Soalan:

Sebenarnya saya masih lagi jahil tentang agama. Harap ustaz dapat membantu. Kemusykilan saya ialah bagaimana untuk saya dapatkan keyakinan dalam diri tentang adanya Allah? Harap berikan ulasan mengikut logik akal.

Sherleyna, Tawau, Sabah.

 

Jawapan:

Cuba anda perhatikan alam ini, banyak tanda-tanda tentang adanya Allah. Mustahil alam ini wujud dan berada dalam tertib peraturannya yang tersendiri. Perhatikan sikap Nabi Ibrahim, beliau juga mengenal dan yakin adanya Allah melalui alam dan logik akal:

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.”

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat.” Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar.”

Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain).” [al-An’aam 6:75-79]

Demikian juga apabila diperhatikan tanaman-tanaman yang hidup di tanah yang sebelumnya kontang dan dari tanah yang sama itu muncul pula pelbagai jenis tanaman dengan pelbagai warna dan buah. Renungkanlah juga haiwan-haiwan, udara, lautan, bukit bukau dan angkasa, Renunglah juga diri sendiri, bagaimana adanya sel-sel, organ-organ, saraf-saraf dan saluran darah, semua bekerja secara harmonis. Nescaya akan diperolehi keyakinan bahawa Allah ada. Tidak logik semua ini wujud dalam secara tersendiri.

Jangan lupa juga untuk berdoa kepada Allah agar diberi petunjuk agar dapat lebih menyakini tentang diri-Nya dan lebih mengetahui tentang agama-Nya.