Pa & Ma (Oktober 2010)

Soalan 1: Tanggungjawab menyusukan bayi.

Apakah tanggungjawab ibu selepas melahirkan bayinya? Bagaimana pula dengan ibu yang tidak dapat menyusukan bayinya sendiri, adakah dia perlu menyediakan ibu susuan bagi membolehkan anaknya mendapat khasiat ibut? Apa pula tanggungjawab ayah dalam menyokong penyusuan ibu?

Jawapan:

Dalam soalan di atas terhimpun beberapa soalan yang dapat dipecahkan sebagai berikut:

 

Pertama: Apakah tanggungjawab ibu selepas melahirkan bayinya?

Tanggungjawab utama ialah menyusukan bayi tersebut dengan susu badan. ini berdasarkan firman Allah SWT: "Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka..." [Sebahagian dari ayat 233 surah al-Baqarah]. Ayat ini berbentuk perintah atau suruhan, bererti menjadi perintah agama untuk para ibu menyusukan bayi mereka.

Susu yang dimaksudkan ialah susu badan dan bukannya makanan bayi yang lain. Ini kerana jika yang dimaksudkan ialah apa jua makanan bayi, maka tidak perlu Allah menurunkan perintah di atas sebab mana-mana ibu secara fitrah akan memberikan makanan kepada bayinya. Namun ayat di atas memaksudkan secara khusus susu badan kerana ia adalah yang terbaik untuk bayinya berbanding apa jua produk makanan bayi buatan manusia.

Demikian juga firman Allah seterusnya dalam ayat yang sama: "Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut dan bertakwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan."[al-Baqarah 2:233]

Ini menunjukkan bahawa jika ibu kandung atas sesuatu sebab syar'e tidak dapat memberikan susu badan kepada bayinya, alternatif lain ialah menyerahkan bayi tersebut untuk diberikan susu badan oleh wanita lain. Susu badan tetap menjadi menu kepada bayi, bukan apa-apa produk makanan bayi buatan manusia.

 

Kedua: Bagaimana pula dengan ibu yang tidak dapat menyusukan bayinya sendiri, adakah dia perlu menyediakan ibu susuan bagi membolehkan anaknya mendapat khasiat susu ibu?

Terlebih dahulu perlu dikenal faktor yang menyebabkan seorang ibu tidak dapat menyusukan anaknya. Jika disebabkan ibu ingin menjaga kecantikannya, maka ia bukanlah sebab yang dapat membatalkan perintah Allah dalam ayat 233 surah al-Baqarah di atas. Jika disebabkan ibu mengalami kesukaran untuk mengeluarkan susu badan atau kerana bayi enggan kepada susu badan, maka hendaklah ibu berjumpa atau meminta nasihat daripada pakar-palar dalam bidang ini. Pelbagai cara telah dikenal pasti untuk menggalakkan penyusuan badan antara ibu dan anak sehingga tidak boelh dijadikan alasan untuk meninggalkannya. Senenarnya, ibu dan bayi telah dicipta dan "diprogram" oleh Allah dengan segala kelengkapan yang sesuai - mental dan fizikal - bagi membolehkan penyusuan badan, berdasarkan kemumuman firman-Nya:

"Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi, Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya; Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan petunjuk." [al-a'la 87:1-3]

Justeru usahakanlah penyusuan badan nescaya ia akan berjaya. Seandainya seorang ibu mengalami komplikasi perubatan atau sesuatu halangan yang benar-benar tidak dapat dielakkan, maka alternatif yang lain ialah mengupah ibu susuan. Ibu susuan tersebut tetap menyusukan bayi dengan susu badannya dan melakukannya secara penuh tanggungjawab terhadap Allah dan ibubapa yang mengupahnya. Pusat penjagaan bayi tidak termasuk dalam kategori ini kerana kebanyakan mereka menggunakan susu buatan manusia dan membiarkan bayi minum tanpa pengawasan sehingga tidak sedikit yang kembali menemui Allah kerana tercikkan susu.

Pada masa kini terdapat alternatif bagi ibu menyimpan susu badannya di dalam botol dan disejukkan, agar bayinya dapat minum ketika dia (ibu) sibuk meninggalkannya atas urusan yang tidak Allah pertanggungjawabkan ke atas seorang ibu. Alternatif ini perlu direnung semula sebab keistimewaan susu badan tidak terbatas kepada susu sahaja tetapi meliputu juga faktor-faktor lain seperti kemesraan pelukan ibu ketika bayi meyusu, kenalan bayi kepada degupan jantung ibu bahawa itulah degupan yang sama ketika dia berada dalam kandungan dan pisisi bayi ketika menyusu badan yang dapat mengelakkannya daripada tercekikkan susu.

 

Ketiga: Apa pula tanggungjawab ayah dalam menyokong penyusuan susu ibu?

Ayah dapat menyokong dengan memberikan motivasi kepada ibu untuk menyusu badan. Kadangkala meyusu badan agak menyusahkan dan menimbulkan suasana tidak selesa kepada ibu. Maka di sini ayah dapat memainkan peranan memberikan sokongan moral dan menyediakan suasana selesa agar ibu dapat terus menyusukan bayi. Selain itu suami dibolehkan melakukan hubungan seks dengan isterinya yang masih dalam tempoh menyusu badan bayi mereka. Rasulullah SAW bersabda: "Aku pernah merancang untuk melarang al-Ghilah (suami mengadakan hubungan seks dengan isterinya yang masih menyusu badan kepada bayi mereka), namun aku perhatikan orang-orang Rom dan Parsi melakukannya dan ia tidak memudaratkan anak-anak mereka (maka teruskanlah).[Shahih Muslim, no: 1442]

Namun janganlah hubungan seks itu sehingga ke tahap mengurangkan kemampuan isterinya untuk menyusu badan kepada bayi mereka. Dalam sebuag riwayat disebutkan: "Jangan membunuh anak-anak kalian secara sembunyi-sembunyi kerana penunggang kuda yang al-Ghail (semasa kecilnya tidak mendapat susu ibu yang cukup akibat aktiviti seks ibubapanya) tidak teguh dan mudah jatuh dari kudanya (iaitu lemah fizikal)." [Sunan Abu Daud, no: 3881]