Soalan:

Apakah saka, adakah ia benar-benar wujud? Jika ya, bagaimana cara mengenali seseorang itu terkena saka dan benarkah ia boleh menghalangnya daripada mendapat jodoh?

Unie, Pulau Pinang.

 

Jawapan:

       Saka ialah jin yang dipelihara oleh seseorang sebagai penjaga, seperti menjaga rumah, ladang, ternakan dan lain-lain. Apabila tuan pemelihara meninggal dunia, jin penjaga itu akan diwarisi oleh seseorang dari keturunannya, umpama harta pusaka. Pewarisan ini lazimnya ditanda dengan sesuatu barang yang khas kepunyaan tuan pemelihara seperti keris, tepak sireh, tongkat, cincin dan sebagainya. Apabila tuan pemelihara mewariskan tongkatnya kepada anaknya, jin penjaga akan memahami bahawa anak itulah yang menjadi tuan barunya.

     Saka benar-benar wujud, dipelihara oleh segelintir masyarakat dahulu untuk menjaga apa yang penting bagi mereka. Ini mereka lakukan kerana tidak mengetahui hukum agama berkaitan pemeliharaan jin. Orang yang memelihara jin atau mengambil manfaat daripada jin, tanpa dibezakan jin muslim atau bukan muslim, maka dia akan diazab di dalam neraka. Ini berdalilkan ayat berikut yang mengisahkan pengakuan sebahagian manusia yang telah bersenang-senang mengambil manfaat dari pertolongan jin, lalu Allah menghukum mereka dengan azab neraka:

Dan (ingatlah) hari di waktu Allah menghimpunkan mereka semuanya, (dan Allah berfirman): “Wahai golongan jin, sesungguhnya kamu telah banyak (menyesatkan) manusia”, lalu berkatalah kawan-kawan mereka dari golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian daripada kami (manusia) telah dapat kesenangan dari sebahagian (jin) dan kami telah sampai kepada waktu yang telah Engkau tentukan bagi kami.” Allah berfirman: “Neraka itulah tempat diam kamu, sedang kamu kekal di dalamnya kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain).” Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. [al-An’aam 6:128]

       Adapun tanda-tanda saka, maka ia sebenarnya agak sukar untuk dikenal pasti. Gangguan yang dialami oleh seseorang boleh berpunca dari pelbagai sebab seperti tekanan hidup, gangguan syaitan, hati yang was-was, khayalan dan jin saka. Wujud juga kemungkinan bahawa punca sebenar gangguan ialah syaitan, kerana syaitan ingin orang yang diganggunya berburuk sangka kepada ayah atau datuknya atas alasan saka.

     Apa yang penting, sama ada saka atau selainnya, syaitan dan jin yang jahat memang suka mengganggu manusia yang leka daripada Allah dan tidak yakin kepada pelindungan Allah. Semua orang, sama ada yang diganggu saka atau tidak, hendaklah sentiasa berhubung dengan Allah dan yakin akan perlindungan Allah. Syaitan serta jin jahat hanya berani kepada orang yang takut kepada mereka, takut kepada orang yang takut kepada Allah. Orang yang kuat hubungannya dengan Allah lagi yakin akan kuasa Allah untuk melindunginya, tidak akan dapat diganggu oleh jin saka.

       Adapun kesukaran mendapat jodoh, ia bukan kerana saka tetapi kerana sikap yang hanya duduk menunggu jodoh datang bergolek kepadanya.