Alhamdulillah kita bertemu kembali. Pada kali ini saya ingin berkongsi sebuah ayat bersama pada pembaca sekalian, iaitu firman Allah yang bermaksud:

          Tidakkah engkau ketahui bahawa Allah mengetahui apa yang di langit dan di bumi? Tidaklah berbisik tiga orang melainkan Dia (Allah) yang keempat dan tidak pula lima orang melainkan Dia yang keenam; dan tidak kurang daripada itu serta tidak pula lebih melainkan Dia beserta mereka. Kemudian Dia khabarkan kepada mereka apa yang mereka kerjakan pada Hari Kiamat (kelak). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu. [Surah al-Mujadilah, ayat 7]
2_boys_whispering.jpg
          Ayat di atas menerangkan hakikat tentang orang yang berbisik-bisik. Berbisik ialah satu bentuk komunikasi secara rahsia di mana ia dilakukan tanpa pengetahuan orang lain. Namun, sekalipun orang lain tidak mengetahuinya, Allah tetap mengetahuinya.
         
          Dalam ayat di atas, Allah menyedarkan kita akan hakikat ini, di mana tidaklah sedikit atau banyak orang yang berbisik-bisik sesama mereka melainkan Allah hadir sama di antara mereka. Maksud kehadiran di sini bukanlah secara zat, tetapi secara pengetahuan. Ertinya Allah mengetahui apa yang mereka bisik-bisikkan.
M
          Apa yang kita bisik-bisikkan itu akan dikhabarkan semula oleh Allah pada Hari Kiamat. Seandainya yang kita bisik-bisikkan itu sesuatu yang baik, ia akan menjadi sumber pahala kepada kita dan rakan-rakan sebisik. Akan tetapi seandainya yang kita bisik-bisikkan itu sesuatu yang tidak baik, umpama menyebarkan fitnah, gossip, berita dusta dan sebagainya, ia akan menjadi penjana azab bagi kita dan rakan-rakan sebisik.
M
Bisikan Moden.
M
          Apabila dikatakan berbisik, lazimnya ia memiliki aksi tersendiri. Ia dilakukan dengan suara yang perlahan, dibisikkan terus ke telinga pendengar. Kerap kali ia diikuti dengan gerak badan yang membongkok, sambil mata menjeling ke kiri dan kanan memerhatikan sama ada orang yang tidak diingini mendengar atau tidak. Ini dinamakan bisikan tradisional.

          Pada masa kini, berbisik-bisik atau berkomunikasi secara rahsia dapat dilakukan dengan pelbagai cara, tidak lagi terhad kepada suara yang perlahan, badan yang membongkok dan mata yang menjeling. Kini berbisik dapat dilakukan melalui panggilan talifon, surat atau nota, sistem pesanan ringkas (SMS), emel, chat dan sebagainya. Pelbagai cara yang moden, namun objektifnya tetap sama, iaitu berkomunikasi secara rahsia.

          Justeru dalam rangka kita berbisik, sama ada secara tradisional atau moden, jangan lupa bahawa Allah tetap hadir sama. Apabila kita menalifon jiran di sebelah kanan menceritakan tentang kerenah jiran di sebelah kiri, ingat! Allah hadir sama. Apabila kita menulis surat kepada kakak menceritakan sikap ayah yang selalu balik lewat malam, ingat! Allah hadir sama.

          Apabila kita menSMS rakan sekuliah berkenaan pensyarah yang dibenci, ingat! Allah hadir sama. Apabila kita mengemel kepada rakan-rakan sekerja gambar rumah menteri yang tersangat mewah, ingat! Allah hadir sama. Apabila kita chatting dengan rakan luar negara berkenaan kezaliman pemimpin negara masing-masing, ingat! Allah hadir sama.

          Mudah kata, dalam rangka kita berbisik dengan apa jua cara, ingat! Allah hadir sama. Lebih dari itu, berbisik sebenarnya adalah satu ketagihan. Sekali ia bermula, ia akan terus berlanjutan. Seorang bermula, ramai lain akan menyambutnya dan menyebarkan. Justeru amat penting agar anda jangan menjadi orang yang pertama memulakan bisikan. Jika menerima bisikan, padamkan ia serta merta. Ciri ketagihan bisikan dikhabarkan oleh Allah:

          Tidakkah engkau melihat orang-orang yang dilarang berbisik-bisik, kemudian mereka kembali kepada larangan itu. Mereka berbisik-bisik dengan dosa, kezaliman dan menderhakai Rasul (menderhakai ajaran Islam). [Surah al-Mujadilah, ayat 8]

          Berbisik-bisik menjadi satu ketagihan kerana terdapat sesuatu atau seseorang yang sentiasa menggalakkannya, menyuruhnya dan memberi tenaga ke arahnya. Tidaklah seseorang itu berbisik melainkan pasti terasa kehadiran sesuatu atau seseorang dalam dirinya yang sentiasa menggalakkan dirinya berbisik. Penggalak itu tidak lain tidak bukan ialah syaitan. Rahsia ini telah dibocorkan oleh Allah dalam firman-Nya:

          Sesungguhnya berbisik-bisik (dengan dosa, kezaliman dan menderhakai ajaran Islam) tidak lain hanyalah dari syaitan supaya berduka cita orang yang beriman. Akan tetapi (bisikan itu) tidaklah memudaratkan mereka sedikit jua melainkan dengan izin Allah. Kepada Allah-lah bertawakkal orang-orang yang beriman. [Surah al-Mujadilah, ayat 10]
M
M
Bisikan Yang Dibolehkan. M
M
          Berbisik tidaklah dilarang secara mutlak. Pengecualian diberikan kepada bisikan yang mengandungi mesej kebaikan dan taqwa. Firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berbisik-bisik, maka janganlah berbisik-bisik dengan dosa, kezaliman dan menderhakai Rasul (menderhakai ajaran Islam). Sebaliknya berbisiklah dengan kebaikan dan taqwa. Takutlah kepada Allah yang hanya kepada-Nya kamu akan dihimpunkan (pada Hari Kiamat kelak). [Surah al-Mujadilah, ayat 9

          Justeru boleh, malah dianjurkan berbisik sama ada bisikan tradisional atau moden dalam rangka memberi nasihat, teguran dan peringatan yang selari dengan ajaran Islam. Ada pun selain itu, maka ingat! Allah hadir bersama anda.