Soalan: 

Saya seorang gadis yang sudah agak berumur. Saya sedih bila mengenangkan ramai kawan sebaya yang telah berkahwin dan beranak pinak, sedangkan saya masih begini. Bolehkah ustaz terangkan kepada saya bagaimana kaedah mencari jodoh dalam Islam?

Zarifah Zarif, Sentul, Kuala Lumpur. 

 

Jawapan:

Kaedah mencari jodoh yang betul ialah berusaha mencarinya dan tidak berpeluk tubuh menanti kedatangannya. Antara cara mencari yang baik ialah bertanya kepada orang-orang yang lebih tua, berpengalaman dan amanah, seandainya mereka mengetahui cadangan calon yang sesuai. Jadikan orang yang lebih tua itu sebagai orang tengah dalam urusan ini. 

Cara lain ialah menawarkan diri secara terus kepada lelaki yang dirasakan layak menjadi suami anda. Ini bukanlah sesuatu yang salah atau patut dirasakan malu. Anas bin Malik menerangkan: “Ada seorang wanita datang kepada Rasulullah lalu menawarkan dirinya kepada baginda (untuk dijadikan isteri).” Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah, adakah anda berhasrat padaku?” Anak perempuan Anas (yang turut hadir saat itu) berkata: “Alangkah sedikitnya rasa malu dia.” Anas berkata: “Wanita itu lebih baik berbanding kamu sebab dia suka kepada Nabi sehingga dia menawarkan dirinya kepada baginda.” [Shahih al-Bukhari, no: 4726/5120]

Memandangkan masa kini jumlah lelaki yang berkualiti amat sedikit, salah satu pilihan yang ada ialah berpoligami, yakni menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat bagi lelaki tersebut. Ini adalah satu amalan yang dihalalkan oleh Islam bagi menangani situasi kekurangan lelaki yang berkualiti.