Soalan:

Saya seorang wanita tetapi suka memakai pakaian ikut fesyen lelaki. Saya rasa lebih kemas dan bagus. Namun ada rakan saya yang berkata ia dilarang dalam Islam. Benarkah?

Zuraida, Shah Alam.

 

Jawapan:

Ya, benar. Islam melarang wanita menyerupai lelaki dan lelaki menyerupai wanita. Di antara penyerupaan yang itu ialah fesyen pakaian, fesyen rambut, cara duduk, cara bercakap dan cara bertingkah-laku. Dalil larangan ialah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Bukan dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita. (Musnad Ahmad, no: 6875 dengan sanad yang hasan). Bahkan ‘Abdullah ibn ‘Abbas menerangkan bahawa: Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki. (Shahih al-Bukhari, no: 5546). Hadis-hadis larangan dalam bab ini juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Aisyah.

Berdasarkan hadis-hadis di atas, ketahuilah perbuatan menyerupai jantina yang berbeza ialah satu kesalahan yang besar dalam Islam. Oleh itu hendak berusaha mengubah kesukaan anda daripada fesyen lelaki kepada fesyen wanita. Juga bukan sebarangan fesyen wanita, tetapi fesyen yang menutup aurat sepenuhnya, longgar, diperbuat dari kain yang tebal dan tidak dipakai untuk menunjuk-nunjuk atau menarik perhatian orang lain.