Arshad

          “Pengurus Bahagian Pinjaman Konvesional. Hmm…dia sendiri banyak berhutang dan terlewat beberapa bayaran.”

          “Pengurus Bahagian Pinjaman Islam. Err! Akhlak tak Islamik, kalau janji memang jarang-jarang dia tunaikan. Ini pula nak janji pinjamkan aku duit. Pasti dimungkiri lagi.”

          “Pengurus Bahagian Kontrak. Pegh! Kalau keluar makan bersama tak pernah dia yang nak keluar duit. Asyik orang lain yang belanja.”

         “Pengurus Khidmat Pelanggan. Hush! Pasti mustahil. Dengan semua pelanggan dia senyum dan sembang, sesama kami pekerja bank senyap memanjang aje.”

          “Pengurus Urusan Kaunter. Ini juga rasanya susah, sebab dia baru bertukar ke cawangan ini. Masakan dia dapat pinjamkan aku dua puluh ribu ringgit.”

          “Pengurus Cawangan. Jarang-jarang nampak muka. Asyik mencari peminjam di promosi jualan hartanah.”

          “Aku cemburulah tengok engkau ini Shad” tiba-tiba Jamal menyapa dari meja sebelah, di celah-celah fail yang menimbun di atas meja.

          “Err…apa?” Arshad tersentak, segera menegakkan semula pena Pilot G-2nya yang tertidur ketika dia termenung tadi. Konon sedang sibuk menyemak dokumen di atas meja.

          “Apa jampi rahsia yang engkau pakai? Yalah, kerja banyak nak buat, tetapi asyik termenung aje.” Jamal menambah.

         “Ehh! Takde jampi-jampi, buat kerja macam biasa. Sekali-sekala termenunglah” bela Arshad sambil tersipu-sipu.

          “Aku tahu, engkau masih fikir-fikir…cari jalan macam mana nak dapatkan duit dua puluh ribu ringgit tu ya?”  

          “Haa…yalah. Aku sedang pertimbangkan sama ada mungkin atau tidak aku minta salah seorang pengurus bank kita ini untuk menghulurkan pinjaman dua puluh ribu tu kepada aku. Tetapi setakat ini takde yang aku rasa sudi membantu aku.”

          “Kenapa pulak? Bukan ke kalau dah pangkat manager RM pun dah lebih?”

          “Sepatutnya begitulah, namun bergantung kepada akhlak dan nilai agama masing-masing juga. Engkau tengoklah Maria, pengurus bahagian pinjaman kita yang cun melecun tu. Andartu yang barang kemasnya bukan main hebat sehinggakan aku rasa tak larat dia nak bawa…berat sangat. Tetapi hutang…Ehh! Berhenti! Berhenti. Aku tak mahu mulakan gossip pejabat” jawab Arshad sambil terus membetulkan dirinya.

           Ayat kedua belas surah al-Hujurat segera terlintas di fikirannya:

          “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

          “Kenapa engkau tak pohon pinjaman? Sebagai warga bank, permohonan kita mudah diluluskan dengan kadar bunga yang lebih rendah” jelas Jamal cuba memberi jalan keluar.

          “Ya aku tahu. Tetapi engkau tengoklah fail-fail atas meja aku ini. Semuanya berkenaan peminjam yang lewat, yang tertangguh dan tak mampu bayar. Bila nak pinjam memang senang, berseri-seri muka datang ke bank sambil terlebih yakin boleh bayar. Setelah beberapa bayaran ansuran, ha…mulalah semput di sana sini. Aku tak mahu menjadi salah seorang dari mereka” jelas Arshad membela dirinya.

          Dia baru tujuh bulan setengah bertugas di bank itu, sebagai pegawai yang memantau peminjam-peminjam yang bermasalah. Secara tidak langsung jawatan itu memberi kesedaran bagi dirinya agar tidak mudah meminjam duit apabila menghadapi cabaran kewangan, sebaliknya cuba mencari solusi lain.

          “Ya aku faham sangat. Dulu itu meja aku. Habis apa Plan B engkau?” tanya Jamal penuh minat ingin membantu tetapi diri sendiri buntu. Dia yang berumur dua puluh lapan tahun lebih mengetahui suka-duka kehidupan peminjam berbanding Arshad yang tiga tahun lebih muda darinya. 

          “Setakat ini belum ada lagi. Tetapi aku yakin Allah akan memberi aku jalan keluar dari cabaran ini. Sebagaimana janji Allah: "Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

M

Jamal

          “Orait, mantop, mantop! Aku juga sedang tunggu jalan keluar juga. Dulu aku pun ada kekasih hati sejak zaman universiti. Lagi cun dari Maria tu…opss. Kami plan nak nikah lepas grad, dah bincang siap-siap dengan bakal mertua. Tengok-tengok bila dah grad mereka syaratkan bayaran hantaran lima belas ribu ringgit. Wadus! Ketika itu mana nak cari duit sebanyak itu. Aku pun kumpul-kumpul sikit sikit setiap bulan, hingga aku pun nikah dengan Cik Ducati yang lebih cun kat luar tu.”

          “Ehh! Macam mana plan nikah boleh berubah kepada beli Ducati?” tanya Arshad penuh minat, sambil memanjangkan leher melihat motorsikal Ducati berwarna merah garang milik Jamal yang dipakir depan bank.

          “Entahlah, aku fikir-fikir memang tak patut bakal mertua aku ketika itu, atau mana-mana ibubapa, meminta bayaran yang tinggi untuk pernikahan anak mereka. Macam jual anak pula. Aku susahlah nak hormat ibubapa macam itu” jelas Jamal sambil termenung jauh tanpa anak matanya fokus kepada apa-apa.

          “Akhirnya aku ambil keputusan tidak akan nikah melainkan dengan gadis yang tidak dijual oleh ibubapanya. Yang ibubapanya tidak meminta bayaran tinggi, yang ibubapanya membantu memudahkan pernikahan. Bukan yang menyusahkan” lanjut Jamal, antara melepaskan dendam dan menunjukkan keazaman.

          “Faham…setuju” angguk Arshad. “Bakal mertua aku minta bayaran dua belas ribu ringgit. Ibubapa aku sendiri minta lima ribu ringgit. Masing-masing konon nak guna untuk belanja majlis walimah. Belum campur lagi belanja baju pengantin, hantaran dan lain-lain kos tersembunyi. Sebab itu jumlahnya aku anggarkan dua puluh ribu ringgit” tambah Arshad, berbicara sebagai seorang graduan dalam jurusan perbankan Islam. “Habis, macam mana dengan Cik Ducati tu?”

          “Owh! Kecewa punya pasal, sikit-sikit duit yang sempat aku kumpul untuk nikah aku transfer kepada membeli motorsikal Ducati. Hobi superbike memang aku minati sejak zaman universiti juga. Tak dapat kekasih hati, dapat Ducati. Bila tunggang Ducati, macam tunggang isteri.”

 

Pakcik Hamid.

          “Assalamu’alaikum!”

          “Assalamu’alaikum Pakcik Hamid!” Effendy menguatkan suaranya. Sudah dua kali dia memberi salam. Jika salam ketiga tidak disahut, ertinya hendaklah dia pulang. Demikian yang diajar oleh sunnah.

          “Wa’alaikumussalam! Ehh! Kamu bersembunyi di mana? Pakcik dengar orang memberi salam tetapi tak nampak batang tubuhnya. Ingatkan penunggu sawah pakcik yang bagi salam” jawab Pakcik Hamid berjenaka. “Haa, masuklah, duduklah.”

          “Terima kasih pakcik” jawab Effendy sambil duduk di kerusi rotan yang ditunjukkan oleh Pakcik Hamid. “Saya bukan bersembunyi. Hanya adab sunnah bila tetamu ingin ziarah seseorang, jangan berdiri di depan pintu kerana bimbang terlihat sesuatu yang tidak disenangi oleh tuan rumah. Sebaliknya hendaklah berdiri di tepi.”

          “Pakcik dah agak dah. Kamu ni, apa saja yang kamu buat ada saja ayat Qur’an dan hadisnya. Yang adab berdiri di tepi tu hadis siapa?”

          “Maksud pakcik riwayat siapa? Ohh, ia riwayat Imam al-Bukhari rahimahullah dalam kitabnya al-Adab al-Mufrad.” Jelas Effendy.

          “Selama ini pakcik kenal Imam Syafie dan Imam Ghazali saja. Sejak kamu datang mengajar di kampung ini, macam-macam imam yang engkau sebut, tak pernah pakcik dengar selama ni. Takpa takpa, tujuan pakcik jemput kamu ke rumah kerana urusan lain. Imam…siapa tadi tu…lain kali kamu cerita kepada pakcik.”

          “Boleh pakcik” jawab Effendy sambil tersenyum. Beliau tak sampai setahun di kampung itu, ditugaskan sebagai guru agama di sekolah menengah kariah berkenaan. Para pelajar memanggilnya sebagai ustaz tetapi kebanyakan warga kampung masih belum selesa untuk memanggilnya dengan gelaran itu. Namun sekalipun sedemikian, mereka tetap menjemputnya memberi kuliah maghrib di masjid seminggu sekali pada hari Isnin.

          “Terus teranglah, pakcik tak berapa senang dengan kamu”

          “Ha?” Effendy terkejut, membetulkan posisi duduknya dari selesa kepada tegak.

          “Pakcik tak senang dengan apa yang kamu ajar, yang kamu sampaikan sejak hampir setahun ini. Tahlil tak boleh, Yasin tak boleh, Zikir berlagu tak boleh, Usholli tak boleh, Mawlid tak boleh, Sifat 20 tak boleh…tetapi…tetapi tak senang bukan bererti tak setuju. Pakcik rasa apa yang kamu ajar dan cerita itu ada betulnya. Semuanya ada ayat Qur’an, ada imam…err…hadisnya. Nantilah, bagilah masa sikit bagi pakcik dan kami orang kampung ini untuk menghadamnya. Kalau dah lima puluh tahun makan nasi, bukan senang tiba-tiba nak tukar makan pizza.”

          “Baiklah pakcik” jawab Effendy sambil melepaskan nafas lega.

          “Senang tak senang, pakcik tetap anggap kamu orang yang memiliki ilmu agama. Sebab tu pakcik panggil kamu ke rumah, sebab ada urusan agama yang pakcik nak tanyakan.”

          Alhamdulillah, urusan apa tu pakcik?” tanya Effendy, bertambah lega. Akan tetapi kerut di muka Pakcik Hamid menghairankannya, kelihatan seperti Pakcik Hamid dalam keadaan yang sukar. Sukar untuk bercakap, sukar untuk menzahirkan hajatnya.

          “Begini, anak pakcik yang Sakinah tu akan berkahwin hujung tahun nanti. Pakcik minta wang hantaran dari bakal suaminya dua belas ribu ringgit” jelas Pakcik Hamid sambil merenung ke luar tingkap rumahnya. Suasana sawah padi yang menghijau menyambut renungannya itu, sementara bunyi kipas angin siling KDK yang sudah agak uzur memecah keheningan ruang tamu rumah kayu itu.

          “Tetapi pakcik rasa macam tak patut pula. Mereka berdua baru habis belajar sementara Arshad, bakal menantu pakcik tu, baru dapat kerja di sebuah bank. Pakcik rasa memang berat bagi dia untuk sediakan wang sebanyak itu” sambung Pakcik Hamid, matanya masih mengarah ke luar tingkap. Mendalam fikirannya.

          “Tetapi bila nak nikah mesti ada belanja. Nak buat kenduri, nak tumbangkan lembu, nak sediakan bilik pengantin, nak cantik-cantikkan rumah. Macam-macam lagi lah. Pakcik ni pula…” sambil mengalih pandangannya kepada Effendy “…orang ternama di kampung ni. Anak-anak pakcik semuanya masuk universiti. Yang luar negeri pun ada. Jadi mestilah buat persediaan yang ada class sikit. Nanti apa pula kata orang? Apa pula kata sanak saudara? Apa pula kata orang-orang yang selama ini pinjam beras, minta beras dari pakcik? Haa! Inilah yang memeningkan fikiran pakcik. Inilah yang pakcik nak tanyakan kepada kamu. Bak kata orang, minta nasihatlah namanya.”

          “Owh! Begitu ya pakcik. Saya ni, macam pakcik kata, tak sampai setahun di kampung ni. Taklah kenal semua orang dengan baik, termasuklah pakcik. Hmm! Kiranya pakcik ni orang besarlah di kampung ni?” tanya Effendy, sambil otaknya ligat berfikir jalan penyelesaian yang memenangkan kedua-dua pihak, pengantin dan ibubapa pengantin.

          “Ya! Memang!”

          “Saya tengok pun rumah pakcik ni cantik, besar.”

          “Ya! Memang!”

          “Sawah pakcik pun besar, cantik sungguh. Tak sempat nak kira berapa relung!”

          “Ya! Memang!”

          “Anak-anak pakcik pun bagus pendidikannya.”

          “Ya! Memang!”

          “Jika pakcik memulakan sesuatu, mempelopori sesuatu, pasti ia menjadi contoh ikutan penduduk kampung yang lain.”

          “Ya! Memang!”

          “Banyak sungguh kurniaan Allah kepada pakcik. Pakcik kena banyak bersyukur, banyak sebut alhamdulillah.”

          “Ya! Memang!...err…alhamdulillah. Maksud kamu?”

          “Dalam rangka pakcik merancang majlis perkahwinan anak pakcik, pakcik mengambil kira apa kata sanak saudara, apa kata orang kampung, apa kata orang-orang yang pakcik bantu dan sebagainya” lanjut Effendy penuh hati-hati, enggan mengguris hati Pakcik Hamid yang diketahuinya tidak seberapa senang terhadap dirinya. Namun senang atau tidak, Effendy sedar bahawa Islam amat menekankan adab berinteraksi antara orang muda dengan orang tua. Rasulullah SAW pernah mengingatkan: “Keberkatan bersama orang-orang besar kalian.”

          “Ya! Memang!...err…alhamdulillah.”

          “Hmm…bagaimana pula dengan Allah. Apa kata Allah?”

          “Maksud kamu?”

          “Setiap sesuatu yang kita lakukan, hendaklah dalam rangka mencari redha Allah dan mengharapkan ganjarannya. Ini termasuklah setiap sesuatu yang berkaitan dengan majlis perkahwinan. Allah berfirman dalam ayat seratus enam puluh dua surah al-An’aam: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

          Apabila kita melangsungkan majlis perkahwinan untuk manusia, kerana ukuran manusia, kerana mengharapkan pengiktirafan sesama manusia, maka rugilah kita kerana pandangan manusia sentiasa berbeza-beza. Sebaik mana sekalipun kita cuba memuaskan hati mereka, pasti ada yang tidak kena. Namun yang paling merugikan, kita tidak memperoleh apa-apa ganjaran daripada Allah. Padahal di sisi Allahlah segala kemuliaan, rezeki dan anugerah.”

          “Ya, ya, teruskan” jawab Pakcik Hamid sambil menukar silang kakinya di kerusi rotan itu. Suasana nyaman di rumahnya bertukar seolah-olah panas.          

         “Sudah masanya aku tukar kipas angin yang baru” bisik hati Pakcik Hamid.

          “Anak-anak berada di bawah tanggungan ibubapanya. Ibubapalah yang wajib menanggung belanja anak-anak, mengikut kemampuan masing-masing ibubapa. Ini termasuk belanja urusan perkahwinan. Maka pakcik sebagai ayah kepada Sakinah, maka pakciklah yang sepatutnya mengeluarkan belanja untuk urusan perkahwinan Sakinah. Sementara bagi Arshad, ibubapanya yang mengeluarkan belanja bagi urusan perkahwinan di pihak lelaki.”

          “Habis, yang nak kahwin tu tak belanja apa? Syok kahwin aje?” balas Pakcik Hamid, terkesan sedikit nada tidak puas hati di sebalik balasannya itu.

          “Bukan begitu, pasangan yang akan berkahwin juga akan mengeluarkan belanja. Namun belanja mereka adalah untuk kehidupan mereka selepas berkahwin. Rumah, perkakas rumah, kenderaan, pakaian, makan minum dan macam-macam lagi. Itu semua di atas tanggungan pasangan yang sudah berkahwin itu, khususnya suami” balas Effendy, cuba menyeimbangkan neraca yang kelihatan berat ke arah Pakcik Hamid.

          “Bayangkan Arshad yang kemungkinan besar terpaksa berhutang menyediakan sekian-sekian belanja untuk majlis yang hanya sehari, kemudian pada hari-hari seterusnya, bertahun-tahun lamanya, dia tidak dapat berbelanja untuk Sakinah kerana membayar hutang. Akhirnya yang rugi Sakinah, yang rugi anak kesayangan pakcik.”

          “Ibubapa yang keluarkan belanja? Pakcik ni…pakcik ni…takdelah banyak sangat duit untuk keluarkan belanja perkahwinan Sakinah” akui Pakcik Hamid dengan nada yang rendah, berbeza dari sebelumnya yang bernada megah. Effendy dapat mengesan beban yang berat di nada dan bahu Pakcik Hamid.

          “Sebab itu sejak awal tadi saya tekankan belanja ikut kemampuan masing-masing ibubapa. Maka pakcik keluarkanlah belanja ikut kemampuan pakcik. Biarkan majlis itu sederhana, sederhana mengikut kemampuan pakcik, sederhana mengikut ukuran sanak saudara dan orang kampung. Yang penting ia ikhlas di sisi Allah.”

          “Kamu senanglah nak cakap, kamu belum berkeluarga lagi. Bukan orang ternama di kampung” balas Pakcik Hamid lagi, cuba menjustifikasikan kesnya.

          “Disebabkan status pakcik di kampung inilah pakcik perlu ubah kebiasaan masyarakat berkenaan siapa yang mengeluarkan belanja kahwin. Memandangkan pakcik merupakan orang ternama, apa yang pakcik lakukan pasti menjadi ikutan warga kampung yang lain. Apa yang pakcik lakukan menjadi sumber pahala selagi mana ia menjadi ikutan warga kampung yang lain.”

          “Macam mana pula boleh jadi macam itu?”

          “Begini pakcik, dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim dalam kitab sahihnya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik, maka baginya pahala dan pahala sesiapa yang mengamalkannya dari kalangan orang-orang sesudah itu tanpa dikurangi pahala mereka walau sedikit jua.

          Maka apabila pakcik memulakan sunnah yang baik, iaitu ibubapa yang mengeluarkan belanja perkahwinan anak-anak mengikut kadar kemampuan ibubapa itu sendiri, lalu sunnah tersebut diikuti oleh orang-orang kampung yang lain, pahalanya akan tetap mengalir kepada pakcik.

          Perkahwinan adalah satu amal shalih yang besar dalam Islam dan mempermudahkan belanjawannya pasti akan menjana pahala yang besar. Seterusnya mempermudahkan belanjawan pasangan-pasangan lain untuk berkahwin pasti akan menjana pahala yang besar juga kepada orang yang pertama memulakan sunnah yang baik ini, sebanyak bilangan pasangan yang berkahwin itu. Asalkan kita ikhlas kepada Allah” jelas Effendi satu persatu, perlahan tetapi jelas.

 

Ustaz Effendy

          “Kamu kenal Sakinah?” tanya Pakcik Hamid tiba-tiba, agaknya cuba mengalih topik perbincangan.

          “Err…tidak pakcik” jawab Effendy sedikit terkejut sambil tertanya-tanya bagaimana penerimaan Pakcik Hamid berkenaan apa yang baru dia jelaskan.

          “Dia dah lapan bulan habis belajar, sama universiti dengan Arshad. Arshad jurusan perbankan Islam, Sakinah jurusan akaun…kira-kira duit. Tetapi takde duit nak kira sebab masih takde kerja. Temuduga sana sini tak lulus. Katanya takde kebolehan berkomunikasi yang baik” jelas Pakcik Hamid. Effendy tertanya-tanya kenapa dia diberi pengenalan tentang Sakinah.

           “Dah beberapa kali dia balik kampung sejak kamu bertugas mengajar di sini. Tulah…yang sentiasa berjubah dan bertudung labuh tu. Tak pernah jumpa?”

          Effendy semakin musykil, hairan. Giliran dia pula merasa tidak senang. “Err pakcik, saya harap saya telah dapat membantu apa yang pakcik ingin tanyakan. Kalau apa-apa lain, boleh saya bantu pada masa kemudian” Effendy memberi isyarat ingin segera mengundur diri. Bimbang perkenalan Pakcik Hamid kepadanya tentang Sakinah mengarah kepada sesuatu yang lain.

          “Ehh! Nantilah dulu. Ada benda lain pakcik nak tanyakan kamu. Kamu mengajar waktu pagi, lapang waktu petang?”

          “Ya…?”

          “Macam ini, adik Sakinah, Salina minggu depan akan balik cuti semester selama sebulan. Dia tahun ketiga di UKM, Bangi. Dia ni berbeza dari kakaknya. Bukan jubah dan tudung labuh, tetapi seluar jeans dan tudung mini. Talipon tak renggang. Pakcik berhajat nak mintakan kamu ajarkan dia sedikit agama…katakan seminggu tiga kali?”

          “Owh! Terima kasih pakcik. Akan tetapi kalau muslimat dah usia remaja sebegitu, lebih sesuai aturkan seorang ustazah untuk mengajar.”

          “Isyy kamu ni, pakcik lebih yakin dengan kamu. Tak senang…tetapi yakin. Sekurang-kurangnya pakcik tahu apa yang kamu ajar itu ada sandarannya. Kamu jangan bimbang, pakcik akan keluarkan sendiri duit belanja perkahwinan, pakcik tak minta dari kamu.”

 

Takhrij hadis:

Penziarah meminta izin dengan memberi salam: Ketika ada orang ingin menziarahi Rasulullah s.a.w., baginda mengutus pembantunya seraya berkata: “Pergilah menemui orang itu, ajarkanlah dia cara meminta izin. Katakan kepadanya: “Ucapkanlah Assalamu’alaikum, boleh aku masuk?” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 5177]

Pulang setelah memberi salam sebanyak tiga kali: “Jika salah seorang dari kalian meminta izin sebanyak tiga kali lalu tidak diizinkan baginya (untuk masuk), maka pulanglah.” [Shahih al-Bukhari, no: 6245]

Duduk di kerusi yang ditunjuk tuan rumah: “Janganlah seorang lelaki menjadi imam bagi lelaki lain di daerah kekuasaannya dan jangan duduk di tempat duduk yang dimuliakannya melainkan dengan izinnya.” [Shahih Muslim, no: 673]

Penziarah berdiri di tepi pintu tuan rumah: “Bahawa Nabi s.a.w. apabila datang ke sebuah rumah, baginda tidak menghadap ke arah pintu tetapi berdiri di tepi kanan atau kiri pintu. Jika diizinkan baginda masuk dan jika tidak baginda beredar.” [Shahih Adab al-Mufrad, no: 826]

“Keberkatan bersama orang-orang besar kalian”: [Dikeluarkan oleh al-Thabarani al-Mu’jam al-Ausath, hadis no: 8991 dan dinilai sahih oleh Muhy al-Din Mastu dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas al-Targhib wa al-Tarhib li al-Munziri, no: 166]

“Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik…”: [Shahih Muslim, no: 1017]