“Kenapa kamu tak makan ba alif ba ya?” tanya rakan sekerja saya.

“Owh, sebab ia dilarang ke atas kami di dalam al-Qur’an. Hmm…bukan ke ia juga dilarang ke atas kalian di dalam Bible?” saya bertanya kembali.

“Ya benar, namun itu hanya untuk zaman Bible ditulis. Pada zaman itu babi hidup dalam suasana kotor dan memakan najis, maka sebab itulah ia dilarang. Pada masa kini, babi dipelihara dalam suasana bersih dan memakan apa yang berkhasiat baginya. Maka sebab itulah kami boleh memakannya.”

“Jadi ringkasnya, larangan-larangan dalam Bible dikaitkan dengan zamannya, sehingga jika zaman berubah maka hukumnya juga berubah?”

“Ya betul, sebab itulah kamu akan dapati terdapat banyak larangan dalam Bible yang kami tidak amalkan sekarang ini. Bukan kerana kami menolak Bible tetapi kerana zaman kini berbeza dengan zaman Bible.”

Saya mengangguk-angguk mendengar penjelasan rakan saya itu sambil memikirkan, inilah yang juga sedang berlaku kepada ajaran Islam masa kini.

 

Sekularisme Wajah Baru?

Akhir-akhir ini saya agak kerap mendengar agamawan Islam berhujah, bahawa nas-nas Islam (ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah) berkenaan ibadah seperti wudhu’ dan solat dikekalkan hukumnya kerana ia berkaitan dengan hubungan manusia kepada Allah. Akan tetapi nas-nas Islam berkenaan urusan dunia seperti rumahtangga, ekonomi dan politik boleh diubah hukumnya kerana ia berkaitan hubungan manusia sesama manusia. Nas-nas boleh diubah hukumnya demi memberi kemaslahatan kepada manusia.

Sepintas lalu, hujah di atas kelihatan seperti satu bentuk sekularisme dalam wajah yang baru. Agama dipisahkan antara ibadah dan dunia, di mana ibadah dikekalkan sementara dunia diubah-ubahkan. Wujud juga tanda-tanda bahawa semua ini merupakan langkah-langkah awal ke arah sekularisme yang lebih dahsyat. Ini kerana jika kita mengkaji agama-agama lain yang diserang virus sekularisme, ia semua bermula secara bertahap-tahap, sedikit demi sedikit.

Timbul persoalan lain, yakni apabila dikatakan hukum nas-nas berkenaan dunia boleh diubah demi kemaslahatan manusia, kemaslahatan itu berdasarkan penilaian siapa? Sama-sama diketahui setiap individu memiliki ukuran, pandangan dan penilaian yang berbeza-beza. Lebih penting, apakah Allah tidak mengetahui urusan makhluk ciptaan-Nya sehingga apa yang disyariatkan-Nya hanya memberikan kemaslahatan bersifat sementara manakala selebihnya diserahkan kepada manusia?

Atas nama kemaslahatan, ribuan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah akan menjadi bahan bacaan semata-mata, bukan lagi sumber hukum dan panduan hidup. Islam tidak menjadi agama yang membimbing manusia tetapi manusialah yang membimbing Islam. Islam tidak lagi berbeza dengan agama rakan bual saya di atas.

  

Kisah Pokok Kurma.

datestree.jpg

Apabila saya mempersoalkan isu memisahkan agama kepada ibadah dan dunia serta mengubah hukum yang sudah memiliki nas, tidaklah bererti saya menolaknya seratus peratus. Ini kerana dalam bab ini terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Shahihnya, no: 4358 bahawa Anas bin Malik menerangkan:

Nabi pernah melintasi satu kaum yang sedang mengahwinkan pohon kurma, lalu baginda bersabda: “Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik.” Akan tetapi selepas itu, ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rosak. Maka pada ketika yang lain apabila Nabi melintasi mereka lagi dan melihat hal itu, baginda bertanya: “Kenapa dengan pohon kurma kalian?” Mereka menjawab: “Bukankah anda telah mengatakan sekian-sekian tentangnya (lalu atas sebab itulah ia menjadi rosak)?” Baginda lalu bersabda: “Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian.”

Dalam hadis ini terdapat satu hukum, iaitu Rasulullah melarang para petani mengahwinkan pohon-pohon kurma. Dalam hadis ini juga terdapat petunjuk, bahawa larangan Rasulullah tersebut tidak wajib diikuti kerana ia melibatkan urusan dunia. Ia terpulang kepada penilaian para petani tersebut.

Hadis ini menjadi hujah bahawa nas-nas urusan dunia tidaklah wajib diikuti sepenuhnya. Manusia boleh, berdasarkan ilmu dan pengalaman mereka, melakukan sesuatu yang berbeza dari apa yang diperintahkan.

 

Mencari Jalan Pertengahan.

Di antara sekularisme wajah baru dan hadis pokok kurma, kita perlu mencari jalan pertengahan yang adil. Kita tidak boleh menganggap semua nas-nas agama dalam urusan dunia tidak wajib diikuti hukumnya atau boleh diubah-ubah hukumnya. Kita juga tidak boleh membataskan diri kepada hukum yang terkandung dalam semua nas-nas urusan dunia kerana memang sebahagian daripadanya khusus merujuk kepada zaman Rasulullah atau memang tidak dimaksudkan sebagai sesuatu yang wajib diikuti.

Di sini para ilmuan mesti menggariskan kaedah-kaedah yang jelas sebagai panduan menentukan bagaimana sesebuah nas boleh diubah hukumnya atau dikekalkan. Tidak cukup dengan alasan “kamu tidak faham ilmu usul fiqh!” kerana dibimbangi pihak yang memberi alasan tersebut juga tidak memahaminya. Dibimbangi juga, ada pihak yang mengubah hukum yang terkandung dalam nas-nas tersebut supaya selari dengan aliran, fikrah atau jamaah yang diikutinya. Senafas dengan kebimbangan ini, jika para ilmuan gagal menggariskan kaedah yang jelas lagi meyakinkan, adalah lebih selamat untuk kita semua tetap berpegang kepada hukum asal yang terkandung dalam-nas-nas tersebut.