dalam definisi atau had muka adalah ijtihad al-Imam Ahmad dan bukannya nas qat^i al-Quran dan hadith yang mutawatir.

3. Luaran hidung dan mulut memang termasuk had muka dalam empat mazhab. Cuma ikhtilaf dalam madmadah dan istinshaq yang melibatkan batin mulut dan batin hidung.

4. Persoalan madmadah dan istinshaq itu sunat atau wajib termasuk dalam bab ijtihad dan ikhtilaf para imam mujtahid. Ijtihad seseorang mujtahid tidak membatalkan ijtihad seseorang mujtahid yang lain.

Ulasan Hafiz Firdaus:
Untuk mendapatkan jawapan kepada empat soalan di atas, kita menjemput Roslee Ismail dan para pembaca sekalian untuk merujuk keterangan Syaikh Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim dalam kitabnya yang amat bermanfaat: Shahih Fiqh al-Sunnah. Di sana beliau telah menjelaskan bahawa yang rajih ialah wajib berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dengan penjelasan yang melebihi tiga mukasurat (jilid pertama, ms. 168 dan seterusnya).

Wajib berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung juga merupakan pilihan para ulama’ peneliti masa kini. Antaranya ialah penulis kegemaran ramai di Malaysia, pemilik buku La Tahzan, iaitu Syaikh Aidh al-Qarni. Beliau menyatakan:

“Hal-hal yang wajib dikerjakan ketika wudhu (antaranya) berkumur-kumur dan menghirup air dengan hidung kerana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah berwudhu’ kecuali dengan berkumur-kumur serta menghirup air dengan hidung. Dan beliau bersabda: “Hiruplah air dengan hidung dengan kuat kecuali apabila kamu sedang berpuasa” [Abu Dawud (14), al-Tirmizi (788), al-Nasa’e (87), Ibn Majah (407). Lihat al-Misykah (405)] Beliau bersabda pula: “Berkumur-kumurlah dan masukkanlah air ke dalam hidung” [al-Hakim (454)]”

[Fiqh al-Dalil (edisi terjemahan atas judul Ensiklopedi Dalil Hukum; Pustaka Samudra Ilmu, 1426H), ms. 36-37]

Ringkasnya, pendapat yang mewajibkan berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung bukanlah sesuatu yang lemah lagi janggal. Ia merupakan pilihan sebahagian para imam dan ahli ilmu.

M

Sanggahan Roslee Ismail:
1. Guru saya Maulana Husayn ibn ^Abdul-Qadir[9] berkata dalam risalah beliau (kertas pembentangan) Adakah anda mujtahid?[10]:

“HURAIAN TENTANG PERKATAAN IMAM SYAFIE

اذا صح الحديث فهو مذهبي ertinya: Apabila sahih sesuatu hadith maka ianya mazhabku.

Ulasan Hafiz Firdaus:
Setelah mengemukakan penjelasan gurunya Maulana Husayn Ibn Abdul Qadir, Roslee Ismail menjelaskan secara panjang lebar maksud kata-kata al-Imam al-Syafi’e: “Apabila sahih sesuatu hadith maka ianya mazhabku”. Antara lain, Roslee Ismail mengemukakan penerangan al-Imam al-Nawawi rahimahullah dari kitabnya al-Majmuk dan perbincangan kepada siapakah al-Imam al-Syafi’e menujukan kata-katanya di atas.

Di sini ingin ditarik perhatian para pembaca sekalian bahawa penjelasan yang diberikan oleh Roslee Ismail sedia ada dalam buku saya mulai dari edisi kedua. Sila rujuk kepada Bab kesembilan atau klik edisi ebook:

http://hafizfirdaus.com/ebook/PedomanMazhab/Chap9.php

Tidak sembunyi-sembunyi lagi, Roslee Ismail hanya menukil apa yang dia anggap salah sementara apa yang betul atau selari dengan pandangannya dia mendiamkan. Teringat saya kepada kata-kata hikmah: “Jangan menjadi umpama lalat yang hanya mencari luka bernanah pada seorang manusia”.

M

Sanggahan Roslee Ismail:
1. Oleh kerana riwayat hadith tersebut thabit sampai kepada al-Imam al-Shafi^i, maka jelaslah di sini bahawa beliau berpandukan al-Quran dan hadith-hadith berkenaan bagi menetapkan amalan madmadah idan istinshaq itu sunat.

Ulasan Hafiz Firdaus:
Nampaknya Roslee Ismail benar-benar tersungkur di sini.

Al-Imam al-Syafi’e berpendapat madmadah dan istinshaq adalah sunat bukan kerana al-Qur’an dan hadith-hadith tetapi kerana amalan para sahabat dan tabi’en yang pada ketika itu tidak beliau ketahui berpendapat ia wajib. Penjelasannya seperti berikut:

Pertama:
Al-Imam al-Syafi’e mengetahui hadis yang memerintahkan madmadah dan istinshaq berdasarkan hakikat bahawa hadis tersebut terdapat dalam al-Muwattha’ Imam Malik. Al-Imam al-Syafi’e pernah berguru dengan al-Imam Malik, justeru sudah tentu beliau mengetahui hadis dalam al-Muwattha’ yang bersifat memerintahkan:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا تَوَضَّأَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْعَلْ فِي أَنْفِهِ مَاءً ثُمَّ لِيَنْثِرْ وَمَنْ اسْتَجْمَرَ فَلْيُوتِرْ.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Apabila salah seorang dari kalian berwudlu, maka hendaklah dia memasukkan air ke hidungnya kemudian istintsar (menghembusnya keluar). Dan barangsiapa yang beristinja` dengan batu maka hendaklah dengan bilangan ganjil." [al-Muwattha’, hadis no: 30. Juga dikeluarkan oleh al-Bukhari, hadis no: 157 dan Muslim, hadis no: 348]

Seterusnya Imam al-Baihaqi juga mengemukakan riwayat yang seumpama dalam kitabnya Ma’rifat al-Sunan wa al-Atsar [hadith no. 159, cetakan Dar Al-Qutaibah, Dimasq, 1412H]. Ia seperti berikut:

عن أبي هريرة : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : « إذا توضأ أحدكم فليجعل في أنفه ماء ثم ليستنثر، ومن استجمر فليوتر. وقال البيهقي :رواه الشافعي في كتاب حرملة ، عن مالك ، ورواه البخاري في الصحيح ، عن عبد الله بن يوسف ، عن مالك.

Daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Apabila salah seorang dari kalian berwudlu, maka hendaklah dia memasukkan air ke hidungnya kemudian istintsar (menghembusnya keluar). Dan barangsiapa yang beristinja` dengan batu maka hendaklah dengan bilangan ganjil.” (Berkata Al-Baihaqi): “Telah meriwayatkan hadith ini oleh Al-Syafie dalam kitab Harmalah, daripada Malik, dan telah meriwayatkan hadith ini juga oleh Al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, daripada `Abdullah bin Yusuf daripada Malik.”

Kedua:
Hadis sahih di atas jelas menunjukkan perintah memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’. Akan tetapi al-Imam al-Syafi’e tidak menjadikan hadis perintah ini sebagai hukum wajib kerana terdapat faktor lain (qarinah), iaitu amalan para sahabat dan tabi’en. Marilah kita merujuk kepada Fath al-Bari Syah Sahih al-Bukhari:

وذكر بن المنذر أن الشافعي لم يحتج على عدم وجوب الاستنشاق مع صحة الأمر به الا لكونه لا يعلم خلافا في أن تاركه لا يعيد( قال ابن حجر )وهذا دليل قوي فإنه لا يحفظ ذلك عن أحد من الصحابة ولا التابعين الا عن عطاء وثبت عنه أنه رجع عن إيجاب الاعاده ذكره كله بن المنذر.

Disebutkan oleh Ibn al-Mundzir bahawa al-Syafi’e tidak mengemukakan hujah/alasan untuk menyokong pendapatnya yang tidak mewajibkan istinsyaq, meskipun perintah tentang itu sangat jelas adalah kerana beliau (al-Syafi’e) tidak mengetahui/mendapati adanya khilaf (antara para ulama pada zaman itu dari kalangan sahabat dan tabi’en) bahawa orang yang meninggalkannya tidak perlu mengulangi wudhu' (ertinya sunat, jika ditinggalkan tak perlu ulang wudhu’).

(Kata Ibn Hajar) : Ini merupakan hujah/dalil yang kuat [kenapa al-Syafie tetap berpegang ia sunat, sedangkan dia mengetahui hadith dalam hal ini] kerana hal itu tidak diketahui dan diamalkan secara berterusan oleh seorang jua dari kalangan sahabat mahupun tabi'en kecuali 'Atha'. Namun telah terbukti bahawa 'Atha' sendiri akhirnya menarik kembali pendapatnya tentang kewajipan  mengulangi wudhu' (bagi orang yang tidak melakukan madmadah dan istinshaq) sebagaimana yang telah disebut secara keseluruhan oleh Ibnul Mundzir.

[Fath al-Bari, Dar Al-Ma'rifah, Beirut, jld. 1, ms. 262. Dalam kurungan adalah tambahan saya. Terima kasih kepada Fathi dan elhakim dari forum www.al-fikrah.net yang telah menunjukkan saya kepada rujukan ini].

M

Sanggahan Roslee Ismail:
SANGGAHAN DAN SARANAN:

1. Pendapat al-Imam al-Shafi^i, al-Imam Ahmad dan al-Shawkani adalah suatu ijtihad yang bukan qat^i sifatnya atau diistilahkan sebagai zanni (berat sangkaan sahaja dan bukan pasti). Masing-masing sekadar berbeza pendapat dalam mengistinbat hukum berpandukan al-Quran dan hadith. Oleh itu, tidak ada makna perkataan Hafiz Firdaus: "...jika ia secara PASTI didapati TIDAK TEPAT berbanding dalil-dalil al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih..".

2. Sepatutnya dalam edisi baru tersebut Hafiz Firdaus membuat pembetulan fakta berkenaan tuduhannya ke atas al-Imam al-Shafi^i.

3. Seterusnya, Hafiz Firdaus mengisytiharkan kesilapan itu dan memohon maaf kepada awam pembaca agar tuduhan itu tidak berlanjutan dari satu generasi ke satu generasi.

4. Alasan Hafiz Firdaus: “…agar perbincangan lebih fokus dan memudahkan” sepatut ditukar kepada: “…kerana kesilapan fakta…” atau seumpamanya.

Ulasan Hafiz Firdaus:
Berdasarkan poin-poin sanggahan dan saranan di atas, maka saya mengulas:

Pertama:
Benar, semuanya hanya ijtihad antara para imam mujtahid. Maka orang awam seperti saya, Roslee Ismail dan para pembaca sekalian boleh memilih salah satu pendapat yang dicenderunginya. Justeru sanggahan dan saranan kembali kepada Roslee Ismail: “Berlapang dadalah terhadap perbezaan ijtihad di kalangan para imam mujtahid.”

Adapun perkataan saya: "...jika ia secara PASTI didapati TIDAK TEPAT berbanding dalil-dalil al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih.." maka ertinya janganlah seseorang itu secara mudah mengatakan pendapat salah seorang imam adalah tidak tepat. Pastikan terlebih dahulu.

Ketika menulis edisi pertama, saya telah memastikan apa yang ditulis adalah tepat berdasarkan pengetahuan ketika itu. Ketika menulis edisi kedua, apa yang saya pastikan tidak tepat dalam edisi pertama telah dipadamkan.

Kedua:
Pembetulan fakta telah dibuat. Kenyataan “al-Imam al-Syafi’e kemungkinan besar tidak jumpa hadis...” dalam edisi pertama telah dibuang dalam edisi kedua.

Ketiga:
Saranan dilaksanakan dalam laman web saya, di ruangan “Ralat”. Sila klik:
http://hafizfirdaus.com/content/view/464/109/

Keempat:
Saranan ini tidak perlu kerana merupakan ulangan kepada saranan ketiga di atas.

Kesimpulan.
Alhamdulillah, demikian ulasan saya ke atas sanggahan Roslee Ismail.

Sebagai penulis, saya mengaku hasil penulisan saya tidak sempurna. Banyak pembaca yang memberi maklumbalas secara sms dan emel kepada saya berkenaan apa-apa kekurangan dan kesilapan. Maklumbalas ini saya masukkan dalam edisi-edisi atau cetakan baru buku terbabit.

Di antara yang memberi maklumbalas ialah Roslee Ismail. Di awal artikel ini, saya ada nyatakan harapan agar maklumbalas Roslee Ismail dapat meningkatkan ilmu saya dan para pembaca sekalian. Sayang sekali, ternyata kita tidak mendapat ilmu yang baru dari maklumbalas Roslee Ismail. Apa yang ingin dia nyatakan sudah saya ketahui dan betulkan sejak tujuh tahun yang lepas. Bahkan apa yang nyata ialah Roslee Ismail lemah dalam pelbagai jurusan ilmu seperti Ushul al-Fiqh, dasar-dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, hadis-hadis dalam bab wudhu’ dan syarahannya.

Selain, itu sikap Roslee Ismail mengundang beberapa teguran ke atas dirinya:

Pertama:
Roslee Ismail memilih untuk menggunakan perkataan “sanggahan” padahal apa yang dia hendak sampaikan boleh saja dimasukkan dalam ruang lingkup “maklumbalas” atau “pembetulan”. Nampaknya sejak awal sudah ada api permusuhan dalam tujuan penulisan Roslee Ismail.

Kedua:
Roslee Ismail memilih untuk menyiarkan sanggahannya secara umum di laman Facebook. Roslee Ismail tidak menghubungi saya berkenaan sanggahan ini, hanya para pengunjung laman Facebook dia yang menghubungi saya berkenaan sanggahan ini.

Apapun alasan Roslee Ismail, nampaknya sukar untuk diterima bahawa di era kemudahan komunikasi sekarang ini, dia tidak dapat menghubungi saya. Alangkah baik lagi bertepatan dengan nilai-nilai persaudaraan Islam jika Roslee Ismail menghubungi saya secara peribadi dan menyampaikan maklumbalasnya. Maka saya akan balas kembali secara peribadi dan kita dapat berbincang secara harmoni.

Apatah lagi, apa yang hendak disampaikan oleh Roslee Ismail sebenarnya boleh dilakukan seringkas satu dua ayat:

“Dalam buku Pedoman Bermazhab cetakan pertama, anta nyatakan Imam al-Syafi’e tidak jumpa hadis madmadah dan istinshaq. Saya cadang kenyataan ini diralat sebab dalam Musnad al-Syafi’e ada hadis-hadis terbabit.”

Ketiga:
Roslee Ismail memberi fokus sanggahan kepada cetakan pertama sambil melaga-lagakannya dengan cetakan kedua. Penyanggah sepatutnya memberi fokus kepada cetakan terkini apabila ingin menyanggah.

Keempat:
Roslee Ismail hanya merujuk kepada satu kitab ketika membuat sanggahan, iaitu Musnad al-Syafi’e. Nampaknya Roslee Ismail tidak lebih bijak dari saya, sepuluh tahun yang lepas.

Semoga artikel saya ini yang merupakan ulasan ke atas sanggahan Roslee Ismail dapat menjernihkan suasana, meluruskan kekeliruan dan menjauhkan kita dari bersikap umpama lalat yang mencari luka bernanah. Apatah lagi yang disangkakan bernanah tidak terluka sedikit jua.