Soalan:

Bagaimana untuk kita mengetahui sama ada amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah?

Ana Fauzi, Pasir Mas, Kelantan.

 

Jawapan:

Kita dapat mengetahui bahawa amalan tersebut diterima oleh Allah apabila ia menepati dua syarat. Syarat pertama, ia dilakukan dengan niat ikhlas untuk Allah. Maksud ikhlas ialah melakukan sesuatu tanpa mengharapkan pujian atau celaan manusia, tetapi keredhaan Allah semata-mata. 

Berkenaan niat ikhlas ini Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya amal itu tidak lain hanyalah dengan niat dan sesungguhnya bagi setiap orang hanyalah apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah untuk dunia yang dia inginkan atau kerana seorang wanita yang ingin dia nikahi, maka hijrahnya adalah kepada apa yang dia berhijrah kerananya. [Shahih al-Bukhari, no: 01]

Syarat kedua, amalan tersebut menepati tunjuk ajar Rasulullah.Jika seseorang itu membuat-buat amalan tersendiri, maka ia tertolak – yakni tidak diterima oleh Allah. Rasulullah bersabda: Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan kami ini apa yang tidak (memiliki asal-usul) darinya maka ia tertolak. [Shahih Muslim, no: 3242]

Niat ikhlas ingin membuat kebaikan dan amal ibadah saja tidak cukup, perlu dipastikan terlebih dahulu ia menepati tunjuk ajar, perintah larangan Rasulullah.