Soalan:

Adakah pakaian yang dibasuh dan dibilas di dalam satu besen secara serentak, suci dan boleh dipakai dalam solat?

Azmira Azmi, Pontian, Johor.

 

Jawapan:

Pakaian yang dibasuh dan dibilas dalam satu besen terbahagi kepada dua kategori. Pertama, pakaian yang diketahui secara jelas terdapat najis padanya. Najis tersebut dapat dilihat dengan mata atau dihidu baunya. Bagi kategori pertama ini, hendaklah dikikis buang najis tersebut dan dibasuh pakaian itu sahaja tanpa dicampur dengan pakaian lain. Setelah itu ia boleh dibilas (rinse) bersama pakaian lain dalam satu besen. 

Kedua, pakaian yang diketahui ada atau tidak najis padanya. Sekadar pandangan mata kasar dan hiduan biasa, tiada bukti terdapat najis padanya. Maka ia boleh dibasuh dan dibilas bersama pakaian-pakaian lain dalam satu besen.

Ingin ditambah, syaitan kerap kali mengganggu umat Islam dalam persoalan membasuh pakaian. Ia membisikkan perasaan was-was dan ragu-ragu sehingga di kalangan umat Islam ada yang membazir banyak masa, tenaga, air dan sabun dalam rangka membasuh pakaian. Justeru jika timbul keraguan atau was-was, mulailah basuhan dengan Ta’awwuz dan Basmalah.