Soalan:

Bolehkah ustaz jelaskan kedudukan orang mengandung sebelum nikah?

Zetty Aira, Jitra, Kedah.

 

Jawapan:

Orang yang mengandung sebelum nikah telah melakukan dosa yang besar. Pun begitu, keampunan Allah sentiasa terbuka kepada kedua-dua orang (wanita yang mengandung dan lelaki yang menyebabkan dia mengandung), oleh itu bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah pengampunannya. Firman Allah: Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan dosa besar), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Zumar 39:53-54]

Setelah bertaubat, teruskanlah kehidupan baru bersama anak tersebut. Apa yang sudah berlaku, lepaskanlah ia di belakang. Janganlah membuangnya, kerana membuang bayi hanya akan mengundang sebuah lagi dosa besar. Berterus teranglah kepada ibubapa, akuilah keterlanjuran anda dan mohonlah sokongan mereka dalam kehidupan baru bersama anak tersebut. 

Sesungguhnya mengandung anak selama sembilan bulan, kesusahan melahirkan anak dan jerih-payah mengasuhnya sehingga dewasa adalah satu amalan yang amat besar pahalanya di sisi Allah. Jadilah ibu terbaik kepada anak tersebut dan jadikanlah anak itu sebagai sarana untuk memperoleh syurga di sisi Allah.